Oleh Zabidin Hj Ismail
Pengenalan
Tok Tua Sakti @ Tok Simpang Tiga[1] atau nama sebenarnya ialah Abd Rahman b. Raja Setia[2] berasal dari Rao[3], Sumatera Barat, Indonesia dan merupakan pengasas Kampung Datuk, Tapah. Kampung ini merupakan kampung yang terawal dan tertua di pekan Tapah.
Tapah terletak di pinggir Sungai Batang Padang. Sungai tersebut dahulunya besar menjadi laluan dagang kapal-kapal kerana dipercayai pada zaman dahulu Tapah merupakan sebuah pelabuhan. Sehubungan itu Tok Tua Sakti datang ke Tapah sebagai pedagang.
Tok Tua Sakti datang ke Tapah bersama-sama dua orang adiknya iaitu Tok Bayas dan Tok Sebarau. Mereka tiba di Tapah dari Sumatera merentasi Selat Melaka ke muara Sungai Perak di Bagan Datoh hingga ke Teluk Intan dengan menggunakan lancang (kapal layar) dan dari Teluk Intan menggunakan sampan mudik ke Kinta dan Sg Bidor lalu memasuki Sungai Batang Padang.
Tok Tua Sakti dan adiknya dipercayai meneroka kampung Datuk pada kurun ke 16 selepas negeri Perak wujud pada tahun 1528. Pada peringkat awal mereka bermukim di situ kerana lokasinya agak strategik – berbukit yang terletak di tebing sebelah kanan Sungai Batang Padang. Nama Tapah belum muncul ketika mereka menemui Kampung Datuk.
Kampung Datuk mendapat nama daripada gelaran tiga “tok” tersebut iaitu Tok Tua Sakti, Tok Bayas dan Tok Sebarau. Mereka juga yang memainkan peranan penting membuka Pekan Tapah yang terletak bertentangan dengan Kampung Datuk iaitu seberang Sungai Batang Padang.
Pekan Tapah mula dibina sebagai ibu daerah pada tahun 1888 setelah British campur tangan dalam pentadbiran Perak melalui Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Ketika itu Pekan Tapah sudah mempunyai penduduk seramai 1800 orang.
Tapah mendapat nama
Ada tiga versi cerita Tapah mendapat nama;
Pertama;
Sejarah Tapah berasal dari nama sejenis ikan iaitu ikan tapah. Pada zaman Sultan Mukaddam Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah, Sultan Negeri Perak yang ke-enam, permainan sabung ayam amat terkenal di kalangan rakyat jelata dan permainan ini menjadi tontonan orang ramai dan berjudi.
Semua golongan tidak kira golongan rakyat jelata, bangsawan sehinggalah sultan bermain sabung ayam. Ini termasuklah Tok Tua Sakti iaitu salah seorang peneroka awal Pekan Tapah. Beliau menyabung ayam sehingga kalah teruk dan tergadai kampung halaman serta harta bendanya hingga jatuh miskin.
Setelah beliau kalah, Tok Tua Sakti amat menyesal dan bertaubat. Kemudian pada malam berikutnya, beliau bermimpi. Di dalam mimpinya, beliau di suruh ke kuala Sungai Batang Padang dan terdapat seekor ikan tapah sebesar manusia akan terdampar di situ. Di dalam perut ikan berkenaan, terdapat beberapa kepingan emas yang boleh membantu Tok Tua Sakti untuk menebus kembali kampungnya[4].
Setelah berjaya mendapatkan emas berkenaan dengan membelah perut ikan tapah dengan sembilu buluh dan menjahitnya dengan menggunakan ijok kabung sebagai benang manakala sundang lalang sebagai jarumnya.
Sejak kejadian itu, kaum keluarga Tok Tua Sakti disumpah dan tidak boleh memakan atau menganiaya ikan tapah selama-lamanya kerana ikan tapah telah berjasa dan menyelamatkan beliau dan kampungnya. Berasaskan kepada peristiwa tersebut, penduduk telah menamakan kawasan ini sebagai Tapah[5].
Kedua;
Penduduk sekitar Sungai Batang Padang menanam jenazah di tanah perkuburan di Kampung Datuk. Zaman dahulu mereka membawa jenazah menggunakan sampan kerana tanah perkuburan itu berhampiran tebing Sungai Batang Padang.
Apabila hujan lebat dan air Sungai Batang Padang menaik sehingga menenggelamkan perkuburan itu, kelihatan banyak ikan tapah seberat 60 hingga 70 kati menyondol tanah kubur untuk mencari mayat yang baru ditanam. Peristiwa ini menimbulkan keanehan dalam kalangan penduduk setempat lalu menamakan kawasan ini sebagai Tapah[6].
Ketiga;
Selain temasya sabung ayam banyak lagi cerita yang berlaku di antara Tok Tua Sakti dengan ikan tapah. Antaranya ialah Tok Tua Sakti pernah bermudik di kuala sungai simpang tiga lalu bertembung dengan ikan tapah yang menghalang perjalanann perahunya.
Pelbagai cara telah dilakukan menghalau ikan itu termasuk menangkapnya tetapi perjalanannya tetap dihalang oleh ikan tapah. Akhirnya Tok Tua Sakti menggunakan kuasa kesaktiannya lalu ikan tapah tersebut tenggelam perlahan-lahan dan diikuti turunya hujan panas[7].
Ketrampilan Tok Tua Sakti
Beliau dikatakan seorang yang lemah lembut dan sering memakai jubah hitam[8]. British menganggap tokoh ini sebagai ketua masyarakat di Tapah kerana berfikiran matang, berakhlak serta mementingkan ilmu manakala Sultan Perak ke-14 (1744-1750) yakni Sultan Muhammad Shah menganugerahkan gelaran Toh Tan Dewa Sakti, Orang Besar 32 Perak[9] atas ketrampilan Tok Tua Sakti yang dianggap ketika itu sebagai Orang Besar Jajahan Batang Padang.
Tok Tua Sakti mempunyai ilmu kasyaf yang tinggi dapat mengetahui bencana atau malapetaka yang akan melanda pekan Tapah. Kejadian seperti wabak taun, banjir serta lain-lain banyak diketahuinya terlebih dahulu kemudian dikhabarkan kepada masyarakat Tapah supaya berhati-hati serta berwaspada. Ekoran itu penduduk Tapah sangat menghormati dan memuliakannya [10].
“Kapit”
Tok Tua Sakti dikatakan mempunyai “kapit” merupakan seekor harimau tempang yang kerap mendampingi serta menjaga keturunan beliau. Dipercayai lagi, harimau tersebut pernah dilihat di sekitar makam Tok Bayas di Kampong Ampang sehingga ke Bukit Changkat Rembian. Malah ada juga mendakwa harimau tersebut meronda-ronda di kawasan orang asli Kuala Woh.
Selain itu, buaya keramat serta penyu putih dipercayai juga milik Tok Tua Sakti yang akan timbul di Sungai Batang Padang jika sesuatu yang tidak diingini akan berlaku di Tapah [11].
Ada satu lagi cerita kehebatan Tok Tua Sakti yang mampu memecah batu keras yang tersadai melintang sungai Batang Padang di Kg Batu Melintang. Batu besar itu menghalang pergerakan perahu penduduk menghilir ke Tapah.
Oleh yang demikian mereka mengadu kepada Tok Tua Sakti supaya batu besar dapat dialih bagi memudahkan perjalanan perahu. Anehnya, Tok Tua Sakti hanya mengambil masa dari waktu isyak hingga ke subuh menakek batu itu menjadi terusan sekaligus membolehkan perahu mudik dan menongkah tanpa halangan lagi.
Berpegang kepada prinsip
Tok Tua Sakti sanggup membunuh adiknya, Tok Sebarau semata-mata tidak mahu melihat adiknya bergelumang noda. Kejadian ini berlaku disebabkan Tok Sebarau “dipikat” oleh orang asli Kuala Woh. Tok Sebarau seorang yang alim dan pembersih. Dia berniaga garam, tembakau dan pinang di Kuala Woh berdekatan dengan kampong orang asli.
Oleh kerana mengamalkan kebersihan, pangkin tempat barang jualannya sering disamak setiap kali selepas orang asli datang membeli barang jualannya. Perbuatan Tok Sebarau menyamak pangkin itu telah menyinggung hati orang asli.
Suatu hari orang asli itu menaburkan cawatnya yang dikoyak-koyak dari pangkin Tok Sebarau hingga ke kampong orang asli itu. Tok Sebarau “terkena” ilmu lalu mengikut cawat yang ditabur itu sehingga tiba ke rumah orang asli lalu tinggal bersama-samanya. Dia lupa perniagaan dan kampungnya di Tapah.
Menyedari kejadian ini, Tok Tua Sakti dan Tok Bayas pergi ke kampong orang asli itu dan mengajak Tok Sebarau pulang tetapi Tok Sebarau tidak mahu balik. Pelbagai helah diusahakan tetapi tidak berjaya. Akhirnya mereka meminta tunjukkan jalan balik kerana hari sudah senja. Mahu tidak mahu Tok Sebarau pun bersetuju. Dalam perjalanan itu, Tok Tua Sakti menikam adiknya, Tok Sebarau sehinga mati.
Mayatnya dimandi dan disembahyang serta dikebumikan di suatu tempat bernama Bukit Sebarau berdekatan dengan Batu 6 Jalan Pahang, Tapah. Kubur Tok Sebarau masih ada lagi di bukit itu manakala anak sungai tempat memandi mayat Tok Sebarau suatu ketika dahulu airnya berwarna merah[13]. Bagaimanapun sekarang tidak lagi kerana tercemar dengan pembinaan kolam ikan air tawar.
Tok Tua Sakti dikatakan meninggal dunia ketika berusia 130 tahun. Keturunannya masih ada lagi dan menetap di Kampong Datuk, Kampong Lubuk Katak dan Kampung Bermin.
Penutup
Tok Tua Sakti seorang tokoh yang banyak berjasa dalam pembinaan insaniah masyarakat serta pembangunan setempat. Ini terbukti banyak tanah kepunyaannya diwakafkan untuk tujuan keagamaan termasuklah pembinaan Sekolah Agama Rakyat Ar Rahmaniah di Kampong Datuk, Tapah.
Namun demikian riawayat hidup Tok Tua Sakti tidak dapat ditonjolkan dengan sempurna kerana kekurangan bahan berbentuk fakta melainkan berkisar dengan mitos dan legenda yang kurang wibawa.
[1] Mantan guru, Kamarudin, 77, No.428 Sg. Selinsing, Jalan Temoh, Tapah
[2] Haji Alias bin Mat, 60 tahun, Kg Seri Azam (dahulu: Kg Bakar Sampah) Jalan Pahang, Tapah, Perak
[3] Menurut Datuk Shawaludin Mat Din 65 tahun dakwa bahawa beliau pernah berbual dengan Badilah seorang pekedai runcit di Kg. Batu 6, Jalan Pahang pada tahun 50-an yang merupakan keturunan Tok Tua Sakti. Badilah pulang ke Rao, Sumatera pada tahun 1958 dan meninggal dunia di sana (wawancara menerusi telefon pada 9.10.2011 jam 9.00 pafi)
[4] Kisah ini menyamai dengan cerita Pak Kaduk di Lambor yang hidup sezaman dengan Sultan Perak Pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah ibn Al Marhum Sultan Mahmud Shah (1528-1549) Bukti cerita Pak Kaduk ialah kerongsang emas daripada perut ikan Tapah masih disimpan oleh keturunannya manakala cerita Tok Tua Sakti tidak pula dibuktikan dengan emas yang dijumpai itu.
[5] Majlis Daerah Tapah
[6] Wawancara dengan Datuk Shawaluddin
[7] Mantan guru, Kamarudin, 77 tahun
* http://tokohrao.blogspot.com/2011/?m=1
Disalin dari kiriman Tokoh Rao Blogspot