Ilustration Pic: Quora |
Kisah sebelumnya klik DISINI
FB Mahamada al Mahadaya - Kata Shahibul Hikayat maka berapa bagai kata nasihat di katakan anak raja Thibus itu di persembahkan maka Sultan Iskandar pun bertanya pada Nabi Khidir, maka kata Nabi Khidir “Lepaskanlah oleh Sultan bahawa akan puteri itu, telah teguhlah dalam agama yang sebenarnya”.
Maka dikabulkan Sultan Iskandarlah sembahnya itu maka sabda Sultan Iskandar “Hai kekasihku, jangan puteri katakan pada panglima yang membawa puteri kemari itu dan pada segala orang yang sertanya itu akan puteri sudah masuk pada agama Islam Ų§Ų³ŁŲ§Ł
yang sebenarnya itu”.
Maka sembah puteri itu “Ya syah alam, inilah sungguhnya akal yang sempurna harus di pakai” maka di suruhnyalah oleh Sultan Iskandar anak raja Thibus itu berhadir dengan segala tenteranya. Maka berhadirlah segala mereka itu yang tersebut itu dalam berapa hari jua maka berjalanlah anak raja Thibus bersama-sama dengan segala yang tersebut itu. Maka tatkala hampirlah anak raja Thibus ke Negeri Damsyik, maka disuruhnya seorang daripada hulubalangnya maklumkan pada bondanya akan perihal ia datang itu. Maka tatkala datanglah khabar anaknya pada bondanya maka berbangkitlah bondanya pergi mengalu-alukan anaknya.
Setelah di lihatnya anaknya maka di
peluk
di ciumnya oleh bondanya akan anaknya, dibawa kembali ke mahligainya makan minum. Maka duduklah kedua beranaknya, maka bertanyalah bondanya pada anaknya akan perihal ehwal kelakuan Sultan Iskandar dan perihal yang dikehendakinya, dan peri kebanyakan tentaranya. Arakian maka diceterakan oleh puteri itu akan perinya sudah masuk agama Islam yang sebenarnya itu, dikatakannya pada bondanya pelbagai ehwal Sultan Iskandar itu kebesarannya. Kata Shahibul Hikayat setelah didengar oleh bondanya kata anaknya itu, marahlah ia akan anaknya, maka katanya akan anaknya “Hai karam sekali atas kepalamu. Aku menyuruhkan engkau barang dapat engkau membalaskan nyawa ayahmu pada Sultan Iskandar itu, kau bunuh ia dengan racun. Maka engkau pergi masuk pada agamanya dan engkau kabulkan barang dikehendaki padamu.
Datang pula engkau kemari hendak menipu aku bawa masuk kepada agama yang sesat itu, tetapi yang sudah itu sudahlah. Jika mahu engkau kembali kepada agama datuk nenekmu dan mahu engkau menyembah Nar Nur, maka padamlah marahku akan dikau. Jika tiada engkau mahu kembali kepada agama ayahmu sahaja, kuseksa engkau dengan pelbagai seksanya yang tiada pernah engkau lihat diseksakan pada segala manusia dalam alam ini”.
Maka sahut anaknya “Hai bondaku, agama datuk nenek kita itulah agama yang sesat. Menyembah lain daripada Allah Taa’ala dan ingat-ingat bonda hamba akan peri Sultan Iskandar itu, raja yang amat besar dan amat kuasa dan tenteranya amat banyak tiada tepermanai. Bahawa akan raja itu tiada dapat barang siapa menipu dia kerana ia raja yang arif tambahan Nabi Allah pula ada sertanya dan segala menterinya pun hakim tiada dapat sembunyikan”.
Maka diceritakannyalah segala ehwalnya maka katanya “Hai bondaku pun, seperkara lagi akan Sultan Iskandar itu ada kepada dia sulu seorang perempuan raja Radhiah namanya terlalu pahlawan. Kenderaannyapun binatang terlalu pantasnya ia berjalan dahulu daripada Sultan Iskandar berjalan sama dengan dia tenteranya yang terlebih terpilih daripada antara tentera Sultan Iskandar enam ratus ribu (600,000) hulubalang yang ternama yang bersama-sama dengan Sultan Iskandar hulubalang Rum dan hulubalang Maqadunia berlaksa-laksa, berketi-keti buat hulubalang yang pilihan seorang demi seorang amat pahlawan.
Bermula akan raja-raja seperti Raja Jabarsha, dan Raja Andalas, dan Raja Habsyah, lima (5) kaum raja itu dan Raja Barbar, semuanya sudah takluk padanya, seperti Raja Salam anak raja Ghadaqah itu terlalu amat perkasa tiada samanya dalam dunia ini. Sebermula segala negeri itu sekeliannya habis takluk kepadanya seperti Raja Al Wah, dan Kaum Nubi, dan Bajah, terlalu amat banyak tenteranya sekeliannya takluk kepadanya hingga datanglah ia ke negeri kita ini tiada kuasa hamba membilang banyaknya.
Jikalau mahu bonda hamba mendengar nasihat hamba ini, seharusnyalah bonda masuk pada agama yang sebenarnya itu, kerana hamba ini anak pada tuan hamba. Tiada mahu hamba pada kebinasaan bonda hamba barang kiranya di dengarkan bonda hamba nasihat hamba dengan sempurnanya ini.
Seperkara lagi jangan bonda dengarkan dan harapkan pesan raja Darinus itu, tiada akan sungguh seperti katanya itu dapat ia melawan Sultan Iskandar itu, dan tuan hamba pun tiada akan dapat menahani tentera Sultan Iskandar itu, kerana ia raja yang di keraskan Allah Subahanahu Wa Taa’ala pada barang pekerjaan. Jikalau mahu dengarkan bonda hamba nasihat hamba ini bertambah-tambahlah kebesaran bonda hamba. Jika tiada tuan hamba menurut kata hamba ini tak dapat tiada menyesal jua tuan hamba kemudian”.
Kata Shahibul Hikayat tatkala di dengar oleh bondanya kata anaknya demikian itu, maka mengharaplah ia dan berkata ia “Hai celaka dan kutuk atas kepalamu, terlalu jahat sekali engkau ini daripada kasihmu akan Sultan Iskandar, maka demikianlah katamu akan aku. Demi kemuliaan Nar Nur dan demi cahaya yang gilang gemilang dan demi bintang yang tinggi dan demi matahari yang hangat dan demi bulan yang elok cahayanya, jika engkau tiada berpaling daripada agama Sultan Iskandar itu mengikut agama datuk nenekmu bahawa engkau kuseksa akan dengan bagai-bagai seksaku yang tiada pernah engkau lihat seksa itu”.
Maka sahut anaknya “Bahawa demi kemuliaan tuhan yang menjadikan seru alam sekelian tiadalah hamba mahu berpaling daripada agama yang sebenarnya”.
Kata Shohaba Al Hikayat apabila di dengar oleh bondanya kata anaknya demikian itu maka mengharaplah bondanya dengan suara yang amat nyaring daripada sangat marahnya. Maka di suruhnya tangkap anaknya pada hambanya maka tiada berani mereka menangkap tuannya. Maka di hunus pedangnya hendak memenggal mereka itu tatkala sudah di tangkap di suruhnya penjarakan anaknya itu di dalam mahligainya. Tatkala sudah terpenjara maka berkatalah bondanya “Hai sicelaka, sekarang suruhlah tuhanmu yang kau kasih itu melepaskan engkau daripada penjara ini”.
Maka sahut anaknya “Demi tuhanku yang maha kuasa, tiadalah aku mahu hamba berpaling daripada agama Sultan Iskandar itu”. Maka di tampari oleh bondanya mukanya, maka di penjarakannya pada suatu bilik daripada antara bilik mahligainya. Pada ketika itu disuruhnya panggil panglima yang memegang tentera yang membawa anaknya pada Sultan Iskandar itu dan segala orang besar-besar dan segala penghulu suruhan raja Darinus akan bantunya itu.
Setelah datang maka kata isteri raja Thibus katanya “Bersegeralah kamu kita berperang dengan Sultan Iskandar”
Maka berdatang sembahlah panglima Sultan Darinus itu “Adapun akan diperhamba sekelian ini disuruhkan raja kami akan bantu raja jua”. Arakian maka di suruh isteri raja Thibus kembali pada tempatnya masing-masing mereka itu, demikiannyalah pada hari itu. Maka pada keesokan hari keluarlah mereka itu dari Benua Damsyik ke Benua Syam dengan tentera yang amat banyak. Maka isteri raja Thibus pun naik ke atas kenderaannya lalu berjalan bersama-sama tentera banyak itu menuju Benua Syam.
Kata Shahibul Hikayat, al kisah tersebutlah perkataan Sultan Iskandar. Adapun telah sudahlah puteri anak raja Thibus berjalan ke Benua Damsyik dua (2) hari perjalanan jauhnya daripada tempatnya Sultan Iskandar berhenti itu, maka ada seorang membawa khabar pada Sultan Iskandar bahawa isteri raja Thibus minta bantu ia kepada raja Darinus, kehendaknya berperang dengan Sultan Iskandar. Maka isteri raja Thibus pun sudah berjalan ke Benua Syam dan anaknya pun sudah di penjarakannya sebab tiada mahu puteri itu berpaling daripada agama Islam.
Maka tatkala didengar oleh Sultan Iskandar perihal demikian itu maka disuruhnya panggil Nabi Khidir, maka dikhabarkan baginda bahawa anak raja Thibus telah tetaplah ia di dalam Agama Islam. Maka sahut Nabi Khidir “Bahawa bondanya tiada mahu membawa iman, hendaklah dititahkan raja tenteranya dengan seorang panglima yang baik melintangkan dirinya itu di hadapan kita ini”. Maka sabda Sultan Iskandar Barang di kerjakan tuan hamba barang yang berkenan pada Nabi Allah ialah baik di suruhkan”.
Maka kata Nabi Khidir “Ya syah alam, pada akal hamba akan panglima tentera itu Raja Salam anak raja Ghadaqah pergi bersama-sama tentera kita”. Maka di suruh nabi Khidir panggil Raja Salam, maka ia pun segeralah datang, maka kata Nabi Allah akan Raja Salam “Hai tuan hamba, dititahkan Sultan Iskandar akan panglima mendapatkan sulu raja Darinus”. Maka sukacitalah Raja Salam mendengar sabda Sultan Iskandar demikian itu, maka bermohonlah raja Salam kepada Sultan Iskandar dan Nabi Khidir.
Setelah sudah lengkap maka berjalanlah raja Salam dengan segala tenteranya, maka Nabi Khidir 'Alaihi Salam pun minta doa akan raja Salam. Setelah bertemulah mereka itu dengan sulu raja Darinus, maka lalu berjalanlah tampil berperanglah kaum yang bernama Rathahajah dan kaum yang bernama Kanafah dan kaum bernama Lunah nama benuanya. Maka bertemulah segala raja-raja yang gagah, maka larilah segala orang yang penakut, maka berperanglah segala raja-raja yang berani itu dengan raja Salam, anak raja Ghadaqah. Maka iapun mengerahkan tenteranya berperang dengan kaum kafir itu, maka raja Salam pun menyerbukan dirinya dengan tenteranya masuk perang.
Kata Shahibul Hikayat maka tatkala raja Salam menyerbukan dirinya dengan segala hulubalangnya itu, maka bertemulah raja Salam dengan isteri raja Thibus di bawah alam panji-panji bernaga, mengerahkan tenteranya berperang. Maka pada hati raja Salam bahawa inilah panglima tenteranya, maka di suruh raja Salam, maka dihampiri kepada isteri raja Thibus. Maka diperlembingnya oleh raja Salam kena dadanya isteri raja Thibus terus kebelakangnya maka gugurlah isteri raja Thibus dari atas kudanya gugur ke bumi.
Arakian maka diusir raja Salam akan panglima Iraq maka ditetaknya dengan pedang penggal dua (2) maka gugurlah ia dari atas kudanya. Maka tatkala sudah mati isteri raja Thibus dan panglima Iraq itu, pecahlah perang tentera raja Darinus, sekeliannya larilah mereka itu berpalinglah mendapatkan tentera. Maka raja Salam pun kembalilah kepada khemahnya, terlalu banyak beroleh rampasan daripada harta yang tiada terhisabkan daripada emas dan perak dan pakaian kuda pelbagai tawanan daripada laki-laki dan perempuan.
Maka disuruh raja Salam orangnya membawa khabar pada Sultan Iskandar peri kematian isteri raja Thibus dan panglima Iraq itu. Setelah didengar Sultan Iskandar khabar itu, maka sujudlah baginda ke hadrat Allah Taa’ala, syahdan mengucap syukurlah ia serta minta doa akan raja Salam. Arakian maka di suruhkan Nabi Khidir orang memanggil raja Salam, maka tatkala datanglah raja Salam mengadap Sultan Iskandar dengan takzimnya, serta memberi salam ia kepada Sultan Iskandar pun menyahuti salamnya serta dipermuliakan dia.
Berkata Sultan Iskandar pada Nabi Khidir, menyuruh memanggil hulubalang yang ternama yang tertawan daripada isteri raja Thibus itu, maka disuruh nabi Allah bawa mereka itu pada seorang bentara mengadap Sultan Iskandar. Telah datang mereka itu maka bersabdalah Sultan Iskandar bertanya pada mereka itu akan peri ehwal puteri anak raja Thibus itu. Maka dipersembahkan mereka itu peri bondanya murka akan tuan puteri itu, maka disuruh Sultan Iskandar raja Radhiah dan raja Salam dengan segala tenteranya yang banyak pergi ke benua Syam itu.
Kata Shahibul Hikayat, tatkala pecahlah perang isteri raja Thibus, maka segala tentera raja Darinus pun larilah ke benua Syam maka berhimpunlah segala orang besar-besar berbicarakan ehwal orang yang datang lari itu. Maka tatkala itu jua datanglah tentera Sultan Iskandar panglimanya raja Radhiah dan raja Salam, maka kata segala orang isi benua Syam “Adapun raja ini yang dikeraskan Allah Subahaanahu Wa Taa’ala raja yang kuasa dan raja yang gagah tiada dapat di lawan orang tenteranya.
Telah adalah kami mendengarkan perihal segala raja yang tiada mahu takluk membawa iman padanya, seperti raja Jabarsha, dan raja Huas mati di bunuhnya. Seperkara lagi kata Islam di dalam negeri itu, agamanya terlalu benar sempurnalah segala yang mengikut agamanya, kita dengar khabar datuk nenek kita akan raja Namrud dan Firaun yang bantahan itu, tiadalah boleh menang di binasakan oleh nabi Allah Ibrahim dan nabi Allah Musa Alaihi Salam”.
Maka muafakatlah segala orang besar-besar di benua Syam kepada mengikut agama Sultan Iskandar, kemudian daripada itu, maka masing-masing mereka itu membawa persembahan akan Sultan Iskandar daripada segala benda yang mulia-mulia. Maka keluarlah mereka itu dari benua Syam mohonkan ampun pada Sultan Iskandar dan Nabi Khidir, maka kata Sultan Iskandar “Tiada aman melainkan dengan iman jua”. Maka kabullah mereka itu membawa iman, maka diajarkan Nabi Khidir kalimah syahadat mengucap; La Illaha Illallah Wa Asyhaduana Ibrahim Khalilullah Wanabiyullah ŁŲ§ Ų§ŁŁ Ų§ŁŲ§ Ų§ŁŁŁ Ł Ų§Ų“ŁŲÆ Ų§Ł Ų§ŲØŲ±Ų§ŁŁŁ
Ų®ŁŁŁ Ų§ŁŁŁ Ł ŁŲØŁŁ maka mengucaplah sekelian mereka itu.
Maka sukacitalah Nabi Khidir mendengar mereka itu mengucap syahadat itu, maka mengadaplah mereka itu pada Sultan Iskandar, maka dikurnia raja persalin akan orang besar-besar itu, dan dikurnia emas dan perak masing-masing pada kadarnya. Maka titah Sultan Iskandar pada raja Radhiah menyuruh memuliakan mereka itu yang datang mengadap itu, kecil besar laki laki dan perempuan. Isi benua Syam itu semuanya sudahlah mengucap syahadat, maka disuruh mereka itu binasakan rumah berhala dan rumah api dalam benua Syam itu, maka dikerjakan raja Radhian seperti sabda Sultan Iskandar itu.
Al kisah maka tersebutlah perkataan anak raja Thibus duduk dalam penjara setelah sudah didengar khabar bondanya mati, maka iapun keluar daripada dalam penjara, maka terkenang akan Sultan Iskandar. Maka ia keluar membawa segala isi negeri Damsyik dan isi mahligai bondanya daripada emas dan perak dan manikam dan permata dan alat kerajaan ayahnya dan gajah kuda dan perbendaharaan dan segala hulubalang dan segala orang besar-besarnya dan laki laki dan perempuan di bawanya mengadap Sultan Iskandar.
Maka mengucap syahadat telah mereka itu sekelian mengucap, maka sukacitalah Sultan Iskandar dan Nabi Khidir mendengar mereka itu sekelian sudah membawa iman itu. Maka Nabi Khidir pun minta doa akan puteri anak raja Thibus, maka segala harta dan perhiasan istana dan sahaya laki-laki dan perempuan dan perbendaharaan semuanya diberikan isteri baginda raja Thibus segala bahagian raja itu. Sekelian datang itu diberi Sultan Iskandar persalin dan disuruhnya kembali ke tempatnya sukacitalah isi benua Damsyik dan benua Syam itu.
Kata Shahibul HIkayat tatkala di lihat Sultan Iskandar akan negeri Syam itu diluarnya terlalu indah-indah sekali maka berkata Sultan Iskandar pada Nabi Khidir “Ya Nabi Allah, akan negeri Syam ini diluarnya lagi baik jika didalam berapa lagi indahnya”.
Maka kata Nabi Khidir “Insya Allah ta'ala esok harilah baik Sultan berangkat” maka segala orang benua Syam pun mendengar Sultan Iskandar hendak berangkat itu maka sekelian orang besar-besar itu menghiasi negeri Syam itu dengan segala hulubalangnya.
Maka pada esok harinya, maka berangkatlah Sultan Iskandar masuk ke negeri Syam dengan segala raja-raja dan hulubalangnya, maka tatkala dilihatnya oleh Sultan Iskandar akan negeri Syam itu terlalu baik dan amat indah rupanya. Maka kata Sultan Iskandar “Ya Nabi Allah, adakah diketahui tuan hamba siapa dahulunya berbuat negeri Syam ini”
Maka sahut Nabi Khidir “Ada seorang Raja Damsyik dinamakan negeri ini dengan nama dirinya jua. Tatkala diperbuatnya itu dari hujung bukit ke hujung bukit di perbuatnya”.
Maka di bawanya oleh Nabi Khidir Sultan Iskandar didirikan suatu diwala kepada pelita itu. Maka kata Nabi Khidir 'Alaihi Salam “Adapun diketahui syah alam, bahawa diwala ini terperbuat atas bumi dalam dunia kemudian daripada taufan nabi Allah Nuh 'Alaihi Salam”. Arakian maka dibawanya oleh Nabi Khidir akan Sultan Iskandar kepada suatu diwala lagi yang bernama Babil, maka sampailah Nabi Khidir dan Sultan Iskandar pada suatu tempat “Ini tempat nabi Hud Alaihi Salam disitulah ia berbuat ibadat ke hadrat Allah Taa’ala”.
Maka di bawa Nabi Khidir akanSultan Iskandar kepada tempat berhala bernama Shinah Hibron, rumah orang hakim bernama Lahaba, dan ada pada masa Shinah Hibron itu seorang hakim kafir dipersesatnya orang banyak. Diperbuat mereka itu berhala daripada besi dan diperbuatnya pada berhala itu kubah, dan suatu kubah diperbuatnya pada penjuru kubah itu batu berani, dan ditambangnya kubah itu dengan neraca. Maka dihantarkannya berhala itu pada sama tengah kubah yang tersebut itu, diperbuatnya suatu pintu antara langit dan bumi, maka segala isi negeri itu dan negeri lain pun datang mengunjungi berhala itu setengah orang menyembah dia.
Kemudian daripada itu, maka berhala kepada menara kepada pihak maghrib berhala itulah yang di embah oleh segala raja besar-besar daripada kafir. Maka adalah hamba datang ke negeri tatkala itu negeri ini suatu laut, kemudian dari itu seorang raja daripada kaum Bawatan. Kemudian daripada itu pula ada seorang raja daripada kaum Rum, kemudian daripada itu pula ada seorang raja daripada kaum Qibti Tharbanus.
Adapun yang bernama Tharbanus itu, tatkala dilihatnya akan negeri Damsyik itu baik airnya dan baik hawanya, tumbuh tumbuanpun terlalu baik pada penglihatannya. Maka bersabda raja pada segala tenteranya dan hulubalangnya “Bahawa seharusnyalah hamba perbuat suatu negeri di sini”. Adapun pada masa itu bersama raja itu seorang hakim ustad lagi tahu pada ilmu hakim hikmat, maka bersabda raja Tharbanus “Hai hakim kehendak hamba perbuat suatu negeri di sini”.
Maka hakim itu berdatang sembah “Adapun mengadakan suatu negeri di sini dapat yang di perhamba mengerjakan dia tetapi tiada dapat manusia menduduki dia kerana banyak ular bisa di sini. Tak dapat tiada dibunuhnya manusia di sini”.
Maka sabda raja Tharbanus “Tak dapat tiada hamba perbuat jua suatu negeri di sini” maka turunlah raja Tharbanus dengan segala tenteranya, berkeliling sungai yang bernama Barar itu, maka pada malam itu mati seorang hulubalangnya rakyat tiada terhisabkan banyaknya.
Maka sabda raja Tharbanus pada hakim itu “Manakah pengetahuanmu hai hakim, tiadakah dapat engkau perbuat suatu hikmat menawarkan bisa ular ini. Demi kepala mu tiada engkau perbuat suatu akan muslihat menghilangkan bisa ular ini bahawa kepalamu akan balas kerana kehendakku kuperbuat juga sebuah negeri pada hutan ini”. Arakian maka bersegeralah hakim itu berbuat suatu hikmat dengan thalismam disuratkannya kemudian dari itu maka tiadalah seekor ular pun mematuk seorang manusia pun dengan takdir Allah Taa’ala di dalam negeri itu.
Maka kemudian dibawanya hikmat itu kehadapan raja Tharbanus kehendak beroleh kebaktian kepada raja maka sabda raja Tharbanus “Berapa lamanya thalismam ini dapat kekal”.
Maka sembah hakim itu “Selama lagi ada gigi diperhamba, dikepala diperhamba tiadalah ular itu mematuk”. Maka di suruh raja Tharbanus penggal kepalanya hakim itu, maka di suruhnya hancurkan emas, disuruhnya tuangkan atas kepala hakim itu hingga jadi kepala hakim itu sekepal dengan emas.
Maka digantungkannya pada bukit itu ada suatu gua dan tunjukkan oleh Nabi Khidir pada Sultan Iskandar bukit itu bernama Barar ditimbun tanah diratakannya hingga tiada diketahui oleh segala manusia tempatnya. Dari kerana itulah segala ular didalam negeri Damsyik ini tiada mematuk segala manusia. Kemudian dari itu keluarlah Sultan Iskandar, maka sabda Sultan pada segala tenteranya masing-masing berkhemahlah kita di benua Damsyik itu sangat lamanya.
Kemudian daripada itu maka berangkatlah Sultan Iskandar pun pada suatu tempat Rubah namanya, kata suri maka pada esok harinya maka berangkatlah Sultan Iskandar dengan segala tenteranya. Maka di kehendakinya mendatangi negeri Bangalabak maka bertemulah Nabi Khidir dengan sebuah bukit melintang jalan. Telah sampailah ke sisi bukit itu maka putuslah jalan itu maka di suruh Nabi Khidir maklum kepada Sultan Iskandar bahawa jalan kita ini putuslah kerana dihadapan kita ini ada suatu bukit. Bersabda kiranya raja kepada orang memahat batu barang dibukakan kiranya jalan kami.
Maka dipersembahkan oranglah ehwal demikian itu kepada Sultan Iskandar, maka sabda Sultan Iskandar kepada utas memahat batu itu dikerjakan seperti kehendak Nabi Khidir. Maka segala utas itu pun membukakan jalan daripada bukit itu, maka dikerjakan mereka itulah seperti kehendak Nabi Khidir itu. Maka jalan itupun terbukalah jalan itulah namanya Jasar Al Hadam hampir ke benua Balasup.
Hikayat Iskandar Zulqarnain di Universiti Malaya (UM)
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya Ł
ŲŁ
ŲÆ Ų§ŁŁ
ŁŲÆŁ