Pict: Sultan Indonesia Blog |
Hikayat Raja2 Pasai VI - Majapahit
Puteri Gemerincing Mencari Tambatan Hati
Alkisah maka tersebutlah perkataan Puteri Gemerincing anak Ratu Majapahit di Negeri Jawa kerana tuan puteri itu tiada ia bersuami, sebab ia hendak bersuamikan daripada segala anak raja yang bijaksana dan yang perkasa. Maka tuan puteri itu menyuruhkan hulubalangnya yang bernama Tun Perpatih Jin kepada segala negeri akan menuliskan rupa segala anak raja-raja yang pada segala negeri, serta membawa kertas seperti dan dakwat sekoja dan qalam seberkas.
Maka Tun Perpatih Jin pun berlengkaplah ia dengan sebuah perahu lalulah ia berlayar daripada suatu negeri kepada suatu negeri, serta ia menuliskan rupa segala anak raja-raja yang di dalam negeri itu. Sebermula yang sudah tertulis itu ada kira-kira sembilan puluh sembilan (99) orang yang sudah di tuliskannya oleh Tun Perpatih Jin itu, hingga masuklah ia ke Negeri Pasai. Demi terlihat olehnya akan rupa Tun A’bada Al Jalil [Abdul Jalil] lalu di tuliskannya rupa Tun Abdul Jalial itu. Setelah itu maka keluarlah ia dari Pasai lalu ia berlayar ke negerinya.
Hataya, beberapa lama antaranya maka sampailah ke Benua Jawa, lalu ia masuk mengadap Tuan Puteri Gemerincing serta membawa tulis rupa segala anak raja-raja itu. Maka dilihat oleh Tuan Puteri Gemerincing tulis rupa segala anak raja-raja yang sembilan puluh sembilan (99) itu, seorang pun tiada berkenan pada hatinya. Maka demi terlihat kepada tulis rupa Tun Abdul Jalil, maka tuan puteri itu pun hairan melihat dia, seraya ia bersabda kepada Tun Perpatih Jin “Rupa siapa ini dan apa namanya dan di mana benuanya”.
Maka Tun Perpatih Jin pun berdatang sembah “Ya tuanku, inilah rupa Tun Abdul Jalil namanya, anak raja di Benua Pasai”. Maka Tuan Puteri Gemerincing pun terlalu amat berahi akan dia, daripada sebab ia melihat rupa gambarnya itu. Maka Raden Galuh Gemerincingpun tiadalah lagi tertahan hatinya seperti orang gilalah lakunya, makan, minum tiada ia kenyang dan tiada puas dahaganya. Maka di persembahkan oleh segala inangdanya dan ambawi tuanya kepada ayahanda dan bondanya akan hal ehwalnya tuan puteri gila itu, sebab melihat tulis rupa Tun Abdul Jalil itu.
Maka demi didengar oleh Sang Nata Majapahit dan permaisuri akan hal anaknya yang demikian itu, maka hairanlah serta dengan masygulnya. Maka ayah bondanya pun menyuruh panggil anaknya Tuan Puteri Gemerincing itu serta katanya “Hai anakku, apa jua masygul dalam hatimu”.
Maka Tuan Puteri Gemerincing pun berdatang sembah “Ya tuanku syah alam, adapun masygul yang amat sangat tiadalah tersifatkan lagi adanya kerana rupa Tun Abdul Jalil anak raja Benua Pasai itu. Pada hati hambamu tiadalah dapat patik kapali barang seketika juapun, dan karamlah rasa patik dalamnya seperti kata syair; Shabata A’laya Mashayaba A’laya Al Ayaama Sharana Layaalayanaa, ertinya telah didatangkan atasku percintaan, jikalau percintaan didatangkan atasku, segala hari ini seperti umpama semalam jua adanya”.
Demi Sang Nata mendengar sembah paduka anakda baginda Tuan Puteri Gemerincing demikian itu, maka bertambah-tambah masygulnya serta membicarakan dalam hatinya “Jikalau tiada kuperkenankan seperti kehendaknya anakku ini, nescaya gilalah ia dalam percintaannya”.
Maka titah Sang Nata “Hai anakku, sabarlah engkau dahulu Insya Allah Ta'ala aku membicarakan segala pekerjaanmu itu”.
Maka tuan puteri pun berdatang sembah demikian bunyinya “Ya tuanku syah alam, tiadalah kuasa patik menahan sabar. Jikalau ada sayang syafaat duli syah alam akan patik, baiklah hambamu disuruh hantarkan ke Negeri Pasai itu dengan segeranya. Jika tiada demikian itu, nescaya matilah patik dalam percintaan yang diperhamba”.
Sang Nata Melepas Anak Gadisnya
Maka tatkala di dengar ayahanda dan bonda baginda sembah Raden Galuh demikian itu, maka pada ketika itu jua baginda bertitah menyuruh mustaidkan segala kelengkapan itu daripada ghurab dan kalulas dan daripada jong. Setelah sudah mustaidlah segala kelengkapan itu, maka disuruh baginda hias sebuah ghurab yang besar akan kenaikan paduka anakda Raden Galuh Gemerincing itu.
Maka daripada perhiasan yang indah-indah, dianugerahi baginda itu akan tuan puteri itu, dan daripada beberapa segala perkakas alat kerajaan, daripada segala pakaian yang indah-indah, dan daripada segala hulubalang, dan menteri, dan rakyat, dan daripada beberapa emas dan perak dan permata yang indah-indah, dan pakaian yang berbagai-bagai warnanya. Maka pada hari yang baik, Sang Nata berangkatlah dengan segala hulubalangnya dan segala bala tenteranya akan mengantarkan paduka anakda tuan puteri itu ke tepi laut.
Setelah sampailah baginda ke tepi laut, maka tuan puteri pun sujud menyembah bermohon kepada ayah bondanya. Maka oleh Sang Nata dan permaisuri dipeluknya dan diciumnya lalu baginda bertangis tangisanlah. Maka tuan puteri pun naiklah ke atas ghurab yang di hias itu, serta dengan inangdanya dan bondanya dan ambawi tuannya. Maka segala hulubalang pun masing naiklah ke perahunya, lalulah tuan puteri dan segala mereka itu berlayarlah ke Negeri Pasai itu pada siang dan malam.
Sultan Ahmad Membunuh Tun Abdul Jalil
Adapun diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera, maka tatkala terdengarlah warta angkatan Raden Galuh Gemerincing anak Ratu Majapahit datang dari Jawa itu, hendak ke Benua Pasai daripada sebab berahi akan Tun Abdul Jalil itu. Setelah didengar Sultan Ahmad, maka sultan pun tiadalah lagi qarar hatinya daripada hendak membicarakan daya upaya membunuh Tun Abdul Jalil itu jua pada siang dan malam.
Maka pada suatu hari Sultan Ahmad bersabda kepada Dara Zalikha Tangkap “Amanatku padamu habaya-habaya jangan engkau katakan pada seseorang juapun. Jikalau si Abdul Jalil tiada kubunuh, kerajaanku jangan kekal, dan Puteri Gemerincing pun jangan ku peroleh”. Setelah itu maka dicarinya daya upaya hendak membunuh Tun Abdul Jalil pada suatu ketika, maka Tun AAbdul Jalil disuruhnya bunuh, maka dibunuh oranglah ia. Maka Tun Abdul Jalil pun pulanglah ke rahmat Allah Ta’ala maka di suruh sultan buangkan mayat baginda itu ke laut ke Jambu Air.
Hataya, beberapa lama antaranya, maka kelengkapan Raden Galuh Gemerincing pun datanglah ke laut Jambu Air itu, maka berlabuhlah sekeliannya angkatan itu di labuhan Jambu Air itu. Maka keluarlah sebuah perahu orang mengail dari Kuala Jambu Air itu, maka dilihat oleh orang dalam jong itu sebuah perahu itu. Maka tatkala hampirlah perahu itu kepada segala jong itu maka segala orang dalam jong itu pun bertanya katanya “Apa nama negeri ini?”
Maka sahut orang mengail itu “Adapun nama negeri ini Pasai”.
Maka kata orang dalam jong itu “Apa ada khabar dalam negeri ini”
Maka sahut orang mengail itu “Adapun khabar dalam negeri ini badak makan anaknya”.
Maka kata orang dalam jong itu “Tiada kami tahu ertinya katamu itu”
Maka sahutnya “Adapun ertinya, paduka sultan yang dalam Negeri Pasai ini membunuh anaknya dua (2) orang, seorang bernama Tun Beraim Bapa dari kerana sultan itu berahi akan anaknya perempuan seorang bernama Tun Medam Peria dan seorang bernama Tun Tikah Dara.
Dan anaknya Tun Abdul Jalilpun dibunuhnya dibuangkannya dalam laut Jambu Air ini sebab ia mendengar khabar Tuan Puteri Gemerincing datang dari Benua Jawa, terlalu amat ia berahi akan Tun Abdul Jalil itu, dan mayat Tun Aabdul Jalil itu pun disuruhnya buangkan ke dalam laut Jambu Air ini, itulah serta kata kami badak makan anaknya”.
Puteri Gemerincing Mangkat
Maka di persembahkannya oranglah kepada Tuan Puteri Gemerincing segala kata orang pengail itu. Demi di dengarlah oleh Tuan Puteri Gemerincing khabar orang itu, maka ia pun menumbuk-numbuk dadanya serta dengan tangisnya. Maka kata tuan puteri “Segala kamu tuan-tuan hulubalangku, dan segala rakyatku, kembalilah kamu sekelian ke Benua Jawa kepada ayah bondaku, dan jikalau ada salah bebalku melainkan minta ampunlah aku ke bawah khadam ayah bondaku beribu-ribu ampun, dan kamu ceriterakanlah kepada ayah bondaku seperti yang kamu dengar dan yang kamu lihat”.
Maka tuan puteripun berkata kepada segala orang isi perahu itu “Hai segala kamu yang di dalam ghurab ini, siapa kamu mahu bersama-sama dengan aku, disinilah kamu, dan siapa kamu mahu kembali turunlah kamu kepada perahu yang lain, kerana maksudku kepada Tun Abdul Jalil yang kuberahikan itu dalam laut ini aku pun di sinilah akan tempatku”. Maka tuan puteri pun minta doalah kepada Allah Subahanahu Wa Taa’ala demikian bunyinya “Yaa Allah Yaa Rabana, matikanlah kiranya hambaMu dan tenggelamkan ghurab hambaMu dalam laut Jambu Air ini, dan Kau pertemukan kiranya hambaMu dengan Tun Abdul Jalil itu”.
Hataya, maka dengan takdir Allah Taa’ala ghurab itu pun tenggelamlah dalam laut itu, dan segala angkatan itu pun kembalilah ke Benua Jawa. Maka diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera tatkala kedengaranlah khabar itu kepada Sultan Ahmad, maka Sultan Ahmadpun mematah-matah jarinya. Serta dengan sesalnya tiada berkesudahan sebab membunuh anaknya Beraim Bapa dan Tun Abdul Jalil dengan sesalnya yang amat sangat.
Maka sabda sultan kepada segala hulubalangnya “Hai segala kamu hulubalangku, tegah apalah akan daku membunuh anakku itu”.
Maka Tun Perpatih Tulus Agung Tukang Sukar pun berdatang sembah demikian sembahnya “Ya tuanku syah alam, lada siapa di bangsalkan, selama lada kerat, pada siapa di sesalkan, tuan juga empunya pekerti”.
Angkatan Raden Galuh Tiba di Majapahit
Setelah itu maka sampailah segala angkatan Tuan Puteri Gemerincing itu ke Benua Jawa, maka masuklah sekelian mereka itu mengadap Sang Nata itu serta di persembahkannya segala hal ehwalnya Tuan Puteri Gemerincing sudah tenggelam itu, dan di khabarkannya khabar sultan yang dalam Negeri Pasai membunuh anaknya itu. Maka tatkala di dengar Sang Nata Majapahit khabar yang demikian itu ,maka baginda menangis kedua laki isteri menangis terlalu amat sangat dan mengempas-empaskan dirinya keduanya lalu pengsan tiadalah khabarkan dirinya.
Maka tatkala sembuhlah ia daripada pengsan itu, maka Sang Nata memberi titah kepada patih menyuruh mengimpunkan segala menteri dan segala penggawa yang kuasa-kuasa dan segala rakyat dan bala tenteranya. Setelah sudah itu, maka disuruh baginda mustaidkan segala kelengkapan dan segala alat senjata peperangan akan mendatangi Negeri Pasai itu sekira-kira empat ratus (400) jong yang besar-besar dan lain daripada itu banyak lagi daripada malangbang dan kalulas.
Setelah sudah lengkaplah segala kelengkapan itu maka segala menteri dan penggawa dan segala rakyatpun masing-masing naiklah ke perahunya, serta dengan alat senjatanya dan bekalnya. Maka di titahkan baginda penggawa yang besar bernama Sinapati Ang Laga dan beberapa ratu, para menteri, dan para penggawa. Maka pada hari yang baik berlayarlah segala angkatan itu ke Negeri Pasai, maka tatkala sampailah ia ke labuhan Pasai, naiklah ke darat lalu ia mendirikan kota sepanjang pantai.
Setelah sudah maka masuklah ia ke dalam kotanya itu maka Tulus Agung Tukang Sukar pun mengadap Sultan Ahmad seraya berdatang sembah akan hal musuh Majapahit itu sudah berkota. Maka sultan pun terlalu sukacita mendengar itu maka titah baginda “Kepada esok harilah kita suruh keluari musuh itu”. Maka sabda baginda Tun Bijaya Pinggiran akan panglimanya membawa rakyat yang amat banyak.
Perang Majapahit dan Pasai
Maka pada keesokan harinya berbunyilah genderang perang daripada kedua pihak dan segala laskar pun berdirilah di medan. Maka kedua pihakpun sama menempuh, maka berperanglah daripada kedua pihak, laskarpun banyaklah mati dan luka. Maka genderang kembali pun dipalu oranglah, maka kedua pihak laskarpun kembalilah masing-masing pada tempatnya. Demikianlah perang itu pada tiap-tiap hari kira-kira tiga (3) bulan lamanya perang itu tiada juga beralahan kerana Jawa itu sebahagian datang juga bantunya dari benua asing.
Maka tatkala di lihat Sinapati akan hal perang itu tiadalah beralahnya, maka iapun terlalu sangat marahnya akan segala penggawanya yang bersama-sama dengan dia itu. Maka iapun naiklah sendirinya ke darat serta dengan segala pahlawannya kira-kira seribu (1,000), serta dengan menyuruhkan segala rakyatnya turun dari ghurab dan jongnya masing-masing dengan senjatanya.
Maka Sultan Ahmadpun mengimpunkan segala hulubalangnya dan segala pahlawan yang mahsyur seperti pendekar Pulau Kukar dan Kampung Bangka dan pahlawan Kampung Langgar dan pendekar Kampung Cina dan si Ali Kecil Pahat Putar dan Malik Akasan dan Tun Rawan Pematang serta mengimpunkan segala gajah dan kuda dan segala rakyat yang tiada tepermanai.
Maka pada dinihari berbunyilah genderang perang daripada kedua pihak, laskar itu masing-masing keluarlah sekelian mereka itu dari dalam kotanya. Maka berhadapanlah di medan, maka berperanglah mereka itu sekelian, tiadalah berketahuan lakunya perang itu campur baurlah kedua pihak laskar itu dan bunyi senjatanyapun gemerincinglah dan bunyi tempik segala hulubalang dan segala manusiapun seperti tagar di langit dan darah segala manusia pun mengalirlah seperti anak sungai.
Adapun rakyat Majapahit itu sebahagi turun jongnya, tiada berkeputusan akan membantu temannya, dan beberapa yang datang dari negeri yang lain membantu ratu Majapahit. Maka adalah lama perang yang demikian itu tiga (3) hari tiga (3) malam lamanya tiada berhenti. Maka segala pahlawan dan segala hulubalang dan segala rakyatpun banyaklah mati tiada terhisabkan lagi. Maka di persembahkan orang kepada sultan “Ya tuanku syah alam, bahawa segala hulubalang dan segala pahlawan dan segala rakyat kita banyaklah mati tiada terhisabkan lagi banyaknya”.
Maka sabda sultan “Wah anakku Beraim Bapa, jikalau ada ia, jika Jawa se Jawanya jika Cina se Cinanya jika Keling se Kelingnya, tiada mahu melawan si Beraim Bapa”.
Maka Tun Perpatih Tulus Agung Tukang Sukar pun berdatang sembah seraya ia berpantun “Lada siapa di bangsalkan, selama lada sekerat, pada siapa di sesalkan tuan juga empunya pekerti"
Sultan Ahmad Lari dari Istana
Setelah itu maka Sultan Ahmadpun keluarlah dari dalam istananya dengan segala isi istananya dan dengan segala perkakasnya, alat kerajaannya, barang yang terbawa. Maka Sultan Ahmadpun lalu berangkat pindah pada suatu tempat yang bernama Manduka di sanalah tempat baginda diam kira-kira lima belas (15) hari perjalanan dari Negeri Pasai.
Maka di ceriterakan oleh orang yang empunya ceritera maka tatkala sampailah perang itu kepada tiga (3) hari tiga (3) malam, rakyat Pasaipun pecahlah perangnya sekelian mereka itu, lalu lari cerai berai tiada berketahuan lagi perginya. Maka sekelian laskar Majapahitpun masuklah ke dalam Kota Pasai, lalu ke dalam istananya Sultan Ahmad itu, maka terlalulah banyak mereka itu beroleh rampasan dan tawanan tiada terkira-kira lagi banyaknya.
Hataya beberapa lamanya ia berhenti di negeri Pasai maka segala laskar dan segala rakyatnyapun makan minum bersuka sukaan dalam negeri itu. Maka ada sepohon pauh di medan Pasai itu, di sanalah sekelian laskarnya itu menyandarkan tombaknya. Maka pohon pauh itupun lalu bengkak daripada kebanyakan tombak sekelian mereka itu, maka dinamai oleh orang datang sekarang tempat itu Padang Pauh Bengkak.
Setelah itu maka segala Jawa pun beberapa lamanya ia di Pasai, maka Sinapatipun mengerahkan segala menteri, penggawa, dengan segala rakyat naik ke bahteranya masing-masing bermuat segala harta rampasan dan orang tawanan terlalu banyak dimuatkannya, hingga saratlah segala kelengkapan itu seperti itik berenang di air, demikianlah rupanya segala kelengkapan. Maka sekeliannyapun berlayarlah kembali ke negerinya dengan kemenangannya sepanjang laut dengan tempik soraknya.
Laskar Majapahit Kembali ke Jawa
Hataya, beberapa lamanya ia di laut, maka sampailah ia ke Jambi dan ke Palembang, maka singgahlah ia di Jambi dan di Palembang. Maka kedua buah negeri itu pun meninggal dan berserah senjata maka takluklah kedua buah negeri itu ke Majapahit, lalu naiklah sekelian mengadap Sang Nata dan permaisuri. Maka Sinapati pun bepersembahkan segala harta dan tawanan itu kepada Sang Nata, lalu ia berkhabarkan perang itu daripada permulaan datang kepada kesudahannya, akan hal Negeri Pasai itu sudah alah dan rajanya pun sudah lari entah ke mana-mana perginya.
Maka titah Sang Nata, suruh bahagi tiga segala harta itu, sebahagi akan Sang Nata, dan sebahagi akan segala rakyat dan segala bala tenteranya, sebahagi pula Sinapati bepersembahkan peninggal Negeri Jambi dan Palembang dengan segala senjatanya, dan akan hal negeri yang dua buah itu takluklah ia kepada Sang Nata. Maka titah Sang Nata akan segala tawanan orang Pasai itu suruhlah ia duduk di tanah Jawa ini mana kesukaan hatinya. Itulah sebabnya maka banyak keramat di tanah Jawa itu tatkala zaman Pasai alah oleh Majapahit, demikianlah ceriteranya di ceriterakan oleh orang yang empunya ceritera ini.
-----------------------------
Hikayat Raja Raja Pasai di Leiden University Libraries.
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya
==================
Disalin FBG Sejarah Melayu | Terakhir diakses 1 November 2023 | Pukul 14.45 WIB
Bahasa Melayu disunting dan diselaraskan oleh admin Agam Van Minangkabau
==============
Baca Juga:
Catatan kaki oleh admin: