Ilustrasi Gambar: Go West |
MANUSKRIP Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO sudah mencecah 32 salinan di seluruh dunia, tetapi penerimaan karya agung itu di tanah air khususnya generasi muda masih mencetuskan persoalan.
Penghayatan terhadap sejarah bangsa Melayu di negara ini berlandaskan Sulalatus Salatin kurang diberi penekanan dalam membentuk kefahaman terhadap bangsa.
Tidak hairanlah pengetahuan generasi muda terhad kepada tokoh tertentu seperti Parameswara, Hang Tuah, Tun Ali, Sultan Mahmud dan Puteri Hang Li Po saja.
Tidak mustahil ada yang menganggap sebahagian peristiwa yang disorot dalam naskhah itu tidak lebih daripada dongeng tanpa mengetahui nilai yang terkandung pada episod berkenaan.
Kebimbangan itu pernah disuarakan oleh Penyelidik Utama Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali termasuk ketika membentangkan kertas kerjanya Kearifan Melayu Sejagat, Sepanjang Zaman di Wacana Sulalatus Salatin, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
MUTIARA TIDAK TERPELIHARA!
Abdullah Zakaria mengingatkan mutiara yang dijaga dengan rapi, nilainya pasti tinggi dan mendatangkan hasil kepada pemilik dan keturunannya.
"Bagaimanapun, sekiranya pemiliknya tidak memelihara dengan baik, kehebatannya tidak dapat diuar-uarkan kepada umum.
"Sulalatus Salatin sebenarnya menggambarkan kearifan Melayu yang mengangkat kehebatan pemimpin sehingga menjulang ke puncak, tetapi pada masa sama, tidak mengabaikan kritikan terhadap pentadbiran Kerajaan Melayu itu," katanya.
Beliau berkata, keseimbangan itu memperlihatkan bagaimana kearifan Melayu dalam menyampaikan kebenaran dan contoh teladan kepada generasi pewarisnya.
SEMANGKUK DARAH, TOLAK PINANGAN
Abdullah Zakaria membawa contoh kearifan pengarang Sulalatus Salatin yang mencatatkan kisah Sultan Mahmud yang sanggup menunaikan tujuh permintaan Puteri Gunung Ledang demi hajat pinangannya seperti hati kuman dan darah putih rakyat.
Bagaimanapun, hajat Sultan Mahmud itu tidak dipenuhi oleh Puteri Gunung Ledang apabila baginda tidak sanggup menyerahkan semangkuk darahnya.
Hal itu, Prof Abdullah Zakaria berkata, menggambarkan kearifan Melayu yang berjaya menyelitkan unsur kritikan kepada pemerintah yang dapat dijadikan iktibar oleh bangsa Melayu sehingga pada masa kini.
FALSAFAH DI SEBALIK BADANG & HANG TUAH
"Kehebatan dan kekuatan pahlawan Melayu turut tercatat dalam naskhah berkenaan seperti Badang yang dimakamkan di Riau, pernah dicabar untuk mengangkat batu besar.
"Batu itu hanya mampu diangkat sehingga ke paras lutut oleh Panglima Benua Keling tetapi Badang hanya memerlukan sebelah tangan untuk mengangkatnya lalu melontar sehingga ke muara sungai," katanya.
Beliau berkata, kehebatan Hang Tuah yang tidak pernah tewas sehingga berjaya mengalahkan pemilik Taming Sari dan keberanian Sultan Alauddin mengawal negeri pada waktu malam untuk menjaga kesejahteraan rakyat daripada gangguan perompak, sebenarnya memiliki nilai serta falsafah yang boleh dicontohi.
SUMBER:
BH ONLINE
MUHAMMAD HAFIZ OMAR
MAC 9, 2015 @ 12:03am
Disalin dari kiriman FB Eddy Ezwan