Pastinya ramai diantara yang kita keliru siapakah sebenar Dato'
Naning. Di zaman persekolahan kita pernah belajar dalam buku teks
sejarah tingkatan 2 dalam bab bertajuk pejuang negara dimana kita
menganggap Dato' Naning atau Dato' Dol Said merupakan orang yang sama.
Jika itu yang kita fahami maka hari ini anda akan didedahkan dengan
kisah sebenar.
Tahukah anda Dato' Naning merupakan jawatan tertinggi yang
disandang dalam sistem pentakbiran tradisional masyarakat Naning sejak
lebih 600 tahun dahulu. Dato' Naning boleh dikatakan seperti seorang
raja atau sultan yang memerintah sesebuah negeri cuma gelaran raja atau
sultan tidak digunakan oleh Dato' Naning kerana terdapat perjanjian
antara Sultan Muzaffar Syah dengan Dato' Naning yang pertama iaitu Dato'
Perpatih Nan Sebatang. Disebabkan pada ketika itu Melaka sudah
mempunyai seorang sultan maka Dato' Perpatih Nan Sebatang menolak untuk
menggunakan gelaran raja atau sultan kerana beliau khuatir akan wujudnya
pertumpahan darah antara pengikut beliau dan pengikut Sultan Melaka
dibelakang hari kelak.
20 Fakta Ringkas Yang Menarik Mengenai Sejarah Dato' Naning:
- Gelaran sebenar Dato' Naning adalah Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Raja Merah Nan Bergajah Tunggal Dato' Penghulu Undang Naning
- Dato' Naning pertama merupakan pengasas adat Perpatih iaitu Tengku Patih Sutan Jatang Balun atau lebih dikenali sebagai Dato' Perpatih Nan Sebatang
- Menurut catatan Belanda, Penguasa Belanda di Melaka iaitu Pantos mencatatkan bahawa jawatan Dato' Naning merupakan sebuah jawatan yang disandang sebelum zaman penjajahan Portugis di Melaka.
- Menurut Munsyi Abdullah pula dalam bukunya 'Hikayat Abdullah Munsyi' menyatakan jawatan Dato' Naning merupakan sebuah jawatan yang dibuat oleh Belanda untuk menguruskan masyarakat Minangkabau di kawasan utara Melaka
- Menurut penduduk tempatan Dato' Naning merupakan salah seorang anak raja dari Pagar Ruyong yang datang ke Melaka hasil permintaan Sultan Melaka untuk membantu baginda dalam menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat orang asli atau Jakun
- Sehingga hari ini masyarakat di Alor Gajah masih lagi mengakui dan meneruskan sistem pemerintahan tradisi Naning walaupun kuasa Dato' Naning hanya berdasarkan kuasa adat semata-mata
- Terdapat 21 orang Dato' Naning sejak zaman dahulu hinggalah ke hari ini
- Dato' Naning mendapat nama gelarannya sempena nama seekor tebuan tanah yang besar yang bergelar Naning (Apis Dorsata)
- Dato' Dol Said pahlawan Melaka yang menentang British merupakan Dato' Naning yang ke-9
- Dato' Naning Dol Said merupakan perjuang pertama yang memulakan gerakan menentang British pada tahun 1831
- Buat kali pertama semenjak menduduki Semenanjung Tanah Melayu, British India East Company kalah kepada penduduk tempatan apabila berperang dengan Dato' Naning dalam perang Naning pertama 1831
- Dato' Naning merupakan sebuah jawatan yang hanya boleh disandang dalam masyarakat adat perpatih dalam sebuah suku yang bergelar Seri Melenggang atau Semelenggang
- Cara pemilihan penyandang jawatan Dato' Naning sejak Dato' Naning pertama telah dibuat dengan cara menyarungkan baju ajaib yang bernama Baju Setampuk Pinang atau Suindusen Wa is Tabrokin
- Baju Setampuk Pinang ghaib apabila kematian Dato' Naning yang ke 14 menyebabkan berlaku perebutan jawatan Dato' Naning
- Dahulunya Dato' Naning merupakan penguasa Wilayah Naning daripada sempadan Segamat (Nyalas) hinggalah ke Sempadan Negeri Sembilan (Lubuk Cina, Kendong, Tampin)
- Hari ini, jawatan Dato' Naning merupakan sebuah jawatan ketiga tertinggi di Negeri Melaka selepas Gabenor dan Ketua Menteri Melaka menurut pelembagaan Negeri Melaka
- Dalam sejarah Naning, Dato' Naning telah mengetuai penentangan beberapa penjajah seperti Portugis, Belanda, dan British
- Dato' Dol Said satu-satunya pejuang yang tidak dibunuh oleh British malah diberikan pencen sebanyak $100.00 sebulan
- Dato' Dol Said satu-satunya pejuang yang berjaya menyatukan pembesar Negeri Sembilan dalam memerangi British dalam perang pertama
- Jawatan Dato' Naning tidak boleh diserahkan kepada anak tetapi diserahkan kepada anak buahnya
Disalin dari: http://pusaka-naning.blogspot.com
Diterbitkan pada 25 Maret 2015