Ilustrasi Gambar: dunia santri |
*59
FB Mahamada al Mahadaya - Maka berjalanlah baginda sekira-kira dua puluh (20) hari lamanya, berjalan kepada padang yang maha luas itu, rumputnya pun banyak pada padang itu. Maka datanglah kepada dua puluh (20) hari, lalu bertemulah segala tentera itu dengan bumi yang amat jahat, di padang itu tiada ada barang sepohon kayu dan tiada ada rumput, di padang itu sekira-kira empat puluh (40) hari jauhnya. Maka datanglah kepada empat puluh hari (40) maka segala tentera itu bertemulah dengan bumi yang hijau warnanya dan banyak air di dalamnya dan banyak rumput dan kayu kayuan dan buah buahan dan baunya seperti cendana.
Maka Sultan Iskandar pun berjalanlah sekeliannya pada bumi itu sepuluh (10) hari lamanya, maka pada hari yang kesebelas, maka dilihat oleh mereka itu suatu bukit terlalu amat tinggi di saput awan. Tatkala di lihat Nabi Allah bukit itu, maka sekeliannya berkhemah lalu berhentilah Sultan Iskandar di sana. Maka di lihat baginda akan peri tinggi bukit itu, maka sabda baginda “Amat ajaiblah hamba melihat kelakuan bukit itu” lalu dikertakkan kudanya serta segala raja-raja pergi kepada Nabi Allah. Setelah bertemu keduanya, maka keduanya berjawat tangan lalu ditanya baginda pada Nabi Khidir “Ya nabi, apa namanya bukit ini”.
Maka sahut Nabi Allah “Bukit inilah banyak rahmat di dalamnya dan ada suatu yang amat indah-indah di dalamnya. Di ketahui syah alam, jika datang kafilah pada bukit ini jikalau tiada turun hujan maka di ambilnya batu yang kecil-kecil dengan sempurna yakin hatinya di hantarkannya batu itu serta ia minta doa kepada Allah Taa’ala nescaya pada ketika itu jua turun hujan”. Kata Shahibul Hikayat, setelah didengar oleh Sultan Iskandar kata Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam demikian itu maka amatlah hairan hati baginda akan kudrat Allah Taa’ala, maka sabda baginda “Ya nabi Allah, adakah negeri di hadapan kita ini”.
Maka sahut Nabi Khidir “Ada suatu jenis manusia, bangsanya Khuza dan suatu jenis di dalamnya namanya, maka adalah mereka itu menyembah matahari” lalu di suruh baginda perbuat sepucuk surat akan diberikan kepada raja itu. Maka dalam surat itu adalah tersebut seperti adat surat kepada raja-raja yang telah lalu itu demikianlah bunyinya “Kemudian daripada memuji-muji Allah Taa’ala mengucap shalawat akan Nabi Allaha Ibrahim Khalil Allah. Inilah surat daripada Sultan Iskandar datang kepada Raja Khuza, hendaklah kamu menyembah Allah Subhanahu Wata'ala.
Tuhan yang esa ialah yang menjadikan tujuh petala langit, dan bumi, dan matahari, dan bulan, dan bintang pada langitnya, dan dalam bumi segala tumbuh tumbuhan, dan kayu kayuan, dan barang yang melata dalam bumi, dan di dalam laut, daripada ikan, dan barang sebagainya. Sekiranya yang kamu sembah matahari maka matahari itu pun di jadikan Allah Taa’ala juga. Apabila sampai suratku ini hendaklah kamu taubat daripada menyembah matahari itu. Maka adalah aku ini seorang hambaNya, disuruhNya aku menjalani muka bumiNya dan aku tunjuki akan kamu pada jalan yang sebenarnya”.
Maka tatkala sudah surat itu dibungkus dan dimenteraikannya, lalu disuruhnya panggil seorang laki-laki dari pada Samar Pandi, maka di berikan oleh Sultan Iskandar surat itu dan di anugerahi persalin akan dia. Setelah itu maka sabda baginda “Pergilah engkau pada kaum Khuza itu. Sampaikan suratku ini kepada raja itu” maka laki-laki itu pun bermohon lalu berjalanlah hala menuju ke Negeri Khuza. Setelah sampai ia ke Negeri Khuza itu, maka di beri orang tahu kepada raja Khuza bahawa utusan daripada Sultan Iskandar datang pada raja lalu di suruh raja Khuza bawa utusan itu mengadap dia.
Maka oleh laki-laki itu dijunjungnya surat daripada Sultan Iskandar itu datang pada raja Khuza maka kata raja Khuza “Sambut surat itu” lalu di sambut oleh menteri, maka dibacanya di hadapan raja. Setelah di ketahui oleh raja Khuza maksud di dalam surat Sultan Iskandar itu maka di pandangnya kepada segala menteri hulubalangnya. Katanya “Adapun ketahui oleh kamu bahawa raja yang menyuruh kepada kita ini ialah Sultan Iskandar, kehendaknya datang kepada kita ini akan menyuruhkan kita sekelian menyembah tuhannya jangan kita menyembahkan matahari. Adapun kedengaran selama ia keluar dari negeri Rum itu tiada pernah ia dialahkan oleh segala raja-raja melainkan ia jua yang mengalahkan segala mereka itu, tiada pernah alah oleh mereka itu. Akan sekarang apa bicara kamu sekelian” maka sembah menterinya “Akan bicara itu apa yang jadi benar kepada syah alam jua”.
Hataya lalu di beri oleh raja Khuza akan utusan itu sebuah rumah akan tempatnya berhenti maka di suruhnya hantar makan makanan daripada istana raja jua. Maka sabda raja kepada menterinya “Apa bicara kamu sekelian akan kehendak Sultan Iskandar itu” maka sembah segala mereka itu sekelian “Yang mana sabda raja itulah kami sekelian ikut” lalu berkata seorang menterinya “Ada suatu bicara diperhamba tetapi pada tempat yang sunyi juga maka dapat hamba mahu sembahkan”. Hataya maka di bawa raja akan menteri itu kepada suatu pengadapan maka kata raja “Apa bicaramu hai menteriku”.
Maka sembah menteri itu “Barang diketahui oleh raja bahawa akan Sultan Iskandar itu tiada dapat seorang jua pun mengalahkan dia dengan sebab ada seorang menterinya. Ialah yang membinasakan segala seterunya, menghasilkan segala pekerjaan. Jikalau kiranya dapat dipinta raja akan menterinya itu, kita minta tolong kepada tuan kita matahari, maka kita bunuhlah menteri itu. Jika sudah ia mati dapatlah kita lawan Sultan Iskandar itu berperang. Jikalau ada lagi ia hidup nescaya binasalah agama kita”. Maka kata raja Khuza “Benarlah seperti katamu itu. Baik kita menyuruhkan utusan kepada raja Iskandar pergi bersama-bersama dengan utusannya itu. Perbuat olehmu surat balas suratnya itu”.
Hataya maka keluarlah menteri itu lalu diperbuatnya surat seperti kehendaknya, telah sudah di perbuat surat itu maka datanglah ia mengadap raja. Maka dibacanya di hadapan raja, maka sukacitalah hati raja, lalu di suruhnya panggil utusan Sultan Iskandar. Setelah datang utusan itu mengadap maka di persalin oleh raja akan utusan Sultan Iskandar itu dan disuruhnya seorang menterinya membawa suratnya bersama-bersama utusan itu. Maka berjalanlah keduanya berkuda hingga sampailah kepada tentera Sultan Iskandar, lalu pergilah keduanya mengadap Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam.
Serta sampai, maka keduanya itu pun memberi salam akan Nabi Allah, lalu di sahut oleh Nabi Allah salam mereka itu keduanya itu. Maka disuruhnya Nabi Allah keduanya naik kudanya, maka kata laki laki itu “Inilah utusan raja Khuza mari serta hamba membawa surat rajanya” lalu di suruh Nabi Allah segala tenteranya itu berkhemah dan di perjamukannya oleh nabi Allah Khidir keduanya makan. Setelah sudah makan maka dibawanya kedua mereka itu mengadap Sultan Iskandar. Setelah dilihat oleh utusan raja Khuza akan tahta kebesaran Sultan Iskandar itu dan banyak raja-raja mengadap dia dan beratus-ratus kerusi, dan beberapa pula kerusi yang tiada diduduki orang terhantar di dalam majlis itu. Sekeliannya daripada emas dan perak maka dahsyatlah ia gementar segala sendinya dan tercenganglah.
Setelah hampir ke hadapan Sultan Iskandar, maka disuruhnya baginda ambil surat itu daripadanya maka ia pun sujudlah kepada baginda lalu diambil Nabi Allah Khidir surat itu dibacakan. Telah itu diketahui oleh baginda bunyinya di dalam surat itu, maka sabda Sultan Iskandar kepada Nabi Allah Khidir “Apa bicara tuan hamba”.
Maka sahut Nabi Khidir “Pada bicara hamba, baik juga hamba pergi kepadanya supaya hamba jawab barang katanya”. Arakian maka Nabi Allah pun bermohonlah kepada Sultan Iskandar lalu keluar kembali kepada khemahnya maka diperjamunya akan utusan raja Khuza itu.
Setelah sudah ia makan maka katanya “Ya Nabi Allah, membawa imanlah hamba kepada tuan Sultan Iskandar itu. Maka ajarkanlah perintah agama tuan hamba, ya Nabi Allah” maka di ajarkan Nabi Allah Khidirlah akan dia kalimah shahadat. Telah sudah utusan itu membawa iman maka sukacitalah hati Nabi Allah Khidir maka di persalinnya dengan pakaian yang mulia dan diberinya sepuluh ribu dinar akan dia serta diciumnya oleh Nabi Allah antara dua matanya. Kemudian maka kata Nabi Allah “Apa kehendak rajamu memanggil kami hai saudaraku”. Maka sahut laki laki utusan itu “Adalah sedikit-sedikit hamba dengar hendak dibunuhnya akan ialah dengan bicara seorang menterinya demikian-demikian sembahnya kepada raja Khuza”.
Maka kata Nabi Allah “Tiada dapat ia membunuh akan melainkan dengan kuasa tuhanku juga yang dapat mengambil nyawaku”. Maka sahut laki laki itu “Hendaklah Nabi Allah membawa laskar serta tuan hamba supaya malu mereka itu akan Nabi Allah”.
Maka Nabi Khidir pun tersenyum seraya katanya “Tuhanku ada menolong akan daku terlebih lagi kuharapkan daripada tentera isi bumi ini”. Setelah sudah berkata-kata itu lalu di ajarkanlah Nabi Allah akan dia ilmu tauhid dan makrifat hingga datang pada waktu hulu dini hari. Maka utusan itu pun tidurlah ia dan Nabi Khidir pun sembahyang subuh. Setelah hari sianglah daripada pagi-pagi hari maka berjalanlah keduanya menuju negeri Khuza.
Maka kata raja Khuza “Sebagaimana hendak membunuh menteri Sultan Iskandar itu, hai menteriku”.
Maka sembah menteri itu “Ya syah alam, mari kita korek tanah beri dalam lalu penuh telaga itu dengan garam. Apabila sudah penuh maka kita dirikan sebuah rumah pada telaga itu. Maka tatkala sudah utusan Sultan Iskandar itu duduk pada rumah itu maka kita perbuat saluran air dari dalam bumi jatuh kepada garam itu. Tatkala dikehendaki lepaskanlah air itu nescaya hancurlah garam yang kita penuh pada lubang itu maka rumah itu pun gugurlah serta dengan utusan itu ke dalam lubang itu. Maka tiadalah dapat ia naik daripada lubang tanah itu hingga matilah ia didalam rumah itu juga”.
Setelah di dengar oleh raja Khuza kata menterinya maka benarlah kata menterinya itu. Setelah sudah mustaib rumah yang atas garam itu dan saluran air itupun sudahlah disediakannya. Maka sukacitalah raja Khuza menantikan datang Nabi Allah Khidir ke negerinya. Kata Shahibul Hikayat setelah sampailah Nabi Allah ke negerinya maka dipersembahkan orang kepada raja Khuza maka sukacitalah ia di dalam hatinya sekali ini matilah ia. Maka disuruhnya alu-alukan Nabi Allah Khidir pada menterinya dengan seratus ekor kuda maka pergilah mereka itu.
Setelah bertemu dengan Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam lalu dibawanya masuk ke dalam negeri lalu ke pengadapan raja Khuza. Maka raja Khuza pun duduk di mahligainya di adap oleh segala menteri hulubalangnya dan bala tenteranya penuh sesak. Setelah dilihatnya akan Nabi Allah Khidir datang itu maka gementarlah segala anggotanya daripada sangat hebatnya Nabi Allah itu, lalu ia turun berdiri memberi hormat lalu di pegangnya tangan Nabi Allah Khidir dibawanya duduk bersama-sama dengan dia di atas tahta kerajaannya.
Setelah itu maka kata raja Khuza “Barang diketahui tuan hamba bahawa akan kehendak hamba minta tuan hamba kemari ini barang dinyatakan oleh tuan hamba akan kebesaran agama yang di suruhkan Sultan Iskandar mengikut dia segala manusia itu. Tetapi pada hari ini tuan hamba lagi lelah bekas berjalan berhentilah dahulu. Pada hari esoklah hamba sambut tuan hamba kemari” maka kata Nabi Allah “Baiklah”. Maka di suruh menterinya bawa Nabi Allah pada rumah yang diperbuatkan akan tempatnya itu.
Hataya maka dibawa menteri itulah akan Nabi Allah Khidir kepada rumah yang diperbuat atas garam itu, maka duduklah Nabi Allah Khidir pada rumah garam itu. Di hantarinya makan makanan dan utusan yang membawa iman itu pun datanglah kepada Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam, lalu ia memberi salam akan Nabi Allah. Maka disahuti oleh Nabi Allah salamnya lalu dilihatnya Nabi Allah duduk seorangnya. Maka kata Nabi Allah “Hai saudaraku, adakah engkau ketahui bahawa rumah yang kita duduk ini didirikan oleh mereka itu atas garam. Lagi akan dilepaskan oleh mereka itu saluran air kepada garam itu akan garam ini terselamlah rumah ini ke dalam lubang tanah”.
Maka kata menteri itu “Jika demikian sebagaimana maka berani Nabi Allah duduk di rumah itu kerana sudah Nabi Allah ketahui akan kebinasaan”. Maka kata Nabi Khidir “Insya Allah, tiada mengapa bahawa Allah Taa’ala serta dengan daku” maka makanlah keduanya. Hari pun malamlah maka kata Nabi Khidir “Jika engkau takut turunlah dari rumah ini” maka sahutnya “Demi Allah, tiadalah hamba keluar daripada rumah ini. Jikalau baik dan jahat pun bersamalah hamba dengan Nabi Allah”. Setelah berkata-kata maka Nabi Allah pun sembahyanglah.
Adapun akan raja Khuza telah hari malam maka di arahkan menterinya melepaskan saluran air itu ke atas garam itu. Maka di kerjakan oranglah dan tatkala datanglah air kepada garam itu maka garam itu pun hancurlah oleh kena air itu. Dengan takdir Allah Taa’ala maka rumah itu pun tergantung mengolek-olek tiada ia jatuh ke dalam lubang itu. Maka Jibril pun datanglah kepada Nabi Khidir ujarnya “Bahawa Allah Subhanahu Wata'ala berkirim salam kepadamu, ya Nabi Allah. Bahawa adalah di tahani Allah Taa’ala rumah ini kudratnya daripada akan gugur ke dalam tanah. Firman Allah Taa’ala di serahkan bumi pada sehari ini menurut kata tuan hamba. Suruhlah menenggelamkan rumah menteri yang memberi akal muslihat kepada raja berbuat rumah atas garam itu suruhlah bumi telan akan mereka itu”.
Kata Shahibul Hikayat maka Jibril pun ghaiblah setelah itu di katakan oleh Nabi Allah Khidir kepada menteri yang membawa iman itu. Maka menteri itu pun hairanlah ia lalu ia sujud kepada Allah Taa’ala dengan tangisnya maka makin bertambah-tambahlah imannya. Setelah hari siang dilihat oleh segala mereka itu rumah tempat Nabi Allah Khidir duduk itu tergantung tiada bergerak pada hal lubang tanah itu terlalu amat dalam. Maka rumah itu mengalik-alik seperti kelakuan tergantung antara langit dan bumi maka datanglah segala manusia melihatkan akan peri yang demikian itu maka di persembahkan oranglah kepada raja Khuza.
Maka raja Khuza pun datang melihat sendirinya dengan segala menteri tua-tua akan peri rumah itu tergantung dengan tiada bertali dan tiada berjejak di bumi. Maka kata raja Khuza “Panggil oleh kamu akan menteri Sultan Iskandar itu turun dari rumah itu” maka di suruh oleh mereka itulah akan Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam. Maka Nabi Allah pun turunlah dari rumah itu sertanya hulubalang raja Khuza yang jadi utusan itu. Setelah turun dari atas rumah itu maka rumah itu pun tiba-tiba gugurlah masuk ke dalam lubang tanah itu hingga ghaiblah ia daripada mata sekelian mereka itu daripada sangat dalamnya.
Maka kata Nabi Allah Khidir “Hai raja, mana menteri raja yang mengajarkan raja muslihat berbuat rumah di atas garam ini”. Maka raja Khuza pun gementarlah segala sendi tulang mendengar sabda Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam itu daripada sangat hebatnya.
Maka kata raja Khuza “Hai menteri, inilah menteri yang mengajarkan hamba muslihat berbuat rumah itu”.
Maka kata nabi Allah “Hai bumi, telankan olehmu si celaka hamba syaitan ini ke dalam perutmu” maka menteri itu pun berteriaklah minta tolong pada tuannya api jikalau sekiranya dipinta aman kepada Nabi Allah tiadalah tenggelam ia ke dalam bumi.
Maka jadi huru haralah kaum itu maka kata Nabi Allah “Hai bumi, tenggelamkan ia” maka tenggelamlah menteri itu tiadalah lagi kelihatan. Setelah itu maka kata Nabi Allah Khidir pula “Hai bumi, tenggelamkan olehmu kampung menteri itu dengan rumah tangganya sekali ke dalam perutmu”. Maka kampung menteri itu pun tenggelamlah dengan rumah tangganya sekali ke dalam bumi hingga jadilah kampung itu seperti kolam yang amat besar airnya hitam warnanya, tiada siapa tahu akan beberapa dalamnya. Maka terlalulah amat hairan raja Khuza dengan segala isi negerinya melihat akan perihal yang demikian itu.
Maka raja Khuza pun amatlah ketakutan dengan gementarlah segala sendi tulangnya lalu ia pergi mencium tangan Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam serta katanya “Hai tuan hamba, bahawasanya dengan sungguhnya amat sekali benar agama Sultan Iskandar itu. Sekarang ajarkanlah akan hamba agama itu”. Maka di ajarkan oleh Nabi Allah Khidirlah mengucap kalimah shahadat Asyhaduanla Illaha Illallah Wa Asyhaduana Ibrahim Khalilullah Wanabiyullah maka diucapkan oleh raja Khuzalah. Setelah itu lalu diajarkan pula segala orang besar-besarnya dan segala isi negerinya maka kepada sehari itu banyaklah segala manusia masuk ke dalam Islam, masing-masing dengan ikhlas hatinya mereka itu.
Hataya maka Nabi Allah Khidir pun dibawa raja Khuza ke mahligainya maka berlajarlah ia dengan segala isi istananya sekelian ilmu tauhid dan makrifat dan syariat di dalam hilat agama Nabi Allah Ibrahim 'Alaihi Salam. Kemudian maka disuruhkan oleh raja Khuza segala menterinya berikan surat suruh berhimpun datang sekelian isi negerinya itu maka Nabi Allah Khidir pun sukacitalah melihat pekerjaan raja Khuza itu mengeraskan agama Islam atas segala kaumnya itu. Lalu diperjamu oleh raja Khuza akan Nabi Allah Khidir empat hari empat malam.
Setelah datanglah kepada lima harinya maka Nabi Khidir pun bermohonlah pada raja Khuza hendak kembali kepada Sultan Iskandar. Maka diberi raja Khuza harta daripada emas dan perak akan Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam, maka tiada mahu diambil oleh Nabi Allah. Maka katanya “Berilah oleh raja akan segala fakir dan miskin dan orang yang mengerjakan pekerjaan agama pada mengeraskan agama Allah Taa’ala. Syahdan hendaklah raja berhadir bahawa akan Sultan Iskandar itu sahaja akan datanglah baginda itu ke negeri ini. Adapun menteri raja yang membawa hamba kemari itu hendaklah raja kasih akan dia”.
Hataya maka Nabi Khidir pun bermohonlah kepada raja Khuza lima puluh hulubalang pilihan di suruh raja Khuza pergi menghantarkan Nabi Allah 'Alaihi Salam. Maka ia pun tiada mahu di bawa oleh Nabi Khidir hanyalah seorang hulubalang yang membawa dia itulah yang di bawa pergi sertanya. Hataya maka berjalanlah Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam dengan menteri itu. Antara berapa hari lamanya berjalan itu maka sampailah keduanya kepada tentera Sultan Iskandar. Setelah di dengar baginda Nabi Allah Khidir sudah datang maka baginda pun segera naik ke atas kudanya pergi mengalu alukan Nabi Khidir dengan segala raja-raja.
Setelah bertemu maka keduanyapun turun dari atas kudanya berjabat tangan serta berdakap dan segala raja-raja itu pun mengucupi tangan Nabi Allah. Setelah itu naiklah sekeliannya ke atas kudanya berjalan kembali ke khemah baginda, maka duduklah baginda bersama-sama dengan Nabi Khidir seperti adat sedia kala di adap oleh segala raja-raja dan menteri hulubalang sekelian. Maka di ceterakan oleh Nabi Allah akan segala hal ehwalnya diperbuat raja Khuza dan peri raja Khuza telah membawa imanlah dengan segala isi negerinya dan peri mengatakan raja Khuza itu sangat mengeraskan agama Islam atas segala tenteranya dengan sungguh hatinya di dalam empat hari habislah sekelian mereka itu membawa iman dan di runtuhkan segala rumah api.
Maka sukacitalah baginda lalu sujud ke hadrat Allah Taa’ala syukur akan kurnianya dan di persalin baginda akan hulubalang raja Khuza itu dengan pakaian yang keemasan dan di anugerahi akan dia suatu kalah emas dan di dudukkan di atas kerusi perak. Telah itu dinamai oleh baginda akan hulubalang itu A’bada Al Aziz Johan Adi maka ia pun sujud menjunjung duli baginda. Maka sabda Sultan Iskandar “Ya Nabi Allah, tiga hari lagi berjalanlah kita ke negeri raja Khuza” dan segala raja-raja itu pun kembalilah pada tenteranya masing-masing. Telah sampai pada empat harinya maka di tiup oranglah nafiri alamat baginda berangkat dan dipalu oranglah genderang serunai barang pelbagai bunyinya terlalu azmat. Maka Sultan Iskandar pun berangkatlah dan Nabi Khidir berjalan dahulu dengan Raja Radhiah dan segala tenteranya seperti adat sedia kala.
Sebermula adapun akan raja Khuza pun berkata pada menterinya dan pada segala raja-raja yang di bawahnya “Hendaklah kamu sekelian berhadir persembahan akan Sultan Iskandar akan aku. Telah sudah kau hadirkan apabila hampirlah Sultan Iskandar ke negeri kita maka kita alu alukan akan dia dan membawa persembahan”. Syahdan antara dua puluh hari maka datanglah sulunya mengatakan bahawa Sultan Iskandar telah hampirlah ke negeri ini ada lagi tiga hari perjalanan. Maka raja Khuza pun keluarlah dengan segala bala tenteranya akan mengalu alukan Sultan Iskandar sehari semalam berjalan itu.
Maka bertemulah dengan tentera Sultan Iskandar maka raja Rodhiah pun memacu zirafahnya mengampiri tentera itu. Setelah didengarnya suara mereka itu takbir dan mengucap La Illahaillah ŁŲ§ Ų§ŁŁ Ų§ŁŲ§ Ų§ŁŁŁ maka sukacitalah hatinya lalu di suruhnya bertanya “Tentera mana kamu ini. Maka sahut mereka itu “Kami ini tentera raja Khuza” maka bertemu raja Khuza dengan Raja Radhiah. Maka di bawanya oleh Raja Radhiah akan raja Khuza itu kepada Nabi Allah Khidir 'Alaihi Salam maka Nabi Allah pun menyuruhkan segala tentera berkhemah dan khemah Sultan Iskandar pun di dirikan oranglah.
Telah sudah maka Sultan Iskandar pun semayamlah di atas tahta kerajaan di adap oleh segala raja-raja dan menteri hulubalang penuh sesak seperti adat sedia kala. Maka Nabi Allah pun datang membawa raja Khuza dengan segala orang besar-besarnya datang mengadap Sultan Iskandar. Setelah raja Khuza melihat Sultan Iskandar lalu diucapnya La Illaha Illallah Ibrahim Khalilullah Wanabiyullah ŁŲ§ Ų§ŁŁ Ų§ŁŲ§ Ų§ŁŁŁ Ų§ŲØŲ±Ų§ŁŁŁ
Ų®ŁŁŁ Ų§ŁŁŁ Ł ŁŲØŁŁ maka sukacitalah hati baginda maka di suruhnya duduk pada kerusi yang keemasan. Seketika duduk maka di angkat oranglah berpuluh-puluh hidangan maka makanlah segala yang hadir itu.
Setelah sudah makan maka dianugerahi Sultan Iskandar akan raja Khuza persalin daripada pakaian raja-raja dan segala menteripun di anugerahi persalin masing-masing pada kadarnya dan di anugerahi sepuluh ekor kuda lengkap dengan alatnya akan raja Khuza dan akan menterinya seorang seekor kuda lengkap dengan alatnya juga. Maka kata raja Khuza kepada Nabi Khidir “Ada persembahan diperhamba sedikit tiada dengan sepertinya. Barang diterima oleh syah alam kiranya”. Maka di maklumkan oleh Nabi Khidir kepada Sultan Iskandar maka di suruhnya baginda terima ambil persembahan raja Khuza itu.
Hataya maka raja Khuza pun bermohonlah kembali ke negerinya telah sampai maka di himpunkan segala tenteranya di suruhnya berkhemah diluar negerinya dua puluh ribu tentera yang pilihan mengenderai kuda dan empat puluh ribu yang berjalan di tanah lengkap masing-masing dengan alat senjatanya. Tiada dapat di sifatkan gagah beraninya segala mereka itu dan raja-raja itupun masing-masing menghadirkan persembahannya akan Sultan Iskandar. Hataya maka Sultan Iskandar pun berjalanlah daripada tempat itu hingga sampailah ke negeri raja Khuza lalu di lihat oleh baginda tentera raja Khuza berkhemah di luar kota negerinya dan raja Khuza pun datanglah mengalu alukan baginda dengan segala tenteranya. Lalu ia pergi kepada Nabi Khidir 'Alaihi Salam maka di bawa Nabi Allah mengadap Sultan Iskandar.
Hataya maka di persembahkan ufti negerinya daripada segala harta yang mulia-mulia dan daripada emas dan perak dan lima ratus kuda lengkap dengan alat senjatanya maka raja-raja yang takluk kepadanya itu pun masing-masing dengan membawa persembahan. Maka disuruh baginda bahagikan pada segala raja-raja yang bersama dengan baginda itu maka tiadalah lagi di masukkan ke dalam perbendaharaan baginda melainkan kuda sahaja yang beroleh akan Sultan Iskandar. Maka sembah raja Khuza kepada Nabi Khidir “Ya nabi Allah, maklumkan ke bawah duli baginda ada hamba hadirkan dua puluh ribu tentera yang pilihan mengenderai kuda dan empat puluh ribu tentera yang berjalan ditanah dan lima ribu kafilah yang berniaga serta tentera itu”.
Maka di maklumkan Nabi Allah kepada Sultan Iskandar seperti kata raja Khuza itu maka sukacitalah hati baginda dan dianugerahi oleh baginda akan raja Khuza suatu mahkota yang bercahaya-cahaya daripada kebanyakan manikam yang ditatahkan dengan emas itu. Maka sukacitalah raja Khuza lalu ia menjunjung duli baginda maka sabda Sultan Iskandar “Insya Allah Ta'ala, tiga hari lagi berjalanlah kita”. Maka segala raja-raja itu pun bermohon kembali kepada tenteranya.
Setelah datang pada hari yang keempat maka berangkatlah Sultan Iskandar seperti sedia kala akan mendatangi negeri Fuza Hindi. Dua puluh hari lamanya berjalan di dalam bumi yang berair setelah datang kepada dua puluh sehari maka berjalanlah mereka itu kepada padang yang amat luas lagi lanjut. Tiada dalamnya sehelai rumput jua pun maka berkhemahlah baginda di padang itu tiga hari lamanya.
Hikayat Iskandar Zulqarnain di Universiti Malaya (UM)
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya Ł ŲŁ ŲÆ Ų§ŁŁ ŁŲÆŁ