Tun Suzana Tun Hj Othman
Disebut bahawa dalam tahun 1618 Masihi, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636) telah melancarkan perang besar-besaran ke atas negeri Pahang kerana murka di atas kerjasama Portugis dengan Sultan Johor Lama (yg menguasai Pahang waktu itu) yang berpakat meletakkan putera Johor, Raja Bujang menjadi Sultan Pahang setelah kemangkatan dua pemerintah Pahang hampir serentak.
Selepas berjaya mengalahkan angkatan Melayu Johor-Pahang, Sultan Iskandar Muda telah menawan keluarga diraja Pahang sebagaimana yang telah dilakukakan baginda kepada keluarga diraja Johor selepas berakhirnya peristiwa Perang Batu Sawar dalam tahun 1613 Masihi (yang membawa penghijrahan Tun Seri Lanang ke wilayah Samalanga, Aceh).
Ironisnya, dua kerabat Pahang yang turut ditawan dalam kejadian tersebut kemudian ditakdirkan menjadi buah hati dan kecintaan Sultan Iskandar Muda, iaitu Puteri Kamaliah yang kelak dijadikan permaisurinya, dan si putera kecil Raja Mughal, waktu itu baru berusia 7 tahun, yang kelak ditakdirkan menjadi putera angkat merangkap menantu kesayangan baginda, paling akhir menjadi pemerintah Kesultanan Aceh menggantikan Sultan Iskandar Muda sendiri selepas kemangkatan baginda pada tahun 1636 Masihi.
Selain itu, lebih kurang 10,000 rakyat Pahang juga dibawa pindah ke negeri Aceh untuk meramaikan penduduk di sana serta menambahkan kekuatan tentera Iskandar Muda . Adapun orang-orang yang berasal dari negeri Pahang diberikan satu perkampungan dekat dengan kampung Meraksa yang diberi nama Kampung Pahang. Dikatakan tentang orang-orang dari kampung ini, bahawa kaum lelakinya pandai mengukir batu nisan yang batu-batunya diambil dari Pulau Aceh, sementara kaum wanitanya pula pandai pandai membuat sulaman untuk bantal, tilam dan langsir yang ditenun dari sutera atau benang emas untuk perhiasan bilik perkahwinan.
Sultan Iskandar Muda terlalu kasih akan Puteri Kamaliah, yang oleh rakyat Aceh terkenal dengan gelar “Putroe Phang’ (Puteri Pahang) disebut-sebut bukan sahaja tentang kejelitaannya yang cukup menawan, malahan kebijaksanaannya yang terserlah sehingga beberapa cadangannya untuk kemajuan Aceh, khususnya yang melibatkan golongan wanita telah diterima dan dijadikan aturan kerajaan.
Menurut H.M. Zainuddin dalam bukunya Singa Atjeh, antara lain beliau menyebut:
“ Disamping Seri Baginda membuat istana dan memajukan kesusasteraan rakyat, maka puteri Kamaliah isteri Baginda yang dari Pahang pun berusaha keras membangunkan kebudayaan dan resam kanun unluk kemajuan wanita, terutama dalam hal urusan rukun perkahwinan dan perjamuan dalam kenduri-kendara atau peralatan, menciptakan berjenis-jenis makanan yang lazat citarasanya dan dalam istana pun diatur pelayan-pelayan dari dayang-dayang yang bijak dan cekap seperti di istana raja-raja. Untuk ini permaisuri (Maharani) sering menerima tetamu wanita Eropah dari saudagar-saudagar dan nakhoda-nakhoda kapal dan tetamu itupun memberi tuntutan dan resepi-resepi yang perlu untuk rumahtangga. ”
“ Kedatangan Maharani baru ini Puteri Kamaliah dari Pahang membawa kemajuan yang besar bagi kaum wanita, pada permulaan bagi orang-orang kaya, isteri pembesar-pembesar negeri dan dayang-dayang kerana sebelum itu dalam peralatan orang menyediakan sajian apa yang dapat sahaja, belum ada kuah-mueh, tumis-menumis dan sambal-menyambal. Sehingga untuk pengantin atau tetamu dihormati dulang mesti diisi 9 ceper, kalau tidak terasa hina bagi sepengkalan dan diadakan secara tolong menolong dalam peralatan dalam mengadakan pula perhiasan bilik pengantin dengan tirai yang indah-indah dan bantal bersusun dan tikar bersuci. ”
“ Resam kanun dan adat-adat dalam perkahwinan itupun diteladani oleh isi negeri dengan yakin dan sungguh-sungguh, sebab itulah sampai sekarang orang masih sebut-sebut majlis bak Putroe Pahang, ertinya menghiasai dan kebersihan rumahtangga serta biaya perkahwinan, termasuk rupa-rupa penghantar dan persalinan kedua belah pihak asalnya dari Puteri Pahang. Demikianlah lancarnya peredaran resam kanun baru di dalam alam wanita, sehingga berdedar ke tiap-tiap rumah tangga di seluruh Aceh. . ”
Sekali berlaku peristiwa pembahagian harta pusaka, yang mana ahli waris wanita mendapat sawah dan waris lelaki mendapat rumah. Ahli waris wanita diputuskan untuk meninggalkan rumah pusaka tersebut kerana telah diserahkan kepada waris lelaki. Beliau enggan kerana tidak ada tempat lain untuk berlindung. Lalu beliau pergi kepada Puteri Kamaliah dan meminta kemurahan hatinya agar ia diizinkan tinggal dalam perkarangan istana supaya terlepas dari mara bahaya mahupun gangguan atau fitnah masyarakat.
Peristiwa ini sangat mengambil perhatian Puteri Kamaliah, langsung mempersembahkan terus ke hadapan suaminya Sultan Iskandar Muda dengan membela nasib wanita tersebut dengan alasan kaum lelaki boleh sahaja tinggal di meunasah (madrasah atau surau), sedangkan kaum wanita sudah tentu tidak boleh. Malahan Puteri Pahang berhujjah bukankah hal tersebut boleh mendatangkan aib kepada umat Islam jika sekiranya ia terdedah kepada perzinaan disebabkan tidak terlindung?
Selanjutnya Puteri Kamaliah meminta kepada baginda supaya ditetapkan satu kanun atau aturan yang mana dalam bab harta pusaka, biarlah wajib dan mutlak rumah jatuh kepada waris wanita .
Pembelaan Puteri Kamaliah dipersetujui baginda. Semenjak itu para wanita mendapat rumah dalam pembahagian harta pusaka sekiranya orang tuanya mampu.
Lanjutan daripada peristiwa ini terbitlah asal muasal bidalan Aceh yang berbunyi:
Adat bak Puteo Meureuhom,
Hukum bak Syiah Kuala,
Qanun bak Putroe Phang,
Reusem bak Bentara.
Yang bermaksud :
Adat dari Marhum Mahkota Alam,
Hukum dari Syiah Kuala ,
Qanun dari Puteri Pahang,
Resam dar Bentara (Uleebalang)
Perlu disebut bahawa akrabnya hubungan kekeluargaan diantara Tun Seri Lanang dengan Puteri Kamaliah, apabila beliau sendiri berada dalam liang lahat menyambut keranda Puteri Kamaliah semasa kemangkatannya. Pengkisahannya adalah seperti berikut :
" Ketika jenazah diturunkan dari istana, Sultan Iskandar Muda turun di depan, didampingi dua bentara keraton yang berpakaian serba hitam berselempang merah. Yang di sebelah kanan memegang pedang terhunus bersandar di bahu kanannya dan di sebelah kirinya memegang payung hitam terbuka yang disebut Payoong panyang-go. Di Mideuen (halaman istana) telah siap segenap barisan dan setelah berhenti sejenak tampil ke muka bentara Keujruen Tandil keraton Darud Dunia (Tandil Mujahid Chik Seri Dewa Purba) untuk mengucap berita duka dan memohon doa selamat kepada Allah SWT serta selawat kepada Nabi Muhammad SAW.”
“ Keranda jenazah yang berhias serba indah dengan hiasan keemasan dan permata diletakkan di atas tandu keemasan yang berbentuk segitiga. Masing-masing ujung segitiga dipikul oleh tiga pembesar dan tiga dewan negara, yaitu dewan Mong-mong Angkatan Laut, Angkatan Darat. Didepan sekali berdiri Ketua Dewan Mufti Empat (Khuja Madinah) yang lebih terkenal dengan Khuja Pakeh yang berpakaian serba putih (sorban dan jubah) dengan tongkat di tangan kanannya. Di belakangnya diikuti dua pembesar negara Perdana Menter Seri Ratna Bijaya Sang Raja Meukuta Dilamcaya yang bernama Orang Kaya Seri Maharaja Laila dan Qodli Malikul Adil, keduanya memegang jambangan air mawar yang dibuat dari emas berhias permata. Di belakang mereka, dua orang Bentara yang membawa jambangan teurapan-geutanggi yang mengeluarkan asap dari pembakaran ramuan-ramuan setanggi yang harum semerbak baunya.”
“ Di sebelah kanan keranda (peti jenazah) berdiri Laksamana Meurah Ganti yang berpakaian serba hitam, berselimpang merah serta pedang terhunus bersandar di bahunya. Di sebelah kiri berdiri Bentara Tandil (Datuk Bendahara Muhammad Tun Seri Lanang) yang mengembangkan payung kuning keemasan yang berumbai mutiara ke atas keranda dan beliau juga berpakaian hitam dan teungkulook leumbayung di kepalanya, serta berselimpang merah. Di bahagian belakang jenazah (diantara dua cabang tandu) berdiri Seri Sultan Iskandar Muda yang diikuti di belakangnya sebelah kanan oleh Putera Mahkota (Putoeu Cut) dan di belakang sebelah kiri adalah menantu beliau, Pangeran Husain Mughayat Syah bin Sultan Ahmad Perak (Raja Mughal). Di belakangnya barulah barisan menteri-menteri dan raja-raja serta iringan yang berjumlah ratusan mengikuti di belakang mereka. “
“ Setelah selesai ucapan berita duka barisan bergerak menuju Masjid Raya Baiturrahman dan setelah selesai upacara shalat jenazah, jenazah kembali ke Kraton Darud Dunia dan terus menuju ke pemakaman raja-raja/Sultan. Keranda jenazah dibawa masuk ke dalam makam lalu dilaksanakan upacara pemakaman. Yang turun ke dalam liang lahat adalah Laksamana Meurah Ganti dan Datuk Bendahara Muhammad Tun Seri Lanang (Bentara Tandil Samalanga). Ke dalam keranda dituangkanlah emas urai (pasir tanah) sekitar tubuh jenazah Putroe Pahang, keranda (peti mati) ditutup lalu di timbun dengan tanah sebagaimana biasa dan acara pemakaman selesai . “
Sumber:
TSTHO
Sejarah Pergolakan & Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863
Dewan Bahasa & Pustaka
Disalin dari kiriman FB: Neo Melayu
Baca juga:
- Kembara Kuta Raja - Dusun Raja
- Putroe Phang, Puteri Pahang - tengku puteeh
- Ihwal Qanun Al Asyi