Gambar: firtychrysant |
Disalin dari kiriman FB Ibnu Kamal Aliff
Negeri Sembilan Darul Khusus adalah sebuah negeri beradat yang mengamalkan Adat Perpatih. Namun, tahukah anda maksud perkataan Darul Khusus dan asal-usul nama itu diberikan?
Pengarah Institut Peradaban Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin berkata, Darul Khusus bermaksud sebuah negeri istimewa dan
hebat
dalam sesuatu tamadun yang besar dan tinggi, khususnya dalam konteks Islam dan adat.Katanya, penggunaan Darul Khusus bermula sejak zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad yang juga Yamtuan Negeri Sembilan kelapan. “Darul Khusus digunakan kerana bagi almarhum, Negeri Sembilan sangat istimewa tamadunnya khususnya dari segi syarak dan adat seperti Perpatih.
“Malah, almarhum sering mengundang ulama ke istana. Perkembangan syarak begitu pesat hingga Senaling ke Seri Menanti dianggap lubuk untuk orang belajar agama terutama bidang tasauf dan suluk,” katanya.
Dr Mohd Rosli berkata, pengkhususan dan kehebatan negeri ini dalam bidang agama berjaya melahirkan beberapa tokoh guru terkenal. “Ini termasuk Lebai Maadah Layang, Tuan Guru Haji Majid, Ustaz Jani, Ustaz Hasim Ghani, Tuan Haji Ahmad Rembang Panas, Tuan Haji Ujang dan Tuan Haji Tahir.
“Pada ketika itu wujud kepemimpinan Tuanku Besar Burhanuddin yang begitu berminat khususnya dengan syarak dan akhirnya perkara ini berkembang pesat di Seri Menanti. Perbahasan berkenaan syarak juga begitu sihat dan berkembang pesat dan berjaya membentuk masyarakat yang kuat berpegang pada agama. Syarak dikiaskan seperti sebatang pokok yang berdiri teguh dan mempunyai urat tunjang, dahan, ranting, daun dan akhir sekali pucuk.
“Ini yang menjadikannya
hebat
Kehebatan ini wujud pada zaman almarhum hingga dipandang tinggi,” katanya ketika ditemui di Kuala Kelawang.Menurut Dr Mohd Rosli, perkataan Sembilan mempunyai maksud dan ertinya tersendiri.
“Bagi almarhum, sembilan itu membawa maksud sembilan wali, sembilan pancaindera, sembilan kedudukan, sembilan kawasan, sembilan keturunan dan sembilan raja. Paling khusus lagi pada ketika itu amalan Adat Perpatih yang bertunjangkan syarak begitu teguh. Adat dan syarak saling kukuh memperkukuhkan antara satu sama lain,” katanya.
Menurut Dr Mohd Rosli, kehebatan almarhum ketika itu khususnya di bidang agama mendorong Majlis Raja-Raja Melayu bermuafakat melantiknya sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2016 @ 5:17 am