Foto: republika |
Disalin dari FB Seri Cendikiawan
Maharaja Derbar Raja merupakan Maharaja Gumarun iaitu sebuah kerajaan di Parsi (Iran sekarang). Suatu hari negeri baginda telah diserang hebat oleh sebuah kerajaan lain sehingga kerajaan baginda jatuh. Baginda bersama dengan anak bininya dan pengikut setianya telah melarikan diri dengan sebuah babur iaitu sejenis perahu.
Mula-mula baginda singgah di Pulau Serindit dan tidak beberapa lama kemudian baginda telah bergerak ke Teluk Burma pula dan seterusnya ke Kuala Qilah. Babur atau perahu baginda yang besar dan cantik itu telah menarik perhatian penduduk Kedah pada waktu itu sehingga sampai ke pengetahuan pemerintah Kedah pada waktu itu iaitu Tan Dermadewa dan Tun Perkasa.
Kemudian pemerintah Kedah telah memberikan persalinan kepada Maharaja Derbar Raja. Selain itu, Tan Dermadewa dan Tun Perkasa juga telah mengarahkan pengikutnya untuk membina sebuah rumah untuk Maharaja Derbar Raja. Tatkala rumah itu siap, maka Maharaja Derbar Raja bersama anak bininya serta pengikut setianya telah didudukkan di rumah tersebut. Gajah-gajah terbaik juga telah dipilih sebagai kenderaan untuk Maharaja Derbar Raja.
Tidak lama kemudian, Tan Dermadewa dan Tun Perkasa serta segala ketua-ketua telah bermesyuarat untuk meletakkan Maharaja Derbar Raja sebagai Raja bagi Negeri Qalha. Setelah putus dalam mesyuarat, maka Maharaja Derbar Raja telah diangkat sebagai Raja Kedah yang pertama yang turut digelar sebagai Phra Ong Mahawangsa.
Baginda telah ditabalkan sebagai Raja Kedah yang pertama sekitar tahun 630M.
Pada suatu hari, baginda Maharaja Derbar Raja berkeinginan untuk membina sebuah kota yang baharu. Maka bersiaplah Tun Perkasa dan Tan Dermadewa dengan segala kelengkapan seperti gajah dan bekalan makanan.
Sambil mencari tempat untuk membina kota itu, mereka mengambil kesempatan dengan bersuka ria dan memburu. Tidak lama kemudian, sampailah mereka di suatu kawasan yang sesuai untuk membina kota. Maharaja Derbar Raja telah mengarahkan supaya dihimpunkan segala rakyat untuk membina kota. Kota tersebut telah ditambak dengan tanah dan ditanam dengan buluh duri serta memiliki 3 pintu gerbang.
Setelah semua keringat dikerahkan dengan susah payah, akhirnya kota baharu tersebut berjaya juga disiapkan. Kota baharu tersebut telah diberi nama sebagai Kota Langkasuka. Sebagai tanda sukacita, baginda telah menganugerahkan segala pangkat dan kebesaran kepada mereka yang bersusah payah menyiapkan kota tersebut.
Menurut Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah, sistem kerajaan Qalha (Kedah) pada waktu itu menggunakan sistem seakan pembesar 4 lipatan dimana ada pembesar berempat, pembesar berlapan dan pembesar enam belas. Jadi ini bermakna, Kedah merupakan Kerajaan yang mula-mula menggunakan sistem pembesar empat lipatan jauh sebelum Melaka mula menggunakannya.
Selepas beberapa lama memerintah Qalha, Maharaja Derbar Raja akhirnya gering dan mangkat. Maka diperlakukan orang dengan selayaknya adat raja-raja pada waktu itu. Takhta Kerajaan Qalha kemudiannya telah diambil alih oleh puteranya iaitu Maharaja di-Raja Putra yang membina Kota Bandar di Siong.