Gambar Ilustrasi: MS.Wikipedia |
Disalin dari kiriman FB Wan Khairil Adli Yusof
NEGERI SEMBILAN BERMULA DARI SUNGEI UJONG.
Ada pendapat sejarah menyatakan bahawa Sungei Ujong, nama lama untuk bandar Seremban tidak ada kena mengena dengan kewujudan sungai. Ia telah wujud lama di Tanah Melayu, lebih purba dari yang kita tahu. Sungei Ujong berasal daripada perkataan 'Sang Hyang Hujung'.
Tempat ini wujud di dalam catatan Nagarakartagama semasa era Majapahit, ditulis pada 1365. Ia juga ditulis sebagai 'Suneujon' di dalam rekod peta dan kartografi Eredia seawal 1613. Kajian lanjut teks klasik Jawa itu juga mengesahkan Sang Hyang Hujung itu adalah sebuah negeri dan mempunyai kerajaan sendiri.
Berdasarkan teori William Marsden pada 1784 mengenai sejarah Sumatera, diandaikan Sungei Ujong wujud dalam 1260-an ketika tempoh antara era kejatuhan Kerajaan Sriwijaya dan kebangkitan Kerajaan Singhasari yang seterusnya menjadi Kerajaan Majapahit.
Teori Marsden itu diperkukuh lagi dengan pandangan Richard Olaf Winstedt memetik Tom Pires yang mengatakan telah ada Mandulika di Sungei Ujong pada abad ke-14. Winstedt berpendapat Mandulika itu bermaksud gabenor dalam bahasa Sanskrit. Apabila dipadankan dengan artifak ditemui di Terengganu, jelas Sungei Ujong telah ada orang besar dipanggil Mandulika pada zaman Sriwijaya.
Ketika ini memang ada orang besar Sungei Ujong bergelar Dato' Andulika Mandulika yang berperanan sebagai Tua Lembaga Waris di-Darat dan Tua Lembaga Tiang Balai Undang Luak Sungei Ujong. Teorinya, Dato' Andulika Mandulika itu adalah warisan perjawatan Mandulika Sungei Ujong zaman Sriwijaya.
Babad Jawa naskah Pustaka Raja-raja Bumi Nusantara yang kontroversi itu pula menyatakan keberadaan Sungei Ujong sebagai negeri direkodkan seawal 1275 Masihi. Jika diambil tahun yang direkodkan Babad Jawa berkenaan, usia Sungei Ujong ketika ini adalah 747 tahun, kedua tertua selepas Kesultanan Kedah, pewaris Kerajaan Langkasuka. Hal ini juga menjadikan Luak Sungei Ujong adalah luak tertua sekali.
Tidak dapat disangkal yang pada zaman itu, Kerajaan Langkasuka telah menyusuri sungai-sungai bawah pemerintah Sang Hyang Hujung untuk berdagang. Rekod-rekod ini jelas menunjukkan bahawa negeri Sungei Ujong pernah menjalin hubungan atau dilindungi beberapa kerajaan besar bermula daripada kerajaan Sriwijaya, Majapahit dan kemudiannya sebagai wilayah di dalam Kesultanan Melayu Melaka.
Sehubungan itu, berkemungkinan besar sudah ada pemerintah Sungei Ujong bawah naungan kerajaan-kerajaan besar Nusantara ini, sebelum adanya penghulu menteri bawah Sultan Iskandar Shah atau Parameswara seperti yang disebut dalam Sejarah Melayu.
Teks Sejarah Melayu versi Raffles MS no. 18 mengenai Sungei Ujong menyebut:
"Maka Sultan Iskandar Shah pun berpindah dari sana lalu mendarat. Berapa hari dijalan maka terus ke Sening Ujong. Maka dilihat baginda tempat itu baik, maka ditinggalkannya seorang menteri di sana. Itulah maka tempat itu bermenteri datang sekarang."
Berdasarkan teks Sejarah Melayu itu, dipercayai Sultan Iskandar Shah mengiktiraf atau memperakui pemimpin Sungei Ujong yang sememangnya telah ada sebagai wakilnya sebelum baginda membuka Melaka.
Perkataan 'ditinggalkannya' itu diyakini bermaksud perakuan atau pengiktirafan dan bukannya melantik atau meletakkan pemimpin di negeri Sungei Ujong, memandangkan teks Jawa dan rekod-rekod lama menunjukkan Sungei Ujong sudah menjadi negeri semasa zaman Kerajaan Sriwijaya, Singhasari dan Majapahit.
Sang Hyang Hujung bermaksud 'Kepala Tuhan' pernah ditulis oleh Sultan Abdul Samad pada tahun 1880 sebagai kawasan yang menganjur dari Sepang sehingga Linggi, selari dengan kawasan Tanjung Tuhan atau Tanjung Tuan kini, atau ketika zaman British dinamakan sebagai Cape Rachado.
Malah, jika dikaji pada kedudukan geografi, titik tengah antara dataran yang menganjur dari utara ke selatan inilah terletaknya bandar Seremban, yang nama asalnya ialah Sungai Ujong.
Hari ini, nama Sang Hyang Hujung atau Sungei Ujong diabadikan di dalam nama salah satu dari empat luak di Negeri Sembilan iaitu Luak Sungei Ujong.
Ia menerangkan mengapa sebelum British tiba mencampuri urus tadbir Tanah Melayu, Luak Sungei Ujong asalnya ditadbir oleh dua nakhoda iaitu Dato' Klana Petra dan Dato' Syahbandar, membezakan pentadbiran luak ini dengan luak-luak lain di Negeri Sembilan suatu ketika dahulu.
Dato' Klana Petra adalah gelaran bagi pemerintah yang menguasai wilayah daratan, manakala Dato' Syahbandar pula adalah gelaran bagi orang besar yang menguasai laluan sungai dan wilayah laut. Penjelasan ini turut menjawab mengapa tidak pernah ada sungai yang mengalir di dalam daerah Seremban ini dengan nama Sungai Ujong.
Kesimpulannya, Negeri Sembilan ini sebenarnya bermula dengan kerajaan Sungei Ujong sejak 700 tahun lalu, diikuti luak-luak lain. Raja Melewar yang dicatat dipertuankan pada 1773 hanya kesinambungan dan lambang konfederasi kerajaan-kerajaan luak purba sedia ada.
Pengkisahan ini adalah bersandarkan rujukan berikut;
1. JSBRAS Vol 53 ' Notes On Malay History' oleh Blagden, 1909
2. JMBRAS Vol 22 'Sungei Ujong' oleh J.M. Gullick, 1949
3 JMBRAS Vol 23 'The Mandulika of Sungai Ujong' oleh R.O Winstedt, 1950
4. Negara Kartagama: Masa Keemasan Majapahit oleh Ketut Riana, 2009
5. Twitter @AshrafMhd oleh Ashraf Muhamad, 14 Disember 2018
6. Sejarah Melayu versi Raffles MS no. 18, 1613
7. History of Sumatra oleh William Marsden, 1784
Wallahhu'alam..
Allahumasolli Ala Saidina Muhammad.
=====================
Baca Juga:
- Negeri Sembilan & Minangkabau; Sebuah Pandangan
- Asal Nama Negeri Sembilan
- Negeri Naning
- Negeri Sembilan Nan Dahulu
- Negeri Sembilan Darul Khusus
- Asal Usul Nama Seri Menanti; Bandar Diraja Negeri Sembilan
- Perang Naning
- Siapakah Dato' Naning
- Naning Negeri Nan Tuo