Pict: ganaislamika |
FB Mohammad Azmi Mat Rashid | Nakhoda Kassim merupakan seorang tokoh dan pembesar yang secara tidak langsung terlibat dalam pembentukan Kesultanan Melayu Perak pada tahun 1528.
Tentang siapakah sebenarnya Nakhoda Kassim menjadi tanda tanya bagi setiap para pengkaji sejarah. Ada versi mengatakan bahawa Nakhoda Kassim merupakan putera Sultan Mansur Shah Melaka hasil perkahwinan baginda dengan seorang wanita dari Beruas yang ketika itu menjadi tawanan setelah baginda berjaya menakluki Beruas antara tahun 1459-1477. Ada juga versi yang mengatakan bahawa Nakhoda Kassim merupakan seorang lelaki dari bangsa Temusai yang telah dipelihara sejak kecil oleh Ketua Penghulu (HALUAN) yang bernama Tok Mahsuka.
Tok Mahsuka merupakan seorang Ketua Penghulu (Ketua Penguasa Tempatan / HALUAN) yang berasal dari Daik dan tinggal di Seberang Tanah Abang dan jajahannya merangkumi kiri kanan Sungai Perak dari Beting Beras Basah (Teluk Hentian) hingga Hulu Perak. Tok Mahsuka sendiri memerintah dari Selingsing hingga membawa ke Daerah Larut dan Gantang.
Selain Tok Mahsuka terdapat tujuh orang lagi pembesar yang mentadbir dibawah jajahan HALUAN iaitu:
1) Tun Pasir Panjang itu Raja Kota Manjung yang berkuasa memerintah termasuk Pasir Panjang didalam Daerah Manjung (Dinding) Perak hingga ke Hilir Perak
2) Tok Temong yang memerintah dari Temeng (nama asal), Daerah Pachat hingga ke Hulu Perak (utara).
3) Tun Saban yang memerintah dari Hulu Perak, Daerah Kelus Relap Reli didalam mukim Belum membawa ke Janing.
4) Maharaja Genta (Nama Asal) yang memerintah dari Kinta yang membawa sehingga ke Gunung Banjaran Titiwangsa.
5) Tun Aria Bija Diraja, Raja Kota Beruas yang memerintah hingga ke simpang tiga parit itu pula asal usulnya disebut Gangga Sanagara (Gangga Negara), sebuah Kerajaan Melayu di Kota Kulit Kerang pusat perintahanya
6) Tok Karai yang memerintah Daerah Karai (terletak di Mukim Kota Lama Kanan, wilayah Kuala Kangsar).
7) Maharaja Lambor yang memerintah Daerah Lambor.
Sejak kecil Nakhoda Kassim telah dididik dengan bermacam-macam ilmu pengetahuan antaranya beliau fasih bercakap dalam berbagai bahasa seperti bahasa Arab, China, Tamil (Keling), Acheh, Batak, Sakai dan sebagainya. Sejak remaja lagi, Nakhoda Kassim dikatakan sering berulang-alik ke Melaka dan Pulau Besar kerana mendalami ilmu agama dalam pengajian Tarikat bersama gurunya Sheikh Ismail atau lebih dikenali sebagai Sultan'ul Ariffin. Setelah meningkat dewasa, Nakhoda Kassim telah dijodohkan oleh Tok Mahsuka dengan puterinya yang bernama Puteri Darah Putih, namun perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat.
Di waktu Melaka di serang Portugis pada tahun 1511, Nakhoda Kasim pernah terlibat secara tidak langsung dalam peperangan itu dan memimpin hulubalang daripada jajahan mertuanya bersama hulubalang dari Kerajaan Beruas membantu Melaka. Dalam pertempuran itu, ramai perajurit dan pahlawan Melayu yang terkorban.
Selain pertempuran di Melaka, Pulau Besar yang menjadi pusat keagamaan juga turut di serang oleh tentera Portugis. Dalam serangan itu, ramai ulamak dan para pengikut Sheikh Ismail (Sultan'ul Ariffin) yang terkorban syahid termasuk putera puterinya. Bersama saki baki hulubalang yang cedera dan masih hidup dibawa pulang ke tempat masing-masing. Pada masa yang sama, Nakhoda Kassim telah di amanahkan untuk menyelamatkan dan membawa pulang puteri bongsu Sheikh Ismail (Sultan'ul Ariffin) ke Beruas. Sheikh Ismail (Sultan'ul Ariffin) tahu Melaka akan tewas dan Pulau Besar bukan lagi kawasan yang selamat.
Ketika kembali ke Beruas, Nahkoda Kassim telah mengambil Sheikh Abdul Rahman anak kepada adik iparnya yang menjadi yatim piatu korban tahun 1511 sebagai anak angkat. Kemudian beliau juga telah mengambil Siti Zulaikha (Tok Temong) sebagai anak angkat. Keduanya dibawa balik ke Kota Setia dan dipelihara bersama isterinya.
Pada tahun 1525, Tok Mahsuka jatuh sakit dan jawatan ‘HALUAN’ disandang sementara oleh isteri Nakhoda Kassim. Tok Mahsuka juga berpesan : "Wahai para pembesar yang ada, sekiranya sudah sampai ajalku, carilah gantinya seorang raja yang berasal daripada anak cucu Sang Sapurba; supaya zuriat raja-raja yang turun dari Bukit Saguntang itu tidak terputus dari Tanah Melayu ini. Setelah Tok Mahsuka meninggal dunia, jawatan ‘HALUAN' diserahkan kepada Siti Zulaikha (Tok Temong) yang di anggap sebagai anaknya sendiri. Di baiatkan di hadapan pembesar-pembesar daerah untuk ditaati. Maka bermulalah Siti Zulaika sebagai ‘HALUAN'.
Pada tahun 1526, Sheikh Abd Manaf dan Sheikh Ali dari Pulau Besar datang ke Beruas mencari Siti Zulaikha (Tok Temong) dan Nakhoda Kassim. Kedatangan Sheikh Abd Manaf dan Sheikh Ali ke Beruas untuk menyampai pesanan Sheikh Ismail (Sultan'ul Ariffin) ingin melihat Melaka menjadi pusat Syiar Islam. Sebagai 'HALUAN', gundahlah hati Siti Zulaikha (Tok Temong) lalu memanggil sekalian pembesar dan menyampaikan hajatnya menyerahkan di antara daerahnya kepada waris Sultan Melaka untuk dijadikan asas Kerajaan Melaka baru. Pada masa yang sama, kedua-dua orang ulamak itu menyarankan agar gelaran 'HALUAN' digantikan dengan nama gelaran 'SULTAN'.
Maka bermuafakatlah Siti Zulaikha (Tok Temong) dengan Tun Aria Bija Diraja, penguasa Beruas bersama penguasa daerah lainnya berhajatkan Melaka baru diwujudkan semula selepas kejatuhannya pada tahun 1511. Dalam persidangan tersebut, pada mulanya Tun Aria Bija Diraja dari Kerajaan Beruas enggan berajakan kembali waris Melaka setelah bebas daripada naungan Melaka. Kejatuhan Kesultanan Melaka umpama kemerdekaan buat Kerajaan Beruas yang pernah ditawan oleh Sultan Mansur Syah pada suatu ketika dahulu. Akhirnya Tun Aria Bija Diraja terpaksa akur demi pengorbanan untuk Syiar Islam.
Pada tahun 1527, rombongan mencari anak Raja Melaka pun bermula dan telah di ketuai oleh Nakhoda Kassim dan Tun Saban. Mereka pun berlayar menyelusuri Selat Melaka ketika musim monsun barat daya. Beberapa hari kemudian, mereka singgah di Jeram (kini dalam jajahan Daerah Kuala Selangor) dan bertemu dengan seorang pembesar Melaka yang bernama Dato' Seri Agar Diraja Tun Mahmud yang ketika itu mentadbir Jeram. Dalam pertemuan itu, Nakhoda Kassim dan Tun Saban pun menyampaikan hasrat dan tujuan mereka.
Sebagai Pembesar Jajahan bagi pihak Melaka, Dato' Seri Agar Diraja Tun Mahmud pun bersetuju untuk membawa Nakhoda Kassim dan Tun Saban mengadap Sultan Mahmud Shah yang bersemayam di Kampar. Dalam perjumpaan tersebut, Sultan Mahmud Shah menyarankan agar Raja Muzaffar ditabalkan menjadi sultan di Perak.
Selepas menerima titah perintah daripada ayahandanya, Sultan Mahmud Shah, Raja Muzaffar pun bersiap sedia untuk berangkat meninggalkan Kampar. Sementara itu, Tun Saban pun kembali dahulu ke Hulu Perak menyediakan 77 ekor gajah yang sarat dengan muatan pelbagai persembahan daripada para penduduk Hulu Perak lalu pergi menunggu Raja Muzaffar di Kuala Perak.
Pada hari yang telah ditetapkan, pada tahun 1527 itu juga, Raja Muzaffar, Nakhoda Kassim, Dato' Seri Agar Diraja Tun Mahmud bersama beberapa orang panglima Kampar dan ahli keluarga baginda bergerak menuju ke Perak. Dalam perjalanan, Raja Muzaffar dan rombongannya singgah dahulu di Siak dan dari Siak, Raja Muzaffar dan rombongannya singgah di Klang.
Ketika berada di Klang, Raja Muzaffar berkenalan dengan seorang saudagar dari Manjung yang bernama Nakhoda Tumi. Dari cerita yang disampaikam oleh Nakhoda Tumi, Raja Muzaffar dapat mengetahui serba sedikit tentang keadaan kawasan yang hendak dituju. Setelah beberapa hari tinggal di Klang dan menziarahi ahli keluarganya, Raja Muzaffar meneruskan perjalanan mengikut panduan Nakhoda Tumi.
Ketika berehat di kediaman Dato' Seri Agar Diraja Tun Mahmud di Jeram, Dato' Seri Agar Diraja menyatakan bahawa beliau tidak dapat mengikuti rombongan Raja Muzaffar kerana terpaksa menyelesaikan beberapa urusan yang tergendala. Raja Muzaffar dan rombangannya meneruskan perjalanan ke Perak. Apabila Raja Muzaffar dan rombongannya sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama 'Beting Beras Basah', tiba-tiba kapal Raja Muzaafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat di bergerak.
Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Berbagai ikhtiar telah dibuat namun kapal baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah Raja Muzaffar berseru dengan melafazkan kata-kata:-
Selilit Tanah Minangkabau,
Selengkung Pulau Perca,
Dilengkung ular Saktimuna,
Sebenarnya Aku keturunan Raja,
Jauhkan segala malapetaka
Sebaik sahaja Raja Muzaffar habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul makhluk Jin yang sangat besar sehingga mencecah awan yang tinggi. Semua orang yang berada di dalam kapal merasa terkejut dan ada juga yang ketakutan. Jin tersebut pun berkata kepada Raja Muzaffar : "Sekiranya tuanku hendak bersemayam dan memerintah di negeri ini, hendaklah tuanku buangkan mahkota tuanku ke dalam laut".
Maka Raja Muzzaffar pun mengambil mahkota yang dipakainya lalu dibuangkan ke dalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora tadi menjadi tenang dan beting yang timbul hilang terus dari pandangan. Setelah itu barulah kapal yang dinaiki oleh Raja Muzaffar boleh belayar semula mudik ke hulu Sungai Perak dari Beting Beras Basah untuk mencari tempat yang sesuai untuk persemayaman baginda. Ketika menyelusuri Sungai Perak, Raja Muzaffar telah mengenal pasti satu tempat yang didiami oleh beberapa keluarga yang sedang memainkan sejenis permainan.
Raja Muzaffat pun singgah dan naik ke daratan lalu menemui keluarga tersebut sambil menyatakan hasratnya. Kemudian, Raja Muzaffar telah memeritahkan agar didirikan sebuah masjid untuk kegunaan masyarakat di kampung itu dan menamakan tempat baginda mendirikan masjid tersebut dengan nama "Kampung Tua".
Setelah beberapa lama Raja Muzaffar menetap di Kampung Tua, berlaku satu wabak penyakit cirit birit yang telah menyebabkan guru agama baginda yang bermama Sheikh 'ul Islam dan Imam Paduka Tuan meninggal dunia dan jenazah mereka dikebumikan di Kampung Tua. Turut menjadi korban penyakit cirit-birit itu beberapa pengikut Raja Muzaffar. Ada yang kata Nakhoda Kassim juga meningga dunia akibat penyakit tersebut.
Setelah kejadian tersebut, Raja Muzaffar berpendapat bahawa Kampung Tua tidak sesuai untuk dijadikan pusat pemerintahan lalu baginda pun memerintah agar masjid yang dibina sebelum ini diruntuhkan dan dibawa mudik ke hulu sungai dan terus bersemayam di Air Mati. Disana lah Raja Muzaffar di tabalkan menjadi sultan oada tahun 1528 dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang di Telok Bakong.
Pada hari pertabalan Raja Muzaffar sebagai sultan bergelar Sultan Muzaffar Shah, dihadapan para pembesar yang ada, berkatalah Siti Zulaikha (Tok Temong) :
“Kami korbankan harta kami, tanah kami, impian kami kerana pengorbanan demi Syiar Islam dan semata-mata kerana Allah SWT. Dengan wujudnya pusat pemerintahan kecil tuanku ini, mudah-mudahan akan menjadi empayar yang besar dikemudian hari kelak".
"Malah lebih besar daripada kejayaan warisan tuanku terdahulu. Kami di Kota Setia berikan hak mutlak ke atas jajahan milik Jajahan Maharaja Lambor sebelah kanan Sungai Perak iaitu Tanah Abang sebelah jajahan kanan kami. Dalam hal ini, Sungai Perak ini menjadi saksi sempadan".
"Kami juga hadiahkan 77 ekor gajah simbol kekuasaan dan kegagahan serta sebentuk Mustika Embun kiasan kepada bulat hati dan telus hati sejernih mustika embun apabila memerintah...".
Sebagai membalas persembahan Siti Zulaikha(Tok Temong), Sultan Muzaffar Shah telah mengurniakan sebuah ‘Puan Bujur’ iaitu bekas tepak sireh kepada Siti Zulaikah (Tok Temong) tetapi telah dikembalikan oleh Siti Zulaikha (Tok Temong) kerana ia tidak mengharap sebarang imbalan. Siti Zulaikha (Tok Temong) hanya berkehendakkan Satu Ikrar Sumpah Janji daripada Sultan Muzaffar. Siti Zulaikha (Tok Temong) pun berkata:
“Tuanku serta anak cucu tuanku hendaklah memerintah di sebelah kanan mudik Sungai Perak dan kita serta anak cucu kita memerintah di sebelah kiri mudik Sungai Perak”.
Setelah mendengar permintaan Siti Zulaikha (Tok Temong), Sultan Muzaffar Shah pun menerimanya lalu keduanya membuat ikrar kerana tidak mahu merasa bersalah di kemudian hari kelak, demi menjaga hati ahli keluarga warisan ‘HALUAN' yang menyerahkan kawasan mereka.
Sejak dari itu, Sultan Muzaffar Shah memerintah negeri Perak dengan penuh bijaksana dan saksama.