FB Habidah Nordin - Jalo, Jalor, Jalur, Yalor, Yalur dan Yala. Sebutan di dalam dialek Kedah, Kelantan dan Siam terhadap negeri Jala. Sebuah negeri pemerintahan beraja Melayu yang dikatakan berasal dari perkataan Jala iaitu sejenis jaring yang ditebar sebagai alat untuk menangkap ikan. Bentuk muka-bumi Jala yang berbukit-bukau dan berbentuk seperti jala itu dikatakan menjadi asas kepada nama negeri tersebut. Sesuai juga dengan peralatan utama penduduknya yang majoriti menggunakan jala bagi menangkap ikan di sungai.
Negeri Jala bersempadan dengan Chenak di barat laut, Nongcik di timur laut dan Pujut di sebelah timur. Di sebelah selatannya ialah Reman dan dibahagian baratnya pula ialah Kedah. Sungai utama di Jala ialah Sungai Biserah, atau Biserat@Bersirat. Antara nama bukit-bukaunya pula ialah Bukit Bilau, Bukit Besar atau dipanggil Bukit Indragiri yang mempunyai puncak tertinggi dan pernah menjadi mercu-tanda kepada pelayar di laut sebagai petunjuk arah negeri Patani. Di bahagian selatan Jala pula terletak Bendang Setar, sebuah kawasan yang kaya dengan perlombongan bijih-timah dan batu-kapur.
Jala dikatakan dibuka oleh Tuan Jalur pada sekitar tahun 1750-an. Baginda ialah Tuan Long Man putera kepada Tuan Long Nik atau Datu Pujut. Penghijrahan baginda ini mempunyai kaitan dengan ancaman serangan Siam terhadap Patani dan Kedah serta perang saudara di Kota Kubang Labu di Kelantan. Tuan Long Deraman dan Tuan Long Ghaffar adalah adik-beradik Tuan Jalur. Manakala Raja Long Nuh adalah Raja Patani yang memerintah dari tahun 1749 hingga tahun 1771, adalah saudara tua baginda. Manakala Raja Pandak pula adalah sepupu baginda berempat saudara. Tuan Long Man membuka kampung Jalur dan menjadikan pusat pentadbiran Jala di sana. Golongan alim-ulama yang juga turut serta dalam penghijrahan itu menyebabkan penempatan Jala semakin berkembang pada penghujung abad ke-18.
Kebangkitan Datuk Pengkalan bersama pejuang-pejuang Melayu Patani pada tahun 1808 menyebabkan Siam memecahkan pentadbiran Patani kepada 7 wilayah kecil. Siam mengiktiraf Tuan Jalur sebagai Raja Jala pada tahun 1810 dan memberi gelaran kebesaran Siam iaitu sebagai Phraya Lor. Mengikut perlembagaan Siam, gelaran tersebut adalah setaraf dengan jawatan Gabenor.
Tuan Jalur mangkat pada usia tua dalam tahun 1817. Putera baginda, Tuan Bangkok ditabalkan sebagai raja Jala yang ke-2. Hanya tiga generasi keturunan Tuan Jalur yang memerintah negeri Jala yang menyaksikan Tuan Kundur adalah raja Jala yang terakhir. Tuan Kundur bersama Tuan Sulong iaitu raja Patani, Tuan Nik Dih, Raja Nongcik dan Tuan Nik Dah atau Nik Diah, Raja Legeh berserta rakyat-jelata telah bergabung dengan pasukan Tengku Kudin putera sultan Kedah pada tahun 1831.
Terengganu turut menghantar 5 orang panglima bersama 5000 tentera Melayu dan Kelantan turut menghantar 3000 tentera dalam gabungan orang Melayu itu. Gabungan tentera-tentera pasukan pahlawan-pahlawan Melayu ini telah bangkit menentang kafir Siam yang banyak melakukan penindasan serta kekacauan pemerintahan raja-raja Melayu di bumi Patani serta Kedah. Malangnya,Tengku Kudin telah terkorban menyebabkan pasukan angkatan Kedah menjadi kacau-bilau kerana hilang ketua pasukan perang. Serangan besar-besaran Siam dengan menambah 6000 ekor gajah perang serta bantuan askar-askar dari Chenak, Singgora, Ligor dan Bangkok menyebabkan pasukan angkatan tentera-tentera Melayu Patani terpaksa berundur.
Tuan Kundur iaitu raja Jala dan Tuan Sulong yakni raja Patani terpaksa berundur ke Kelantan pada tahun 1832. Apabila tamatnya perang yang dikuasai kafir Siam itu, Nai Him Sai atau disebut sebagai Luang Sawad Phakdi dilantik menjadi raja Jala dan memindahkan pusat pentadbiran ke Kubang Teras.Dan apabila Nai Him Sai mati, dilantik pula Nai Muang yang juga merupakan seorang kafir buddha Siam untuk memerintah lalu menukar nama negeri Melayu Jala kepada Yala. Dengan perlantikan Nai dari Siam itu, maka berakhirlah kedaulatan takhta raja-raja Melayu di bumi Jala setelah seratus empat puluh tahun penubuhan negerinya.
*Gambar Peristiwa Di Bumi Patani
Sumber: Sejarah Cakna Patani Merdeka