Pict: Islam Indonesia |
Sebuah tulisan yang sangat memuja Cina dan merendahkan Bangsa Melayu. Si penulis yang bernama Melayu agaknya tidak memiliki rasa rendah diri sebagai seorang Melayu. Kemungkinan terjangkit penyakit xenocentrism yang jamak dialami oleh kebanyakan anak Melayu yang terpukau dengan megahnya kemajuan yang dicapai bangsa asing dan secara mental telah tertaklukan. Kami berharap sidang pembaca dapat dengan bijak menyikapi tulisan ini.
FB Megat Hisemudin Megat Kasim | Utusan Sultan Melaka yang terakhir, Sultan Mahmud Shah ke China dibunuh dalam satu komplot oleh orang-orang dalaman sendiri yang bersama belayar ke China. Kebiasaannya adat diplomasi antara China dan negara-negara yang bernaung di bawah China ialah setiap beberapa tahun sekali akan menghantar rombongan utusan dengan membawa hadiah kepada China. Ia sebagai lambang persahabatan antara China dengan negara-negara tersebut. Namun terdapat juga utusan yang dihantar ke China untuk tujuan tertentu.
Sumber ini terdapat dalam 明實錄 Mingshilu atau Catatat Sebenar Ming yang dicatat mengikut kronologi semasa Dinasti Ming. Ia juga dirangkumkan dalam 明史 Mingshi atau Sejarah Ming yang disusun semasa 清朝 Dinasti Qing.
正德三年 (1508 - 1509),使臣端亞智等入貢。Tahun ke 3 pemerintahan Maharaja Zhende iaitu di tahun 1508 - 1509, utusan dari Melaka 端亞智 Tuan Ah Zhi, mungkin sekali diterjemahkan sebagai Tuan Haji dan rombongan telah datang menghadap ke istana.
其通事亞劉,本江西萬安人蕭明舉,負罪逃入其國,賂大通事王永、序班張字,謀往浡泥索寶。而禮部吏侯永等亦受賂,偽為符印,擾郵傳。
Penterjemah bahasa dalam rombongan ini bernama 蕭明舉 Xiao ming-ju yang juga digelar Ah Liew berasal dari daerah Wan An dalam Wilayah Jiangxi. Beliau adalah bekas seorang pesalah jenayah yang telah menyusup ke Melaka. Setelah sampai di China, Ah Liew telah merasuah jurubahasa utama bernama 王永 Wang Yong, penyusun jadual kerja bernama 張字 Chang zi dengan tujuan untuk ke Poni (Brunei) bagi melakukan penipuan untuk mendapatkan barangan berharga. Ketua protokol 候永 Hou yong dan yang lain-lain juga dirasuah untuk memalsukan cop mohor bagi tujuan mangaburi persuratan (yang mungkin mengatakan mereka wakil dari China).
使團返回時,貢使火者亞劉等以船為颶風所壞,請令廣東布政司代造。禮部下令查核,如需重造,俾自修理,自備材料,廣東政府可適度給予力役支助。
Ketika rombongan utusan kembali ke Guangdong dari ibu kota di Beijing, Ah Liew dan yang lain-lainya mengatakan kapal telah rosak disebabkan ribut taufan dan meminta untuk diperbaiki semula di Guandong. Bahagian protokol mengarahkan untuk diperiksa dan jika perlu diperbaiki semula dengan kos membaiki kerosakan dan bahan-bahan harus disediakan sendiri. Kerajaan Guangdong hanya akan membantu pada kadar yang bersesuaian.
Sebenarnya Ah Liew sebelum itu telahpun merasuah bahagian protokol maka sebab itulah bahagian protokol membuat pemeriksaan kapal dan menyatakan kapal harus diperbaiki.
Untuk rujukan, kapal asing akan berlabuh di Wilayah Guangdong di selatan China dan kemudiannya menggunakan kenderaan darat untuk ke ibu kota di Beijing yang memakan masa berbulan-bulan lamanya.
還至廣東,明舉與端亞智輩爭言,遂與同事彭萬春等劫殺之,盡取其財物。
Sebaik sampai ke Guangdong berlaku pertengkaran antara Xiao Ming-ju (Ah Liew) dengan Tuan Haji. Berserta dengan rakan sekapal, Pang Wan-chun dan lain-lainnya lalu mereka membunuh Tuan Haji. Habis semua barangannya diambil.
事覺,逮入京。明舉凌遲,萬春等斬,王永減死罰米三百石,與張字、侯永並戍邊,尚書白鉞以下皆議罰。劉瑾因此罪江西人,減其解額五十名,仕者不得任京職。
Setelah diketahui hal ini lalu ditangkap mereka yang terlibat untuk dibawa ke ibu kota. Xiao ming-ju dijatuhi hukuman 凌遲 lingchi iaitu hukuman yang paling kejam ketika itu yang selalunya diikat pada sebatang tiang dan ditusukkan dengan banyak senjata tajam dan dihiris hidup-hidup.
Pang Wan-chun dan yang lain-lainya dipancung kepala. Wang Yong dikurangkan hukuman mati kepada didenda dengan beras 300 石 shi iaitu sejenis unit ukuran isipadu ketika itu.
Zhang zi dan Hou yong dibuang daerah untuk menjaga sempadan negeri. Bai yue dan yang bawahan juga dikenakan tindakan.
Disebabkan Xiao ming-ju berasal dari Wilayah Jiangxi yang telah membuat kesalahan besar maka Liu Jun, seorang pegawai tinggi Ming telah mendenda dengan mengurangkan penggajian 50 orang pegawai dari Wilayah Jiangxi dan mereka tidak dibenarkan untuk berkhidmat di ibu kota.
Begitulah hukuman yang dijatuhi oleh kerajaan Ming terhadap mereka yang berkomplot membunuh utusan Sultan Melaka. Bukan sahaja mereka yang terlibat dihukum malah satu wilayah juga menerima padah.
Tarikh 1508 - 1509 ialah ketika armada Portugis pimpinan Diogo Lopes de Sequiere sampai ke Melaka untuk memulakan dagangan dengan Melaka.
Tidak ada catatan Ming yang menyebut adanya perhubungan utusan Melaka ke China selepas itu sehinggalah Melaka ditawan Portugis pada tahun 1511. China hanya mengetahui penawanan Melaka beberapa bulan kemudiannya melalui perantaraan para pedagang.
Nota:
Sebenarnya tulisan asal ini telah disiarkan pada Mei 2022 yang lalu. Bagaimanapun ia telah dikemaskinikan untuk dimasukkan ke dalam buku kompilasi sejarah Asia Tenggara yang bakal diterbitkan nanti. Dijangka ia mengandungi sekitar 35 buah artikel yang pernah disiarkan dalam Facebook sejak beberapa tahun ini yang hampir kebanyakkan dirujuk dari sumber China.