Gambar: reseachgate |
Disalin dari kiriman Aal Piliang pada grup Pembela Adat & Syarak Alam Minangkabau
Di daerah Kuala Pilah terletak bandar diraja Negeri Sembilan, Seri Menanti, jaraknya dari bandar Seremban kira-kira 30 kilometer. Seri Menanti pada masa dahulu termasuk di dalam Luak Johol.
Menurut cerita, Seri Menanti asalnya nama sebatang sungai. Hulu sungai tersebut terletak di gunung yang memisahkan daerah Rembau daripada daerah Kuala Pilah.
Kawasan berhampiran sungai itu telah didatangi satu rombongan dari Minangkabau. Rombongan itu diketuai oleh Datuk Putih daripada Suku Seri Lemak. Mereka datang ke Tanah Melayu untuk mencari penghidupan baru. Datuk Putih adalah seorang bomoh besar yang juga pawang negeri di Sungai Layang.
Setelah melalui beberapa perkampungan, akhirnya Datuk Putih menemui tempat yang dirasakan amat sesuai untuk mendirikan sebuah perkampungan. Ahli-ahli rombongannya bersetuju dengan cadangannya itu. Mereka bermuafakat membuka kawasan baru itu untuk bercucuk tanam.
Pada suatu hari yang ditetapkan, rombongan yang telah diperlengkap dengan segala alat adat-istiadat pun berjalan keluar dalam satu barisan. Mulut Datuk Patih berkumat-kumit membilang-bilang, memuja tanah, langit, hutan, dan segala datuk yang tinggal di tempat yang dilalui oleh mereka.
Tiba-tiba Datuk Putih ternampak sesuatu yang aneh di kebunnya. Dia memanggil pengikut-pengikutnya untuk melihat benda yang ditemuinya itu. Mereka mengesahkan bahawa yang dilihat itu adalah tiga batang anak padi. Ketiga-tiga batang padi itu tumbuh dengan kesuburan yang luar biasa. Datuk Putih yakin padi itu daripada baka yang sangat baik.
Datuk Patih cuba untuk mengalihkan anak-anak padi tersebut tetapi gagal. Cengkaman padi itu pada tanah terlalu kejap. Dia terpaksa mengalah dan menerima cadangan pengikut-pengikutnya supaya membiarkan pokok-pokok padi itu hidup di situ.
Datuk Putih menjaga anak-anak padi itu dengan baik sehingga rumpunnya besar, menghijau cantik.
Penduduk di situ sangat takjub melihat pokok padi itu. Mereka mencadangkan agar Datuk Putih memilih nama 'padi menanti' atau 'semangat padi yang menanti' sebagai nama kampung mereka. Datuk Putih bersetuju. Walau bagaimanapun, nama yang dicadangkan itu diubah sedikit, kepada 'Seri Menanti' yang lebih sedap disebut.
Setengah-setengah pendapat mengatakan Seri Menanti dibuka pada abad kelima belas oleh orang Minangkabau yang diketuai oleh Datuk Seri Raja dari Luak Sungai Terap daripada Suku Batu Hampar.
Datuk Seri Raja berkerabat dengan Datuk Bendahara, penghulu luak Sungai Terap, suatu hari berlaku pergaduhan antara Datuk Seri Raja dan Datuk Bendahara. Akibatnya Datuk Seri Raja tidak berasa senang lagi tinggal di kalangan kaum keluarganya lalu mengambil keputusan untuk menuju ke tanah seberang. Isterinya bersetuju dengan hasrat suaminya itu.
Pada hari yang ditetapkan berangkatlah pasangan itu dengan diiringi oleh tiga puluh pengikut lelaki dan perempuan. Kesemua pengikut perempuannya berasal daripada Suku Batu Hampar. Mereka menyeberangi selat dari Siak. Di seberang selat mereka singgah di Naning. Dari situ mereka berjalan kaki beramai-ramai menuju ke Rembau. Dalam perjalanan itu mereka telah singgah di suatu tempat yang dinamakan Londar Naga, kira-kira dua batu dari Seri Menanti. Kononnya di tempat ini terdapat kesan-kesan laluan (alur) naga. Hari ini Londar Naga dikenali dengan nama lain, iaitu Kampung Galau.
Di Rembau, Datuk Seri Raja meminta izin Datuk Undang Rembau untuk tinggal di daerah itu. Datuk Undang bersetuju tetapi memberitahu bahawa tanah di situ kebanyakannya sudah bertuan. Seterusnya Datuk Undang mencadangkan supaya mereka membuka suatu kawasan lembah berhampiran dengan beberapa buah bukit tidak jauh dari situ. Datuk Seri Raja menerima cadangan Datuk Undang itu lalu membawa pengikutnya meneroka kawasan yang kemudiannya dinamakan Sungai Layang.
Dari Sungai Layang Datuk Seri Raja meneroka kawasan yang kini dipanggil Seri Menanti, sempena gelaran pengasasnya itu.
Di sekitar Seri Menanti, kisah penghijrahan dua saudara daripada suku Tanah Datar juga popular. Dua pemuda bersaudara itu bernama Sutan Sumanik dan Johan Kebesaran. Mereka berdua adalah sanak-saudara Datuk Makhdom Salih orang besar Minangkabau. Setelah tiba dari Sumatera mereka pergi menemui Datuk Undang Rembau. Mereka disuruh meneroka kawasan di sekitar Sungai Layang.
Rombongan Suku Tanah Datar itu disambut baik oleh Datuk Seri Raja, terutama kerana adat melarang perkahwinan antara saudara sesuku. Seperti yang dihasratkan, ramai ahli Suku Tanah Datar itu kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan ahli Suku Batu Hampar. Mereka berganding bahu membuka beberapa perkampungan baru, termasuk tempat yang diberi nama Tanjung Alam. Kampung itu kini dikenali dengan nama Gunung Pasir.
Bilangan suku yang mendiami kawasan Rembau kian hari kian bertambah hingga mencapai angka dua belas. Setiap suku ini hanya diketuai oleh Dato' Lembaga dan Buapak sahaja. Sekitar tahun 1740-60, persetujuan dicapai antara Dato'-dato' Lembaga untuk melantik penghulu ke atas kesemua dua belas suku tersebut. Mereka bermuafakat untuk pergi menemui penghulu luak Inas dengan tujuan meminta seorang anaknya menjadi penghulu mereka.
Datuk Penghulu Inas berkenan dengan permintaan itu dan menghantar anak perempuannya yang bernama Senduk Emas yang kemudian bergelar 'Penghulu Berlantai Kulit', ke Seri Menanti. Beliau diberi sebuah rumah kediaman di tempat bernama Padang Biawas dan dikahwinkan dengan orang yang berketurunan baik bernama Khatib Adil. Mereka mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Naam. Naam kemudian dilantik sebagai Penghulu Luak Muar.
Orang yang banyak dikaitkan dengan kemasyhuran Seri Menanti ialah Datuk Panglima Sutan Karo yang juga dikenali dengan nama Panglima Hitam. Beliau dibantu oleh Sepang Kobes dan dua orang asli, seorang daripadanya bernama Batin Mengalang. Datuk Panglima Sutan Karo dikatakan orang yang bertanggungjawab membawa Raja Melewar dari Pagar Ruyung untuk ditabalkan sebagai yamtuan bagi Negeri Sembilan. Sejak dari pertabalan Raja Melewar itu Seri Menanti menjadi bandar diraja Negeri Sembilan.
Selain itu, Panglima Hitam telah mengusahakan pembinaan sebuah istana yang dipanggil Istana Seri Menanti pada tahun 1905. Istana ini dibina dalam rekabentuk rumah gadang Minangkabau tanpa menggunakan paku walaupun sebatang. Kehalusan seni ukiran bangunan yang cantik ini menjadi tarikan utama pelancong yang berkunjung ke Seri Menanti.
Dinukil dari Buku "Salasilah Nama Tempat Negeri Sembilan Darul Khusus dan Melaka Bandaraya Bersejarah", oleh Yusman Ayoub, terbitan Prisma Sdn Bhd tahun 1993.
Gambar di atas: Foto Istana Seri Menanti di Kuala Pilah, di rakamkan oleh Harry Chase semasa lawatan Lowell Thomas ke Negri Sembilan ketika berada di Malaya pada tahun 1921.
Istana Seri Menanti merupakan kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Tuanku Antah ((25 April 1865—1 Ogos 1933).
Rujukan: MARIST dan Izmal Karim
Di Minangkabau, seni bina Istana Seri Menanti ini dinamakan "Kajang Padati".