Ilustrasi Gambar: Arkib Diraja Langkasuka |
FB Babai Racmal - Bukit Serindib ( tempat asal Sang Purba Sang Nila Utama dan Sang Maniaka ketiga nya keturunan Iskandar Zulkarnain macadunia)
Hikayat Bukit Serindib
Arakian maka titah Raja Iskandar kepada Nabi Khidir “Tanyakan pada raja Kana’an adakah negeri lagi di hadapan kita ini?”. Maka ditanya oleh Nabi Khidir kepada raja Kana’an. Maka kata raja Kana’an “Ada hadapan kita ini bukit Serindib yang di turunkan nabi Adam atasnya” maka dikatakan Nabi Khidir kepada Raja Iskandar.
Kata Shahaba Al Hikayat maka berjalanlah tentera Raja Iskandar seperti sedia kala dan berhikayatlah raja Kana’an kepada Raja Iskandar akan peri Nabi Adam A’layaha Al Salam tatkala dimurkai oleh Allah Taa’la dan di turunkan Allah Taa’la ke atas Bukit Serindib. Bahawa di ketahui shah alam, bukit itu amat ajaib segala di jadikan Allah Sabahana Wa Taa’la pada bukit itu pelbagai akar kayu ubat anak Adam A’layaha Al Salam.
Maka tatkala di turunkan Allah Sabahana Wa Taa’la atas bukit itu Nabi Adam A’layaha Al Salam. Maka menangislah ia seratus (100) tahun lamanya dengan sesalnya hingga jadi daripada air matanya itu daripada beberapa anak sungai sekeliannya berisi permata pelbagai warnanya dan berhimpunlah sekelian orang daripada pelbagai bangsanya tetapi hikayatnya telah habislah di ceritakan oleh yang empunya cerita ini yang di namainya pertama dunia ini tatkala di ampun Allaha Taa’la maka menyuruh kembalilah. Maka kemudian daripada itu di dudukinya oleh jin pada bukit Serindib itu.
Bukit Serindib dimasa Nabi Sulaiman
Tatkala sudah Nabi Sulaiman memerintah kerajaan maka diceritakan jin kepadanya perihal bukit itu. Maka berkehendaklah Nabi Sulaiman menziarah akan dia maka pergilah ia mengunjung tapak nabi Adam A’layaha Al Salam. Arakian duduklah ia di atas hamparan yang bernama Bayathoha dan diterbangkanlah oleh angin Roha dibawanya ke atas bukit Silan itu membawa dia jin yang duduk di Silan itulah.
Maka sembahyanglah ia di mihrab Nabi Adam A’layaha Al Salam itu maka berulanglah Nabi Sulaiman A’layaha Al Salam dengan jin yang duduk di Silan itu supaya jangan di buat anak Adam lagi mihrab nabi Adam A’layaha Al Salam itu melainkan mukmin juga yang patut di perbuatnya".
Raja Iskandar Menziarahi Bukit Serindib
Maka datanglah Raja Iskandar hendak melihat bukit Silan itu. Hataya maka berjalanlah enam puluh (60) hari pada bumi yang bernama Anak Batu Babaq maka masuklah segala tenteranya itu berjalan pada bumi itu. Maka pada hari yang ke enam puluh satu (61) terciumlah oleh segala tentera itu daripada bau yang amat harum dan pada hari ke tujuh puluh esa (71) itu maka segala tentera itu pada semalam itu hampir tengah malam maka kelihatan dari atas bukit itu api bernyala-nyala.
Maka tatkala di lihat Raja Iskandar peri demikian itu maka berkata baginda kepada Nabi Khidir “Ya Nabi Allah, bahawa kehendak hati hamba hendak melihat bukit ini”. Maka sahut nabi Khidir “Sahaja di patuhkan Allah seperti kehendak Shah Alam dan barang diketahui raja bahawa adalah seorang jin duduk di sana bernama Shamarakho anak Iblis Laa’nata Allaha.
Adalah bersama-bersama dengan dia makhluk yang banyak tiada lagi terhisabkan banyaknya dan amat gagah ia dan berketahui Shah Alam kiranya yang bermahkota emas beberapa banyaknya daripada tentera shah alam”. Maka sahut Raja Iskandar “Adalah empat ribu (4,000) yang bermahkota” maka kata Nabi Khidir “Adalah yang bermahkota orang itu tiga puluh ribu (30,000) sekeliannya mahkota emas”.
Maka tatkala Raja Iskandar mendengar warta demikian itu maka masyghullah hati baginda dan kata ia kepada Nabi Khidir “Jikalau demikian itu sebagaimana bicara kita. Maka pada hati hamba mudah-mudahan hamba hendak melihat bukit itu ya Nabi Allah”. Maka sahut Nabi Khidir “Jangan gundah shah alam sehari suntuk Ana Shaa Allaha Taa’la pada esok harinya kedua kita lalu kesana. Hambalah membawa shah alam”.
Maka sahut Raja Iskandar “Jikalau boleh pada malam ini kita kesana betapakah padahnya?”. Maka sahut Nabi Khidir “Barang maklum shah alam bahawa pada malam ini jin dikuatkan Allaha Sabahana Wa Taa’laya daripada insan”. Maka bersabda raja Iskandar kepada Nabi Khidir “Ya Nabi Allah, sangatlah bahana pada hati hamba hendak melihat bukit Serindib pada malam ini juga kiranya pada fikir hati hamba hendaklah melihat dia dan barangsiapa ada datang hendak mengampiri dengan hamba sahaja kiranya kita peranglah dengan dia dahulu”.
Raja Iskandar & Nabi Khidir berhadapan dengan Shamarakho
Maka sembah Nabi Khidir “Maklumlah oleh raja bahawa adalah pihak bukit itu raja Shamarakho anak Iblis Laa’nata Allaha dan jika ia berkata-kata dengan shah alam maka kita sahut dan jika tiada mau ia berkata-kata jangan tuan hamba dengan dia berkata-kata melainkan dengan kata yang keras juga disahut oleh raja akan dia. Jangan syak akan dia sahaja Allaha Taa’la serta dengan kita dan ia juga tuhan yang memberi kurnia akan kita kemenangan dan jangan sekali kita syak dan takut akan makhluk” dan beberapa perkataan nasihat dikatakan oleh nabi Khidir kepada raja Iskandar.
Sehari itu berjalan maka hampirlah kepada tempat Shamarakho maka berkata Shamarakho “Siapa bahawa kamu ini dan dari mana datang dan apa kehendak kamu. Tiadakah engkau tahu segala bukit dan sekelian pihak ini berisi dengan tenteraku. Mengapa maka kamu kemari?”.
Setelah di dengar oleh Nabi Khidir segala kata demikian itu maka kata Nabi Khidir “Karam sekali atas kepalamu, tiadakah engkau ketahui bahawa inilah yang bernama Raja Iskandar anak Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zawa Al Qoranayana (Zulqarnain) nama gelarnya. Telah di serahkan Allaha kerajaan di muka bumi ini kepadanya dan bahawasanya akulah yang bernama Nabi Khidir anak Malakana menteri kepada raja itu”.
Maka kata Shamarakho kepada Raja Iskandar “Hai engkaukah yang bernama Raja Iskandar” tiga (3) kali ia berkata-kata demikian itu. Maka jawab Raja Iskandar “Hai Laa’nata Allaha, bahawasanya akulah yang bernama Raja Iskandar. Hai Shamarakho, jangan kiranya engkau diperbaikkan Allaha dan jangan kiranya engkau dipeliharakan Allaha kerana engkau ini tiada bermata dan tiada mengenal raja-raja”.
Maka sahut Shamarakho “Mengapa maka demikian katamu hai raja Iskandar?”. Maka kata raja Iskandar “Kerana engkau tiada memberi salam dahulu kepada aku maka kiranya engkau mengikutkan kehendak hatimu. Bermula pahala salam itu tertib orang isi syurga kerana engkau daripada orang isi neraka maka engkau tiada tahu memberi salam”.
Setelah sudah di dengar Shamarakho kata raja Iskandar itu maka sahutnya “Akulah yang bernama Shamarakho anak Iblis. Tiadakah engkau mengenal aku?”. Maka sahut raja Iskandar “Jangan engkau di perbaik Allaha kiranya akan dikau dan bapamu itu yang dijauhkan Allaha Taa’laya daripada rahmatnya dan kurnianya kerana sebab mengeluarkan bapa kami nabi Adam dari dalam syurga”.
Setelah di dengar raja Shamarakho kata Raja Iskandar demikian itu maka sakitlah hatinya dan merahlah matanya dan terpandanglah urat lehernya dan daripada segala urat matanya dan bergerak-geraklah segala anggotanya dan diangkatkan kepalanya ke udara maka ia mengharap.
Raja Iskandar bertarung melawan Shamarakho
Shahdan di katanya “Ų§Ł (Aha) 3x” maka keluarlah api daripada mulutnya seperti tiang daripada bumilah lakunya keudara dan lalu api itu bercawang-cawanglah antara bumi dan langit dan berhamburanlah bunga api itu berkepul-kepul seperti bukit dan suatu kepul itu baunya amat hancing dan amat mahong. Jika tercium baunya oleh manusia nescaya mati ia.
Setelah raja Iskandar melihat perihal itu maka seramlah roma baginda tiada tertahan tetapi pada hatinya tiada tuhan lain melainkan Allaha juga tuhan menjadikan seru sekelian alam ini, ia jua yang esa dan tunggal. Maka kata nabi Khidir “Jangan shah alam takut bahawa tuhan yang menjadikan seru sekelian alam ada bersama shah alam”.
Maka kata Shamarakho “Hai raja Iskandar, layak dengan mu kah berkata-kata dengan daku. Jikalau kiranya tiada menterimu ini serta dengan engkau nescaya berkehendakku itu berlakulah atasmu dan tiada akan dapat menyahut kataku demikian ini. Sekarang ada daya kiranya kerana menterimu inilah menyampaikan daripada segala pekerjaanmu.
Kiranya jika tiada ia bersama-sama dengan engkau nescaya suatu pun tiada engkau peroleh daripada barang yang engkau kehendak dan tiada dapat engkau naik keatas bukit ini lagi. Maka lamalah sudah ku tikam dengan lembingku ini nescaya terus ke belakangmu”.
Maka setelah didengar katanya maka kata raja Iskandar “Hai seteru Allah, jikalau kiranya tiada aku takut akan Allah dan malu akan menteriku Nabi Khidir ini nescaya kubunuh akan engkau dan ku tikamkan dadamu dengan senjataku ini dan ku binasakan engkau dengan segala tenteramu ini beribu-ribu laksalah telah sudah kubinasakan”.
Setelah di dengar oleh Shamarakho kata Raja Iskandar demikian itu maka kata Shamarakho kepada Nabi Khidir “Jangan kiranya tuan hamba peduli pada pekerjaan ini. Tuan hamba lihatkan juga kedua kami ini”. Maka sahut Nabi Khidir “Barang mana kehendak kamulah bahawa aku tiada memeliharakan kamu”. Maka kata Shamarakho “Ya Nabi Allaha, apa juga kehendak raja ini akan hamba bahawa hendaklah dikatakan oleh tuan hamba benar-benar kepada hamba sementara belum kami kedua berperang”.
Maka dikatakan “Hai Shamarakho, jikalau kiranya engkau duduk disini dan maulah engkau minum air parit bukit ini dan engkau memberilah ufti negerimu akan Raja Iskandar dan jikalau tiada mau engkau demikian itu berpindahlah engkau daripada bukit Serindib ini kebelakang bukit Kaf atau ke pulau yang lain”. Maka lalu di sahutnya oleh raja Shamarakho “Ajaib sekali aku mendengar katamu bahawa aku dapat dijadikan Allaha Taa’la dan dijadikan ke dalam anggota kamu jalan bagi kami antara darah dan daging dan kamu betapa maka kamu hendak minta-minta ufti negeri kami ini”.
Adapun tatkala sudah ia berkata-kata itu diterpakan akan dirinya kepada Raja Iskandar dihalakan senjatanya tiadalah lagi ia berkata-kata segera mendatangi dia kekerasan hatinya. Maka Raja Iskandar mendengar kata dua patah daripada Nabi Khidir maka berserulah baginda “Hai Shamarakho” seraya di tangkap oleh Raja Iskandar akan Shamarakho dan diangkatnya dari atas kudanya dengan kedua tangannya teguh-teguh.
Maka dikelilingnya di atas kepalanya lalu dihempaskannya ke bumi dan diikat kedua tangannya teguh-teguh. Maka tatkala itu kuda Shamarakho laa’nata Allah itu larilah lalu ke samping tuannya. Arakian maka di dudukkan oleh Nabi Khidir di atas punggung kudanya maka berkata ia kepada Raja Iskandar “Marilah kita kembali kepada tentera kita”.
Raja Iskandar menawan Shamarakho
Maka sahut Raja Iskandar “Atas hambalah mana kata nabi Allah” maka kata Nabi Khidir “Berjalanlah shah alam dihadapan hamba dan kehendak shah alam telah sudah di sampaikan Allaha Taa’la”. Maka berjalanlah keduanya membawa Shamarakho anak Iblis Laa’nata Allaha itu dan Nabi Khidir pun seraya membacalah Laa Hawala Wa Laa Qowata Ba Allah Al Aa’la Al Azhyam.
Maka kembalilah Raja Iskandar dan Nabi Khidir membawa Shamarakho itu dengan ikatnya dan Shamarakho terlalu hairan hatinya akan Nabi Khidir materikan mulutnya dengan nama Allah Taa’la yang maha besar kerana inilah segala anggota semuanya itu tiada dapat bergerak. Setelah keluarlah kudanya daripada tentera Shamarakho maka kelihatanlah tentera Raja Iskandar. Maka segala tentera itu datang mengalu-alu akan Raja Iskandar sukalah hati tentera baginda itu mendengar Shamarakho telah tertangkap dengan hal demikian itu.
Setelah sampailah Raja Iskandar ke khemahnya maka masuklah baginda dan Nabi Khidir membawa Shamarakho ke dalam khemahnya dengan ikatnya dan Shamarakho itupun pucatlah mukanya akan perihal di tangkap Raja Iskandar itu dan pada ketika itu juga berkata Raja Iskandar kepada Nabi Khidir “Suruh himpunkan tentera kita berhadirlah akan melawan tentera Shamarakho kerana pada ketika ditangkap oleh Raja Iskandar akan Shamarakho itu tiada diketahui segala tenteranya dan segala keluarganya dan anaknya."
Maka tiada dapat tiada sahaja dicarinya akan Shamarakho ini kerana itulah maka Raja Iskandar menyuruh segala tenteranya berkawal dan Nabi Khidir pun pada ketika itu juga berkata pada Shamarakho “Hai malaun dan anak malaun arakian hai yang dijauh daripada rahmat tuhan yang menjadikan seru sekelian alam. Hai syaitan yang derhaka akan Allah dan rasulnya, engkau lihat apa yang diturunkan Allah atasmu daripada kutuk dan hina dan ditolongkan Allah Taa’la segala hambanya yang diserahkan kerajaan yang di muka bumi ini semuanya terserah kepadanya.
Dan diikat engkau sebab tiada mau mendengar daripada segala barang katanya dan jikalau sangat hasrat kiranya engkau hendak duduk di bukit Serindib ini maka kau berilah ufti negerimu akan dia dan kau taklukkan dirimu kepadanya supaya sentosalah pada segala pekerjaanmu. Jikalau kiranya engkau ikut kataku ini nescaya diberinya engkau duduk pada bukit Serindib ini dan dianugerahinya akan dikau peroleh dengan segala negerimu dan segala dosamu dan dikembalinya engkau kepada segala tenteramu dan kepada segala keluargamu dan kepada segala anak cucumu dan kepada sahabatmu sekelian”.
Setelah didengar oleh Shamarakho Laa’nata Allah kata nabi Khidir itu maka sahutnya “Adapun pada hatiku biarlah dimakan api dan terpenggal dengan pedang teruslah aku mati daripada aku berhamba diriku kepada raja Iskandar ini kerana aku dihalaukanlah segala daripada yang di dalam dunia. Betapakah aku menjadikan hambanya jika dilihat oleh segala tenteraku dan segala handai taulanku dan segala keluargaku dan anak cucuku dengan penglihat yang kurang tetapi adalah orang melepaskan aku daripadamu dengan baik pun sahaja dilepaskan aku.
Sebermula Nabi Khidir sediakan tuan hamba lihat jika tiada menyesal kelak Raja Iskandar akan perihal ini tatkala didatangi oleh segala raja-raja jin dengan segala tenteranya”. Maka sahut Nabi Khidir “Hai seteru Allah, betapa kiranya segala jin itu dapat hampiri ia kepada kami kerana ada bersama-sama dengan kami tuhan kami yang menjadikan seru alam sekelian dan yang melindung kami dan ialah yang mengalahkan api kamu dan kejahatan daripada kamu”.
Hataya Nabi Khidir pun membawa Shamarakho dari sana di hantarkannya kepada sebuah khemah yang tiada berisi dan tengah jalan di suruh Nabi Khidir tanamkan kaki khemah Shamarakho itu supaya tiada diketahui dan disuruhnya korek berkeliling khemah itu parit dan disuruhnya samakan jalannya siapa dapat barangsiapa hendak pergi sampai ke sana.
Dan kemudian dari itu maka Nabi Khidir mengeliling khemah itu seraya di bawanya lembingnya dan disuratnya mata lembing itu beberapa Asam (nama) Allah Taa’la yang maha besar pada keliling khemahnya Shamarakho barang-barang jin kiranya di dengar orang membawa Asam Allah itu dan jikalau di dengar bunyinya jua sekalipun nescaya menjadi hancur seperti timah kena api.
Nabi Khidir membentengi tentara Raja Iskandar
Sebermula setelah sudah Nabi Khidir mengerjakan demikian itu maka datang pula ia kepada tentera Raja Iskandar dan disuratnya pada segala panji-panji tentera itu Asam Allah Taa’la yang maha besar supaya segala jin dan segala syaitan tiadalah dapat hampir ke sana. Adapun tatkala sudah Nabi Khidir mengerjakan demikian itu maka di ajar oleh Nabi Khidir segala orang besar-besar itu beberapa daripada Asam Allah Taa’la yang maha mulia disuruhnya baca.
Kemudian dari itu maka oleh dipilih Nabi Khidir segala orang besar-besar yang faham pada memanah di pilihnya di dalam kawan tentera itu dan disuruhnya segala dan disuruhnya diluar tentera berkhemah mengawal dengan berpanah seraya membaca Asam Allah Al Azhyam kerana jikalau datang tentera jin mendatangi manusia daripada dua tempat jua suatu jalan daripada bumi dan suatu jalan daripada udara kerana inilah maka disuruhnya memeliharakan tentera Raja Iskandar dua kaum. Arakian maka tatkala sudah Nabi Khidir A’layaha Al Salam mengaturkan mereka itu maka di bawanya empat ribu (4,000) zirafah lengkap dengan segala lembing dan istangar di dudukkan sama tengah tentera Raja Iskandar.
Adik dan Rakyat Shamarakho mencari rajanya
Kata Shahaba Al Hikayat maka tatkala sudah dihaturkan Nabi Khidir tenteranya seperti kehendaknya maka kedengaranlah suara segala manusia daripada anak cucu Shamarakho maka keluarlah mereka itu dicarinya akan bapanya itu tiada didapatinya. Maka kembalilah segala kaum jin itu akan saudara Shamarakho yang perempuan bernama Saribah anak Iblis.
Maka kata kaum jin kepada saudara Shamarakho itu “Hai tuan kami, bahawa dari tadi kami mencari tuhan kami dan raja kami maka tiada kami lihat di dalam segala tentera yang telah bersesak antara langit dan bumi. Maka datang ia kemari hendak membinasakan kita kerana bapanya Nabi Adam”.
Tatkala di dengarnya oleh Saribah sembah segala tenteranya demikian itu maka dijadikan anaknya akan kuda dan sendirinya berjalanlah ia kepada tentera Raja Iskandar hingga hampirlah ia kepada tentera itu. Maka bertemulah ia dengan Nabi Khidir maka memberi salam ia kepada Nabi Khidir maka di sahut oleh Nabi Khidir “Akulah menteri Raja Iskandar anak Raja Darab yang empunya tentera ini”.
Maka kata Saribah “Tuan hambakah bernama Nabi Khidir sahabat Nabi Musa anak A’mran?” maka sahutnya “Akulah Nabi Khidir, sebagaimana kehendakmu?”. Maka ujar Saribah “Adakah ketahui tuan hamba daripada khabar saudara hamba Shamarakho?”. Maka sahut nabi Khidir “Siapa engkau ini?” maka sahut Saribah “Bahkan betalah saudara Shamarakho bernama Saribah”.
Maka kata nabi Khidir “Barang kau ketahui kiranya adapun bahawa saudaramu ketewasan berperang dengan Raja Iskandar. Telah ditangkap oleh rajalah akan dia dan di penjaranya akan sebab daripada ufti negeri. Jikalau mahu Shamarakho duduk lagi di bukit Serindib ini diberilah ufti negerinya ini dan jikalau tiada mau sahaja hendak dibunuhnyalah akan dia dan akan segala tenteranya”.
Maka kata Saribah “Hai hamba Allaha kerana apa tuan hamba kata akan hamba barang diperlihatkan tuan kiranya hamba dengan saudara hamba Shamarakho itu. Barang hamba ajarkan dia daripada peri yang sudah hamba lihat daripada budi pekerti tentera ini dan berkata hamba kepadanya bahawa tiada dapat melawan tentera ini. Sahaja di dengarkannyalah kata hamba dan diberinyalah ufti negeri ini tetapi kami pinta sekeping surat daripada raja Iskandar supaya terpeliharalah kami dibelakang raja Iskandar lalu ini”.
Sebermula tatkala di dengar Nabi Khidir A’layaha Al Salam segala perkataan Saribah demikian itu maka disuruh hambanya Fataha Mayaka membawa dia kepada saudaranya. Maka dibawa oleh Fatahalah akan Saribah bertemu dengan saudaranya hingga datanglah kepada parit khemah Shamarakho. Maka disuruh Nabi Khidir A’layaha Al Salama bentangkan sekeping papan akan tempat Saribah berjalan. Maka bertanya Saribah tatkala Saribah bertemu dengan saudaranya “Sebagaimana hikayatmu dengan Raja Iskandar" maka di ceritakannyalah oleh Shamarakho semuanya pada saudaranya Saribah.
Saribah kena tawan
Kata Saribah “Barang diketahui tuan hamba bahawa Raja Iskandar sekarang ini kehendaknya akan membinasakan tenteramu dan keluargamu dan anak cucumu”. Maka kata Shamarakho “Jikalau dapat engkau menjadikan dirimu seekor kuda barang dapat kiranya hamba keluar dari sini”. Maka dijadikan Saribah seekor kuda tatkala itu sudah Shamarakho itu membukakan rantai dan berdirilah di luar pintu khemahnya kehendaknya barang dapat ia keluar daripada parit itu.
Maka Saribah itu pun tiada dapat ia keluar maka kata Saribah akan saudaranya Shamarakho “Demi bapa kita Iblis bahawa hamba pun ditipu oleh nabi Khidir seperti menipu engkau juga. Maka jadi sekarang segala tentera kita pada masa ini seperti kawan kambing tiada bergembala” dan berkata ia akan anaknya Shamalah “Kembalilah engkau segera berkata kepada segala anak cucumu inilah hal kami barang kiranyalah mereka itu”.
Tentara Shamarakho Menghadap Iskandar Zulqarna'in
Arakian maka Shamalah pun menjadikan dirinya seperti seekor lalat dan berterbanglah ia kembali. Maka tatkala dilihat oleh segala keluarganya dan tenteranya akan Shamalah datang itu maka bertanya segala keluarganya dan tenteranya akan perihal itu dan akan Shamarakho dan andangnya. Maka diceritakannyalah “Bahawa andang, mama hamba Shamarakho pun sudahlah keduanya ditipu oleh Nabi Khidir sudahlah di milikkan keduanya”.
Maka sahut segala mereka itu “Jikalau demikian marilah kita berperang dengan tentera Raja Iskandar”. Maka sahut Shamalah “Adapun barang kamu ketahui bahawa pesan andang hamba jangan kamu melawan tentera Raja Iskandar ini. Bahawa sia-sia lah pekerjaan yang demikian itu sahaja tiada dapat kamu melawan tentera itu jikalau kerjakan nescaya menyesallah kamu”.
Kata tentera jin itu “Sebagaimana gerangan pekerjaan kita?” maka kata Shamalah “Pada akal budiku dan bicaraku bahawa segala orang tuha-tuha dan segala orang besar-besar semuanya pergilah berjanji jua pada akal hamba”. Maka kata segala orang besar-besar dan tenteranya “Sehingga inipun suatu bicara lagi”.
Maka berhimpunlah segala orang besar-besar dan orang tuha-tuha sekeliannya datang kepada Nabi Khidir seraya berdatang sembah segala tentera jin demikian bunyinya “Dikekal Allah tuan hamba ya nabi Allah. Barang di maklum kiranya kepada raja bahawa kami datang bukan dengan kehendak kami berperang akan tetapinya berbicara kami akan Shamarakho juga kami”.
Maka di suruh Nabi Khidir segala tentera Raja Iskandar kembalilah masing-masing pada tempatnya dan datanglah Nabi Khidir kepada raja Iskandar. Maka dimaklumkan akan perihal dan kehendak segala tentera jin itu dan sekelian yang datang daripada menteri Shamarakho masuklah ke khemahnya dan tatkala dilihat Shamarakho segala menterinya datang maka bangkitlah ia berdiri memberi takzim akan mereka itu.
Perdamaian dengan Raja Iskandar
Sebermula tatkala dikatakan sudah tentera jin itu berlihat dengan Shamarakho maka disuruh nabi Khidir bawa Shamarakho kehadapan raja Iskandar akan peri mereka itu. Maka sahut Shamarakho “Bahawa hamba persembahkanlah ufti beri kebawah duli shah alam dan berwaadlah hamba bahawa sekarang daripada barang siapa yang perseterunya ke bawah duli shah alam bahawa iaitu sahabatlah kepada hamba”.
Maka tatkala di dengar Raja Iskandar kata Shamarakho demikian itu maka sabda Raja Iskandar kepada orang menjawat kertas daripada emas. Maka disurat Raja Iskandar sendirinya menyurat demikian bunyinya “Bahawa suratku ini surat aman tuhan yang menjadikan seru alam sekelian kemudian dari itu aman raja Iskandar anak Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zawa Al Qoranayana (Zulqarnain) gelarnya akan Shamarakho anak Iblis dan segala anak cucunya dan segala jin yang di bawahnya bahawa segala mereka itu tiada ia memberi mudharat dan kejahatan pada segala kaum ini. Maka segala mereka itu tentera jin ini tiada membinasakan segala anak Adam yang datang mari ke sini”.
Arakian maka Shamarakho pun disuratnya suatu surat dengan khotho dirinya diberi kepada Raja Iskandar. Demikian bunyinya “Bahawa ini berkata Shamarakho anak Iblis bahwa sudahlah aku tunduk mengikut firman Allah dan sabda Raja Iskandar dan sabda Nabi Khidir. Bahawa aku dan segala anak cucuku dan segala keluargaku tiada aku membinasakan segala anak Adam yang datang ke mari dan tiada lagi aku melawan dia dan jikalau kiranya bersalahan fikir hatiku daripada janji ku ini daripada barang kutuk yang tiada diharus lagi hamba menanggung dan inilah surat aku menyurat akan dia dengan tangan jariku sendiri bersaksilah aku atasku”.
Maka tatkala sudah Shamarakho menyurat itu maka diberinya kepada tangan Nabi Khidir sendiri. Sebermula tatkala sudah dipegangnya surat itu maka dipinta oleh Nabi Khidir hadir ufti daripada Shamarakho maka kabullah raja Shamarakho memberi ufti.
Arakian maka dianugerahi persalin oleh Raja Iskandar akan raja Shamarakho dan dipersalin segala orang besar-besarnya yang takluk kepadanya dan saudaranya Saribah pun genaplah dipersalinnya maka di suruh kembali kepada tempatnya. Maka kembalilah ia dan dihimpunkannyalah daripada emas dan perak dan permata yang tiada dapat di kiamatkan dan disifatkan pada rupa permata itu dan daripada cahayanya permata itu bagai-bagai warnanya tiadalah dapat jauhari menghargakan pada segala permata itu.
Kata Shohaba Al Hikayat bahawa diceritakan oleh yang empunya hikayat ini sehingga belum datang Raja Iskandar ke Bukit Serindib tiada dapat manusia berjejak ke sana dan selama masuk Raja Iskandar ke sana dan bersurat-surat dengan raja Shamarakho datang sekarang tiada pernah yang bernama anak Adam masuk ke bukit Serindib dipernakalkan jin dan tiada pernah pada segala negeri di bawah angin suatu pula negeri yang taranya dan jikalau tinggal daripada permata laksana batu melainkan tinggal daripada lebih Raja Iskandar juga.
Arakian maka tatkala sudah Raja Iskandar diadap Shamarakho mengantarkan segala hartanya yang tersebut itu maka dibawanya persembahkan Raja Iskandar maka oleh Raja Iskandar dipersalinnya sekali lagi. Pada esok harinya maka berangkatlah Raja Iskandar dengan segala tenteranya seperti adat dahulu kala sehingga datanglah ke negeri Serindib.
Hikayat Iskandar Zulqarnain di Universiti Malaya (UM)
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya