Ilustrasi Gambar: super325 |
Disalin dari FB Mahamada al Mahadaya
Ba Sama Al Laha Al Rahaman Al Rahayama
بسم الله الرحمن الرحيم
Qala Allaham Maalaka Al Malaka~ Tawataya Al Malaka Mana Tashaa~ Wa Tanazaa’ Al Malaka Mamana Tashaa~ Wa Taa’za Mana Tashaa~ Wa Tadzala Mana Tashaa Bayadaka Al Khayara~ Anaka A’laya Kala Shaya Qadayara.
Ini suatu fasal yang pendek bagi maksud yang di kehendak.
Sebermula adapun sebab kerajaan raja-raja Melaka itu berpindah kepada bendaharanya maka iaitu demikianlah kisahnya. Kata Shahaba Al Hikayat adalah pada akhir-akhir keturunan daripada Seri Teri Buana daripada raja-raja zaman Singapura dan Melaka dan Johor. Adalah seorang raja Johor bernama sultan Mahmud Syah yang kedua Johor naik kerajaan pada tahun hijrah 1109 atau tahun orang putih 1682 dan mangkatnya terbunuh oleh laksamana yang bernama Megat Seri Rama di Kota Tinggi Johor di dalam tahun hijrah 1111 atau tahun orang putih 1684.
Maka adalah sebab terbunuh itu pada suatu hari baginda itu tengah beradu maka datang seorang mempersembahkan buah nangka masak di taruh oleh penghulu istana itu kerana menantikan baginda itu jaga. Tiba-tiba datang bini Megat Seri Rama yang bunting mengidam hendak maka nangka itu lalu di pintanya seulas kepada penghulu istana itu maka iapun baliklah.
Maka apabila raja itu jaga hendak makan nangka itu lalu di persembahkan oleh penghulu istana kepada baginda “Ada yang tiada baik tadi patik berikan kepada bini Megat Seri Rama” maka baginda itupun murkalah lalu di suruhnya panggil di keluar anaknya di belah perutnya lalu mati.
Inilah sampai khabar kepada suaminya maka menaruh dendamlah di dalam hatinya akan hendak membela kematian isterinya itu. Maka ketika sampai hari Jumaat waktu baginda balik dari masjid dan pada satu riwayat hendak pergi ke masjid sembahyang Jumaat.
Maka Megat Seri Rama pun memarang hulu baginda lalu mangkat dan Megat itupun mati juga kerana di lontar oleh baginda dengan kerisnya dan adalah baginda itu berbinikan peri konon iaitu suatu naung daripada jin. Maka tatkala baginda itu hampir mangkat datang berahinya kepada isterinya hingga terpancar mani baginda itu lalu di suruhkan seorang perempuan nama Encik Puang anak laksamana menelan mani baginda itu maka jadilah bunting konon.
Setengah mengatakan tatkala baginda itu mangkat zakar berdiri maka di suruhkan oleh orang besar-besar Encik Puang itu setubuh dengan baginda dan pada sejarah pihak Terengganu Encik Puang itu di pakai oleh baginda memang lalu bunting konon. Maka wafat baginda itu mangkat tengah orang bergaduh-gaduhkan hal baginda itu Encik Puang pun di larikan oleh Panglima Bibas di bawanya ke Pagar Ruyung Sumatera kepada Puteri Jenilan [Jamilan] lalu beranak di situ seorang laki-laki.
Di beri nama Tuan Bujang dan Si Budung yang akhirnya di beri nama oleh Yamtuan Sakti [dengan nama] Raja Kecik ialah yang melanggar negeri Johor pada masa sultan A’bada Al Jalil kerana ia sebenarnya anak marhum mangkat di julang jadi hendak mengambil pesakanya jadi Raja Johor pula.
Syahdan kemudian daripada mangkat Sultan Mahmud Syah itu maka menggantikan kerajaannya bendaharanya iaitu anak daripada bendahara Tun Habib. Telah menjadi bendahara dua tahun bergelar Sultan A’bada Al Jalil yang keempat iaitu pangkat pupu kepada Sultan Mahmud Syah yang tersebut oleh kerana Sultan Mahmud tiada mempunyai putera laki-laki atau perempuan sebelah nasabnya.
Maka berbalik semula kepada jongan Sultan Mazhafara (Muzafar) Syah yang asal iaitu putera kepada Sultan A’la Al Din Raa’yata (Alauddin Riayat) Syah yang kedua ialah yang mula membuka Negeri Johor dalam tahun masihi 1540. Maka adalah tarikh di angkat Sultan A’bada Al Jalil itu pada tahun 1111 pada 8 haribulan Robayaa’ Al Awala hari Khamis waktu dhahaya iaitu sebulan kemudian daripada mangkat Marhum Mahmud.
Maka adalah Sultan A’bada Al Jalil ini saudaranya yang berpangkat temenggung di jadikan pula Yamtuan Muda kata setengah Raja Indera Bungsu di jadikannya Yamtuan memerintahkan Negeri Johor dan ada anaknya yang tua yang dapat pada masa ianya jadi bendahara di jadikannya temenggung dan anaknya yang bungsu di jadikannya Indera Bungsu. Dan sampailah pada tahun hijrah 1122 Yamtuan Mudanya pergi perang ke Batu Bahara lalu ke Deli kemudian perang pula Yamtuan Muda ke Inderagiri pada tahun hijrah 1126.
Kemudian menyuruh pula baginda itu akan Datuk Temenggung pergi perang ke Linggi pada hijrah 1128 kemudian tetaplah kerajaan baginda itu dengan segala temenggung bendaharanya serta orang besar-besar ramailah negeri Makam Tauhid iaitu Negeri Johor serta mahsyur segala adatnya halus-halus apa lagi bahasanya. Adalah lama kerajaan Sultan A’bada Al Jalil itu iaitu dua puluh tahun (20) yang sentosa di dalam gerhana sembilan belas (19) tahun.
Maka sampailah pada tahun hijrah 1131 Johor pun di perang oleh Yamtuan Raja Kecik Siak lalu alah dan Sultan A’bada Al Jalil pun menyerahkan diri tiada di apa-apakan oleh Raja Kecik sambil katanya “Saya hendak jadikan bendahara semula” dan Tengku Qamariah Sultan A’bada Al Jalil pun di pinta oleh Raja Kecik jadi isterinya. Maka nikahlah Tengku Qamariah dengan Raja Kecik itu maka tetaplah Raja Kecik di dalam Negeri Johor dan seolah-olah Negeri Johor itu raja dualah pada masa itu adanya.
Maka berbelah-belahlah orang dalam negeri itu ada yang ke pihak Raja Kecik dan ada yang ke pihak Sultan A’bada Al Jalil makin menyala-nyalalah fitnah itu daripada sehari kepada sehari ibarat api tidak dapat di padamkan hingga keluarlah perkataan Raja Kecik itu tiada tentu putera marhum mangkat di julang sampailah perkhabaran itu kepada Raja Kecik.
Maka di sabarkannya jua dan bencilah Tengku Qomariah itu akan Raja Kecik itu tidak berapa di perdulikannya daripada makan minum dan kemudian Tengku Qamariah itu di ambil pula oleh saudaranya tengku Tengah di bawa bali[k] ke rumahnya. Maka Raja Kecik pun marahlah di suruhnya ambil isterinya tiada pula di berikan jadilah perkelahian akhirnya Raja Kecik pun melanggar Sultan A’bada Al Jalil yang sudah jadi menantunya.
Maka Sultan A’bada Al Jalil pun berkubu di Seluyut berperanglah di situ tiada berapa lama perang itu alah pula kubu di Seluyut itu dan Sultan A’bada Al Jalil pun undur ke Terengganu dan setengah raja-rajanya ke Melaka. Ada kira-kira tiga tahun di dalam Terengganu maka Sultan A’bada Al Jalil pun berpindahlah pula ke Negeri Pahang lalu membuat negeri di Kuala Pahang dan datanglah pula anak-anak raja dari Melaka itu ke Pahang pindah di situ.
Syahdan kemudian dari itu Yamtuan Raja Kecik pula pindah berkerajaan di dalam negeri Riau maka di perintahnyalah Riau itu dengan segala rakyat-rakyat yang di laut dan setengah perintah Sultan A’bada Al Jalil maka huru haralah kerajaan Johor pada ketika itu tiada berketahuan lagi.
Kata Shahaba [Shahibul] Al Hikayat apabila Raja Kecik mendengar khabar Sultan A’bada Al Jalil membuat negeri di Kuala Pahang itu maka iapun menyuruh beberapa banyak kelengkapan perangnya yang di kepalai Laksamana Nakhoda maka menyilakan Sultan A’bada Al Jalil itu ke Riau jikalau tiada mahu lawan perang. Maka tiada redha Sultan A’bada Al Jalil lalu perang tida berapa hari perang itu maka Kuala Pahang pun alah dan Sultan A’bada Al Jalil pun sudahlah di pujuk oleh laksamana akan di bawa ke Riau.
Di dalam hal itu datang pula suruhan Raja Kecik mengatakan dalam suratnya kepada laksamana “Janganlah lagi Sultan A’bada Al Jalil itu di bawa ke Riau, bunuhlah sahaja kita tahukan matinya”. Maka laksamana pun berfikir sejurus kemudian menyuruhlah ia empat orang panglima mengamuk pada kenaikan baginda Sultan A’bada Al Jalil itu.
Maka baginda pun kenalah hulu di parang oleh panglima itu pada ketika baginda tengah di tikar sembahyang lepas sembahyang subuh tengah membaca wirid dan baginda pun dapat juga membunuh panglima-panglima itu hingga lapan orang yang mati dengan pedang yang di sambar baginda dari tangan panglima itu.
Kemudian baginda pun rebahlah lalu mangkat maka laksamana pun memakamkanlah mayat baginda itu di Kuala Pahang di Teluk Kandang. Namanya mahsyurlah hingga sekarang ini Marhum Mangkat di Kuala Pahang di sebut orang. Apabila selesai di makamkan baginda itu maka laksamana pun berlayarlah ke Riau membawa segala anak-anak raja itu kepada Raja Kecik dan di pelihara oleh Raja Kecik di berinya istana dengan sepatutnya dan duduklah anak-anak raja itu dengan kemasyghulan sehari-hari adanya. Maka Sultan A’bada Al Jalil ini perang dengan Raja Kecik Yamtuan Siak tiga kali jua lalu terbunuh Sultan A’bada Al Jalil itu.
Syahdan kemudian daripada telah mangkat Sultan A’bada Al Jalil itu maka adalah anakanda baginda itu yang di pelihara oleh Raja Kecik yang bernama Tengku Sulaiman yang di zahirkan ke dunia pada hari ketika ayahanda naik kerajaan iaitu pada tahun hijrah 1111 pada 8 hari bulan Rabayaa’ Al Awala hari Khamis waktu Dhuhaya. Maka duduklah ia berikhtiar mencari jalan akan membalas perbuatan Raja Kecik itu maka bermesyuaratlah ia dengan Datuk Bendahara membuat surat kepada Upu-upu yang lima beradik iaitu anak-anak raja Bugis.
Pertama Daeng Perani kedua Daeng Merewah Kelana Jaya Putera ketiga Daeng Celak keempat Daeng Menambun dan kelimanya Daeng Kemasi. Adapun penggawanya dan menterinya Daeng Menampuk dan Daeng Masuru dan Daeng Mangtuk dan kapal juak-juaknya Indera Guru Lemaluk namanya dan adapun Daeng Perani itu telah sudahlah nikah dengan adik Tengku Sulaiman itu bernama Tengku Tengah waktu Upu-upu itu masuk ke Johor kemudian daripada alahnya Raja Kecik mengambil Johor. Maka sampailah surat Tengku Sulaiman itu kepada Upu-upu itu masa itu Upu-upu itu ada di Negeri Matan. Apabila Upu-upu itu mendengar bunyi surat itu bangkitlah gembira lalu bersiaplah alatan perang dan terus berlayar ke Riau.
Maka apabila sampailah Upu-upu itu ke Riau maka berperanglah Raja Kecik dengan anak-anak Raja Bugis itu di daerah Pulau Pengujan. Kira-kira sehari semalam perang itu pecahlah perang Raja Kecik itu lalu lari ke Pulau Bayan maka di ikut oleh Bugis pula ke Pulau Bayan lalu di amuknya dapatlah pula kepada Bugis pulau Bayan. Dan Raja Kecik pun undur pula ke Pulau Penyengat maka lalu pula Upu-upu itu mengusir Raja Kecik di Pulau Penyengat. Apabila Raja Kecik melihat perahu angkatan Bugis itu menuju Penyengat maka ia pun menarik layar lalu berlayar ke Negeri Linggi. Maka dapatlah Negeri Riau oleh Bugis iaitu dalam tahun hijrah 1134.
Kemudian apabila telah selesai perang maka mudiklah Upu-upu dan berjumpa Tengku Sulaiman dan bendahara sekelian bermesyuaratlah mereka itu hal meneguhnya alatan perangnya kerana di fikirkan bermusuh dengan Raja Kecik itu tentulah berpanjangan adanya. Maka berlayarlah Upu-upu itu ke Selangor mencari kekuatan di sana dan Tengku Sulaiman pun berangkat ke Pahang mencari kekuatan alatan perang kepada bendahara pihak di Pahang. Adapun Bugis-bugis yang mengusir Raja Kecik di Linggi itu bertemu lalu perang di Linggi akhirnya alah pula Raja Kecik balik masuk ke Riau dan menguatkan pula kubu di Riau itu.
Adalah masa itu Kuala Linggi masuk di bawah takluk Riau jadi di perintah oleh Raja Kecik pada suatu hari timbul perkelahian seorang Bugis yang memasang belat dengan Penghulu Linggi hingga bertikam-tikam dan berluka-luka an. Maka Bugis itupun mengadu kepada Upu-upu di Selangor maka datanglah Upu-upu itu dari Selangor ke Linggi dan Penghulu Linggi pun pergi pula ke Riau mengadukan halnya kepada Raja Kecik.
Maka Raja Kecik pun bersiap pergi ke Linggi lalu perang dengan Upu-upu itu akhirnya Raja Kecik pun tewaslah dan alah pula lalu ia lari pergi balik ke Siak. Adapun Upu-upu itu dengan segala kelengkapannya masuklah ke Riau kemudian daripada dapat Linggi dan Penghulu Linggi pun tunduk kepada Upu-upu itu.
Dan tatkala sampai Upu-upu itu di Riau berjumpa ia dengan Tengku Sulaiman dari Pahang dengan berapa banyak kelengkapan ke Riau lalu menanti Tengku Sulaiman bergelar Sultan Sulaiman Badar Al Alam Syah. Pada masa bendahara Tun Abas Johor dan Pahang Riau dan Linggi semua di bawah takluk Sultan Sulaiman iaitu dalam tahun 1134. Kemudian Sultan Sulaiman pula mengangkat Daeng Merewah Kelana Jaya Putera menjadi Yang Di pertuan Muda memerintahkan kerajaan Riau Linggi Johor dan Pahang dengan segala takluknya.
Di ceterakan orang adalah masa hendak mengangkat Sultan Sulaiman itu tersangkut pula suatu a’had iaitu segala sembarab kerajaan seperti pedang dan lela mejatun dan kerusi panjang dan lainnya ada di tangan Raja Kecik. Maka pergilah pula Upu-upu itu ke Siak minta pulangkan kepada Raja Kecik maka tiadalah Raja Kecik hendak memulangkan lalu perang besar dalam Siak akhirnya Raja Kecik minta aman datang memulangkan segala semberab kerajaan itu.
Kata Shahaba Al Hikayat adalah perang Raja Kecik Siak dengan Riau masa Sultan Sulaiman itu banyaknya sepuluh kali atau sebelas. Tetapi segalanya perang itu alah dan tewas jua Raja Kecik hingga di dalam lapan kali perang dan iaitu pada hijrah 1148 dan perang yang ke sembilan sampai ke sebelas yang di kepalai oleh Raja Alam anak Raja Kecik iaitu dari tahun 1150 sampai tahun hijrah 1161. Jadi adalah lama perselisihan perang Siak dengan Riau 27 tahun lamanya iaitu dari tahun 1134 habisnya tahun 1161 hijrah adanya.
Maka Sultan Sulaiman Badar Al Alam Syah inilah yang merajakan Tun Zaina Al Abidin Terengganu di suruhnya raja tua pergi ke Terengganu menggelarkan Sultan Zaina Al Abidin iaitu lepas daripada perang yang ketujuh kali dengan Raja Kecik Siak di dalam tahun hijrah 1139 dan tahun 1146 mangkatlah Sultan Zaina Al Abidin Terengganu.
Maka di dalam tahun 1153 baharu di angkat oleh Sultan Sulaiman, Tun Alam menjadi raja Terengganu maka dari dua raja inilah mula-mulanya raja-raja Terengganu beraja kerana pada masa itu Sultan Sulaiman itu masih terpandang raja yang besar jua di antara segala raja sebab keturunan yang berasal dari Bukit Seguntang Palembang adanya.
Dan juga pada masa Sultan Sulaiman inilah mula bertanam gambir dalam Riau beberapa ratus ladang dan beberapa banyak Kuli Cina yang memasuknya iaitu yang di perintahkan oleh Yang Di pertuan Mudanya Daeng Celak kepada penggawa Tarum dan Penghulu Caduan mengambil benih gambir itu di pulau Perca di bawa ke Riau di tanam.[1]
Arakian dalam bulan Syawal tahun 1161 itu Sultan Sulaiman berangkat perang dengan Raja Alam anak Raja Kecik yang mengambil Pulau Sinatan kerana ia hendak jadi raja di dana dan akhirnya dapatlah pula Pulau Sinatan itu takluk di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman.
Kemudian dalam tahun 1164 berangkatlah Sultan Sulaiman balik bersemayam di Riau dan adalah di sebut pada khabarnya pulau yang tujuh serta Inderagiri itu memang milik takluk Raja Melaka serta segala keturunannya sampai kepada Sultan Sulaiman ini iaitu awalnya pemberian Ratu Majapahit kepada Sultan Manshur Syah iaitu yang jadi menantunya masa dalam tahun orang putih 1374. Maka sampailah pada lima belas Dza Al Qaa’daha malam Isnin waktu dinihari 1164 Sultan Sulaiman pun mangkatlah di dalam Riau adanya.
Syahdan kemudian mangkat Sultan Sulaiman Badar Al Alam Syah di Riau dan kemudian daripada di makamkan jenazahnya oleh bendahara. Maka datuk bendahara pun menyuruh memberi tahu ke Selangor kepada anakanda baginda Raja A’bada Al Jalil raja di Baruh. Maka apabila sampai surat itu maka raja di Baruh pun mangkat pula di Selangor tetapi wasiatnya minta tanamkan di Riau juga sebab itu di makamkan di tempat yang bernama Betangan di Riau bersama-sama dengan paduka ayahandanya Sultan Sulaiman.
Adapun Raja A’bada Al Jalil raja di Baruh itu ada meninggalkan putera dua orang laki-laki pertama Raja Ahmad dianya yang di jadikan raja menggantikan paduka ayahanda Sultan A’bada Al Jalil. Pada ketika itu umurnya delapan atau sembilan tahun kedua putera sultan A’bada Al Jalil itu Raja Mahmud pada hari mangkat paduka ayahanda belum lepas empat puluh hari zahirnya.
Arakian di dalam tahun 1165 maka Sultan Ahmad pun gering lalu mangkat adalah jadi raja kira-kira satu tahun. Maka bermesyuaratlah Yang Di Pertuan Daeng Celak dan Datuk bendahara dan orang besar-besarnya sebelah Malayu dan sebelah Bugis maka di angkatlah Raja Mahmud yang umurnya kira-kira satu tahun menjadi Raja Johor Pahang Riau dan Linggi.
Pada masa inilah banyak onar pihak sebelah raja-raja Melayu kepada Raja Bugis hingga sampailah tahun 11.. Daeng Kemboja di angkat jadi Yang Di pertuan Muda di Riau yang keempat dan Raja Haji jadi kelana memerintah di bawahnya. Adapun Raja Haji Kelana ini tiadalah tetap amat di dalam Riau selalu berlayar memeriksa segala negeri teluk rantau maka pada tahun 1169 peranglah Raja Haji mengambil Inderagiri. Pada masa Sultan Sholeh Al Din raja Inderagiri kerana dalam tangan Raja Hijau, Raja Minangkabau yang melanggar Inderagiri.
Adapun pada tahun 1190 raja Haji menjadi Yang Di pertuan Riau yang keempat dan pada tahun 1192 Sultan Mahmud pun di tabalkan kerajaannya. Maka pada tahun 1198 syahidlah Raja Haji di Teluk Ketapang Melaka perang dengan Holanda [Belanda] iaitu tahun orang putih 1784. Di ceritakan adalah sebab perangnya ini pada masa Holanda di Melaka kepala perang lautnya Peter Jacob Pan Biram konon yang di pertuan muda itu ada satu perjanjian dengan Holanda musuh kompeni musuhlah kepada Raja Haji. Jika ada pekerjaan tangkap menangkap ada bahagian antara dua pihak.
Maka dengan takdir Allah datang satu musuh Holanda di Riau Raja Haji pun memberi tahu ke Melaka lalu datang angkatan Holanda di perang dan di ambilnya bawa ke Melaka maka ada bahagian Raja Haji di situ. Maka di dakwa oleh Raja Haji akhirnya berselisihan faham hingga jadi perkelahian dan perang maka alah Raja Haji mati dalam perang itu. Kemudian berganti dengan Raja Ali anaknya jadi Yang Di pertuan Muda di Riau yang kelima datang pula angkatan Holanda dari Melaka melanggar Riau maka Raja Ali pun keluar dari Riau membawa dirinya belayar ke Mempauh.
Perang inilah yang di sebutkan dalam perjanjian antara Sultan Riau Linggi Riau alah perang dalam tahun 1198 1784. Maka tinggallah Sultan Mahmud di dalam negeri Riau dengan raja bendahara dan raja tua dan raja temenggung dan raja Indera bungsu yang tiada sekali-kali campur dalam perang itu dan pada masa itulah memperbuat perjanjian dan bersahabat-sahabat antara Holanda dengan Sultan Mahmud Syah dan kepala perang Holanda Peter Jacob Pan Biram. Kemudian balik Peteri Jacob Pan Biram ke Melaka kerana Melaka masa itu dalam tangan Holanda dan tinggallah Holanda seorang Pitur penjaga di dalam Riau duduk di Tanjung Pinang.
Pada masa Sultan Mahmud inilah perjanjian kontrak yang pertama antara Holanda dengan raja-raja Melayu iaitu bertarikh 2 November 1784 sanat hijrah 1199. Maka ada tersebut di dalam surat itu negeri itu di serah oleh kompeni Holanda kembali kepada Seri Paduka Sultan Mahmud serta segala pagawainya yang sudah ada tersebut itu yang memegang segala pekerjaan di dalam negeri itu dan ialah yang di rajakan hingga sampai turun temurun kepada segala anak cucunya selagi ada perkisaran cakerawala matahari dan bulan tetap selamanya ia kerajaan di dalam Negeri Johor dan Pahang di dalam Riau serta segala daerah takluknya itu. Aha اه (Titik)
Sumber: Kitab Sejarah Johor
Manuskrip Riau
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya محمد المهدي
=====================
Catatan kaki oleh Admin:
[1] Dibawa dari Pulau Perca (Andalas, Sumatera) ke Riau. Jadi nama Riau sebenarnya disematkan bukan kepada daerah Riau sekarang melainkan kepada sebuah pulau yang kita kenal dengan nama Pulau Bintan sekarang. Selengkapnya silahkan klik DISINI
=====================
Baca Juga:
- Trilogi Cinta dan Keikhlasan Sang Petualang yang berbuah Kemuliaan - Ihwal Pendirian Kesultanan Siak
- Siak Sri Indrapura Darul Ridzwan -
- Abdul Jalil Shah IV (1699-1720)
- Ismail Abdul Jalil Syah (1765-1781)
- Mahmud Abdul Jalil Muzafar Syah (1746-1765)
- Tengku Embung Badariah
- Sulthan Siak melarang menjual tanah