Pict: deposit photos |
Zin Mahmud (Artikel lama disiarkan kembali)
Sebelum British datang, beratus-ratus tahun orang Melayu dengan Orang Asli hidup bersama dengan aman. Orang Asli tinggal di hutan, orang Melayu tinggal di tepi pantai dan sungai.
Orang Melayu tidak ganggu Orang Asli dan Orang Asli tidak ganggu orang Melayu. Orang Melayu tidak ambil tanah atau hasil Orang Asli. Orang Asli tidak ambil tanah atau harta orang Melayu. Orang Asli dan orang Melayu menukar barang keperluan mereka. Orang Asli jual petai dan rotan pada orang Melayu. Orang Melayu jual garam pada Orang Asli.
Hutan dan gunung ganang adalah hak Orang Asli. Pantai dan sungai adalah hak orang Melayu. Orang Melayu hanya melihat hutan dan bukit dari jauh. Dunia orang Melayu adalah kapal, laut, pulau dan pesisir pantai seluruh Alam Melayu. Tetapi ada juga orang Asli yang tinggal di pantai tetapi tidak menjadi orang Melayu. Mereka ini adalah Orang Laut. Orang Melayu tidak menyebarkan agamanya pada Orang Asli. Orang Asli kekal dengan kepercayaannya. Ada kala kepercayaan Orang Asli turut diamalkan orang Melayu. Sekali sekala ada anak orang Asli jadi orang Melayu. Ikut cara hidup Melayu dan menjadi pelaut. Peluk agama orang Melayu dan kahwin dengan orang Melayu. Seperti kisah Tanggang jadi Malim Deman. Malim adalah penunjuk arah bahtera.
Walaupun orang Melayu ada penghulu, raja dan Sultan tetapi pemerintahannya hanya di pesisir pantai dan tebing sungai, tidak ke tengah hutan. Orang Asli merdeka di hutannya.
Ketika Siam datang hendak menakluk Melaka, kerana mereka menganggap seluruh Semenanjung termasuk Temasik sebagai Swarnabumi adalah milik mereka, Orang Laut di Pulau Sialu di Kuala Sungai Batu Pahat membantu Laksamana Hang Tuah melawan Awi Dicu. Banyak askar Siam terkorban di Minyak Beku. Setiap tahun sehingga hari ini, pelancong Thailand datang ke Minyak Beku memperingati askar askar mereka yang terkorban di Kuala Sungai Batu Pahat.
Ketika Peringgi menakluk Melaka dan membina Kota A Famosa, pemerintahannya tidak meliputi keseluruhan Semenanjung. Kesultanan Melayu hanya berpindah dari Melaka ke Johor. Kemerdekaan Orang Melayu di pesisir pantai dan Orang Asli di hutan tidak terjejas.
Belanda juga hanya menguasai Melaka dan Pulau Pangkor. Kemerdekaan orang Melayu dan Orang Asli tidak terjejas.
Tetapi kedatangan British berbeza. British kata mereka hanya menguasai Pulau Pinang, Seberang Perai, Dinding, Melaka dan Singapura. Mereka kata mereka jadi penasihat kepada raja-raja Melayu.
Tetapi mereka masuk hutan dan ukur tanah. Mereka menamakan negeri ini Malaya tetapi membenarkan orang Melayu menamakannya Tanah Melayu. Mereka buat sempadan antara Siam dan Malaya. Mereka buat sempadan laut antara Hindia Timur dengan Malaya.
Mereka masuk hutan dan jumpa Orang Asli. Mereka seperti Frank Swettenham kaji semua perkara mengenai orang Melayu dan Orang Asli. Juga dikaji tentang hutan-hutan. Mereka juga buat sempadan di hutan-hutan untuk menetapkan di mana milik negeri-negeri dan di mana milik mereka. Melaka yang hanya kota diluaskan menjadi negeri. Dol Said yang menentang ditumpaskan.
Tiba tiba Orang Asli tidak merdeka lagi. Tanah mereka diletakkan oleh British dalam sempadan negeri-negeri Melayu. Yang berkuasa adalah British kerana orang Melayu hanya diberikan kuasa untuk urus agama dan adat istiadat saja.
Setelah diukur, British memugar tanah. Dicarinya timah. Hutan-hutan dijadikan ladang getah. Balak dikeluarkan dari hutan. Untuk mengusahakannya, mereka membawa masuk buruh dari luar, yang dilayan seperti hamba. Peniaga dari luar juga dijadikan sebagai penyambung ekonomi British.
Dari dalam hutan, dicerobohnya untuk diambil balak. Ia digalakkan oleh British dan pewaris British di Malaya dan Borneo. Usaha itu dilakukan oleh usahawan yang berasal dari negeri asing.
Tiba-tiba Orang Asli dapati negerinya diceroboh. Tiba-tiba ada suku Temiar mendapati negerinya dinamakan dengan nama orang putih. Cameron adalah seorang juru ukur. Dia mengukur di suatu tanah tinggi yang dingin, dan akhirnya menjadi tempat percutian pegawai-pegawai penjajah British. Cameron Highlands lebih besar daripada Frasers Hill, Maxwell Hill dan Penang Hill
Malangnya, selepas pemergian British, pewarisnya yang menjadi pemerintah gagal memelihara hutan dan bukit bukau serta gunung ganang yang menjadi negeri Orang Asli.
====
Sumber: FB Neo Melayu