Ilustrasi gambar: Alif |
FB Mahamada al Mahadaya - Lalu ia menurut jalan. Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah mata air yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum. Kami berfirman "Wahai Dzulkarnain, pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik".
Ia berkata "Adapun orang yang melakukan kezaliman, maka kami akan menyeksanya kemudian ia akan dikembalikan kepada tuhannya, lalu di azabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya". Adapun orang yang beriman serta beramal shaleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati. (Al Kahfi 85-88)
Kata Shahibul Hikayat, maka turunlah Sultan Iskandar dari bukit itu, lima puluh hari baginda berhenti di tempat itu. Maka berjalanlah ia kepada tempat matahari masuk melalui padang dan bukit, kira-kira dua bulan lamanya, maka bertemulah dengan bumi yang amat jahat baunya, dan hangat hawanya dan tiada tumbuh dalamnya barang suatu jua pun melainkan pohon. Maka tiada di dengar dalamnya bunyi unggas dan binatang, dan tiada berair dalamnya barang suatu tempat.
Maka tatkala bermalam mereka itu di sana, maka datanglah lontar pada malam itu, maka banyaklah luka daripada kaum Sultan Iskandar mengadu mereka itu pada Nabi Khidir. Maka di suruhkan Nabi Khidir membawa yang di turunkan Allah Taa’la kepada Nabi Allah Ibrahim 'Alaihi Salam di dalam Zabur kepada Nabi Allah Daud 'Alaihi Salam. Setelah di baca mereka itu, maka berhentilah lontar sampai siang hari. Maka berjalanlah mereka itu hingga bertemu dengan bukit, maka dilihat mereka itu lima orang jin, maka kelimanya melontar kepada Nabi Khidir dengan batu, maka di runtuhnya batu bukit itu.
Adapun jin itu seorang kepalanya seperti kepala keledai, dan kakinya seperti harimau, badannya seperti manusia. Maka yang seorang lagi itu, kakinya seperti merpati, dan badannya seperti badan kera, kepalanya seperti unta, tangannya seperti tangan manusia. Maka seorang lagi kepalanya seperti kepala kuda, badannya seperti badan manusia. Maka seorang lagi itu kepalanya seperti kepala harimau, badannya seperti badan manusia. Maka seorang lagi kepalanya seperti kepala babi, kakinya seperti kaki tangan manusia. Maka seorang lagi itu kepalanya seperti kepala kuda, badannya itu seperti badan manusia, dan kaki tangannya seperti kuda.
Maka sebagai mereka itu melontar Nabi Khidir, maka di pacu Nabi Khidir zirafahnya, di tangkap jin itu, maka di tikam dengan lembing, maka matilah jin itu tiga orang dan dua orang lantas lari. Serta melontar suatu persebah jua lontarnya itu. Maka di tangkap daripada seorang, di bawa kepada Sultan Iskandar, maka di tanyanya Nabi Khidir, katanya “Kami bukan daripada jin dan bukan daripada manusia” maka di ceritakannya daripada zaman dahulu kalanya sekaum orang dari pada anak Iblis yang perempuan, bahawa perempuan itu berahikan anak raja daripada manusia, maka mereka itu pergi menangkap anak raja itu, perbuatnya suami, maka di bawa kepada bumi ini. Maka di perbuat mereka itu mahligai hingga beranak cuculah mereka itu, datang sekarang tiada terbilang-bilang banyaknya, dan ujarnya, nantilah oleh kamu sahaja dibinasakan oleh kaumku akan dikau sekelian”.
Maka kata Nabi Khidir “Siapa tuhan kamu sembah”
Maka katanya “Yang kami sembah itu nabi kami Iblis, kerana kami tiada ketahui akan siapa yang menjadikan kami, dan yang memberi rezeki akan kami, melainkan nenek kami juga, maka jadi ibu kami beranak akan kami”.
Maka kata Sultan Iskandar “Hai tuan hamba adakah pernah manusia beranak dengan jin”
Maka sahut Nabi Khidir “Bahawa akan tiadakah di dengar oleh sultan Puteri Balqis isteri Nabi Allah Sulaiman 'Alaihi Salam. Itu ibunya jin bapanya manusia, terlalu baik rupanya Puteri Balqis itu tiada di tinggal rupa jin pada puteri itu”.
Maka kata Sultan Iskandar “Baik kita lepaskan ia ini, membawa surat kepada kaumnya itu”. Telah sudah diperbuat surat lalu diberi pada tangannya maka dilepaskan baginda, maka larilah ia seperti kilat pantasnya. Setelah datang ia pada kaumnya maka di katakanlah seperti kata Nabi Khidir dan surat itupun dilihat oleh mereka itu sekeliannya, maka tiada di kabulkan oleh mereka itu. Hataya maka berhimpunlah mereka itu seperti kerisik banyaknya, tiada lain senjatanya batu maka berjalanlah mereka itu mendatangi Sultan Iskandar. Setelah dilihat Nabi Khidir dari jauh, maka disuruh segala laskar berhadir memegang senjata. Sebermula orang memalu gendang Sultan Iskandar serta enam puluh orang dengan serunai dan nafiri, maka di palulah mereka itu bunyi bunyian supaya gentar kaum itu mendengar dia, maka berperanglah mereka itu hingga pecahlah perangan kaum itu.
Hataya berjalanlah segala laskar kira-kira adalah dua puluh hari lamanya maka bertemulah mereka itu dengan bumi hijau rupanya. Maka kata Nabi Khidir pada Sultan Iskandar “Bahawa hampirlah kita ini ke Bumi Qaf”. Bermula pada bumi itu tiada bertumbuh tumbuhan maka berjalanlah mereka itu di sana sepuluh hari lamanya, maka kelihatanlah mereka itu di hadapan mengeliling dunia seperti manikam yang hijau kelilingnya maka sukacitalah mereka itu melihat dia. Sebermula matahari pun besarlah pada penglihatan mereka itu, maka berjalanlah mereka itu tujuh hari maka bertemulah dengan suatu laut kecil dinamainya mereka itu Bahara Al Qadarata (Bahar Al Qudrat). Kata Shahibul Hikayat, maka bertemulah mereka itu dengan kaum banyak berhenti di sisi laut itu. Setelah dilihat mereka itu tentera Sultan Iskandar, maka di datanginya serta mengucap tasbih dan tahlil mereka itu.
Setelah di dengar Nabi Khidir suara mereka itu, maka disuruh berhenti segala laskar. Maka berhentilah Nabi Khidir kepada mereka itu berseru-seru ia dengan bahasa mereka itu. Maka datang seorang yang tertua pada mereka itu dengan beberapa orang sertanya. Maka kata Nabi Khidir “Hai kamu, siapa kamu, dan apa agama kamu?”
Maka sahut orang itu “Bahawa kami di bumi ini menyembah Allah Taa’la dengan agama Nabi Allah Musa 'Alaihi Salam”. Maka Nabi Khidir pun menyurat suatu surat dan memberi tahu Sultan Iskandar, maka disuruhnya sahayanya pergi membawa surat itu kepada Sultan Iskandar, jikalau sabda sultan bawa maka hamba bawalah orang itu mengadap sultan. Setelah datang surat itu kepada Sultan Iskandar, maka sultanpun berangkatlah mendapatkan Nabi Khidir.
Shahdan, dilihatnya kaum itu terlalu banyak dan baik-baik sifatnya, maka hairanlah dia melihat dia. Maka orang itupun mengadap Sultan Iskandar, maka sembahnya “Hai sultan yang dimuliakan Allah Taa’la, kasihani kami kiranya, kerana kami orang yang dhaif menyembah Allah Taa’la. Pada bumi ini tiada kami sekutukan suatu dengan dia. Bahawa sesungguhnya telah kami ketahui didalam kitab Taurat bahawa Sultan Iskandar akan datang pada tempat ini, lalu pada matahari masuk”.
Setelah Sultan Iskandar mendengar kata mereka itu, maka sabda sultan “Hai yang dikasihani Allah, persukakan hati kamu, jangan kamu masygul akan kami, bahawa kami tiada perbuat jahat, dan khianat, melainkan barang siapa yang derhakakan Allah Taa’la. Itulah seteru kami, kembalilah kamu kepada kaum kamu, dan pada esok hari suruh datang pendita kamu barang yang terlebih tahu daripada kamu barang empat orang kepada aku. Maka kembalilah pada kaum kamu”. Maka Sultan Iskandar pun menyuruh tenteranya berkhemah di sana.
Hataya pada esok harinya, datanglah sepuluh orang pendita mereka itu yang terlebih tahu mengadap Sultan Iskandar, maka disuruh sultan duduk kerusi segala raja-raja itu. Maka titah baginda “Hai pendita, betapa asalnya tuan hamba diam pada bumi ini?”
Maka sembah pendita itu “Adapun asalnya kami diam di bumi ini, tatkala banyaklah kaum Bani Israil di bumi Sham derhakakan Allah Taa’la. Maka ada seorang daripada mereka itu daripada anak cucu Nabi Allah Yusuf 'Alaihi Salam. Maka diberinya mimpi, pada suatu malam Nabi Yusuf berkata akan dia, 'Pergilah akan kamu diam di bumi Maghrib, nescaya diperkenankan Allah Taa’la kehidupan kami. Telah dijadikan Allah kaum itu akan tempat kami, dan anak cucumu maka berjalanlah orang itu kepada bumi ini maka kami ini daripada anak cucunyalah”.
Maka kata Nabi Khidir “Adakah tuan hamba bertemu pada hukum agama, dan temukah tuan hamba 113 kitab di dalam Taurat?”
“Hingga anak kami sekelian yang kecil itupun mengetahui”.
Maka hairanlah Sultan Iskandar mendengar kata shaleh mereka itu, maka di tanyanya Nabi Khidir dari pada masalah yang sukar-sukar, maka itupun diberi jawab pendita itu akan Nabi Khidir “Hamba tanya akan tuan hamba demi Allah, katakan oleh tuan hamba siapa tuan hamba kerana hamba lihat sangat tahu tuan hamba pada ilmu agama ini”.
Maka tersenyum Nabi Khidir katanya “Tiadakah tuan hamba kenal hambalah Khidir anak Malakana anak Falaa’ anak Shalaha anak Fahatsala anak Shama anak Nabi Allah Nuh 'Alaihi Salam. Dan hambalah taulan Nabi Allah Musa, Kalamnya itu”. Setelah didengar pendita itu kata Nabi Khidir, maka iapun mengucupi bumi pada kaki Nabi Khidir kesepuluhnya maka di dakapi Nabi Allah kesepuluhnya.
Maka kata Nabi Allah “Hai pendita, bawa hamba lihat Taurat pada tuan hamba itu”. Maka di suruh pendita itu ambil Tauratnya, maka Nabi Khidir suruh sahayanya Fataha ambil Taurat itu, maka di kabulkan Nabi Khidir tiadalah bersalahan dan tersebut di dalamnya nama Muhammad Rasul Allah Salallahu 'Alaihi Wasalam. Maka kata Nabi Khidir “Hai pendita, adakah tersebut di dalam Taurat raja yang menghimpunkan bumi Masyrik dan Maghrib dan ia daripada anak cucu nabi Allah Ishaq 'Alaihi Salam, anak nabi Allah Ibrahim 'Alaihi Salam. Raja itu berjalan pada tempat matahari masuk”.
Maka kata pendita itu “Bahkan sanya adalah kami senantiasa ternanti-nanti akan dengan bahawa sekarang nyatalah alamatnya bahawa raja inikah yang tersebut di dalam Taurat itu?”.
Maka kata nabi Khidir “Inilah ia” maka pendita itupun mengucupi kaki Sultan Iskandar.
Maka sabda sultan “Hai sheikh, beri kami dengan pengajar yang baik”.
Maka kata pendita itu “Jangan diberikan ilmu kamu itu pada bukan seharusnya, maka adalah serasa kamu niaya akan ilmumu itu. Maka jangan kamu sembunyikan ilmumu itu pada orang yang seharusnya, maka serasa ia kamu aniayai akan orang itu. Maka jangan kamu tolong akan orang yang aniaya, maka jadi sia-sialah amal kamu. Maka jangan kamu enggan memberikan barang sekadarnya supaya jangan kurang kebajikan kamu. Bahawa ketahui oleh kamu, bahawa manusia itu berbagai, sebagai daripadanya manusia yang nyata kebesarannya, maka seharusnya kamu ikut akan dia. Maka sebagai lagi bahawa manusia itu bersalahan dengan kamu, maka kembalikan pekerjaannya kepada Allah Taa’la.”
Maka menangislah Nabi Khidir mendengar kata itu maka sabda Sultan Iskandar “Tambahi lagi pengajar tuan hamba itu”
Maka ujar pendita itu “Hai sultan yang dimuliakan Allah Subhanahu Wata'ala, pada segala buminya adalah yang terlebih daripada manusia sekelian. Maka barangsiapa merendahkan dirinya di dalam ketinggiannya, dan di dalam kebesarannya, dan di tinggikan Allah kekayaannya, dan berbuat ia lembut di dalam kekasarannya, dan ditahani hatinya pada marah ialah yang terlebih daripada segala manusia. Maka itulah hamba Allah yang diambilnya dari dunia sekira-sekira pada baginya terpelihara ia daripada mengerjakan dosanya dan menghasilkan ia akhirat. Bermula yang terlebih akal daripada segala manusia itulah hamba Allah yang diperkenankan tuhannya, maka berbuat bakti ia akan dia dan dilaluinya tempat yang kekal, maka di perbaikinya dan ketahuinya akan sekira hendaknya daripada nikmat yang fana kepada tempat yang baka. Maka dihadirkannya bekal bahawa sungguhnya bekal itu akan takut akan Allah maka barang siapa yang terlebih takutnya akan dia”.
Maka sabda Sultan Iskandar “Hai sheikh, ibadat lagi pengajar tuan hamba akan hamba”
Maka ujar pendita itu “Hai sultan yang beroleh tolong daripada Allah Taa’la, bahawa yang tamak itu papa dan putus kehendaknya daripada jadi kaya. Bahawa yang penengah itu rehat dan amal itu perbendaharaan dan dunia itu akan kekayaan maka sekeliannya akan hilang jua”.
Maka titah Sultan Iskandar “Hai sheikh tambahi lagi akan hamba pengajar tuan hamba”
Maka kata pendita itu “Hai Zhayala Allah, ketahuilah bahawa pada hari kiamat itu pekerjaan yang maha besar maka dikira-kira ia di dalamnya segala perbuatan di dalam dunia. Maka tetapkan bagi kamu iman dan sempurnakan kebaktian kamu dan bersegeralah kamu berbuat amal dengan kamu gagahi adalah balasnya”.
Maka sabda Sultan Iskandar “Hai sheikh tambah lagi pengajar bagi kami”
Maka ujar pendita itu “Hai sultan, keinginannya daripada beroleh pahala pada Allah supaya dikasihinya bagi kamu, dan benci oleh kamu harta, dikasihi manusia akan kamu bahawa yang bertapa hatinya daripada dunia itu sentosa hatinya dalam dunia akhirat. Kerana manusia itu yang beroleh balasan yang pahit dan tinggalkan oleh kamu bahawa yang berbahagia itu orang yang memilih tempat yang kekal nikmatnya di lebihkannyalah segala nikmat yang di anugerahi kannya daripada harta yang di dalam tangannya”.
Maka sabda Sultan Iskandar “Hai sheikh tambah lagi pengajar bagi kami”
Maka ujar pendita itu “Ketahui oleh sultan, bahawa segala yang didalam tangannya itu pinjaman maka segala yang pinjaman itu nescaya berpindah dan harta pinjaman itu nescaya kembalilah pada yang empunya dia. Ketahui oleh kamu hai sultan bahawa akan dunia ini mata benda yang hadir memakan dia akan orang yang berbahagia dan orang yang celaka itu dikira-kira kekal semata. Maka akhirat juga yang terlebih baik adanya dan tahukah raja dahulu daripada raja ini adakah raja yang lain daripada raja mengimpunkan kerajaan dunia ini”.
Maka sabda Sultan Iskandar “Tujuh oranglah raja-raja yang besar-besar dahulu daripada hamba”
Maka ujar pendita “Betapakah dikerjakan Allaha bagi raja-raja itu”
Maka sabda Sultan Iskandar “Telah matilah mereka itu sekeliannya”.
Maka ujar pendita itu “Hai sultan, bahawa akan Nabi Allah Sulaiman 'Alaihi Salam dianugerahkan Allah Taa’la akan dia kebesaran baginya, tiadalah dilebih daripadanya barang seorang juapun daripada makhluknya manatah dia sekarang”
Maka sahut Sultan Iskandar “Telah wafatlah sudah”
Maka ujar pendita itu “Jikalau demikian, padalah bagi sultan, maut itulah pengajar bagi sultan kerana Allah Taa’la menjadikan umur manusia itu jalannya akhirat. Maka barangsiapa yang diperbuat Nabi Adam baik dan jahat tak dapat tiada ada kira-kira Allah Taa’la di akhirat”.
Maka menangislah Sultan Iskandar dan Nabi Khidir mendengar pengajar pendita itu maka ujar Nabi Khidir “Hai segala manusia dengarlah pengajar pendita itu rahmat Allah atasnya”.
Telah sultan menangis itu maka kata pendita itu “Dimana sultan hendak berjalan ini”
Maka sabda Sultan Iskandar “Hamba hendak berjalan ke matahari masuk”
Maka kata pendita itu “Ada hampirkan Allah akan sultan, jalan yang jauh itu inilah laut tempat matahari masuk itu. Pergilah sultan pada tempat laut itu, nescaya sultan ajaib kebesaran Allah”. Maka Sultan Iskandar menyuruh membukakan perbendaharaan hendak mengurniai pendita itu pada qasad Sultan Iskandar hendak mengurniai kaum itu. Maka kata pendita itu “Hai sultan yang dibesarkan Allah bahawa kami tiada tahu akan harta dan sultan hendak menagarah hanya kami akan harta ini bukan kebajikan akan kami melainkan kami lalai daripada berbuat ibadat akan Allah Taa’la.
Adapun kami masygullah daripada kami puji itu barang yang ditinggalkan kiranya oleh sultan akan kami ini maka janganlah permashgulkan kami dengan harta dunia ini”.
Maka sekeliannya pun berkata demikian juga maka hairanlah segala yang melihat kelakuan mereka itu. Kata Nabi Khidir “Rahmat Allah atas tuan hamba sekelian” tahulah Sultan Iskandar akan mereka itu tiada berkehendak akan harta dunia, maka sultan dan Nabi Khidir dan segala raja-raja berjabat tangan dengan segala pendita itu.
Kata Shahibul Hikayat, maka Sultan Iskandar sebagai juga melihat kepada matahari masuk itu, maka dilihat sultan bukit Kaf itu di belakang matahari. Maka berjalanlah Sultan Iskandar dan Nabi Khidir ke tepi laut itu, setelah matahari itupun hampirlah akan masuk, maka di dengar keduanya akan bunyinya seperti halilintar membelah. Maka dilihat sebenar matahari itu, dua orang malaikat terbesar daripada sekelian malaikat itu di kelilingnya banyak malaikat yang lain, kelihatan itu rupanya seperti laku bayang-bayang. Maka kata Sultan Iskandar “Ya Nabi Allah rupa apa yang kelihatan itu?”
Maka sahut Nabi Khidir “Itulah malaikat yang mengawal matahari masuk dan keluar” maka tiadalah lagi didengar oleh Sultan Iskandar malaikat itu mengucap tasbih. Maka ditanyanya Sultan Iskandar suara mereka itu didengarnya mengucap tasbih demikian Sabaha Qadawasa Rabanaa Wa Raba Al Malakata Wa Al Rawaha.
Maka bunyi matahari masuk itu terlalu sangat azmat bunyinya jikalau mendengar dia segala isi bumi nescaya pengsan. Maka tatkala masuklah matahari itu hampirlah akan pengsan sebab mendengar bunyinya matahari masuk itu maka sultanpun lalailah gugur dari atas kudanya ke bumi. Maka segera Nabi Khidir turun dari atas kuda memangku sultan dan di hantarkan tangannya pada dada Sultan Iskandar. Shahdan sembahnya “Ya tuhanku, tetapkan kiranya hati hambamu Iskandar” dan di sapunya dada sultan tujuh kali maka sedarlah Sultan Iskandar, maka ia mengucap syukur akan AllahaTaa’la.
Maka jadi air hangat jikalau sekiranya dimasukkan tangan ke dalam air itu, nescaya melecur seluruh kulitnya dan mendidih air itu. Setelah sudah masuk matahari itu maka berhentilah bunyinya maka sekelian malaikat itupun memberi salam Nabi Khidir dan Sultan Iskandar. Shahdan kata malaikat itu “Rahmat Allah atasmu hai sultan, bahawa tiada menjalani jalan ini seorang jua pun lain daripada kami ini selama di jadikan Allah langit dan bumi”.
Maka kata Sultan Iskandar “Syukurlah kami akan Allah Taa’la” maka naiklah malaikat itu ke langit maka Sultan Iskandar pun kembalilah kepada tenteranya.
Maka pada esok harinya maka berhimpunlah segala raja-raja berdatang sembah mereka itu “Hai sultan, kemana pula kita berjalan?”
Maka sabda sultan “Adapun perjalanan kita datanglah kepada tempat yang kita qasadkan itu, Ana Shaa Allah Taa’la kembalilah kita bermula”. Segala raja-raja itu dan tentera melihat matahari masuk itu dari jauh setelah tiga hari lamanya, Sultan Iskandar di sana sehari melihat jua ia kepada matahari masuk itu maka Sultan Iskandar pun minta doa dengan berbagai-bagai doanya demikian ujarnya “Ya tuhanku, telah kau sampaikan hambamu pada tempat matahari masuk itu dan mudah-mudahan kiranya hambamu melihat keluarnya” maka Nabi Khidir mengatakan Amin ya Allah.
Hataya maka di himpunkan Sultan Iskandar segala raja-raja yang besar-besar sertanya dan tenteranya maka sabda Sultan Iskandar “Hai saudaraku sekelian raja-raja, telah sampailah kita kepada kehendak kesudahan maka bersegeralah kita akan berjalan”
Maka sembah segala raja-raja itu “Kemana pula hendak shah alam”.
Maka sabda Sultan Iskandar “Nantilah oleh kamu nescaya turun wahaya mengatakan akan perjalanan kita ini."
Kata Shahibul Hikayat, setelah hari malamlah maka Nabi Khidir pun bersunyi dirinya sembahyang dua rakaat, salam maka ia minta doa kepada Allah Subhanahu Wata'ala “Ya tuhanku, bahawa sampailah kami kepada tempat yang dititahkan kami menjalani dia itu, maka beri tahu kiranya kami kemana pulang pergi kami berjalan”.
Setelah sudah ia minta doa maka turunlah Jibril serta memberi salam pada Nabi Khidir 'Alaihi Salam, maka ujarnya “Bahawa Allah Taa’la menitahkan kamu berjalan ke kiri, jalan perbendaharaan Nabi Allah Sulaiman, lalu ke negeri Maghrib, kerana mereka itu telah menyembah berhala peninggal perjalanan ini”. Maka esok harinya pergilah Nabi Khidir kepada Sultan Iskandar “Ya Bana A'basa kemana pula kita pergi”.
Maka sahut Nabi Khidir “Adapun pada malam tadi, turun Jibril membawa firman Allah Taa’la menyuruh kita berjalan dari kiri perbendaharaan Nabi Allah Sulaiman 'Alaihi Salam hingga lalu ke negeri Maghrib. Bahawa Allah Taa’la menolong kita dengan sempurnanya”. Maka sukacitalah Sultan Iskandar mendengar kata Nabi Khidir itu, maka bermohonkanlah sultan dan Nabi Khidir pada kaum itu, maka segala pendita itupun minta doa akan Sultan Iskandar. Maka pada esok harinya dipalu oranglah gendang berangkat dan terkembanglah payung kerajaan panji-panji, maka berjalanlah Sultan Iskandar dengan segala tenteranya.
Sumber: Kitab Iskandar Dzulkarnain
Manuskrip Universiti Malaya