Hikayat Raja Raja Pasai III - Pasai
Negeri Pasai
Kata Shahibul Hikayat, maka pada suatu hari Sultan Malik Al Shaleh pergi bermain-main berburu dengan segala laskarnya ke tepi laut. Maka di bawanya seekor anjing perburuan bernama Si Pasai itu. Maka tatkala sampailah baginda itu ke tepi laut, maka di suruhnya lepaskan anjing perburuan itu, lalu ia masuklah ke dalam hutan yang di tepi laut itu. Maka bertemu ia dengan seekor pelanduk duduk di atas pada suatu tanah yang tinggi maka di salaknya oleh anjing itu hendak di tangkapnya.
Maka tatkala pelanduk anjing itu mendapatkan dia di salaknya anjing itu, oleh pelanduk maka anjing itu pun undurlah. Maka tatkala di lihat pelanduk anjing itu undur, lalu pelanduk kembali pula pada tempatnya. Maka tatkala di lihat oleh anjing pelanduk itu kembali pada tempatnya, maka di dapatkannya pelanduk itu oleh anjing, lalu ia berdakap-dakapan kira-kira tujuh (7) kali.
Maka hairanlah baginda melihat hal kelakuan anjing dengan pelanduk itu, maka masuklah baginda sendirinya hendak menangkap pelanduk itu ke atas tanah tinggi itu. Maka pelanduk pun lari, maka di dakapnya juga oleh anjing itu, maka sabda baginda kepada segala orang yang ada bersama-sama dengan dia itu “Adakah pernahnya kamu lihat pelanduk yang gagah sebagai ini. Maka pada bicaraku sebab kerana ia diam pada tempat ini, itulah rupanya maka pelanduk itu menjadi gagah” maka sembah mereka itu sekelian “Sebenarnyalah seperti sabda yang maha mulia itu”.
Maka fikirlah baginda itu baik tempat ini kuperbuat negeri anakku Sultan Malik Al Zhahir kerajaan, maka Sultan Malik Al Shaleh pun kembalilah ke istananya. Maka pada keesokan harinya baginda pun memberi titah kepada segala menteri dan hulubalang, rakyat, bala tentera sekelian menyuruh menebas tanah tempat negeri masing-masing pada kuasanya, dan di suruh baginda perbuat istana pada tempat tanah tinggi itu.
Setelah sudah jadi negeri itu maka anjing perburuan yang bernama Si Pasai itu pun matilah pada tempat itu, maka di suruh sultan tanamkan akan dia di sana juga. Maka di namai baginda akan nama anjing nama negeri itu, maka di titahkannyalah anakda baginda Sultan Malik Al Zhahir kerajaan dalam negeri itu, dan ayahanda Sultan Malik Al Shaleh itu diam di Semudera Daar Al Salaam juga.
Malik Al Mahmud & Malik Al Zhahir
Hataya beberapa lamanya Sultan Malik Al Zhahir dalam Negeri Pasai itu di anugerahkan Allah Taa’ala akan baginda anak dua (2) orang laki laki, yang tua bernama Sultan Malik Al Mahmud dan yang muda bernama Sultan Malik Al Mansur. Maka Sultan Malik Al Zhahir pun sakitlah, hingga datang hukum Allah atasnya, maka matilah ia, maka di tanamkan oranglah seperti adat segala raja-raja yang telah kembali ke rahmat Allaha itu.
Kerana anakda baginda keduanya itu lagi kecil maka kerajaan negeri Pasai itu nindalah yang melingkar akan dia sementara menantikan cucunda baginda kedua itu besar supaya dapat ia melingkar akan kerajaan itu dalam Negeri Pasai itu. Adapun anak raja yang bernama sultan Malik Al Mahmud itu di serahkan ninda baginda kepada Said Ali Ghayats Al Din, di suruhkan baginda berajar segala ilmu dan bermain senjata dan menaik gajah dan memacu kuda. Maka yang bernama sultan Malik Al Mansur itu di suruhkan ninda baginda kepada Said Samayam Al Din.
Hataya beberapa lamanya maka sultan Malik Al Mahmud besarlah, maka ialah di rajakan oleh ninda baginda kerajaan di negeri Pasai itu, maka Said Ali Ghayats Al Din akan Perdana Menterinya. Maka oleh baginda, segala rakyat dan daripada segala harta dan segala perkakas daripada segala alat kerajaan, daripada gajah, dan kuda, dan segala senjata, sekelian itu di bahagikan ninda baginda dua bahagian.
Di berikan kepada cucunda baginda Sultan Malik Al Mahmud sebahagian, dan yang sebahagian lagi itu di taruhnya akan cucunda sultan Malik Al Mansur, kerana sultan Malik Al Mansur lagi kanak-kanak. Maka tinggallah Sultan Malik Al Mahmud di kerajaan Negeri Pasai, maka sultan Malik Al Shaleh pun kembali serta membawa cucunda baginda Sultan Malik Al Mansur ke negeri Semudera Daar Al Salaam.
Sultan Malik Al Mansur Naik Nobad
Hataya maka beberapa lamanya antaranya maka Sultan Malik Al Shaleh pun sakitlah, maka baginda pun mengimpunkan segala menteri hulubalang dan segala orang besar-besar dalam negeri itu, dan segala rakyat besar kecil, akan menabalkan Sultan Malik Al Mansur. Maka berhimpunlah sekelian mereka itu mengadap sultan maka titah sultan “Hai segala kamu sekelian menteri dan hulubalangku, dan segala rakyat bala tenteraku, bahawa aku hendak merajakan Sultan Malik Al Mansur ini kerana aku hampirlah rasanya akan meninggalkan negeri yang fana ini kembali ke negeri yang baqa itu. Apa bicara kamu sekelian sukakah atau tiadakah?”.
Maka berdatang sembahlah sekelian mereka itu “Ya tuanku syah alam, sebenarnyalah seperti sabda syah alam yang maha mulia itu, kerana Sultan Malik Al Mansur pun besarlah. Sahaja seharusnyalah kami sekelian menyembah cucunda Sultan Malik Al Mansur”.
Maka titah baginda “Jika demikian tabalkanlah oleh segala menteri dan hulubalang dan segala orang besar-besar akan baginda itu dalam negeri Semudera ini”.
Maka ada sekira-kira tiga (3) hari sudah tabal itu, maka sultan Malik Al Shaleh pun berwasiat kepada Said Semayam Al Din dan Said Ali Ghayats Al Din “Hai Perdana Menteri kedua, baik kamu kedua ini memeliharakan cucuku kedua ini. Insya Allah Ta'ala jangan kamu beri bersalahan ia dua bersaudara, serta kamu kedua ajari, hendaklah jangan kamu kedua mengubahkan setia kamu akan cucuku kedua, dan jangan kamu menyembah segala raja-raja yang lain daripada cucuku.
Habaya-habaya jangan kamu beri teraniaya daripada segala hamba Allah, dan jangan kamu mengerjakan segala pekerjaan yang bersalahan dengan hukum Allah, kerana firman Allah Taa’ala dalam Qur'an demikian ertinya; Barang siapa tiada menghukumkan dengan barang hukum yang di turunkan Allah maka bahawasanya mereka itu jadi kafir”.
Maka kedua menteri itu pun sujud menundukkan kepalanya seraya ia menangis berdatang sembah keduanya menteri itu “Ya tuanku syah alam Zhala Allah Faya Al A’alama demi Allah Taa’ala, tuhan seru alam sekelian, Insya Allah Ta'ala bahawa kedua kami yang di perhamba tiadalah dapat melalui seperti sabda syah alam yang maha mulia itu, dan tiadalah kami menyembah segala raja-raja yang lain daripada anak cucu syah alam yang di atas batu kepala kami kedua ini”.
Maka di suruh oleh sultan panggil kedua cucunda baginda itu. Setelah datanglah kedua raja itu maka paduka seri sultan pun bersabdalah kepada cucunda kedua itu, dan kepada segala menteri hulubalang, dan kepada segala orang besar-besar sekelian. Demikian sabda baginda “Hai cucuku kedua, ketahui oleh kamu kedua, kerana aku ini sakit sangat rasanya hampirlah hukum Allah Taa’ala akan daku berpindah daripada negeri yang fana ke negeri yang baqa itu.
Adapun peninggalan ini, baik-baik kamu kedua memeliharakan pekerjaan Amar Ma'ruf Nahi Munkar. Sebermula jangan kamu banyak tamak akan harta dunia ini, tempat segala maghrur dan jangan sangat kamu ingin akan segala yang tiada memberi manafaat akan kamu di akhirat. Dan jangan kamu tiada muafakat dua bersaudara daripada segala pekerjaan kamu. Jangan sekali-kali bersalahan antara kamu kedua bersaudara supaya di qararkan Allah Taa’ala engkau kedua dalam kerajaan, dan supaya di perkenankan Allah segala pinta kamu daripada segala yang kebajikan.
Dan jangan kamu melalui seperti barang yang di titahkan Allah akan kamu, dan jangan kamu taksir pada mengerjakan pekerjaan yang kebajikan dan meninggalkan pekerjaan yang kejahatan dan menyuruhkan segala orang berbuat kebajikan dan melarangkan segala orang berbuat kejahatan serta dengan adil kamu kedua bersaudara akan segala rakyat kamu itu. Habaya2 jangan tiada engkau turut wasiatku ini, hai cucuku kedua”. Maka cucunda kedua pun sujud serta dengan tangisnya maka sembahnya kedua “Daulat tuanku syah alam, bertambah-tambah kurnia atas batu kepala patik kedua dengan berkat tuanku mengajar patik”.
Setelah sudah baginda mengajar cucunda kedua itu demikian maka dengan takdir Allah Taa’ala selang tiga (3) hari maka sultan pun memeluk mencium cucunda kedua lalu baginda kembalilah ke rahmat Allah Taa’ala. Maka di tanamkan oranglah seperti adat segala raja-raja yang telah pulang ke rahmat Allah itu maka dari kerana itulah di sebut orang datang sekarang Paduka Said Al Marhum Semudera.
Setelah itu maka Sultan Malik Al Mahmud itulah kerajaan di Pasai, dan Sultan Malik Al Mansur itulah kerajaan di Semudera itu. Maka negeri yang kedua itu pun terlalu ramai dan makmur segala rakyat dalam negeri itu, dan beberapa daripada gajah dan kuda, jenuhlah makanan dan beberapa daripada rezeki yang lain tiada terhisabkan banyaknya pada zaman baginda kedua bersaudara itu. Maka Sultan Malik Al Mahmud pun bertambah-tambah kebesarannya dan kemuliaannya.
Serangan Siam ke Pasai
Maka terdengarlah warta pada masa itu kepada Raja Siam, maka Raja Siam pun menyuruh melengkap perahu sekira-kira seratus (100) buah banyaknya besar kecil akan mendatangi Negeri Pasai itu. Setelah lengkaplah segala kelengkapan itu, maka di suruhkannya seorang hulubalangnya yang terbesar akan panglimanya yang bernama Talak Sajang itu. Setelah sudah maka berlayaralah segala kelengkapan itu menuju Negeri Pasai. Hataya beberapa lamanya maka sampailah ke Teluk Pasai, maka berlabuhlah segala kelengkapan itu dalam Teluk Pasai.
Demi terlihat oleh orang dalam negeri itu perahu terlalu amat banyak berlabuh dalam teluk itu. Maka di persembahkannya kepada sultan Malik Al Mahmud. Sembahnya “Ya tuanku syah alam, ada hambamu lihat itu perahu angkatan, rupanya terlalu banyak berlabuh dalam teluk kita ini. Siapa tahu dari mana gerangan datangnya dan apa gerangan pekerjaannya”. Maka titah sultan kepada seorang hulubalangnya bernama Barang Laksamana “Hai Barang Laksamana, pergilah engkau melihat perahu itu” maka Barang Laksamana pun menyembah lalu ia segera pergi.
Maka sampailah Barang Laksamana itu kepada segala perahu itu maka kata Barang Laksamana “Dari mana datang perahu ini dan hendak kemana kamu ini dan apa maksud kamu ini”.
Maka sahutnya orang perahu itu “Adapun perahu kami ini datangnya dari Benua Siam, dan akan maksud kami di suruhkan oleh Raja Siam minta ufti negeri ini. Jikalau ada seperti maksud kami ini nescaya kembalilah kami membawa ufti itu dan jikalau tiada ada seperti demikian itu nescaya kami perangilah negeri kamu ini dan Talak Sajang kami panglimanya”.
Maka segeralah Barang Laksamana kembali mengadap raja maka berdatang sembah ia “Ya tuanku syah alam, adapun perahu itu datangnya dari Benua Siam, Talak Sajang nama panglimanya. Datangnya di suruhkan Raja Benua Siam, hendak meminta ufti negeri kita ini. Jikalau ada sampai seperti maksudnya maka kembalilah ia dan jika tiada sampai seperti kehendaknya nescaya di peranginyalah akan negeri kita ini, ya syah alam”.
Demi di dengar sultan kata itu, maka baginda pun marah terlalu amat sangat mukanya pun taram taraman, dan segala romanya pun berdiri, serta baginda bersabda kepada memanda Said Ali Ghayats Al Din menyuruh mengimpunkan segala menteri, hulubalang, pahlawan, dan segala rakyat masing-masing hadir dengan segala senjatanya, menantikan musuhnya itu naik ke darat. Setelah sudah mustaib, maka sabda sultan demikian “Dami kemuliaan dan kebesaran tuhan yang menjadikan seru alam sekelian, jangankan ufti negeri ini kuberi, hingga sehelai roma rambut yang luruh tiada berguna pun tiada kuberi”.
Maka terdengarlah segala kata sultan itu pada Talak Sajang, maka ia pun menyuruhkan naik segala rakyatnya ke darat berbuat kota. Maka naiklah segala hulubalangnya dan segala rakyatnya berkota di tepi laut itu. Hataya selang tiga (3) hari lamanya, maka di suruh sultan keluari, maka keluarlah orang itu sekelian maka bertemulah kedua pihak itu, maka peranglah sekelian mereka itu kedua pihak. Maka pada hari itu Barang Laksamana akan panglima perang, maka daripada kedua pihak laskar itu banyaklah mati dan luka masing-masing kedua laskar itu surutlah ke dalam kotanya.
Maka pada keesokan harinya Tun Rawan Pematang akan panglimanya membawa segala rakyat dan gajah yang bernama Daula Laut dan Muda Besi. Maka peranglah kedua pihak laskar itu terlalu ramai lagi azmat. Maka daripada kedua pihak laskar itu, banyaklah mati dan luka maka masing-masing kembalilah. Demikianlah perangnya itu pada sehari-hari, tiada berhenti, kira-kira dua bulan lamanya perang itu, dan Tun Rawan Pematang pun luka dan Barang Laksamana pun luka.
Maka pada keesokan harinya, Tun Hari Jung pula akan panglimanya, peranglah kedua pihak laskar itu maka patahlah perang Tun Hari Jung lalu masuklah ke dalam kotanya. Maka pada keesokan harinya Sultan Malik Al Mahmud terlalu marah melihat hal yang demikian itu, maka sultan pun menyuruh mengimpunkan segala rakyat besar kecil hingga dapat memegang senjata masing-masing dengan senjatanya. Maka sultan pun keluarlah sendirinya pergi mendatang Talak Sajang, maka ia pun keluarlah dari dalam kotanya berdiri di medan bersaf-saf.
Maka berhadapanlah kedua pihak laskar itu, maka peranglah mereka itu terlalu ramai gegak gempita, kelam, kabut, duli beterbangan di udara, tiadalah berkenalan segala manusia dan bunyi tempik segala hulubalang dan segala rakyat juga, yang kedengaran dan gemerincing bunyi segala senjata bahananya datang ke tengah rimba. Maka daripada sangat dharab perang itu, jadi tumpatlah maka daripada kedua pihak laskar itu banyaklah mati dan luka.
Bermula panglimanya yang bernama Talak Sajang itu kena panah dadanya terus ke belakangnya, lalu matilah ia maka sorak orang Pasai pun gemuruh seperti tagar. Kemudian daripada itu maka patahlah perang rakyat Siam itu, lalu lari membuang belakang cerai berai tiada berketahuan yang lari ke darat habis di bunuh oleh orang Pasai, dan yang lepas ke laut itu naik ke perahunya lalu berlayar pulang menuju negeri Siam. Maka sultan pun kembalilah ke istananya dengan kemenangannya dan dengan sukacitanya.
Sultan Malik al Mahmud Melancong
Kemudian daripada itu Negeri Pasai pun terlalu ramai dengan makmurnya dalam negeri itu. Bermula maka sultan pun senantiasa dengan bersuka sukaan makan minum dengan segala menteri hulubalangnya dan segala orang besar-besar, maka qararlah segala manusia dalam negeri itu. Hataya berapa lamanya Sultan Malik Al Mahmud dalam kerajaan, maka di anugerahkan Allah baginya anak seorang laki laki dan dua orang perempuan, dan laki laki itu di namai baginda akan dia Sultan Ahmad Parmadala Parmala.
Maka pada suatu hari Sultan Malik Al Mahmud bersabda kepada segala hulubalangnya dan menterinya “Adapun sekarang aku hendak pergi bermain-main ke hulu sungai hendak melihat segala negeri dan segala dusun, serta kita menjerat gajah dan berburu hingga sampailah kita ke Benua Nadami melihat segala negeri dan dusun”. Maka pada ketika [hari] yang baik Sultan Malik Al Mahmud pun berangkatlah dengan segala menteri, hulubalang, dengan segala bala tenteranya. Maka lalu baginda berjalan kepada segala negeri dan dusun bermain-main berjamu-jamuan dengan segala menteri, hulubalang makan minum bersuka-sukaan.
Sultan Malik al Mansur Berbuat Cela
Berapa lama antaranya, maka diceriterakan oleh orang yang empunya ceritera, tatkala Sultan Malik Al Mansur pun hendak pergi beramai-ramaian akan berjamu-jamuan dengan segala menteri dan hulubalangnya dan segala rakyat makan minum bersuka-sukaan. Maka Sultan Malik Al Mansur pun menyuruhkan orang berlengkap akan mengiringkan Sultan Malik Al Mahmud itu, maka Said Semayam Al Din pun berdatang sembah.
Demikian sembahnya “Ya tuanku syah alam, betapa perinya duli tuanku pergi beramai ramaian ke tepi laut kerana paduka kekanda Sultan Malik Al Mahmud tiada ada dalam Negeri Pasai, kerana jalan dari sana dan daripada sisi kekanda itu takut siapa tahu keluar datang fitnah syaitan kepada hati seorang manusia. Jika kedengaran kepada paduka kekanda tak dapat tiada jadi perseteruan akibatnya”. Maka tiada juga di dengarkan oleh Sultan Malik Al Mansur sembah Said Semayam Al Din itu.
Maka Sultan Malik Al Mansur pun berangkatlah berjalan ke tepi laut pergi bermain-main serta berjamu dengan segala menteri, hulubalang, makan-minum bersuka-sukaan. Maka tatkala ia kembali sampailah berjalan kepada hampir kota Sultan Malik Al Mahmud itu, maka terlihatlah oleh Sultan Malik Al Mansur seorang perempuan keluar dari dalam istana, terlalu sekali baik parasnya. Maka Sultan Malik Al Mansur pun berahilah akan dia, maka di suruh baginda ambil perempuan itu lalu di bawanya kembali ke istananya dengan segala hulubalangnya.
Hataya maka beberapa lamanya Sultan Malik Al Mansur dalam kerajaan itu maka di anugerahkan Allah Subhaanahu Wa Taa’ala baginya anak tiga (3) orang, dua orang perempuan seorang laki laki. Hataya maka beberapa lamanya kedengaranlah wartanya itu kepada Sultan Malik Al Mahmud akan hal Sultan Malik Al Mansur mengambil perempuan yang keluar dari istana itu. Maka demi Sultan Malik Al Mahmud mendengar warta itu, maka baginda pun terlalu marah akan Sultan Malik Al Mansur dengan Said Semayam Al Din itu kerana ia perdana menteri yang tua.
Sultan Malik al Mahmud Murka
“Mengapa maka ia tiada mahu menegahkan dia segala pekerjaan kelakuannya itu, kerana itulah jikalau tiada Semayam Al Din itu kubunuh tiada puas rasa hatiku”. Maka Sultan Malik Al Mahmud pun kembalilah ke istananya maka berdendamlah dalam hatinya akan Said Semayam Al Din. Bermula akan Said Ali Ghayats Al Din pun tahulah, maka ada seorang mentuanya bernama Tulus Agung tukang sukar iaitu akan gantinya perdana menteri.
Maka sabda Sultan Malik Al Mahmud “Hai Tulus Agung tukang sukar, apa bicara kita akan Semayam Al Din itu. Takut akan Sultan Malik Al Mansur itu berbahaya kalau-kalau ia melawan kita”. Maka Tulus Agung tukang sukar pun berdatang sembah “Ya tuanku syah alam, jikalau dengan kita muslihatkan seorang pun tiada berbahaya ia pun dengan sejahteranya hamba tangkap” maka sabda sultan “Betapa muslihat kita akan dia”.
Maka sembahnya “Ya tuanku syah alam, kerana anakda Sultan Ahmad Parmadala Parmala itu belum khatan baiklah kita mendudukkan pekerjaan. Maka kita panggil paduka adinda Sultan Malik Al Mansur itu kemari. Setelah ia datang maka di sanalah barang bicara kita akan dia terlalu amat mudah pekerjaan itu”. Maka pada hati baginda pun berkenanlah akan sembah Tulus Agung tukang sukar itu, maka pada suatu hari yang baik, disuruh Sultan Malik Al Mahmud memulai mendudukkan pekerjaan berjaga-jaga akan mengkhatankan paduka anakda Sultan Ahmad Parmadala Parmala itu.
Maka di suruh panggil saudaranya Sultan Malik Al Mansur ke Negeri Semudera Daar Al Salaam, maka pergilah orang memanggil itu. Apabila sampai ia kepada Sultan Malik Al Mansur itu, maka sembahnya “Ya tuanku syah alam, tuanku di persilakan paduka kekanda ke Pasai kerana paduka kekanda hendak mengkhatankan paduka anakda” maka Sultan Malik Al Mansur pun berangkatlah lalu berjalan ke Pasai. Setelah sampai lalu masuklah baginda mengadap paduka kekanda Sultan Malik Al Mahmud itu bermula segala hulubalangnya tinggallah di luar.
Demi datanglah ia ke hadapan Sultan Malik Al Mahmud, maka sultan Malik Al Mahmud pun memberi isyarat menyuruh tangkap Sultan Malik Al Mansur dengan segala hulubalangnya dan Said Semayam Al Din tertangkaplah. Maka Sultan Malik Al Mansur di suruh penjarakan dengan segala hulubalangnya dan Said Semayam Al Din pun dalam penjara juga. Maka fikir Sultan Malik Al Mahmud itu sendirinya, lalu ia bersabda kepada Tun Perpatih[1] Tulus Agung tukang sukar “Apa bicara kita akan Sultan Malik Al Mansur ini baiklah ia kita jauhkan dari negeri ini atau kita suruh akan kembali ke negerinya”.
Maka Tun Perpatih Tulus Agung tukar sukar pun berdatang sembah “Ya tuanku syah alam, jikalau tuanku mendengarkan sembah patik baiklah baginda ini kita jauhkan dari negeri ini seperti kata orang tua-tua, apabila jauh dari mata, jauh dari hati. Jikalau baginda itu hampir, nescaya tercita juga syah alam akan pekerjaan paduka adinda itu tak dapat tiada juga bertambah hati syah alam sangat juga. Jikalau demikian baiklah baginda kita hantarkan kepada suatu negeri yang jauh dari sini”.
Sultan Malik al Mansur Dibuang ke Negeri Taming
Maka di suruh sultan lengkap perahu barang empat lima buah perahu akan menghantarkan Sultan Malik Al Mansur ke Negeri Taming, akan memeliharakan Tun Jaya Panggiran. Setelah itu maka Sultan Malik Al Mansur pun di bawa oranglah baginda ke perahu dengan segala hartanya dan segala hamba sahayanya maka lalu ia berlayar. Syahdan maka menteri Semayam Al Din pun di suruh sultan keluarkan dari dalam penjara maka di bawa oranglah ke hadapan sultan.
Maka sabda sultan “Hai Semayam Al Din, mahukah engkau diam di sini bersama-sama dengan aku atau tiadakah” maka ia berdatang sembah “Ya tuanku syah alam, jika patik di ceraikan dengan tuan patik baiklah syah alam ceraikan badan patik dengan kepala patik”. Maka di suruh sultan penggallah lehernya, maka di penggal oranglah lehernya, maka di suruh oleh sultan kepalanya buangkan ke laut dan badan di suruh sulakan di Kuala Pasai.
Maka dengan takdir Allah Taa’ala, kepala Said Semayam Al Din itu pun mengikut perahu Sultan Malik Al Mansur dalam air itu, maka sultan pun sampailah ke labuhan Jambu Air, maka lalu ia berlabuh. Maka di dengarnya oleh pawang perahu itu, kemudian terkatuk-katuk, maka ia melihat ke air maka di lihatnya suatu kepala manusia bersangkut kepada kemudinya itu. Maka di persembahkan kepada Sultan Malik Al Mansur maka di suruh sultan ambil kepala itu maka di lihatnya kepala Said Semayam Al Din.
Maka kata baginda itu “Wah inilah kepala nenekku Semayam Al Din. Wah betapa kutahu perimu datang kemari ini dan di mana kutahu badanmu sekarang”. Maka di suruh sultan cari badannya itu maka pergi sebuah perahu mencari dia maka di lihatnya ada badannya itu tersula di Kuala Pasai. Maka segera ia pergi memberitahu Sultan Malik Al Mansur, maka di suruh baginda pohonkan kepada Sultan Malik Al Mahmud. Maka titah di suruh baginda ambillah mayatnya itu maka di bawa oranglah kepada Sultan Malik Al Mansur.
Setelah sampai kepada baginda, maka di lihat oleh sultan mayatnya itu maka baginda pun terlalu sangat menangis, maka di pertemukannya kepala itu dengan badannya, maka di mandikannya dan di kapaninya, lalu di sembahyangkan baginda. Setelah itu maka baginda pun naiklah ke darat menanamkan mayat itu, maka sabda baginda menamai tempat itu Padang Maya. Maka tiada berketahuan dari kerana mayat itu di sebut orang Padang Maya juga namanya datang sekarang maka Sultan Malik Al Mansur pun menanamkan mayat Said Semayam Al Din itu.
Penyesalan Sultan Malik al Mahmud
Setelah sudah ditanamkan dan talqinkan, dan di bacakan baginda arwah, maka sultan pun naiklah ke perahu lalu berlayar menuju Negeri Taming, setelah sampailah ia ke dalam negeri itu. Hataya beberapa lamanya di sana, maka pada suatu hari Sultan Malik Al Mahmud semayam di hadap segala hulubalang dan menteri dan segala rakyatnya, maka tersedarlah ia akan saudaranya Sultan Malik Al Mansur itu. Maka katanya “Wah terlalu sekali ahmak badiku, kerana perempuan seorang saudaraku kuturunkan dari atas kerajaan dan menterinya pun kubunuh”.
Maka baginda pun menyesallah, lalu ia menangis, maka baginda pun bertitah kepada segala hulubalangnya “Pergilah kamu segera mengambil saudaraku itu kerana aku terlalu sekali rindu dendam akan saudaraku”. Setelah sudah baginda bertitah maka pergilah Tun Perpatih Tulus Agung tukang sukar dengan beberapa buah perahu. Setelah ia sampailah kepada Sultan Malik Al Mansur itu, maka ia berdatang sembah “Ya tuanku syah alam, paduka kekanda amat rindu dendam akan duli syah alam. Adapun patik ini di suruhkan paduka kekanda menjemput tuanku” maka baginda pun berkata “Baiklah” maka sembah Tun Perpatih “Baiklah tuanku silakan naik perahu”.
Maka baginda pun turun lalu naik perahu dengan anak isteri baginda dan segala harta baginda dengan hamba sahayanya sekelian keluar dari Negeri Taming lalu berlayar ke Negeri Pasai, hingga sampailah baginda ke Padang Maya pada kubur Said Semayam Al Din itu. Maka Sultan Malik Al Mansur pun singgahlah pada kubur Semayam Al Din itu hendak membaca Fatihah dan mengaji doa.
Setelah sudah baginda membaca Fatihah dan mengaji doa, maka baginda pun bangkitlah lalu memberi salam kepada kubur itu demikian bunyinya salamnya baginda itu “Assalamu'alaikum Yaa Qawama Al Mawamanayana Wa Anaa Ana Shaa Al Laha Ba Kama Laa Haqawana”. Maka sabda baginda “Tinggallah nenek hamba-hambapun pergilah” maka menyahut suara dalam kubur itu demikian bunyinya “Wa'alaikum salam, hai cucu tuan kemana pula pergi, baiklah baginda di sini bertempat”.
Demi sultan mendengar suara itu, maka baginda mengambil air sembahyang lalu sembahyanglah dua rakaat salam, belum sudah baginda memberi salam maka datanglah waad Allah atas baginda di ambil Malik Al Maut nyawa baginda. Maka kembalilah ia ke rahmat Allah Taa’ala dan pada suatu kaul pada ketika sujudnya baginda berlaku, maka hairanlah segala manusia yang melihat baginda itu. Maka Tun Perpatih Tulus Agung tukang sukar pun segeralah ia menyuruh pergi ke Pasai bepersembahkan kepada paduka kekanda Sultan Malik Al Mahmud membawa khabar akan hal baginda demikian itu.
Maka sampailah orang membawa khabar itu, maka di persembahkannya daripada permulaannya datang kepada kesudahannya, seperti hal baginda itu. Setelah sudah di dengar oleh baginda khabar adinda itu, maka baginda pun mengempaskan-empaskan dirinya ke bumi dan membelah-belah bajunya, lalu ia pengsan tiada ia khabarkan dirinya sekira-kira sejam lamanya. Maka tatkala siumanlah baginda itu daripada pengsannya maka di suruh baginda ambil mayat saudaranya itu maka lalu pergilah orang mengambil mayat itu.
Hataya beberapa lamanya maka datanglah mayat baginda itu ke Pasai, maka dikuburkan kekanda baginda seperti adat segala raja-raja yang kembali ke rahmat Allah, hampir dengan kubur ayahanda baginda. Maka Sultan Malik Al Mahmud pun sangatlah dukacitanya lagi dengan percintaannya dan sesalnya pun tiada berkesudahan. Setelah beberapa lamanya demikian itu maka baginda pun turunlah dari atas kerajaannya maka Sultan Ahmadlah di rajakan oleh baginda dalam Negeri Pasai.
-----------------------------
Hikayat Raja Raja Pasai di Leiden University Libraries.
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya
==================
Disalin FBG Sejarah Melayu | Terakhir diakses 1 November 2023 | Pukul 14.44 WIB
Bahasa Melayu disunting dan diselaraskan oleh admin Agam Van Minangkabau
==============
Catatan kaki oleh admin:
[1] Tun Perpatih, sepertinya ianya sebuah gelar karena disematkan di depan nama seseorang. Gelar ini tidak dijumpai di depan nama Perdana Menteri Tulus Agung sebelumnya. Dan mungkinkah gelar ini disematkan kepada Perdana Menteri? dan berasal dari kata 'Patih'?