Ilustrasi gambar: Pesona Siak |
FB Habidah Nordin - Sultan Johor-Riau yang memerintah pada tahun 1718 hingga 1722. Baginda menduduki takhta kerajaan Johor pada tahun 1718 dengan memakai gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. Menurut Sejarah Melayu, Raja Kecil mendakwa baginda adalah putera Sultan Mahmud, Marhum Mangkat Dijulang dan ibunya, Encik Pong. Raja Kecil dibesarkan di istana Minangkabau. Baginda mendapat kebenaran daripada Puteri Jamilan mengembara ke Tambang, Limon, Batanghari, Palembang, Johor, Lawas, Siantan, Bangka dan akhirnya pulang semula ke Minangkabau.
Ketika berada di Lawas, Raja Kecil berkahwin dengan anak Dipati Mata Kucing. Di Minangkabau, Raja Kecil digelar Yang Dipertuan Kecil dan Puteri Jamilan menghadiahkan kepadanya sebilah pedang kebesaran Minangkabau serta cop yang menandakan bahawa Raja Kecil adalah putera Raja Pagarruyung.
Raja Kecil berangkat ke Bukit Batu dan Batu Bara di Siak. Di Batu Bara, baginda mengumpul tentera untuk menyerang Johor. Pada masa yang sama, Raja Kecil dikunjungi oleh Daeng Parani, Daeng Menampok dan Daeng Celak serta mereka berbincang tentang rancangan menyerang Johor.
Daeng Parani bersetuju membantu Raja Kecil dengan jawatan Yamtuan Muda diberikan kepada mereka. Raja Kecil juga mendapat bantuan Orang Laut. Akhirnya, Johor dapat ditawan dan Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV, berundur. Raja Kecil menjadi Sultan Johor. Raja Kecil bertunang dengan Tengku Tengah, Erang, puteri Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Bagaimanapun pertunangan diputuskan dan Raja Kecil berkahwin dengan Tengku Kamariah, juga puteri Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Tengku Tengah yang merasa terhina melarikan Tengku Kamariah ke rumah ayahandanya. Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV yang berkubu di Seluyut diserang oleh Raja Kecil dan baginda berundur ke Pahang dan kemudian ke Terengganu.
Ketika bersemayam di Siak, Raja Kecil dikunjungi oleh Daeng Marewah yang membantu Bendahara Tun Abdullah. Daeng Marewah meminta Raja Kecil meletakkan semula Bendahara Tun Abdullah dan Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV dalam kerajaan Johor supaya baginda tidak dianggap perampas kuasa. Raja Kecil menawarkan kerjasama dengan Bugis sekiranya mereka sanggup menyerahkan Bendahara Tun Abdullah dan jika enggan perang akan berlaku. Dengan itu, perang meletus antara orang Bugis dengan orang Minangkabau di kawasan berhampiran Pulau Gontong. Apabila orang Minangkabau alah dek perang, Raja Kecil meminta kebenaran Bugis untuk berangkat ke Lingga.
Pada tahun 1719, Raja Kecil dialahkan oleh Sultan Maharaja. Raja Kecil berundur ke Riau dan mendapat sokongan daripada Orang Laut. Baginda bersama-sama orang Minangkabau dan Orang Laut melancarkan serangan balas dan berjaya mengalahkan Sultan Maharaja. Raja Kecil meminta Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV yang berada di Terengganu, pulang ke Johor untuk diletakkan semula di atas takhta kerajaan Johor, manakala baginda akan menjadi Raja Muda. Raja Kecil bersemayam di Riau. Raja Kecil menghantar utusan menjemput Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV bersama-sama keluarga di Kuala Pahang datang ke Riau. Bagaimanapun, atas titah Raja Kecil, Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV dibunuh di Kuala Pahang, manakala keluarganya dibawa ke Riau.
Raja Kecil kemudian menghadapi saingan Raja Sulaiman, putera Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV, yang ingin mendapatkan kembali takhta kerajaan Johor. Perang meletus lagi diantara Raja Kecil dengan Orang Bugis di bawah pimpinan Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Kemasi, Daeng Celak dan Daeng Menambun yang membantu Raja Sulaiman. Raja Kecil mengalami kekalahan dan baginda berundur ke Lingga. Pada tahun 1722, Raja Sulaiman ditabal sebagai Sultan Johor dan memakai gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Daeng Marewah dilantik sebagai Yamtuan Muda Johor yang pertama.
Pada 18 Jun 1722, Raja Kecil meminta bantuan Belanda melindungi seluruh Minangkabau, Siak dan Bengkalis. Pada bulan Disember 1722, baginda berangkat ke Kedah untuk membantu adinda Sultan Muhammad Jiwa, menentang Bugis. Bagaimanapun angkatan Raja Kecil kalah. Raja Kecil pulang ke Siak. Pada tahun 1725, Raja Kecil berangkat ke Siantan untuk mendapatkan bantuan bagi melancarkan serangan ke atas Johor. Walaupun angkatan Raja Kecil mengepung Riau tetapi mereka gagal. Pada tahun 1727, Raja Kecil melancarkan lagi serangan ke atas Riau dan berjaya memaksa Bugis memenuhi tuntutan baginda menyerahkan isterinya, Tengku Kamariah. Pada tahun 1735, Raja Kecil mengumpulkan lagi angkatan tenteranya untuk menyerang Riau tetapi gagal.
Raja Kecil mangkat pada tahun 1746, dan jenazahnya dimakamkan di Siak. Bissirril al-fatihah buat al-marhum Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah Raja Kecil Ibni Al-marhum Sultan Mahmud Syah III.
*Gambar Makam Raja Kecil
Sumber: Sejarah Melayu Versi Siak
=====================
Baca Juga:
- Trilogi Cinta dan Keikhlasan Sang Petualang yang berbuah Kemuliaan - Ihwal Pendirian Kesultanan Siak
- Sejarah Johor Riau
- Siak Sri Indrapura Darul Ridzwan -
- Abdul Jalil Shah IV (1699-1720)
- Ismail Abdul Jalil Syah (1765-1781)
- Mahmud Abdul Jalil Muzafar Syah (1746-1765)
- Tengku Embung Badariah
- Sulthan Siak melarang menjual tanah