Ilustrasi gambar: banua |
FB Mahamada al Mahadaya - Dan mereka bertanya kepadamu mengenai Dzawa Al Qaranayana (Dzulkarnain). Katakanlah "Aku akan bacakan kepada kamu sedikit tentang perihalnya". Sesungguhnya kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang di perlukannya." (Al Kahfi 83-84)
Kata Shahibul Hikayat, maka keesokkan harinya berbunyilah nafiri alamat akan raja berangkat, maka berangkatlah Sultan Iskandar dengan mereka itu mengikut jalan ke negeri Rumiah Al Kabiri, maka terdengar khabar pada segala isi negeri itu bahawa Sultan Iskandar hendak menyuruhkan segala hamba Allah Taa’ala kepada agama Islam dan meruntuhkan segala berhala dan merobohkan segala rumah api. Sebermula hakim Arasatathelas pun berkirim surat ke negeri Rumiah Al Kabiri, Belinas Hakim demikian bunyinya “Adapun Sultan Iskandar berangkat ini hendak menjalani bumi Allah Taa’ala dan menyuruhkan segala manusia membawa agama Islam dan menyuruh berbuat ibadat pada Allah Taa’ala dan membinasakan segala berhala.
Bahawasanya ia datang ke negeri hamba hendak di bawanya hamba sertanya, kerana akan hamba telah tualah tiada dapat hamba berlelah, maka tiadalah hamba pergi sertanya. Bahawa di ketahui oleh saudara hamba akan raja itu, katanya hendak mengunjung saudara hamba maka hendaklah saudara hamba berjalan dengan dia kerana pekerjaan Sultan Iskandar itu berbuat ibadat kepada Allah Taa’ala, bahawa pekerjaan yang mulia kepada Allah Taa’ala. Maka barangkali kabul saudara hamba dengan segala murid pergi bersama dengan baginda itu nescaya adalah kamu peroleh lazat dunia dan pahala akhirat”.
Setelah sampailah surat kepada Belinas Hakim maka di himpunkannya segala muridnya dua puluh orang yang tertahu daripada yang lain maka di dalam antara lima orang pula yang terlebih hakim hamper sama dengan gurunya. Maka katanya “Inilah surat daripada saudara hamba Arasatathelas Hakim kepada aku maka akan sekarang ini apa bicara kamu” maka sahut murid itu “Adapun akan bicara ini kepada tuan hamba juga, bahawa kami sekelian ini ikut”. Maka kata Belinas Hakim “Hai sekelian jemaahku, bahawa raja yang maha besar Sultan Iskandar ialah datang kepada kita dan apa jua hadiah kamu daripada benda yang gharib-gharib”.
Maka berhadap Belinas Hakim kepada seorang muridnya yang tertahu ujarnya “Hai anakku, apa ada layak akan persembahanmu pada Sultan Iskandar”
Maka sahutnya “Ada bagi hamba, hanyalah sudah hamba perlelahkan sebuah manikam hamba perbuat daripada bagian bagian hamba campurkan sekeliannya dengan hamba kerjakan ketika tertentu, maka di tuliskan di dalamnya raqam. Barang siapa memakai dia pada lengannya atau pada pinggang nescaya tiada sampai padanya penyakit demam atau barang sebagainya”.
Maka berhadap pula Belinas Hakim pada murid yang kedua maka ujarnya “Hai anakku apa pula persembahanmu”
Maka sahutnya “Adapun akan hamba berlelahkan berlamanya berbuat dia daripada berapa bagai ubat hamba jadikan seperti sebuah manik. Barang siapa memakai dia pada lengannya atau pada pinggang nescaya tiada dapat hampir daripadanya segala binatang melata yang bisa-bisa [berbisa] sekiranya empat puluh hasta kelilingnya”.
Maka kata Belinas Hakim pada muridnya yang ketiga ujarnya “Hai anakku apa yang layak akan persembahanmu”
Maka ujarnya “Ada suatu perbuatan dari pada jenis segala batu hamba jadikan sekepal. Maka barang siapa ada di sengat binatang bisa-bisa [berisa] maka di asah pada batu maka keluar daripadanya suatu air susu, maka di asah beri minum pada orang yang kena bisa itu dengan sesaat itu juga hilanglah bisanya daripada segala liang romanya”.
Maka kata Belinas Hakim akan murid yang keempat “Apa juga persembahanmu pada raja”
Maka katanya “Berapa ada bagai jenis batu hamba campurkan maka hamba hancur jadikan permata cincin apabila malam bercahaya-cahaya ia seperti pelita”.
Maka kata Belinas Hakim pada murid yang kelima “Akan engkau apa pula persembahanmu”
Maka sahutnya “Ada hamba perbuat daripada jenis berapa batu, kira-kira ilmu pelaka muafakat dengan ketiganya, maka barang siapa akan bercelakkan dia empat puluh hari, nescaya bertemulah pandangannya maka di lihat bintang pada siang harinya”.
Setelah genaplah muridnya yang kelima itu di tanyainya, maka Belinas Hakim pun berkata pun berkata “Hai kamu sekelian anakku terlalu sekali suka hatiku ada benda yang gharib akan persembahanmu. Baik kamu bawa aku lihat supaya tetap hatiku bercetera akan orang” maka masing-masing tunjukkan perbuatannya itu kepada gurunya.
Maka kata segala muridnya “Hai guru kami akan tuan hamba apalah ada kerana guru kami ternama tuan dahulu kemudian maka kami” maka sahut Belinas Hakim “Lagi akan kamu lihat persembahanku kepada Sultan Iskandar”.
Sebermula akan Sultan Iskandar pun hamper ke negeri Rumiah Al Kabiri, maka di dengar oleh Belinas Hakim berbuat suatu kubah akan masjidnya dan di perbuatnya atas kemuncaknya kubah itu seekor burung bernama Percita bertangkar di atas kemuncak kubah itu. Pada tiap-tiap musim berbuah zaitun, maka berhimpunlah segala burung Percita daripada segala negeri di bawanya oleh burung itu pada seekor tiga buah zaitun sebiji pada mulutnya dan dua biji pada dua belah kakinya. Maka lalu di terbangkannya ke atas Percita yang di perbuat itu hingga seperti hujan yang lebat bertaburan maka datanglah orang mengambil buah zaitun itu, setengah di perbuat minyak pelita masjid itu setengah di jualnya akan makanan orang menunggu kubah itu. Telah mahsyurlah khabar itu pada segala negeri hingga datang kepada zaman nabi Allaha Isa Alaihi Salam.
Setelah hampirlah Sultan Iskandar, maka Belinas Hakim pun keluar mengalu-alukan Sultan Iskandar dengan empat puluh orang daripada muridnya. Setelah berpandanglah Sultan Iskandar dengan Belinas Hakim itu, maka ia hendak turun dari atas kudanya, maka datanglah orang daripada Sultan Iskandar menahankan Belinas Hakim itu, jangan turun dari atas kudanya. Maka sekelian muridnya habis turun maka ia seorang jua di atas kudanya serta bertemu dengan Sultan Iskandar, maka di ciumnya tangan Sultan Iskandar, maka Sultan Iskandar pun segera mengucupi tangan Belinas Hakim. Maka berjalanlah bersama-sama hingga sampai kepada suatu tempat perhentian maka turunlah keduanya berpegang tangan dengan Sultan Iskandar, maka di kucupinya tangan Sultan Iskandar serta sembahnya “Ya tuanku syah alam hamba mohon pergi bertemu dengan Nabi Khidir Alaihi Salam” maka sabda raja Iskandar “Baiklah”.
Maka di suruhkan baginda seorang biduanda sertanya akan menunjukkan Nabi Khidir dan seorang di suruh pergi memberi tahu Nabi Allah. Setelah di dengar Nabi Khidir, Belinas Hakim datang maka ia pun keluar daripada khemahnya berdiri mengalu-alu akan dia. Telah bertemu lalu berjawat tangan keduanya, maka di kucupinya tangan Nabi Khidir, maka keduanya berjalan pergi khemah Sultan Iskandar, maka di dudukkan [oleh] Sultan Iskandar Nabi Khidir di kanannya, dan Belinas Hakim di kirinya. Maka tatkala itu muridnya datang kelimanya membawa persembahan yang tersebut itu dahulu itu, maka berdirilah kelima mereka itu di hadapan Sultan Iskandar.
Maka kata seorang daripada mereka itu “Ya tuanku syah alam bahawasanya Allah Taa’ala mengasihi suatu kaum, di jadikan mereka itu yang berbagai-bagai feelnya [fi'il] maka adalah kami pandang pada Sultan sifat itu dengan sempurnanya, di jadikan Allah kerajaan yang amat besar akan Sultan. Bahawa kami lima orang daripada murid guru kami Hakim adalah persembahan kami sekeliannya dengan baginda dari pada pihak, kerana syah alam Sultan berilmu. Maka kami pun adalah barang kadarnya daripada ilmu, bahawa ada persembahan kami akan syah alam, kami bawa dan kami sahaja bagi Sultan”.
Maka sabda Sultan Iskandar “Apa kamu bawa akan kita, jikalau kiranya bunga setangkai pun daripada kamu sahaja kami sukakan”.
Maka masing-masingnya mereka itu mengeluarkan persembahan, dengan di katakannya khasiatnya maka terlalulah sukacitanya Sultan Iskandar akan persembahan mereka itu. Kemudian dari itu maka berdatang sembah Belinas Hakim ujarnya “Ya syah alam, adapun akan murid di perhamba lima orang ini adalah persembahan ke bawah duli syah alam. Adapun akan di perhamba sendiri ke bawah duli syah alam di perhamba oleh Sultan akan di perhamba selama-lama, lagi ada umur hamba ini tiadalah bercerai daripada tapak cerapak duli Sultan barang pekerjaan yang layak hamba menunjukkan dia hingga badan dan nyawa hamba mengerjakan dia”.
Setelah Sultan Iskandar mendengar sembah Belinas Hakim demikian itu, maka sabda Sultan Iskandar “Hai Hakim, samalah dengan oleh kerajaan dunia ini yakinlah hamba akan hamba peroleh seperti segala kisah hamba”. Maka sabda Sultan Iskandar “Hai hendak melihat burung Percita yang di perbuat oleh tuan hamba itu, kerana hamba singgah itupun sebab hamba hendak melihat dia. Jikalau tiada sebab itu nescaya hamba balik hamba pada jalan negeri yang lain, inilah hamba maksudkan itu mana kala waktu Percita itu datang”.
Maka sembah Belinas Hakim “Pada bulan inilah ketikanya dua puluh hari lagi” maka sabda Sultan Iskandar “Jikalau lima bulan lagi pun hamba nanti juga kerana hamba hendak melihatkan dia pekerjaan yang ajaib-ajaib itu”.
Maka berangkatlah Sultan Iskandar masuk ke negeri Rumiah Al Kabiri, maka datanglah segala isi negeri itu membawa persembahannya dan perjamuannya akan Sultan Iskandar, hingga tiga hari maka berangkatlah Sultan Iskandar pergi melihat perbuatan Percita itu. Setelah kembali Sultan Iskandar, maka ia pun memberi nagarah akan Belinas Hakim dengan lima orang muridnya itu lima laksa dinar pada seorang-seorang, dan di bawah khemah itu dengan hamparannya dan mutiara dan segala alat bekalan dan segala pegawainya dan lima puluh baghal akan membawa zadahnya dan dua puluh ekor kuda dan sepuluh ekor unta tiga puluh orang sahaya. Maka di suruh Sultan Iskandar dirikan khemahnya di sisinya dan segala muridnya yang lima orang itupun bersama dengan raja Iskandar maka berhentilah raja Iskandar musim Percita akan datang.
Maka Nabi Khidir pun berkirim surat pada segala negeri raja-raja Rum, dan pada segala panglima yang memegang negeri mengatakan “Bahawa Sultan Iskandar hendak menjalani negeri raja-raja akan mendirikan agama yang di suruhkan Allah Taa’ala dan membinasakan segala yang sia-sia. Maka barang siapa kamu mahu mengiringkan raja, hendak kamu berhimpun ke negeri Rumiah Al Kabiri dan barang siapa daripada kamu tiada mahu pergi, hendaklah mengantar senjata dan belanja dan kuda dan segala kenderaan membawa zadah kami”. Setelah sampailah surat itu pada segala raja-raja maka sekeliannya datang daripada segala pihak berhimpun pada Sultan Iskandar. Setengah hendak mengiring Sultan Iskandar, dan setengah daripada hendak melihat kebesaran kerajaannya maka sekelian mereka itu pun berkampunglah pada Sultan Iskandar.
Hataya maka datanglah Belinas Hakim bahawa mengatakan esok hari datanglah ketika Percita itu, maka pada keesokkan harinya, maka berbangkitlah kepada kubah itu, maka di lihatnya oleh Sultan Iskandar berkawan-kawan datang Percita itu, kelam kabut seperti awan lakunya dari jauh. Hataya maka sampailah pada Percita perbuatan itu, maka sekeliannya menggugurkan tiga biji daripada buah zaitun itu hingga gugurlah seperti hujan yang lebat lakunya, hingga tiga hari Sultan Iskandar melihat dia maka Sultan Iskandar pun berangkat dari sana mengikut jalan ke Negeri Andalas dan segala laskarnya pun makin bertambah-tambah juga maka Nabi Khidir serta mengiring baginda.
Pertama-tama keluar baginda dari negeri Maqaduniah sepuluh laksa hulubalang dan seribu yang di pilih baginda, maka berangkatlah Sultan Iskandar dari negeri Rumiah Al Kabiri. Maka adalah hisab segala yang mengiringkan baginda itu kira-kira lima puluh laksa, lain daripada orang pekan pasar dan membawa zadah itu dan orang gembala kenderaan dan sahaya orang. Maka Nabi Khidir pun memberi tahu akan hisab segala laskar itu maka sukacitalah hati Sultan Iskandar mendengar dia.
Sumber: Kitab Iskandar Dzulkarnain
Manuskrip Universiti Malaya