FB Mahamada al Mahadaya - Kata yang empunya hikayat ini, maka tatkala sudahlah Sultan Iskandar menaklukkan Negeri Shur, maka berkehendaklah Sultan Iskandar akan mendatangi Negeri Damsyik kerana itu tahta Kerajaan Syam.
Kata Shahibul Hikayat, rahmat Allah atasnya, bahawa nanti yang pecah daripada perang Sultan Iskandar berhimpunlah di Negeri Damsyik itu pada isteri Raja Thibus iaitu namanya Nurani. Adapun akan isteri raja Thibus itu ada beranak seorang perempuan, terlalu amat elok rupanya, dan amat cerdik lagi amat taranya, lagi tahu pada ilmu perempuan, lagi elok rupanya seperti bulan purnama. Tiada ada sebagainya dalam negeri itu dan tiada tawanya pada masa itu.
Sebermula anak raja Thibus bernama Puteri Nuran, dan pada budi bicara pun ia akal tiada lagi lebih daripadanya pada sekelian sifatnya pada masa itu. Raja Thibus pun dahulu hendak memberikan anaknya itu akan raja Darinus raja Negeri Parsi pada tahun yang disuruh lalu itu sebab kerana perang itu juga maka tiada jadi memberikan anaknya kepada raja Darinus.
Kata Shahibul Hikayat, maka tatkala didengar oleh isteri raja Thibus bahawa Sultan Iskandar sudah pindah di Negeri Shur hendak mendatangi Negeri Damsyik. Maka kata isteri raja Thibus akan anaknya “Hai anakku, bahawa tahukah engkau yang mana sudah dirasai bapamu daripada Sultan Iskandar. Adapun bahawa Iskandar itu sudah menaklukkan segala raja-raja yang di muka bumi dan segala negeripun sudah dipegangnya pada masa ini. Sekarang pada pendengar hamba, bahawa Sultan Iskandar itu kehendaknya mendatangi negeri kami ini. Jikalau kemari kiranya sultan itu, masygullah kelak kemudian harinya, tetapi jikalau mahu mendengar kataku tiada dapat tiada kamu peroleh seperti kehendak kamu itu”.
Arakian maka anaknya “Hai bondaku, barang pekerjaan yang dikehendaki tuan hamba itu atas kepala hambalah mengerjakan dia”
Maka kata bondanya “Hai anakku, bahawa demi Nar Nur ŁŲ§Ų± ŁŁŲ± yang menjadikan rupamu elok seperti bulan purnama. Bahawa barang siapa melihat tak dapat tiada hilang akalnya dan bahawa bapamu yang bahagian neraka itu dikehendakinya pada tahun ini memberikan engkau bersuami raja Masyrik yang bernama Darinus itu. Maka tiada dapat oleh Nar Nur hasrat hatinya itu.
Adapun sekarang adalah suatu penglihat hamba barang dapat kiranya dengan muslihat itu hamba balaskan Sultan Iskandar pada menuntut nyawa bapamu itu, kerana Sultana Iskandar itu tiada dibilangkannya barang siapa pun, dan tiada ia takut akan perihal ehwal dunia ini, dan ia amat thabang bahina. Adapun sekarang kehendakku menipu ia demikian akalku”.
Maka sahut anaknya itu “Sebagaimana pekerjaan tuan hamba kerana barang hamba dengar kiranya”
Maka bondanya berkata pula “Bahawa hendak kusuruh utusan seorang membawa hadiah sedikit dan engkau pun pergi bersama-sama dengan hadiah itu dan sekeping surat kusuratkan;
Adapun kemudian daripada mencium duli tapak mahkota segala raja-raja. Bahawa sembah hamba yang hina itu ke bawah cerapak raja yang kuasa, bahawa diketahui syah alam yang diperhamba seorang perempuan lagi dhaif memalingkan dirinya, seorang sahaya daripada antara sahaya syah alam yang banyak. Adapun tuanku jikalau dapat jangan kiranya syah alam berangkatlah kemari. Barang kehendak syah alam atas kepala diperhamba mengerjakan dia, sekuasa yang diperhamba anak perempuan yang dhaif. Sebermula ada hadiah hamba sedikit akan persembah yang diperhamba dan seorang sahaya. Jangan kiranya syah alam menghinakan dia itu pun akan tanda hamba berhambakan diri hamba ke bawah duli syah alam.
Demikianlah kiranya kububuh dalam surat dan bahawa engkau pun sekali mengadap Sultan Iskandar. Menyembah sujudlah engkau syahdan menunjukkan rupamu yang elok ini dan jangan engkau gentar dan jangan kau katakan dirimu anak raja Thibus. Jikalau di tanyanya engkau dan kau katakan dirimu itu hamba raja Thibus dan antara hambanya yang banyak kerana inilah maka di bangsakan hamba sama-sama dengan persembahnya dan dari antara persembah ke bawah duli syah alam.
Tetapi dahulu kala berapa kali raja Masyrik yang bernama raja Darinus dipintanya hamba daripada tuan hamba raja Thibus. Pada tahun ini pun dipintanya juga hamba. Adapun sekarang kehendak tuan hamba isteri raja Thibus itu, barang kiranya berangkat syah alam kesana kerana ia mengata di berinya sudah takluk dan barang yang dikehendak oleh syah alam pun dipersembahkannya ke bawah duli syah alam demikianlah akal hamba”.
Maka diamlah Nuran anak raja Thibus seketika maka disahutinya pula perkataan bondanya itu “Sempurnalah akal tuan dan Nar Nur pun menolong pekerjaan tuan”.
Maka kata isteri raja Thibus “Sungguh demikianpun ketahui hai anakku, pada akalku jikalau di lihatnya rupamu itu oleh segala masyeikh nescaya tiada akan sabar ia. Adapun tatkala kalu lihat rupanya cenderunglah hatinya dengan berahinya akan engkau bawalah racun sedikit ini sertamu kerana racun selambat-lambatnya sehari semalam.
Maka kau berilah racun ini akan dia, maka apabila matilah Sultan Iskandar sahaja cerai berailah segala tenteranya dan segala raja itu pun masing-masing kembalilah ke negerinya dan kita sahaja beroleh seperti kehendak hati dan tahulah aku. Hai anakku jikalau kiranya iktikadmu tulus pada mengerjakan pekerjaan yang demikian itu sahaja aku peroleh kehendak hatimu dengan berkat Nar Nur"
Kata Shahibul HIkayat ini maka tatkala di dengar anaknya kata bondanya demikian itu maka sahut anaknya “Demi segala cahaya bintang tinggi dan demi matahari yang hari hangat adanya, bermainlah nyawa hamba dengan raja itu pada pekerjaan ini. Jika hilang nyawa hamba sekalipun tiada mengapa kata suri”. Maka pada masa itu ada datang tenteranya yang banyak di suruh raja Darinus menolong isteri raja Thibus maka tetaplah hati isteri raja Thibus dan segala menteri. Maka mesyuaratlah ia dengan mereka itu akan melawan Sultan Iskandar.
Kemudian dari itu maka dipanggil isteri raja Thibus segala orang besar-besar dan segala menteri, maka mesyuaratlah ia dengan mereka itu yang tersebut akan perihal membawa anaknya dan bingkis dan surat kepada Sultan Iskandar. Maka muafakatlah mereka itu yang lain membawa persembahnya itu panglima datang daripada raja Darinus itu, tetapi yang bingkis dan tahta panglima itulah membawa dia. “Adapun yang surat daripada hamba itu kepada Sultan Iskandar tiada siapa layak membawa dia kepada Sultan Iskandar melainkan taruhan hamba seorang perempuan”. Maka sahut orang besar-besar “Sungguh sahaja seharusnyalah demikian itu” tetapi akan perihal itu semuanya tiada ada tahu seorang jin jua pun hati mereka itu seperti zahirnya juga."
Arakian maka di mustaibkannyalah anaknya dan segala tahta yang dikehendakinya akan bingkis itu pada tengah bulan. Maka kemudian daripada itu maka berjalanlah anak raja Thibus seperti seorang sahaya perempuan bersama-sama dengan segala yang membawa dia panglima yang tersebut itu juga dan seribu (1,000) hulubalang yang pilihan sertanya. Arakian maka bertemulah mereka itu dengan laskar Sultan Iskandar, maka disuruhnya seorang pada tentera Sultan Iskandar “Bahawa kami datang ini penyuruh isteri Thibus membawa surat dibingkis mengatakan dirinya takluk kepada Sultan Iskandar”.
Kata Shahibul Hikayat arakian maka diberinya tahu kepada seorang hulubalang Sultan Iskandar, maka pergilah hulubalang itu membawa khabar kepada panglima yang bernama Raja Radhiah akan segala perihal yang demikian itu. Maka sabda raja Radhiah “Kamu cari akan seorang2 tahu akan bahawa sahaya yang dikirimkan isteri raja Thibus itu”. Kemudian daripada itu maka disuruhnya bawa sahaya itu oleh raja Radhiah maka tatkala datanglah utusan itu maka dilihat raja Radhiah rupa utusan itu terlalu sekali elok rupanya disebut apa dalam Janaana Allah Subhanahu Wata'ala kuasa tuhan yang menjadikan seru sekelian dan rupa yang elok ini.
Arakian maka berjalanlah raja Radhiah dengan tentera raja Thibus itu dan bingkis mengadap Sultan Iskandar maka hairanlah hati tentera raja Darinus membawa anak raja Thibus itu. Di lihatnya tentera Sultan Iskandar seperti rumput tiada terbilang, kemudian itu maka dibawanyalah raja Radhiah akan utusan itu mengadap Sultan Iskandar. Arakian maka di suruh Sultan Iskandar seorang akan juru bahasapun datang maka sabda Sultan Iskandar “Tanyalah olehmu pada utusan itu apa di pesan itu isteri raja Thibus. Katakan kepada aku dan jikalau ada suratpun bawa kemari kerana pekerjaan hamba banyak”.
Arakian maka jawab akan raja Thibus kepada juru bahasa itu “Persembahkan sembah hamba ke bawah duli syah alam. Adapun bahawa pesan tuan hamba isteri raja Thibus kepada hamba disuruhnya sendiri hamba persembahkan ke bawah duli syah alam pada tempat sunyi dan surat bingkis pun tatkala hamba persembahkan ke bawah duli syah alam. Demikianlah pesan isteri raja Thibus”. Arakian maka di persembahkannyalah oleh juru bahasa itu tatkala itu segala kata utusan itu kepada Sultan Iskandar. Maka Sultan Iskandar menyuruh panggil akan utusan itu kepada raja Radhiah “Segeralah bawa utusan itu kemari bersama-sama dengan dia barang dua tiga orang daripada sahaya kita yang khas”.
Kata Shahibul Hikayat maka berjalanlah raja Radhiah membawa utusan itu kepada Sultan Iskandar maka dilihat oleh anak raja Thibus itu tentera Sultan Iskandar bukan barang-barang terlalu amat banyak. Maka hairanlah hatinya melihat tentera Sultan Iskandar itu, maka tatkala ia hampir kepada khemah Sultan Iskandar yang ketua. Maka dilihatnya hulubalang yang tiada disifatkan selaksa dengan pakaian yang mulia-mulia dan besar panjang lagi pahlawan daripada penghulu dan kejerun dan segala menteri dan ceteria dengan hebatnya dan elok rupanya.
Maka tatkala dilihatnya peri ehwal demikian itu, maka hampirlah ia, maka juru bahasa itupun hampir kepadanya “Persembahkan sembah hamba ke bawah duli syah alam. Bahawa tatkala hamba mengadap itu, barang seketika juga kiranya jangan lagi seorang juapun kerana hamba anak perempuan”. Arakian maka berdatang sembahlah juru bahasa itu kepada raja Radhiah mengatakan segala kata perempuan itu. Maka pergilah raja Radhiah kepada Sultan Iskandar, maka di maklumkan seperti perempuan itu kepada Sultan Iskandar maka sabda Sultan Iskandar kepada raja Radhiah “Baiklah kita turutlah seperti kehendaknya itu”.
Maka di suruh oleh Sultan Iskandar orang besar-besar itu kembali masing-masing kepada khemahnya, maka berangkatlah Sultan Iskandar kepada khemahnya seorang juga, maka duduklah ia di atas tahta kerajaan. Arakian maka kembalilah raja Radhiah memanggil perempuan, maka dibawanya perempuan yang utusan itu mengadap Sultan Iskandar.
Di ceriterakan oleh orang yang empunya ceritera ini demikian bunyinya. Maka tatkala datang anak raja Thibus itu mengadap Sultan Iskandar, maka dibukanya mukanya seraya khidmat menyembah kepada Sultan Iskandar. Berdirinya seperti batang lembing yang betul dan mukanya seperti bulan purnama empat belas hari dengan pakaiannya daripada emas yang bertatahkan ratna mutu manikam yang tiada terhargakan. Jikalau sekira-kira dihargakan pakaiannya itu seperti ufti negeri Iraq dan atas kepalanya suatu mahkota daripada emas itupun bertatahkan ratna mutu manikam dan tiada ada sebagainya dan pada antara keningnya suatu permata gilang gemilang cahayanya seperti bintang timur.
Kata Shahibul maka tatkala dilihat Sultan Iskandar perihal kelakuan perempuan itu, maka berajablah hatinya dan hairanlah matanya digugurkan Allah kasih Sultan Iskandar akan perempuan itu. Arakian maka tatkala dilihat perempuan itu cenderunglah hati Sultan Iskandar akan dia, maka di angkatkannya kepalanya seraya melihat ia kepada anak raja Thibus dan berdatang sembah ia demikian sembahnya “Ya syah alam, bahawa diketahui syah alam yang diperhamba ini bukan sahaya raja Thibus. Adapun yang diperhamba ini anak raja Thibus dikirimkan bingkis oleh bonda hamba menjunjung duli syah alam. Barang dapat kiranya yang diperhamba menyampaikan seperti yang dikehendak hatinya duli syah alam kerana dilihat bonda yang diperhamba-hamba juga yang layak mengadap duli syah alam”.
Arakian maka kata anak raja Thibus kepada sahaya raja Radhiah yang ada mengadap sertanya itu “Hampirkanlah olehmu tiga (3) buah ceper itu”. Maka dihampir oleh sahaya raja Radhiah ceper yang tiga (3) buah itu daripada emas yang indah-indah itu, maka dibukanya oleh Nuran ceper itu dihadapan Sultan Iskandar. Maka tatkala dilihat Sultan Iskandar segala barang yang dalam ceper itu, sungguh demikianpun terlebih sukacita hati Sultan Iskandar akan anak raja Thibus itu juga. Maka pada ketika itu juga disuruhnya panggil Nabi Khidir 'Alaihi Salam, maka Nabi Allahpun datang, maka oleh Sultan Iskandar di ceriterakannyalah perihal ehwal demikian itu.
Maka sahut Nabi Khidir “Ketahui oleh Sultan hai raja alam, adapun bahawa Allah Subahnahu Wata'ala adalah kurnianya akan syah alam daripada pekerjaan dunia ini daripada tentera dan harta. Sungguh demikianpun ada juga lagi kita disuruhnya ingat-ingat daripada seteru, dan di suruhnya kita ingat-ingat akan diri kita daripada syaitan. Adapun yang membunuh ayanya perempuan ini syah alam, dan mencerai beraikan segala tentera perempuan ini pun syah alam jua.
Bahawa dengan sungguhnya tiada harus syah alam percaya akan dia ini. Siapa tahu pekerjaan yang demikian ini dengan semuanya akan kita atau dengan muslihat akan kita oleh perempuan itu jua, dan tiada ada syah alam berbuat baik pada bonda perempuan ini, iapun membalas guna syah alam. Adapun pada akal yang diperhamba baik juga kita cuba akan perempuan ini dahulu”
Maka sahut Sultan Iskandar “Baiklah tuan hamba cuba dahulu akan dia”.
Arakian maka berkata Sultan Iskandar kepada Nabi Khidir “Ya Nabi Allah, bertanyalah tuan hamba kepada perempuan itu dengan bahasa Damsyik. Demikian kata tuan hamba “Tiada kehendak bondamu menyuruhkan engkau membawa surat dan bingkis kepada raja kami ini kerana raja kami inilah yang membunuh ayahmu dan membinasakan tentera ayahmu” kerana aku ajaib sebab itulah akan perihal yang demikian” maka di katakan Nabi Khidirlah kepada anak raja Thibus itu seperti sabda raja itu.
Arakian maka jawab anak raja Thibus “Adapun menteri, bahawa bonda hamba itu kehendaknya memeliharakan dirinya, dan hamba kerana dilihat oleh bonda hamba bahawa segala raja-raja yang ada di bumi Allah ini sekelian takluk sudahlah ke bawah duli raja. Maka di persembahkannya hamba supaya menjadi hamba seperti hamba raja daripada antara hamba raja yang banyak itu”.
Maka tatkala di dengarnya oleh Nabi Khidir perkataan perempuan itu maka kata Nabi Khidir “Hai perempuan, perkataanmu ini terlalu amat baik. Jikalau dengan sebenarnya sempurna kebajikanlah kau peroleh”.
Arakian maka kembalilah Nabi Khidir kepada Sultan Iskandar maka kata Nabi Khidir “Hai syah alam, harus kamu periksai perihal perempuan itu”.
Arakian Sultan Iskandar berjalan seraya berpegang tangan dengan Nabi Allah“Hai syah alam, bahawa terlalu hairan hati hamba akan perihal penglihat syah alam. Betapa kiranya maka syah alam percaya akan perempuan itu”.
Maka sahut Sultan Iskandar “Hai tuan hamba Nabi Allah, bahawa diketahui oleh tuan hamba tatkala hamba mula-mula melihat perempuan ini, hilanglah akal budi bicara hamba kerana itulah maka luputlah budi bicara hamba akan perempuan itu”.
Maka sahut Nabi Khidir 'Alaihi Salam “Adapun pada budi bicara hamba seharusnyalah kiranya syah alam ingat-ingat akan perempuan itu”.
Maka sahut Sultan Iskandar “Hai tuan hamba bapa Abas, hamba bertanya kepada tuan hamba betapa tuan hamba mengatakan perihal perempuan ini, daripada ilmu firasatkah atau wahyukah turun kepada tuan hamba”.
Maka sahut Nabi Khidir “Bahawa kata demikian ini bukan daripada wahyu sehingga daripada ilmu firasat juga”
Maka sahut Sultan Iskandar “Adapun sudah-sudahan barang suatu kata tuan hamba itu tiada pernah bersalahan pada budi bicara hamba. Perempuan itu tiada akan sembah di ingkiskan oleh bondanya bersama-sama segala bingkis kepada hamba. Ada juga dalam hatinya berlainan”.
Maka sahut Nabi Khidir akan Sultan Iskandar “Adapun pada hati hamba, harus syah alam memanggil Balmanas Hakim. Beri tahu akan dia perihal ini demikian”
Dan maka sahut Sultan Iskandar “Sempurnalah akal tuan hamba pada memberi hamba budi demikian ini”. Maka Sultan Iskandar pun pada ketika itu jua menyuruh panggil Balmanas Hakim setelah Balmanas Hakim datang maka diceriterakan akan perihal perempuan itu.
Maka tersenyumlah Balmanas Hakim maka sembah Balmanas Hakim “Ya syah alam, adapun pekerjaan ini segala juga pada diperhamba. Insya Allah Taa’ala hamba surat sekeping timah hitam suatu muslihat.
Tatkala perempuan itu tidur hamba hantarkan timah hitam itu atas dadanya, dan sahaja diceriterakannyalah barang rahsia ada pada hatinya. Betapa baik juga dahulu syah alam berbaik hati perempuan itu supaya jangan bergerak rasanya, dan disuruh syah alam hantarkan perempuan itu daripada pelbagai makanan dan minuman membawa dia pun perempuan juga daripada hamba syah alam yang khas dan kita ajar pada orang membawa ayapan itu. Apabila tidurlah anak raja Thibus itu diberinya tahu akan syah alam”
Maka sabda Sultan Iskandar “Demikianlah akal yang sempurna”.
Maka sabda Sultan Iskandar pun berangkatlah kembali ke khemahnya, maka disuruhnya hantarkan anak raja Thibus itu daripada pelbagai makanan dan minuman. Maka Balmanas Hakimpun mengerjakan pekerjaan timah hitam itu, tetapi anak raja Thibus itu tiada ia tahu akan kira-kira orang akan dia itu, pada berdapat mainnya itu. Pada hatinya telah berlakulah semua ini, maka tatkala datang ayapan makanan dan minuam itu kepadanya, maka makanlah dan minumlah ia dengan sukacitalah. Maka tatkala sudahlah ia makan dan minum dan haripun malamlah maka ia pun tidurlah.
Setelah demikian maka pergi hamba Sultan Iskandar yang dipesannya oleh Sultan itu khidmat, maka sembahnya “Ya syah alam, bahawa perempuan itu tidurlah ia sekarang”. Maka di suruh oleh Sultan Iskandar panggil akan Nabi Khidir dan Balmanas Hakim, maka berjalanlah ketiganya sehingga sampailah kepada khemah perempuan itu. Maka masuklah ketiganya maka dilihatnya perempuan itu tidur nyedar, tiada ia khabarkan dirinya, maka berkeliling berdiri ketiganya disisi ketiduran perempuan itu. Dilihatnya oleh orang yang menyertai perempuan itu Sultan Iskandar dan Nabi Khidir dan Balmanas Hakim, Maka disuruh Sultan Iskandar perempuan itu keluar.
Maka Sultan Iskandar pun berdiri betul kepalanya dan Nabi Khidir di sisinya. Maka dihantarkan oleh Balmanas Hakim timah itu di atas dadanya, maka pada ketika itu juga, maka berkatalah perempuan itu segala yang ada di dalam hatinya itu, sekeliannya diceriterakannya. Maka tatkala di dengarnya oleh Sultan Iskandar perihal perkataan itu, maka fikir ia, seketika maka sembah Balmanas Hakim daripada Sultan Iskandar “Ya syah alam, bahawa harus dibunuh akan perempuan”.
Maka sabda Sultan Iskandar “Hai Balmanas Hakim, hati siapa kiranya datang membunuh dia ini”
Maka kata Nabi Khidir “Tahu yang diperhamba akan perihal berahi syah alam akan ia. Bahawa Insya Allah Taa’ala, mari hamba berceritera kepadanya akan perihal semuanya itu”.
Maka kata Sultan Iskandar “Sebenarnyalah bicara tuan hamba itu” maka keluarlah Sultan dan nabi dan Balmanas Hakim daripada khemah perempuan itu masing-masing kembali kepada khemahnya.
Kata Shahibul Hikayat, setelah Sultan Iskandar datang ke khemahnya, maka dipanggilnya seorang sahayanya perempuan yang disuruhnya menyertai anak raja Thibus itu. Maka titah Sultan Iskandar kepadanya “Jika perempuan itu sudah jaga beri tahu olehmu”. Setelah hari siang maka perempuan itu pun bangunlah daripada tidurnya, maka ia ingat lupalah akan segala perihal yang disebutnya itu maka fikirlah ia dalam hatinya.
Setelah perempuan itu bangun maka hamba Sultan Iskandar yang dipesaninya itu pun segera datang memberi tahu Sultan Iskandar sembahnya “Ya tuhanku syah alam, perempuan itu telah jagalah”. Maka Sultan Iskandar pun berangkatlah bersama-sama dengan Nabi Khidir, pergi kepada anak raja Thibus. Maka dilihatnya oleh Sultan Iskandar perempuan itu duduk pada ketidurannya fikir rupanya. Hataya maka dilihatnya Nabi Khidir datang, maka bangkitlah ia berdiri maka sabda Sultan dan Nabi Khidir “Duduklah engkau maka duduklah ia”.
Maka sabda Sultan Iskandar dan Nabi Khidir “Ketahui olehmu bahawa Allah Taa’ala dijadikannnya segala makhluknya akan menyembah dia. Maka tatkala dilihat Allah Subhanahu Wa Taa’ala segala hambanya itu kafir, dan engkar, dan aniaya setengah atas setengahnya, dan rupakannya berhala di sembahnya, maka dijadikannya Allah, Sultan kami ini dan disuruhnya mendatangi segala raja-raja yang di bumi Allah ini menyembah lain daripada tuhan yang sebenarnya. Mereka itu yang di binasakan oleh raja kami ini, dan anugerah Allah Taa’ala akan dia seorang yang sempurna akalnya akan menunjuk jalan yang betul. Bahawa Allah Taa’ala memberi kurnia akan dia mengetahui segala perihal tipumu itu”.
Maka dihikayatkan Nabi Khidir segala ehwal yang di katakannya pada malam itu, diakunya peri perjanjiannya dengan bondanya itu hendak akan membubuh racun akan Sultan Iskandar. Setelah di dengarnya oleh anak raja Thibus kata Nabi Khidir 'Alaihi Salam itu, maka jadi pucat mukanya. Arakian maka sabda Nabi Khidir kepadanya “Tiada mengapa citamu demikian itu, kerana ayahmupun raja ini membunuh dia. Adapun raja kami sangat rahim hatinya, dan tiada engkau dihalusinya. Jika mahu engkau masuk Islam dalam agama nabi Ibrahim Khalil Allah, jikalau kiranya engkau masuk Islam agama yang sebenarnya, engkau yang di ambil raja akan isteri, dan akan kekasihnya, dan nescaya adalah kurnia Allah akan engkau dunia dan di akhirat. Jangan tetap, jangan citamu lagi salah akan dia kerana yang telah lalu itu sudahlah”.
Kata Shahibul Hikayat, apabila didengarnya oleh anak raja Thibus kata Nabi Khidir demikian itu, maka tunduklah ia sesaat fikir. Kemudian diangkatkannya kepalanya maka disahutinya kata Nabi Khidir itu ujarnya “Hai muka yang elok lagi persih, adakah Sultan kamu ini tahu akan ilmu ghaib”.
Maka sahut Nabi Khidir 'Alaihi Salam “Yang mengetahui ilmu ghaib hanya Allah Taa’ala juga”
Maka sahut puteri Turan “Shadaqata, Ya Nabi Allah, ertinya sungguhnya Ya Nabi Allaha. Hamba tatkala keluar dari negeri bonda hamba kerana perihal itu jua tetapi pada masa ini terlebih pula kasih hamba akan syah alam rasanya akan perihal itu”.
Maka sabda Nabi Khidir “Jikalau sungguh katamu demikian ini, kehendak Sultan kami daripadamu itu juga”.
Arakian maka bertanya ia kepada Nabi Khidir “Sebagaimana jalan kepada Allah Taa’ala membawa agama itu”
Maka sabda Nabi Khidir “Ucap olehmu kalimah Asyhaduanla Illaha Illallah Wa Asyhaduana Ibrahim Khalilullah Wanabiyullah”. Maka mengucap syahadatlah anak raja Thibus itu seperti yang di ajarkan oleh Nabi Khidir itu akan dia. Maka sukacitalah Nabi Khidir dan keluarlah ia pergi kepada Sultan Iskandar, maka di ceriterakannyalah perihal Islam anak raja Thibus itu, maka terlalulah sukacita hati Sultan Iskandar.
Maka kata Sultan Iskandar “Ya Nabi Allah, kehendak cuba pula perihal niat perempuan itu sesungguhnyakah atau tiada sungguh”
Maka sahut Nabi Khidir “Betapa pula kita mencuba dia”.
Maka kata Sultan Iskandar “Seperti dahulu kita cuba demikianlah”
Maka sahut Nabi Khidir “Sungguh seharusnyalah kita cuba akan dia”.
Arakian maka disuruh oleh Sultan Iskandar panggil Balmanas Hakim, maka disuruh raja perbuat seperti dahulu itu juga. Maka tatkala tidurlah perempuan itu maka dihantarkannyalah timah hitam itu kepada dada perempuan itu, maka disebut oleh perempuan itu Asyhaduanla Illaha Illallah Wa Asyhaduana Ibrahim Khalilullah Wanabiyullah.
Maka sukacitalah Sultan Iskandar dan dipersalin Sultan Iskandar akan Balmanas Hakim itu daripada pakaian yang mulia-mulia dengan sempurnanya. Maka kembalilah Sultan Iskandar dan Nabi Khidir dan Balmanas Hakim pada malam itu juga. Maka pada esok harinya sudah terbit matahari, maka datanglah Nabi Khidir kepada anak raja Thibus itu, maka didapatinya ikrarnya “Bahawa Sultan Iskandar hendak kahwin dengan engkau redhakah kita”
Maka tunduk anak raja Thibus seketika. Maka berkatalah ia “Hai tuan hamba Nabi Allah, adakah sahaya orang tiada kabul pada barang kehendak tuannya”
Maka Nabi Khidirpun minta doa akan dia “Barang cenderungkan Allah kiranya hatimu pada mengikut agama Allah dan agama Ibrahim”.
Arakian maka datang pula Nabi Khidir memberi tahu Sultan Iskandar “Ya Nabi Allah, kehendak hamba barang tuan hamba kiranya mengahwinkan kami kedua pada ketika ini jua”. Arakian maka di kahwinkan Nabi Khidirlah akan Sultan Iskandar dengan anak raja Thibus itu juga Sultan Iskandar naik mempelai. Maka dengan kuasa Allah terlalu sangat amat kasih Sultan Iskandar akan anak raja Thibuspun terlalu amat kasih akan Sultan Iskandar tiada sepertinya. Maka arakian berhenti Sultan Iskandar pada tempat itu tujuh (7) hari tujuh (7) malam bersuka-sukaan dengan anak raja Thibus.
Kata Shahibul Hikayat kemudian dari itu maka tersebutlah perkataan isteri raja Thibus maka ternanti-nantilah ia akan khabar anaknya itu yang bernama Nuran. Pada hatinya “Telah lalulah janjinya suatu khabarpun tiada datang, dan anaknya betapakah gerangan pada akalnya. Ada juga dengan tolong berlakulah pekerjaanku dijagakannya oleh si Nuran”.
Maka suri pada hari yang ke delapan itu, maka datanglah anak raja Thibus itu mengadap Sultan Iskandar. Maka datang sembah ia demikian sembahnya “Adapun bahawa yang diperhamba memohonkan ampun ke bawah duli syah alam, yang dipeliharakan Allah di dunia dan akhirat. Bahawa jangan kiranya dihalus oleh syah alam segala barang ada dosa bonda yang diperhamba seperti syah alam mengampun dosa yang diperhamba demikianlah kiranya”.
Maka sabda Sultan Iskandar “Jangan engkau bercinta demikian. Bahawa aku mengampunkanlah dosa bondamu itu”.
Maka berdatang sembah pula anak raja Thibus “Adapun bahawa diketahui syah alam pada akal bonda yang diperhamba berlakulah syah alam. Lamalah tiada siapa membawa khabar. Adapun sekarang pada akal yang diperhamba baik juga disuruh syah alam yang diperhamba kembali kepada bonda yang diperhamba.
Beri akan dia perihal kebanyakan tentera syah alam yang tiada terbilang, dan yang diperhamba nyatakan kepada bonda yang diperhamba peri kebesaran agama syah alam, dan diperhamba bawa ia kepada agama yang sebenarnya. Jikalau tiada ia mahu mengikut agama yang sebenarnya tatkala itu, mana bicara syah alam bicarakanlah akan dia”.
Arakian maka sabda Sultan Iskandar “Sungguhpun demikian, tiada kuasa bercerai dengan engkau lama. Sebermula takut tiada mahu ia membawa agama Islam Ų§Ų³ŁŲ§Ł
”.
Kata Shahibul Hikayat maka beberapa bagai kata nasihat dipersembahkan oleh anak raja Thibus itu kepada Sultan Iskandar, sehingga kabullah Sultan Iskandar akan sembahnya itu. Arakian maka sabda Sultan Iskandar kepada anak raja Thibus “Adapun jangan kau katakan kepada panglima yang membawa engkau kemari dan kepada sekelian orang bahawa engkau ini sudah masuk agama Islam Ų§Ų³ŁŲ§Ł
yang sebenarnya”.
Maka sahut anak raja Thibus “Ya syah alam, bahawa sungguhnya inilah akal yang amat sempurna harus di pakai”. Maka di suruhnya oleh Sultan Iskandar anak raja Thibus itu berhadir dengan segala tenteranya, maka berhadirlah segala mereka itu yang tersebut ini, maka anak raja Thibus bersukaan-sukaanlah adanya. Tamat kalam.
Telah selesailah ditulis Hikayat Sultan Iskandar ini, kepada 15 hari bulan Mei tahun 1841 iaitu 9 hari bulan Rejab 1267 sanat.
Hikayat Iskandar Zulqarnain di Berlin State Library (SBB)
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya Ł
ŲŁ
ŲÆ Ų§ŁŁ
ŁŲÆŁ