Disalin dari kiriman blog Sejarah Malaysiaku
1. Gangga Negara (Kurun-2 hingga Kurun-11)
Gangga Negara dipercayai merupakan kerajaan Melayu Hindu yang hilang dan ada disebut dalam Sejarah Melayu yang kini merangkumi Beruas, Dinding dan Manjung yang pada masa kini terletak di negeri Perak, Malaysia serta Raja Gangga Shah Johan sebagai salah seorang rajanya. Para penyelidik mempercayai bahawa kerajaan ini berpusat di Beruas dan ia runtuh selepas serangan oleh Raja Rajendra Chola I dari Coromandel, India Selatan di antara tahun 1025 dan 1026. Menurut sebuah lagi catatan sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa yang juga dikenali sebagai Hikayat Kedah, Gangga Negara mungkin telah diasaskan oleh anak Merong Mahawangsa, Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah, yang dikatakan sebagai keturunan Iskandar Agung atau keluarga diraja Khmer tidak lewat dari abad ke-2.
Jabatan Muzium Negara telah mengkaji kerajaan Gangga Negara dari pelbagai sudut termasuk tradisi lisan yang terdapat di negeri Perak. Muzium Beruas ditugaskan untuk membuat penyelidikan dari sudut arkeologi.
Kerajaan Gangga Negara meliputi Beruas dan Dinding/ Manjung . Artifak arca-arca Buddha abad ke-5 dan ke-6 Masihi yang dijumpai di Beruas menunjukkan kewujudan kerajaan Gangga Negara ini. Kerajaan Gangga Negara ini berpusat di Beruas.
Pengasas Kerajaan Gangga Negara ialah Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah. Pendapat lain mengatakan Kerajaan Gangga Negara dibuka oleh Raja Khmers dari Kemboja.
Menurut kajian lain menyatakan bahawa Kerajaan Gangga Negara wujud tidak lewat pada abad ke-2 Masihi. Kerajaan Gangga Negara ini dipercayai terletak di daerah Dinding (Manjong) di kawasan Selatan Gunung Bubu (1657 meter ) arah timur Bukit Segari di tepi Sungai Dendang. Pendapat ini juga menyebut kemungkinan pusat Kerajaan Gangga Negara berubah-ubah.
Dengan menggunakan jumpaan artifak-artifak purba dan pengaliran cabang Sungai Perak, kerajaan ini dipercayai pernah berpusat di Pengkalan ( Ipoh ), Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput.
Kewujudan Kerajaan Gangga Negara dan kemudiannya Kerajaan Melayu Beruas tidak dapat dinafikan oleh penyelidik sejarah pada hari ini. Kedua-dua kerajaan tua yang dikatakan pernah bertapak di bumi Beruas bukanlah suatu kisah dongeng ataupun mitos semata-mata. Ini berikutan beberapa peninggalan kesan sejarah mengenainya yang masih wujud di beberapa kawasan negeri Perak amnya dan Beruas khususnya.
Asal
Gangga Negara bererti "bandar di Ganges" dalam bahasa Sanskrit, nama yang dipetik dari Ganganagar di barat laut India di mana penduduk Kambuja tinggal. Kambuja merupakan puak Aryan India-Iran dalam keluarga India-Eropah, pada asalnya tempatan di Pamir dan Badakshan. Terkenal sebagai pedagang Hindu, mereka membina koloni mereka di Asia Tenggara sekitar 2,000 tahun dahulu di lembah Mekong dan juga di Kepulauan Melayu di Funan, Chenla, Champa, Khmer, Angkor, Langkasuka, Sailendra, Srivijaya, dll. Pakar sejarah mendapati pedagang Kambuja mengembara dari Gujarat ke Sri Lanka dan ke Ligor (Nakhon Sri Thammarat) di utara semenanjung Tanah Melayu, merentasi Thailand dan Kemboja.
Beruas
Penyelidikan pertama mengenai kerajaan Beruas dimulakan oleh Kolonel James Low pada tahun 1849 dan satu abad kemudian oleh HG Qlaritch-Males. Menurut Jabatan Antikuiti dan Muzium, kedua penyelidik bersetuju bahawa kerajaan Gangga Negara wujud tetapi tidak dapat menentukan dengan pasti tapaknya. Selama beberapa tahun, penduduk kampung telah membongkar artifak, termasuk nesan dengan tulisan yang menunjukkan bahawa Beruas mungkin merupakan titik mula penyebaran Islam di Semenanjung Malaysia. Kebanyakan artifak, dipercayai semenjak kerajaan kuno, kini dipamerkan di Muzium Beruas bertarik semenjak abad ke-5 dan ke-6. Artifak yang dipamerkan termasuk meriam 128 kg, pedang, keris pitis, ketulan timah, tembikar dari kerajaan Dinasti Ming dan pelbagai era, dan tempayan besar. Melalui artifak ini, ia telah dijangka bahawa Pengkalan (Ipoh), Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput merupakan sebahagian kerajaan Beruas. Artifak turut mencadangkan bahawa pusat kerajaan mungkin telah berpindah beberapa kali. Gangga Negara dinamakan menjadi Beruas selepas Islam bertapak di sana.
Pokok Beruas
Beberapa batu nesan diraja Aceh turut ditemui di daerah Beruas dan ini mempunyai bukti kaitan dengan sumber sejarah bahawa putera raja dari Aceh, Sumatra berehat di bawah pokok Beruas, namanya Malik. Sejarah Pasai ada menyebut mengenai Malik ul Salih yang merupakan raja Melayu Hindu tempatan pertama yang memeluk Islam pada tahun 1267. Kini pokok beruas telahpun pupus tetapi masih dapat dijumpai di perkampungan berhampiran di Pengkalan Baru dan Batang Kubu.
2. Langkasuka (Kurun-2 hingga kurun-14)
Langkasuka atau juga dikenali sebagai Lang-ya-shiu, Lang-chia-shu (China), Langasyuka (Arab) dan Ilangasoka (inkripsi Tangore). Mengikut catatan pelawat-pelawat China yang mengadakan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri Asia Tenggara pada abad ke-2 Masihi, “Lang-ya-shiu” atau Langkasuka (Paul Wheatley 1961, 387-412) sudahpun wujud ketika itu. Berpandukan catatan tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora (Songkhla) dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Patani. Langkasuka ialah sebuah kerajaan Hindu Melayu silam yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Kerajaan ini bersama-sama dengan Kerajaan Kedah Tua berkemungkinan merupakan kerajaan yang paling awal di Tanah Melayu. Mengikut satu sumber, kerajaan ini diasaskan pada kurun ke-2 Masihi. Legenda orang Melayu mendakwa bahawa Langkasuka diasaskan di Kedah, dan kemudian berpindah ke Pattani. Persoalan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Patani masih belum dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan sejarah yang jelas mengenainya.
Dipercayai bahawa Langkawi mendapat namanya daripada perkataan Langkasuka. Sumber-sumber sejarah tidak banyak tetapi mengikut satu rekod sejarah Dinasti Liang China (500 M) merujuk kerajaan itu sebagai "Langgasu" yang diasaskan pada kurun pertama Masihi.
Nama Langkasuka juga ada disebut dalam tulisan-tulisan Melayu dan Jawa, sementara tulisan-tulisan dari China pernah menyebut sebuah negeri iaitu Lang-ya-hsiu atau Lang-chia-shu. Pada tahun 515 M Raja Bhagadatta menjalinkan hubungan dengan China. Hubungan itu dikukuhkan lagi dengan duta-duta dihantar pada tahun 523, 531 dan 568 Masihi. Pada kurun ke-12, Langkasuka merupakan negeri naungan kepada Kerajaan Srivijaya dan pada kurun ke-15 ia digantikan dengan Kerajaan Pattani.
Patani dan Langkasuka
Negeri Patani memiliki sejarah yang cukup lama, jauh lebih lama daripada sejarah negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu seperti Melaka, Johor dan Selangor. Sejarah lama Patani merujuk kepada kerajaan Melayu tua pengaruh Hindu-India bernama Langkasuka sebagaimana dikatakan oleh seorang ahli antropologi sosial di Prince of Songkla University di Patani, Seni Madakakul bahawa Langkasuka itu terletak di Patani. Pendapat beliau ini didukung oleh sejarawan lain seperti Prof. Zainal Abidin Wahid, Mubin Shepard, Prof. Hall dan Prof. Paul Wheatly.
Lebih jauh bahkan Sir John Braddle menegaskan bahawa kawasan timur Langkasuka meliputi daerah pantai timur Semenanjung, dari Senggora, Patani, Kelantan sampai ke Terengganu, termasuk juga kawasan sebelah utara negeri Kedah (M. Dahlan Mansoer, 1979).
Dalam buku sejarah negeri Kedah, Hikayat Merong Mahawangsa, ada menyebut bahawa negeri Langkasuka terbahagi kepada dua: Sebahagian terletak di negeri Kedah iaitu terletak di kawasan tebing sungai Merbok. Sebahagian yang lain terletak di sebelah timur Kedah, iaitu di pantai Laut China Selatan. Dalam hal ini, Prof. Paul Wheatly tanpa ragu mengatakan bahawa Langkasuka terletak di Patani sekarang. Pendapat beliau dikuatkan dengan penemuan kepingan batu-batuan purba peninggalan kerajaan Langkasuka di daerah Jerang dan Pujud (nama-nama kota pada masa itu). Paul Wheatly turut menjelaskan bahawa kerajaan Langkasuka menguasai jalan perdagangan timur-barat melalui Segenting Kra dan kekuasaannya meliputi kawasan Semenanjung sehingga ke Teluk Benggala. Kerajaan Melayu Langkasuka wujud sehingga menjelang abad ke-13 dan diganti oleh Kerajaan Melayu Patani. Dakwaan menurut Kakawin Nagarakretagama, Jerang atau Djere merupakan ibukota Langkasuka.
Sedangkan asal usul orang Patani menurut para antropologi berasal dari suku Jawa-Melayu. Sebab ketika itu suku inilah yang mula-mula mendiami Tanah Melayu. Kemudian berdatangan pedagang Arab dan India yang melakukan persemendaan sehingga menurunkan keturunan Melayu Patani di selatan Thai sekarang.
Tanah Melayu telah didatangi pedagang dari Arab, India dan China sejak sebelum Masihi. Seorang pengembara China menyebut bahawa ketika kedatangannya ke Langkasuka pada tahun 200 Masihi, beliau mendapati negeri itu telah lama dibuka.[perlu rujukan]
Patani adalah sebuah kerajaan yang termaju di Semenanjung Tanah Melayu dan sebuah pelabuhan yang penting sejak kurun ke-8 Masihi kerana Teluk Langkasuka (Teluk Patani sekarang) sangat sesuai dijadikan tempat kapal-kapal dagang berlabuh dan berlindung daripada ribut tengkujuh. Namun begitu, persoalan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Patani masih belum dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan sejarah yang jelas mengenainya.
3. Pan Pan (kurun-3 hingga urun-5)
Pan Pan ialah sebuah kerajaan Hindu kecil yang dipercayai wujud pada kurun ketiga hingga ketujuh masihi dan terletak di suatu kawasan di Kelantan atau Terengganu, Malaysia. Tidak banyak yang diketahui tentang kerajaan ini. Adalah juga dipercayai bahawa kerajaan ini ditakluk oleh empayar yang lebih besar iaitu Srivijaya.
Semasa Dinasti Utara dan Selatan pada tahun 529, 533, 534, 535 dan 571, Kerajaan Pan Pan menghantar ufti ke China. Pada tahun 616 dan 637 Kerajaan Pan Pan menghantar ufti kepada Dinasti Tang
4. Srivijaya (kurun-7 hingga kurun-14)
Srivijaya (juga disebut Sri Vijaya atau Sriwijaya ) ialah sebuah empayar maritim Melayu purba yang berpusat di Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu yang banyak mempengaruhi Asia Tenggara. Bukti terawal kewujudannya adalah dari abad ke-7; apabila seorang sami Buddha dari China, I-Tsing, ada menulis tentang lawatannya selama 6 bulan ke Srivijaya pada tahun 671. Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 683 masihi yang ditemui di Palembang, Sumatera juga ada menyebut tentang Srivijaya. Kerajaan ini runtuh sepenuhnya pada abad ke-13 disebabkan pelbagai faktor, antaranya ialah kebangkitan kerajaan Jawa Majapahit.Dari abad ke-8 hingga abad ke-11, Srivijaya adalah pusat pengembangan agama Buddha yang utama di kepulauan Melayu. Dalam Bahasa Sanskrit, sri (श्री) bermaksud "seri" atau "sinar" dan "vijaya" (विजय) bermaksud "kejayaan" atau "kemenangan".
Selepas kejatuhan Srivijaya, ia dilupakan sepenuhnya dan ahli sejarah tidak pernah menganggap ada kerajaan bersatu yang besar pernah wujud di kepulauan Asia Tenggara. Kewujudannya pertama kali diakui secara rasmi pada tahun 1918, oleh ahli sejarah berbangsa Perancis Georges Coedès dari École française d'Extrême-Orient.
Kebesarkan raja Srivijaya digambarkan melalui catatan Arab yang mensifafkannya sebagai Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau. Raja di Gunung dan Maharaja menggambarkan kebesaran raja yang mempunyai kuasa sakit, berkuasa multak, dan bersifat ketuhanan. Raja Srivijaya memerintah secara multak dan dibantu oleh menteri yang menjadi perantaraan raja dengan rakyat.
Penubuhan
Sejarah awal Srivijaya adalah kabur. Catatan China dari Sejarah Negeri Liang menyatakan kewujudan sebuah kerajaan kuno bernama Kantoli disyaki berpusat di kawasan antara Jambi dan Palembang, dan dipercayai merupakan pendahulu Srivijaya. Ahli sejarah China, Shenyao (414-512) dalam bukunya Sung Shunya (Sejarah Awal Sung) ada menyebut tentang satu utusan dari negeri "Ho-Lo-Tan" yang dihantar oleh Raja "Shih-li-pi-cho-yeh" pada tahun 434 masihi, satu nama yang sangat mirip dengan sebutan "Srivijaya". Sejarawan moden berbeza pendapat tentang kedudukan sebenar "Ho-Lo-Tan", namun kajian lanjut menunjukkan ia terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Pendapat ini disokong oleh sarjana Belanda, Ir. J.L Moens, sarjana Jepun, K. Takakuwa dan sarjana Jerman, Hermann Schlegel yang mengaitkannya dengan negeri Kelantan tua. Dalam tulisannya pada tahun 1937, Moens berpendapat Kelantan menggunakan nama "Sri Vijaya" tidak lama selepas tahun 666 masihi. Menurut Coedes, oleh kerana telah menjadi amalan biasa di rantau ini pada zaman dahulu di mana Raja yang memerintah menamakan kerajaannya bersempena namanya, berkemungkinan besar nama Raja "Shih-li-pi-cho-yeh" ini merupakan asal-usul nama kerajaan yang muncul ratusan tahun kemudian (abad ke-7) di Sumatera. Pada tahun 671 masihi, I-Tsing melawat bandar Bogha (Palembang) dan menetap di sana selama 6 bulan untuk mempelajari tatabahasa Sanskrit dan Bahasa Melayu. Dari Palembang, beliau melawat pula negeri Mo-Lo-Yu yang menurutnya terletak 15 hari pelayaran dari Bogha. Dari catatan I-Tsing, nama negeri Mo-Lo-Yu baru bertukar menjadi Sribogha ketika beliau melawatnya. Keterangan I-Tsing dilihat konsisten dengan beberapa catatan batu bersurat yang menunjukkan empayar Srivijaya dibentuk pada abad ke-7.
Berdasarkan Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 605 saka (683 masihi), kerajaan Srivijaya didirikan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang memimpin satu armada dengan 20,000 bala tentera dari Minanga Tamwan ke Matayap dan menaklukinya. Beberapa batu bersurat lain yang ditemui di Kota Kapur di Pulau Bangka (686 masihi), Karang Birahi di Jambi Hulu (686 masihi) dan Palas Pasemah di selatan Lampung, menceritakan peristiwa yang sama. Dari keterangan batu-batu bersurat ini, dapat disimpulkan yang Jayanasa mendirikan Kerajaan Srivijaya setelah mengalahkan musuh-musuhnya di Jambi, Palembang, Selatan Lampung dan Pulau Bangka. Asal usul Raja Jayanasa dan kedudukan sebenar Minanga Tamwan masih diperdebatkan ahli sejarah, ada yang berpendapat armada yang dipimpin Jayanasa ini berasal dari luar Sumatera, berkemungkinan besar dari Semenanjung Tanah Melayu.
Srivijaya meluaskan lagi empayarnya dengan menakluk bahagian barat Pulau Jawa pada penghujung abad ke-7. Batu Bersurat Kota Kapur yang bertarikh 608 saka (686 masihi) menceritakan tentang sumpahan Maharaja Srivijaya ke atas sebuah kerajaan di Pulau Jawa sebelum Srivijaya menyerang kerajaan tersebut. Masa peristiwa ini berlaku adalah bertepatan dengan masa kejatuhan kerajaan Tarumanagara dan kerajaan Kalingga (Ho-Ling dalam catatan China) di Jawa Barat. Ada juga rekod menyatakan sebuah keluarga diraja beragama Buddha yang mempunyai hubungan dengan Srivijaya, mendominasi bahagian tengah pulau Jawa ketika itu, berkemungkinan besar dari kerabat Sailendra. Kejayaan Srivijaya menguasai Pulau Jawa, Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu membolehkannya mengawal laluan perdagangan utama di Selat Melaka, Laut China Selatan, Selat Sunda dan Selat Karimata.
Pada awal abad ke-8, pelabuhan-pelabuhan Champa di timur Indochina mula bangkit menjadi pesaing kepada kuasa perdagangan Srivijaya. Untuk menghapuskan ancaman ini, Maharaja Srivijaya, Sri Dharmasetu melancarkan beberapa serangan ke atas bandar-bandar pesisir Indonchina. Bandar Indrapura yang terletak di tebing Sungai Mekong pernah suatu ketika dikuasai oleh Srivijaya pada abad ke-8. Dominasi Srivijaya di pesisir Indochina berakhir apabila Raja Jayavarman II menubuhkan Empayar Khmer pada abad yang sama. Sri Dharmasetu digantikan oleh Samaratungga yang menjadi Maharaja Srivijaya dari tahun 792 hingga 835 masihi. Tidak seperti Sri Dharmasetu yang mengamalkan dasar perluasan kuasa, Samaratungga lebih memilih untuk menguatkan kedudukan Srivijaya di Jawa. Candi Borobudur di Jawa tengah dibina dan disiapkan pada tahun 825 masihi, ketika pemerintahan Samaratungga.
Struktur dan pusat pemerintahan
Pembentukan satu negara kesatuan dalam dimensi struktur kuasa politik Srivijaya, dapat diperolehi dari beberapa batu bersurat yang mengandungi maklumat penting tentang istilah-istilah kadātuan, vanua, samaryyāda, mandala dan bhūmi.
Kadātuan boleh membawa erti kawasan dātu, (tnah rumah) tempat tinggal bini hāji, tempat disimpan mas dan hasil cukai (drawy) sebagai kawasan yang mesti dijaga. Kadātuan ini dikelilingi oleh vanua, yang boleh dianggap sebagai kawasan kota Srivijaya yang di dalamnya terdapat vihara yang menjadi tempat beribadah masyarakat. Kadātuan dan vanua ini merupakan kawasan teras bagi Srivijaya itu sendiri. Menurut Casparis, samaryyāda merupakan kawasan yang bersempadan dengan vanua, yang dihubungkan dengan jalan khusus (samaryyāda-patha) yang bermaksud kawasan pedalaman. Manakala mandala merupakan satu kawasan autonomi dari bhūmi yang berada dalam pengaruh kekuasaan kadātuan Srivijaya.
Pemerintah Srivijaya memakai gelaran Dapunta Hyang atau Maharaja, dan dalam lingkaran raja terdapat secara berurutan yuvarāja (putera mahkota), pratiyuvarāja (putera mahkota kedua) dan rājakumāra (pewaris berikutnya). Batu Bersurat Telaga Batu banyak menerangkan pelbagai jawatan dalam struktur pemerintahan kerajaan pada zaman Srivijaya.
Sekitar tahun 1993, Pierre-Yves Manguin melakukan penyelidikan dan berpendapat bahwa pusat Srivijaya terletak di Sungai Musi di antara Bukit Siguntang dan Sabokingking (di provinsi Sumatera Selatan sekarang). Namun sebelumnya Soekmono berpendapat bahwa pusat Srivijaya terletak di kawasan hiliran Batang Hari, antara Muara Sabak hingga ke Muara Tembesi (di provinsi Jambi sekarang), dengan catatan Mo-lo-yu (I-Tsing) tidak di kawasan tersebut, jika Mo-lo-yu berada di kawasan tersebut, beliau cenderung kepada pendapat Moens, yang sebelumnya juga telah berpendapat bahawa pusat pemerintahan Srivijaya berada di kawasan Candi Muara Takus (provinsi Riau sekarang), berdasarkan anggaran petunjuk arah perjalanan dalam catatan I-Tsing,. Ahli sejarah Thai berpendapat, daerah Chaiya di wilayah Surat Thani juga pernah menjadi pusat pemerintahan Srivijaya, berdasarkan penemuan banyak rumah-rumah ibadat dengan gaya seni bina unik yang berasal dari zaman Srivijaya.Namun yang pasti pada masa penaklukan Rajendra Chola I, berdasarkan Inskripsi Tanjore, ibu kota Srivijaya adalah di Kadaram (Kedah sekarang).
Hubungan luar
Pada tahun 100 Hijrah (718 masihi) Maharaja Srivijaya yang bernama Sri Indravarman mengutus sepucuk surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan memohon baginda menghantar seorang Ulama bagi menerangkan tentang agama Islam. Surat tersebut berbunyi:“ Daripada Raja kepada sekalian Raja yang merupakan keturunan dari seribu Raja-Raja, yang permaisurinya juga merupakan cucu kepada seribu Raja-Raja, yang taman haiwannya mengandungi seribu gajah, yang di dalam wilayahnya terdapat dua sungai yang mengairi pohon jadam, rempah wangi, buah pala dan limau nipis yang aromanya tersebar sejauh 12 batu. Ke hadapan Raja Arab yang tidak menyembah tuhan-tuhan yang lain selain Allah. Aku telah mengirim padamu satu hadiah yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan. Aku mohon agar kamu menghantar padaku seseorang yang boleh mengajarku tentang Islam dan menerangkan padaku undang-undangnya. ”
Empayar Srivijaya dan kerajaan-kerajaan lain di Asia pada tahun 900 masihi.
Peristiwa ini menjadi bukti yang istana Srivijaya telah menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengan dunia Islam-Arab. Bagaimanapun ia tidak bermaksud yang Maharaja Srivijaya telah memeluk Islam, tetapi mungkin untuk menunjukkan hasrat Sri Indravarman yang ingin mendalami undang-undang dan budaya rakan dagang Srivijaya dan tamadun-tamadun di sekitarnya seperti China, India dan Timur Tengah.
Srivijaya menjalin hubungan yang erat dengan Kerajaan Pala di Benggala. Inskripsi Nalanda yang bertarikh 860 masihi ada mencatatkan yang Maharaja Balaputradewa menghadiahkan sebuah kuil Buddha kepada Universiti Nalanda. Hubungan dengan kerajaan Chola di selatan India juga pada mulanya sangat baik. Sekitar tahun 1005 masihi, Maharaja Sri Chulamanivarman yang dirujuk dalam inskripsi-inskripsi India sebagai "Raja Kataha dan Srivijaya" telah mengarahkan pembinaan sebuah kuil Buddha di Nagapattinam, selatan India yang dinamakan bersempena namanya iaitu Chulamanivarmavihara. Rajaraja Chola I menghadiahkan harta yang banyak dari sebuah kampung kepada kuil ini.
Sri Chulamanivarman juga meneruskan tradisi menjalin hubungan yang erat dengan negeri China seperti yang diamalkan pendahulu-pendahulunya, dengan menghantar beberapa utusan ke sana. Pada tahun 1003 masihi, Raja Se-li-chu-la-wu-ni-fu-ma-tian-hwa (Sri Chulamanivarman) menghantar dua utusan menghadap Maharaja China bagi menyampaikan ufti; mereka menceritakan yang negara mereka ada membina sebuah kuil Buddha bagi mendoakan kesejahteraan Maharaja dan mereka memohon perkenan Maharaja China untuk memberikan nama dan loceng untuk kuil tersebut. Satu titah perintah telah dikeluarkan dengan kuil itu mendapat nama Cheng tien wan shou yang bermaksud "kurniaan 10,000 tahun dari Syurga" (dipercayai Candi Bungsu, salah satu bahagian dari candi yang terletak di Muara Takus dan sebuah loceng ditempa untuk dihadiahkan kepada utusan tersebut. Beberapa utusan kemudiannya dihantar lagi ke negeri China pada tahun 1004, 1008, 1016, 1017 dan 1018.
Hubungan yang erat Srivijaya dengan dua kuasa besar di Asia pada masa itu, Chola di India dan Dinasti Song di China telah membolehkan putera Sri Chulamanivarman yang menggantikannya, Maharaja Sri Mara Vijayatunggavarman membalas dendam perbuatan Raja Dharmawangsa dari Kerajaan Medang di Jawa Tengah yang menyerang Srivijaya pada tahun 990 masihi. Pada tahun 1006 masihi, bala tentera Srivijaya menyerang Kerajaan Medang dan menghancurkan Istana Watugaluh di Pulau Jawa. Dharmawangsa dan para pembesarnya kemudiannya dibunuh, membawa kepada berakhirnya Kerajaan Medang.
Hubungan baik Srivijaya dengan Kerajaan Chola bagaimanapun tidak kekal lama apabila Rajendra Chola I menaiki takhta pada tahun 1012 dan melancarkan perang ke atas Srivijaya pada tahun 1025 masihi.Rajendra Chola I menakluk hampir kesemua kota-kota di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Serangan besar-besaran kerajaan Chola ini bagaimanapun tidak membawa kepada kelangsungan politik Chola ke atas wilayah-wilayah yang diserang kerana pada tahun 1028 masihi, Maharaja Sri Sangrama Vijayatunggavarman yang ditawan di Kadaram telah digantikan oleh seorang Maharaja baru yang kemudiannya menghantar satu utusan ke negeri China. Dalam Sejarah Sung, Maharaja ini dikenali dengan nama Shih-Li-Tieh-Hua atau "Sri Deva" (berkemungkinan satu nama yang tidak lengkap).
Agama
Kerajaan Srivijaya banyak dipengaruhi oleh agama-agama besar dari India, pada mulanya oleh agama Hindu kemudian diikuti pula oleh agama Buddha. Dari catatan Keterangan tentang Orang Gasar yang dikumpulkan pada zaman Dinasti Sung, masyarakat "San Bo Tsai" dikatakan ada mengamalkan satu adat yang dikenali sebagai Tung-Sheng-Ssu (hidup dan mati bersama), yang mirip dengan amalan Suttee dari agama Hindu. Namun, berdasarkan catatan China dan India yang lain serta penemuan arkeologi, Srivijaya merupakan pusat agama Buddha yang utama di Kepulauan Melayu.
Sebagai pusat perkembangan agama Buddha Vajrayana yang utama, Srivijaya menarik ramai penziarah dan sarjana dari negara-negara lain di Asia, antara yang terkenal ialah sami Buddha dari China, I-Tsing. Pada tahun 671 masihi, dalam perjalanan ke Universiti Nalanda, India, beliau singgah di Srivijaya untuk mempelajari Sabdavidya (tatabahasa Sanskrit). Pada tahun 695, beliau melawat Srivijaya sekali lagi untuk mendalami agama Buddha. Menurut I-Tsing, penduduk Srivijaya melakar imej-imej Buddha dengan emas dan memberi sembahan kepada Buddha dalam bentuk bunga teratai emas. Ibu kotanya didiami oleh ramai sarjana Buddha dan menjadi pusat pembelajaran agama Buddha yang utama di seluruh Nanyang (laut selatan).“ Banyak raja dan pemimpin yang berada di pulau-pulau di Laut Selatan percaya dan mengagumi Buddha, di hati mereka telah tertanam perbuatan baik. Di sebalik tembok kota Srivijaya, terdapat lebih dari 1000 sami Buddha, yang belajar dengan tekun dan mengamalkannya dengan baik. Mereka mengkaji dan mempelajari semua subjek yang wujud sama seperti di "Kerajaan Tengah" (Madhya-desa, India); tidak banyak perbezaan dalam aturan-aturan dan upacara-upacaranya. Jika seorang biarawan Cina ingin pergi ke Barat (India) untuk mendengar (syarahan) dan membaca (teks asli), lebih baik ia tinggal dulu di sini selama satu atau dua tahun untuk mendalami aturan-aturan yang betul sebelum melanjutkan pelajaran ke tengah India. - I-Tsing ”
Selain aliran Vajrayana, ajaran Buddha dari aliran Hinayana dan Mahayana juga turut berkembang di Srivijaya. Dharmarakshita atau Suvarnadvipi Dharmakīrti, salah seorang sarjana Buddha yang terkenal dengan teks Mahayana beliau, "Roda Senjata Tajam" (Bahasa Tibet: blo-sbyong mtshon-cha 'khor-lo) hidup pada zaman pemerintahan Sri Chulamanivarman, dan merupakan ketua sarjana Buddha di Suvarnadvipa (Sumatera). Sarjana Buddha dari Benggala yang terkenal dengan peranannya mengembangkan Buddha Vajrayana di Tibet iaitu Atisha, dikatakan pernah berguru dengan Dharmarakshita di Sumatera, dari tahun 1011 hingga 1023 masihi.
Kemahsyuran Srivijaya sebagai pusat perdagangan di Asia Tenggara berkemungkinan besar menarik minat para pedagang dan ulama Muslim dari Timur Tengah menyebarkan agama Islam. Beberapa kerajaan yang pada mulanya merupakan sebahagian dari Srivijaya, bakal muncul menjadi kerajaan-kerajaan Islam di Semenanjung dan Sumatera, ketika pengaruh Srivijaya semakin lemah. Ada sumber yang menyebut, kerana pengaruh orang muslim Arab yang banyak berkunjung dan berdagang di Srivijaya, maka seorang raja Srivijaya yang bernama Sri Indrawarman pada tahun 718 berminat untuk mengetahui tentang agama Islam, sehingga mungkin kehidupan sosial Srivijaya adalah masyarakat sosial yang di dalamnya terdapat masyarakat Buddha dan Muslim sekaligus. Tercatat beberapa kali raja Srivijaya mengutus surat kepada khalifah Islam di Damsyik. Salah satu naskhah surat yang ditujukan kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz (717-720) berisi permintaan agar khalifah sudi mengirimkan da'i ke istana Srivijaya.
Seni dan Budaya
Berdasarkan beberapa sumber sejarah, satu masyarakat kosmopolitan yang kompleks dengan nilai peradaban yang tinggi, dipengaruhi secara mendalam oleh aliran Buddha Vajrayana, telah mendiami ibu kota Srivijaya. Batu Bersurat Talang Tuwo dari abad ke-7 ada menerangkan tentang satu ritual agama Buddha untuk memberkati upacara perasmian satu taman Sriksetra (taman awam), anugerah Maharaja Srivijaya untuk rakyatnya. Batu Bersurat Telaga Batu menggambarkan kerumitan susunan pangkat para pembesar dalam kerajaan Srivijaya, sementara Batu Bersurat Kota Kapur menyebut tentang kekuatan bala tentera Srivijaya ke atas Pulau Jawa. Kesemua batu-batu bersurat ini adalah dalam Bahasa Melayu Kuno, bahasa yang digunakan oleh orang Srivijaya yang merupakan leluhur bagi Bahasa Melayu Klasik yang kemudiannya menjadi asas kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia moden. Sejak abad ke-7, Bahasa Melayu Kuno telah digunakan di Nusantara, dibuktikan oleh batu-batu bersurat Srivijaya dan beberapa batu bersurat yang menggunakan Bahasa Melayu Kuno yang ditemui di pesisir pantai Kepulauan Melayu, contohnya batu bersurat Bukateja, Gandasuli, Kayumwungan, Sojomerto dan Manjusrigrha yang ditemui di Jawa, serta Plat Tembaga Laguna yang ditemui di Manila, Filipina. Perkembangan perdagangan merupakan antara faktor utama penyebaran Bahasa Melayu Kuno kerana ia adalah medium komunikasi yang utama bagi para pedagang. Sejak itu, Bahasa Melayu Kuno menjadi Lingua franca dan digunakan secara meluas di Kepulauan Melayu.
Sejarah Sung (960-1279) ada menceritakan sedikit sebanyak tentang masyarakat "San Bo Tsai" (Srivijaya). Menurut Sejarah Sung, Orang Srivijaya menyapu badan mereka dengan sejenis minyak wangi dan mereka menghasilkan arak dari bunga, kelapa, pin-lang atau madu. Mereka menulis menggunakan tulisan Sanskrit dan Rajanya menggunakan cincinnya sebagai Cop Mohor, mereka juga tahu menulis dalam karakter Cina yang selalunya digunakan ketika menghantar ufti. Selain itu, ramai orang Srivijaya mempunyai pangkal nama "Pu". Keterangan tentang Orang Gasar yang juga dikumpulkan pada zaman Dinasti Sung menyebut yang orang Srivijaya melilit badan mereka dengan pakaian dari kapas (Sarung) dan menggunakan payung dari sutera. Mereka berperang di darat dan juga di laut dan organisasi ketenteraannya sangat baik. Apabila seseorang Raja mangkat, rakyat akan mencukur kepala mereka sebagai tanda berkabung. Di ibu kotanya, terdapat satu arca Buddha yang dipanggil "Gunung Emas dan Perak". Rajanya pula sering mendapat gelaran "Sari Ular", dan baginda memakai satu mahkota dari emas yang sangat berat. Negara Srivijaya mempunyai beberapa pusat perdagangan utama yang mengawal semua kapal yang keluar masuk, sempadan-sempadan pelabuhan ditandakan dengan rantai-rantai besi.
Meskipun mampu membina kekuatan ekonomi, budaya dan ketenteraan yang hebat, Srivijaya hanya meninggalkan sejumlah kecil monumen arkeologi di pusat kerajaannya di Sumatera, berbeza dengan kawasan yang pernah mendapat pengaruhnya di bawah pimpinan dinasti Sailendra di Jawa Tengah yang memiliki tinggalan monumen seperti mandala Kalasan, Sewu dan Borobudur. Kuil-kuil Buddha yang dibina pada zaman Srivijaya di Sumatera antaranya ialah Candi Muaro Jambi, Muara Takus dan Biaro Bahal, bagaimanapun tidak seperti kuil-kuil di Jawa Tengah yang dibina dari batu andesit, kuil-kuil di Sumatera dibina dari batu bata merah.
Beberapa arca seperti Buddha dan Boddhisattva Avalokiteshvara telah ditemui di Bukit Seguntang,Palembang, Jambi, Bidor, Perak dan Chaiya, Surat Thani. Kesemua arca ini menampilkan keanggunan dan gaya biasa yang dikenali sebagai "Seni Srivijaya" yang memperlihatkan kemiripan - mungkin diilhamkan - dari seni Amaravati India atau Sailendra (abad ke-8 - ke-9)
Perdagangan
Dalam dunia perdagangan, Srivijiya adalah empayar yang mengawal dua laluan utama antara India dan China, iaitu Selat Sunda dari Palembang dan Selat Melaka dari Kedah. Catatan Arab menyatakan yang empayar Maharaja Srivijaya adalah sangat luas sehinggakan kapal yang paling laju pada zaman itu pun tidak mampu untuk belayar mengelilingi semua pulau-pulanya selama dua tahun. Menurut keterangan I-Tsing, Raja Srivijaya memiliki kapal-kapal yang banyak untuk tujuan perdagangan. Komoditi utama adalah rotan, gaharu, kino merah, kapur barus, jadam, cengkih, minyak cendana, buah pala, buah pelaga, buah pinang, buah kelapa, kemukus, gading dan timah, menjadikan kekayaan Maharajanya setanding dengan mana-mana raja di India. Srivijaya juga adalah negara yang sangat kaya dengan emas, bahkan I-Tsing pernah menggelarnya sebagai "Chin Chou" atau "Kepulauan Emas". Rakyatnya menyediakan sembahan kepada Buddha dalam bentuk bunga teratai emas, menggunakan bekas-bekas dari emas, dan membina arca-arca dari emas. Berbeza dengan mata wang China pada zaman tersebut yang biasanya diperbuat dari tembaga, loyang atau besi, orang Srivijaya hanya menggunakan emas dan perak dalam perdagangan.
Selain menjalin hubungan dagang yang menguntungkan dengan India dan China, Srivijaya juga membentuk jaringan perdagangan dengan dunia Arab. Berkemungkinan besar, satu utusan yang dihantar Maharaja Sri Indravarman untuk menyampaikan surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dari Kerajaan Bani Umayyah pada tahun 718 masihi, telah kembali dengan Zanji (hamba wanita kulit hitam dari Zanj), hadiah Khalifah kepada Maharaja. Kemudiannya, catatan China ada menyebut tentang Shih-li-t-'o-pa-mo (Sri Indravarman), Maharaja Shih-li-fo-shih yang menghantar kepada Maharaja China ts'engchi (sebutan China untuk perkataan Arab Zanji) sebagai hadiah.
Zaman keemasan
Pada separuh pertama kurun ke-10, ketika zaman kejatuhan Dinasti Tang dan kebangkitan Dinasti Song, perdagangan berkembang dengan pesat di antara dunia luar China dengan kerajaan Min di Fujian dan kerajaan Nan Han di Guangdong. Dengan kemakmuran yang dikecapi pada zaman permulaan Dinasti Song, keadaan ini sangat menguntungkan Srivijaya. Pada tahun 903 masihi, penulis Islam Ibn Rustah sangat kagum dengan kekayaan pemerintah Srivijaya sehingga beliau pernah menyatakan yang tiada Raja lain yang sekaya dan sekuat Raja Srivijaya. Pusat perbandaran utama Srivijaya pada zaman itu adalah di Palembang, Muara Jambi, Kedah dan Chaiya.
Ketika era keemasannya, Srivijaya adalah kerajaan yang terkuat dan terkaya di bahagian barat kepulauan Melayu, dan empayarnya meliputi 15 negeri seperti yang diceritakan oleh Chou-Ju-Kua[50]; Pong-fong (Pahang), Tong-ya-nong (Terengganu), Ling-ya-si-kia (Langkasuka), Kilan-tan (Kelantan), Fo-lo-an (Dungun), Ji-lo-t'ing (Cherating), Ts'ien-mai (Semawe, Semenanjung), Pa-t'a (Sungai Paka, utara Semenanjung), Tan-ma-ling (Tambralinga, Ligor atau Nakhon Si Thammarat), Kia-lo-hi (Krabi), Pa-lin-fong (Palembang), Sin-t'o (Sunda), Lan-wu-li (Lamuri di Aceh), Kien-pi (Jambi) dan Si-lan (Kemboja) .
Pengaruh kuasa perdagangan Srivijaya di Lautan India telah membawa kepada penghijrahan penduduk kepulauan Melayu ke Madagascar.Selain itu, pengaruhnya juga menjalar ke bahagian timur ke Borneo sehingga ke kepulauan Filipina, terutamanya kepulauan Sulu dan Visayas. Pada kurun ke-10, Kerajaan Tondo yang berada di bawah pengaruh Srivijaya telah ditubuhkan di Manila
Zaman kejatuhan
Akibat dari kekacauan yang berlaku di pesisir pantai China ketika zaman kejatuhan Dinasti Tang, bukan hanya aktiviti perdagangan orang Arab dan Parsi dengan China terjejas teruk, malah Srivijaya juga menerima kesan besar darinya. Walaupun ia masih menguasai laluan perdagangan di Selat Melaka dan pesisir utara Semenanjung Tanah Melayu, perdagangan dan kekayaannya mula merosot pada penghujung kurun ke-9 dan awal kurun ke-10. Menjelang tahun 925 masihi, tiada lagi komuniti pedagang asing di China, kekacauan dan pelanunan semakin menjadi-jadi selama beberapa dekad berikutnya di sepanjang pesisir selatan China. Pada penghujung kurun ke-10, perdagangan dengan Asia Selatan dan Asia Tenggara mula pulih dengan peranan Dinasti Song Selatan di China, bagaimanapun ia menimbulan persaingan yang serius di antara Srivijaya dengan Kerajaan Medang di Jawa Timur dan Wangsa Chola di India selatan. Ketiga-tiga kerajaan bersaing merebut laluan perdagangan dengan China yang baru pulih.
Di antara tahun 1003 dan 1018, Srivijaya menghantar 7 utusan ke China, mengiklankan produk-produk Asia Selatan beserta dengan barangan wangi, rempah dan lada. Kerajaan Medang juga cuba menjalin hubungan perdagangan langsung dengan China manakala Chola pula menghantar satu utusan ke sana pada tahun 1015. Akibat dari persaingan tiga segi ini, Srivijaya menyerang dan menghancurkan kerajaan Medang pada tahun 1006, namun ia diserang pula oleh angkatan laut Chola di bawah Rajendra Chola I pada tahun 1025. Angkatan laut Chola menyeberang Teluk Bengal, menjarah ibu kota Srivijaya di Kadaram, dan menawan Maharajanya, Sri Sangrama Vijayatunggavarman. Selain Kadaram, Pannai di Sumatera dan Malaiyur di Semenanjung Tanah Melayu juga diserang.
Inskripsi Tanjore yang bertarikh 1030 masihi ada menceritakan tentang kempen ketenteraan Chola ini:
"..pada tahun ke-22 pemerintahan Kopparakesarivanmar sri Rajendra Sola Deva, yang,-..menakluk dengan tenteranya yang hebat, Idaiturai-nadu, Varanasi..dll..dan yang menghantar kapal-kapal mengharungi lautan bergelora dan menawan Sangirama-vijaiyattungopanma, Raja Kidaram, bersama dengan gajah-gajahnya..,membawa pulang timbunan besar harta rampasan perang, Vichchadira-ttorana pada pintu gerbang di kota musuh yang sangat besar, set gerbang wiket dihiasi permata yang indah, set pintu dengan permata yang besar; sri-Vijaiyam yang luas; Pannai yang diairi sebuah sungai; Malaiyur purba yang kubunya terletak di atas bukit yang tinggi; Māyirudingam, dengan kubu parit dari air laut yang mengelilinginya; Ilangāsōbam, dengan semangat juangnya yang kental; Māppappālam, yang memiliki air yang banyak sebagai benteng pertahanan; Mēvilambangam, yang kubu pertahanannya sangat kukuh; Valaippandūru, yang terletak di tengah-tengah hutan belantara; Talaittakolam, yang disanjung para ilmuan; Madamalingam, dengan semangat keperwiraannya yang kental; Nilamuri-desam, yang kekuatan luar biasanya, meningkat dengan amarah; Mānakkavāram yang memiliki taman-taman, di mana bunga-bunga dipenuhi madu; Kidaram, yang sangat hebat kekuatannya, dikawal oleh pahlawan-pahlawan yang memakai gelang di kaki,.."
— Penerangan tentang serangan ke atas Srivijaya oleh Wangsa Chola dalam Inskripsi Tanjore.
Dalam masa 100 tahun, beberapa lagi serangan telah dilancarkan oleh Wangsa Chola ke atas Semenanjung dan Sumatera. Meskipun dipaksa berperang secara defensif dalam tempoh yang sangat lama, kekuatan Srivijaya yang terletak di pulau-pulau yang mengawal selat-selat, tidak mampu dimusnahkan sepenuhnya oleh angkatan Chola yang kuat. Serangan-serangan Chola selama 100 tahun ini boleh dianggap sia-sia kerana ia tidak membawa kepada pendudukan efektif Wangsa Chola di Kepulauan Melayu, sebaliknya ia hanya mampu melemahkan kedudukan Srivijaya bahkan melemahkan kuasa Chola sendiri dan membuka peluang kepada penguasaan orang Islam di Lautan Hindi.
Kelemahan Srivijaya telah menyebabkan banyak negeri lindungannya membebaskan diri dari kekuasaannya, beberapa kerajaan serantau lain yang kuat juga mula muncul menyainginya, seperti Kediri dan kemudiannya Singhasari. Kerajaan-kerajaan ini yang berasaskan pertanian, adalah berbeza dengan Srivijaya yang sangat bergantung pada perdagangan pesisir dan jarak jauh. Kekuatan tentera Srivijaya yang semakin lemah juga menyebabkan ia tidak mampu lagi mempertahankan dirinya dari serangan-serang dua kerajaan yang kuat: Sukhotai Siam di utara dan Singhasari di selatan. Sukhotai menawan Ligor, Takuapa dan lain-lain bandar pelabuhan di Segenting Kra. Singhasari pula menawan kebanyakan wilayah di bawah ketuanan Srivijaya di Jawa dan Sumatera. Pada tahun 1288, Singhasari melancarkan Ekspedisi Pamalayu untuk menawan negeri-negeri Melayu di Sumatera. Menjelang tahun 1292, empayar ini telah runtuh sepenuhnya, Marco Polo yang melawat kepulauan Melayu pada tahun tersebut tidak ada menyebut langsung tentang Srivijaya. Begitu juga dengan Kakawin Nagarakretagama yang dikarang pada tahun 1365, tidak lagi menyebut tentang Srivijaya untuk wilayah-wilayah yang dulunya di bawah ketuanan Srivijaya.
Warisan
Berakhirnya Kerajaan Srivijaya tidak bermakna tamatnya tradisi pemerintahan istana Melayu. Beberapa percubaan untuk menghidupkan kembali Srivijaya telah dilakukan oleh waris-waris diraja Srivijaya yang menjadi pelarian di negeri-negeri yang masih setia. Pada tahun 1293, Majapahit yang merupakan pengganti Singhasari menguasai sebahagian besar Sumatera. Putera Adityawarman diberi tanggungjawab memerintah Sumatera pada tahun 1347 oleh pemerintah ketiga Majapahit, Tribhuwana Wijayatunggadewi. Satu pemberontakan yang berlaku pada tahun 1377 berjaya dipatahkan oleh Majapahit. Pada tahun 1324, Sang Nila Utama yang mendakwa dari keturunan diraja Srivijaya dari Bentan, bersama para pengikut dan tenteranya yang terdiri dari Orang Laut, telah menubuhkan Kerajaan Singapura Lama di Temasek. Menurut Sejarah Melayu dan ahli sejarah China, Wang Ta Yuan, orang Siam menyerang kerajaan Singapura di antara tahun 1330 hingga 1340, namun berjaya dikalahkan. Serangan Majapahit pada penghujung abad ke-14 bagaimanapun berjaya menundukkan kerajaan ini, dan Rajanya yang terakhir, Parameswara terpaksa melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu.
Parameswara kemudiannya mengasaskan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1402. Kesultanan Melayu Melaka akhirnya menggantikan kedudukan Srivijaya sebagai kuasa politik Melayu yang utama di kepulauan Melayu. Walaupun Kesultanan Melaka jatuh pada tahun 1511, Melaka kekal menjadi suatu prototaip institusi: satu paradigma tata urus negara dan satu titik rujukan budaya Melayu untuk negeri-negeri pengganti seperti Kesultanan Johor (1528–kini), Kesultanan Perak (1528–kini) dan Kesultanan Pahang (1470–kini).
Peninggalan terpenting kerajaan Srivijaya berkemungkinan besar adalah Bahasa Melayu itu sendiri. Selama beberapa abad, melalui penaklukan, kuasa ekonomi dan kekuatan ketenteraannnya, Srivijaya memainkan peranan besar dalam menyebarkan Bahasa Melayu Kuno ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu. Ia menjadi bahasa utama perdagangan dan lingua franca, digunakan di banyak pelabuhan dan pusat perniagaan di rantau ini.[63] Bahasa Melayu kemudiannya semakin berkembang maju semasa era pengganti Srivijaya, Kesultanan Melayu Melaka. Era Kesultanan Melaka menyaksikan pengaruh Islam yang kuat dalam Bahasa Melayu, dengan kemasukan banyak perkataan pinjaman dari Bahasa Arab dan Parsi. Perkembangan ini menghasilkan Bahasa Melayu Klasik yang kemudiannya menjadi asas kepada Bahasa Melayu Moden yang digunakan dengan meluas hari ini di Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.Nasionalis moden di Indonesia melihat Srivijaya serta Majapahit, sebagai sumber kebanggaan masa lalu Indonesia. Srivijaya menjadi fokus kepada kebanggaan nasional dan identiti serantau, terutamanya kepada penduduk Palembang khususnya, dan kepada semua Orang Melayu amnya. Bagi penduduk Palembang, Srivijaya telah menjadi sumber inspirasi kesenian untuk lagu Gending Sriwijaya dan tarian tradisional.
Hal yang sama berlaku di Thailand, di mana tarian "Sevichai" (Thai: Srivijaya) telah dihidupkan semula berdasarkan keanggunan seni budaya Srivijaya purba. Warisan Srivijaya kini diraikan dan sering dikaitkan dengan minoriti Melayu di Selatan Thailand. Di antara contoh rumah-rumah ibadat yang dibina berasaskan kesenian Srivijaya ialah Phra Borom Mathat di Chaiya (abad ke-9 - ke-10), Wat Kaew Pagoda, dan Wat Long Pagoda. Wat Mahathat yang asal di Nakhon Si Thammarat (salah sebuah bandar Srivijaya) kini telah dilitupi oleh bangunan dengan gaya Sri Lanka yang lebih besar.
Di Indonesia, nama "Srivijaya" diabadikan pada jalan-jalan di banyak bandar dan telah menjadi sinonim dengan Palembang dan Sumatera Selatan. Universitas Sriwijaya yang ditubuhkan pada tahun 1960 di Palembang, dinamakan bersempena nama Srivijaya. Kodam Sriwijaya (unit komando), PT Pupuk Sriwijaya (syarikat pengeluar baja), Sriwijaya Post (akhbar harian di Palembang), Sriwijaya Air (syarikat penerbangan), Stadium Gelora Sriwijaya, dan Sriwijaya FC (kelab bola sepak Palembang), semuanya dinamakan demikian untuk menghormati dan memuliakan empayar maritim purba ini.
Kedah Tua
Kerajaan Kedah Tua merupakan salah satu kerajaan awal terkenal yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar dan Kalagram. Menurut catatan I Ching dari negara China, Kedah Tua juga disebut sebagai Cheh-Cha.
Kerajaan Kedah Tua diasaskan pada abad ke-5. Pada peringkat awal, Sungai Mas merupakan pelabuhan utama tetapi kemudian dipindah ke Lembah Bujang. Kedah Tua dipengaruhi oleh agama Buddha dan seterusnya diikuti oleh agama Hindu, pengaruh Hindu-Buddha ini boleh dibuktikan melalui peninggalan candi yang terletak di Lembah Bujang.
Gunung Jerai telah menjadi petunjuk atau panduan kepada pedagang luar untuk singgah di pelabuhan Lembah Bujang ataupun di Sungai Mas. Pelabuhan Kedah Tua telah menjadi tempat penukaran barang, tempat persinggahan dan tempat membaiki kapal pelayar dan pedagang dari Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah sebelum mereka meneruskan perjalanan mereka ke Timur. Ia juga menjadi pusat perdagangan pelbagai hasil tempatan yang dikumpul oleh penduduk tempatan seperti bijih timah, emas, beras, lada hitam, gading, damar, rotan, tanduk dan sebagainya. Walaupun ia adalah sebuah kerajaan samudera tetapi juga menjadi pengeluar padi terkenal kerana dikurniakan tanah pamah yang rata dan luas.
Kerajaan Kedah Tua mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Sultan al-Mutawakil (847-861). Ini dapat dibuktikan melalui penemuan wang perak pada zaman Sultan al-Mutawakil, manik yang dibawa dari negara India dan barangan kaca dari Timur Tengah.