Pict: Suara.Com |
Hikayat Raja-raja Pasai - Merah Silu[1]
Puteri Betung
Al kisah peri mengatakan ceritera raja yang pertama masuk agama Islam اسلام ini Pasai. Maka ada di ceriterakan oleh orang yang empunya ceritera ini negeri yang di barat angin ini Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan rasul Allah.
Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya raja Ahmad dan seorang namanya raja Muhamad. Adapun yang tua raja Ahmad maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Semerlang. Maka raja Muhamad itu pergilah dengan segala rakyatnya menebas rimba maka ada di tengah rimba itu serumpun betung[2] terlalu amat tebalnya betung itu. Maka di tebas oleh segala rakyat itu tiada habis di tebas habis tumbuh-tumbuh pula, maka berangkat raja sendiri menebas betung itu maka habislah betung itu.
Maka di lihat oleh raja Muhamad pada sama tengah betung itu ada rebungnya seperti badan besar, maka hendak diparang oleh raja Muhamad rebung itu. Maka keluar seorang kanak-kanak[3] perempuan terlalu sekali baik parasnya maka di buangkannyalah gadubangnya, lalu segera di ambilnya kanak-kanak itu di dukungnya[4] lalu di bawanya kembali ke rumahnya. Serta di lihat oleh isteri baginda raja Muhamad mendukung kanak-kanak itu, maka segeralah didapatkan oleh isteri baginda, lalu disambutnya maka duduklah baginda dua laki isteri itu.
Maka di lihat oleh isteri baginda budak-budak perempuan, maka terlalu sukacita baginda laki isteri itu. Maka bagindapun berkhabarlah kepada adinda itu, daripada pertamanya datang kepada kesudahannya peri baginda mendapat kanak-kanak didalam rebung betung, maka dinamai oleh baginda, Puteri Betung. Maka dipeliharakan baginda seperti anak segala raja, dengan inang pengasuhnya, serta dengan dayang-dayangnya, lengkap dengan pakaiannya. Maka terlalu kasih baginda akan anaknda itu, makin sehari makin besar, dan rupanya pun makin majelis.
Maka terdengarlah khabar itu kepada kekanda baginda raja Ahmad akan adinda itu beroleh mendapat kanak-kanak di dalam rebung betung itu. Maka baginda pun berangkatlah dua laki isteri pergi melihat kanak-kanak yang di dapat oleh adinda itu. Setelah baginda sampai lalu masuk ke dalam rumah adinda itu, maka adinda pun memberi hormat akan kekanda itu, bepersilakan duduk, maka baginda pun duduklah dua laki isteri dan adinda pun duduklah mengadap dua laki isteri.
Maka sirih pada corong emas pun di persembahkan oranglah kepada kekanda baginda. Setelah itu maka sabda baginda “Hai adinda raja Muhamad, manatah anak tuan itu, kekanda hendak melihat”. Maka kata raja Muhamad “Hai inang pengasuh, bawalah anakku itu kemari” maka segeralah dibawanya ke hadapan raja Ahmad, maka baginda melihat terlalu sukacita lagi dengan parasnya.
Maka sabda baginda laki isteri pun bermohonlah kepada adinda laki isteri lalu kembali. Setelah sudah negeri itu di perusaha oleh segala rakyat dengan kota paritnya, serta dengan istana balai rungnya, maka baginda pun duduklah dalam negeri itu dengan bersuka sukaan makan minum menjamu segala menteri dan hulubalang rakyat sekelian.
Meurah Gajah
Alkisah maka tersebutlah perkataan raja Ahmad selang beberapa lamanya, maka baginda pun berbuat pula sebuah negeri di balik rimba itu. Ada kira-kira sehari perjalanan daripada negeri adinda itu, itu pun lengkap juga dengan kota paritnya, serta dengan istana balai rungnya. Maka baginda pun duduklah dalam negeri itu bersuka sukaan dengan segala bala tenteranya makan minum.
Setelah itu, maka beberapa lamanya baginda pun pergi berburu ke dalam rimba belantara, maka seekor perburuan tiada di perolehnya. Maka baginda pun bertemu dengan sebuah surau di tengah rimba belantara itu. Maka ada seorang tua dalam surau itu, maka raja Ahmad memberi salam kepada orang tua itu, maka segera di sahutinya salam raja Ahmad itu. Maka raja Ahmad pun berceritera kepada orang tua itu akan hal saudaranya mendapat puteri di dalam rebung betung itu.
Maka ujar orang tua itu “Hai anakku, jikalau tuan hendak akan anak baiklah aku tunjukkan dia akan tuan. Nantilah tuan hamba di sini barang sesaat” maka di nantinya oleh raja Ahmad itu. Maka pada sesaat itu juga datanglah seekor gajah terlalu besar maka ada seorang kanak-kanak duduk di atas kepalanya, maka di mandikannya ia ke sungai. Setelah sudah di mandikan maka di hantarkannya pula ke tebing sungai itu, maka pergilah ia pula memandikan dirinya. Setelah sudah ia mandi maka di muatkannya kanak-kanak itu di atas kepalanya, maka di bawanya berjalan ke rimba demikianlah halnya itu.
Maka segala kelakuan gajah itu di lihatnya oleh raja Ahmad itu maka ujar orang tua itu “Hai bapa orang muda, hendaklah engkau muslihatkan dengan daya upaya akan kanak-kanak itu supaya kita peroleh anak dia”.
Maka ujar raja Ahmad “Hai bapaku, jikalau emas atau manikam di tunjukkan akan hamba, atau ada di beri akan hamba, tiadalah hamba sukacita lebihnya seperti hamba melihat kanak-kanak ini”. Maka ujar raja Ahmad “Hamba hendak bermohon pada tuanku kembali dahulu ke negeri hamba. Mana jalan keluar”. Maka di tunjukkan orang tua itulah jalan raya maka keluarlah dari sana, raja Ahmad itu tiba-tiba sampailah ia ke negeri.
Setelah datanglah ia ke istana, maka tuan puteri pun berdiri di pintu istana mengalu-alukan raja Ahmad datang. Maka ujar raja Ahmad akan tuan puteri “Ayuh adinda tuan puteri, pergi hamba berburu itu seekor perburuan pun tiada hamba peroleh. Melihat perburuan pun hamba tiada melainkan hamba bertemu dengan sebuah surau di tengah rimba belantara. Maka ada seorang orang tua dalam surau itu maka hamba memberi salam kepada orang tua itu maka di sahutinya salam hamba itu.
Maka hamba ceritera akan kepadanya akan hal saudara hamba mendapat puteri dalam rebung betung itu. Maka ujar orang tua itu “Jikalau tuan hendak akan anak baiklah beri hamba tunjukkan dia akan tuan, nantilah tuan hamba di sini barang sesaat. Maka hamba nanti, maka pada sesaat itu juga datanglah seekor gajah terlalu amat besar maka ada seorang kanak-kanak duduk di atas kepalanya maka di mandikannya ke sungai.
Setelah sudah di mandikannya maka di hantarkannya ke tebing sungai itu maka pergilah ia pula memandikan dirinya. Setelah sudah ia mandi maka di muatkannya pula akan kanak-kanak itu di atas kepalanya, maka di bawanya berjalan ke rimba demikianlah penglihat hamba”.
Maka ujar tuan puteri “Ya tuanku, muslihatkan apalah kerana akan kanak-kanak itu” maka raja Ahmad pun keluarlah dari istananya mengimpunkan segala laskarnya.
Apabila sudah ia berhimpun, sekeliannya datang mengadap raja Ahmad, maka di ceriterakan peri hal kanak-kanak itu yang di kepalanya gajah itu pada segala laskarnya, hendak berupayakan kanak-kanak di kepala gajah itu. Maka pada hari yang baik pergilah baginda dengan segala laskarnya ke rimba pada tempat gajah memandikan kanak-kanak itu. Syahdan maka orang tua yang pada surau itu pun ghaiblah dengan suraunya tiadalah di lihatnya di sana lagi.
Maka hari Khamis pula, masing-masing mengorek tanah akan tempat bersembunyi akan mengambil kanak-kanak itu. Syahdan maka datanglah kepada hari Juma'at maka keluarlah gajah itu dari dalam rimba membawa kanak-kanak itu, memandikan ke sungai pada tempat di mandikannya kanak-kanak itu. Setelah sudah, di letakkannya di tebing sungai, maka gajah itu pun memandikan dirinya. Maka segeralah raja Ahmad mengambil kanak-kanak itu, maka lalu di bawanya dengan segeranya berjalan.
Maka di lihat oleh gajah itu, lalu di ikutnya akan raja Ahmad itu. Maka sekelian laskarnya mengalau gajah itu dan setengah melontar dia maka berpalinglah gajah itu. Adapun nama gajah itu "Bujang Sakalas" lagi gajah itu tunggal, tiada dapat lama hidupnya dalam benua. Maka raja Ahmad pun berjalanlah ke negerinya dengan segala laskarnya.
Hataya maka sampailah ke istananya, maka tuan puteri pun berdiri di pintu istananya mengalu alukan raja Ahmad itu. Maka tuan puteri pun melihat kepada kanak-kanak itu, maka sekali segeralah di dapatkannya lalu di sambutinya daripada raja Ahmad itu. Maka terlalulah amat baik parasnya maka di namainya Merah Gajah, maka mahsyurlah dalam negeri itu raja Ahmad beroleh anak dan terdengarlah kepada saudaranya raja Muhamad akan raja Ahmad beroleh kanak-kanak itu.
Maka datanglah saudaranya raja Muhamad pergi melihat Merah Gajah itu, maka ia pun amat sukacita melihat kanak-kanak itu terlalu baik parasnya. Maka raja Ahmad pun berceriteralah kepada saudaranya raja Mahamad peri hal segala kelakuannya ia berburu itu dan ia bertemu dengan sebuah surau itu di tengah rimba belantara dan bertemu dengan seorang orang tua dalam surau itu, dan peri hal ia mendapat kanak-kanak itu. Maka raja Muhamad pun bermohon menyembah kekanda dua laki isteri, lalu ia kembali keduanya maka dudukkannyalah Merah Gajah itu dengan puteri Betung, maka berbesanlah ia kedua bersaudara sentiasa ia dalam kesukaannya.
Meninggalnya Puteri Betung & Meurah Gajah
Al kisah peri mengatakan hikayat puteri Betung dengan Merah Gajah di ceriterakan oleh orang yang empunya ceritera. Hataya maka beberapa lamanya duduk Merah Gajah dengan puteri Betung dua laki isteri itu, syahdan maka dengan takdir Allaha Taa’alaya maka puteri Betung pun hamillah. Maka setelah genaplah bulannya maka puteri Betung pun beranak laki laki, maka di namainya anaknya Merah Silu. Maka kemudian daripada itu hataya beberapa lamanya maka puteri Betung pun hamil pula setelah genaplah bulannya maka ia pun beranaklah maka anaknya itu pun laki laki juga maka di namainya Merah Hasum.
Hataya maka puteri Betung bahaginya, sehelai rambutnya di tengah kepalanya seperti warna emas rupanya tiada kelihatan hingga ia berminyak, maka kelihatan rambutnya itu. Pada suatu hari puteri itu berminyak maka terlihatlah oleh Merah Gajah rambut puteri itu. Maka ujar Merah Gajah kepada tuan puteri itu “Wah adinda, mari hamba bantunkan rambut tuan puteri sehelai itu”.
Maka ujar tuan puteri “Jika rambut hamba sehelai itu di bantun oleh tuan hamba alamat perceraian tuan hamba dengan hamba”.
Maka beberapa kali di mintanya oleh Merah Gajah itu tiada juga di berinya oleh tuan puteri itu. Maka suatu hari tuan puteri itu pun tidur maka di bantunnya oleh Merah Gajah rambut isterinya itu pada bicaranya itu tiada akan mengapa tuan puteri itu. Maka keluarlah darah dari liang rambut itu tiada berputusan lagi keluar darahnya putih maka berhentilah darahnya itu maka tuan puteri pun hilanglah.
Maka segala hamba sahayanya pun segeralah berlari memberi tahu kepada ayahanda raja Muhamad maka ujarnya “Ya tuanku, paduka anakda tuan kami puteri Betung telah hilanglah sebab di bantunnya oleh Merah Gajah sehelai rambutnya di tengah kepalanya”. Setelah sudah raja Muhamad mendengar khabar inangnya itu maka ia pun mengempaskan dirinya dan membelah-belah bajunya dan mencarik-carik kainnya. Maka ia pun terlalu marah maka ia mengimpunkan segala laskarnya maka di datanginya Merah Gajah itu lalu di bunuhnya.
Setelah matilah Merah Gajah itu maka bersegeralah orang membawa khabar kepada ayahanda raja Ahmad demikian katanya “Wah tuanku, paduka anakda Merah Gajah itu telah matilah di bunuh oleh mentuanya sebab kerana ia membantunkan sehelai rambut yang di tengah kepala puteri Betung itu. Maka fikir anakda Merah Gajah itu tiada akan mati”. Setelah sudah ia mendengar ayah bondanya akan sembah orang itu maka ia pun mengempaskan dirinya dan membelah-belah bajunya dan mencarik-carik kainnya.
Maka raja Ahmad pun terlalu sangat marahnya serta ia mengimpunkan segala laskarnya maka tatkala sudah berhimpun segala laskarnya lengkap dengan segala senjatanya. Maka pada ketika yang baik berangkatlah raja Ahmad itu pergi mendatangi saudaranya raja Muhamad. Maka apabila berhadapanlah kedua pihak laskar itu maka peranglah mereka itu terlalu ramai kelam kabut maka duli pun berbangkit lalu ke udara tiadalah berkenalan lagi seorang dengan seorang jua pun.
Maka tempik segala hulubalang dan segala rakyat juga yang kedengaran dan gemerincing bunyi segala senjata dan pendahan segala pahlawan juga kedengaran maka bahananya datang ke tengah rimba belantara. Maka daripada kedua pihak laskar itu banyaklah mati dan luka sebab beramuk-amukan sama sendirinya dan berbunuh-bunuhan mereka itu hingga matilah kedua raja itu. Maka tinggallah Merah Silu dengan Merah Hasum kedua bersaudara itu dan segala orang yang hidup daripada perang itu berhimpunlah ia menyembah anak raja kedua itu bersama-sama dalam negeri itu.
Maka beberapa lama antaranya maka kata Merah Silu kepada saudaranya Merah Hasum itu “Hai saudaraku, betapa bicara kita kerana kita ini hanya dua bersaudara juga tinggal dan nenek dan ibu bapa kita pun telah hilang dalam negeri Semerlang ini. Jikalau kita diam dalam negeri ini nescaya kita pun demikianlah kerana kita duduk dalam negeri ini sekali-kali tiada ada memberi manafaat akan kita. Baiklah kita pindah daripada negeri ini mencari tempat yang baik yang lain supaya kita diam di sana”.
Setelah sudah ia berbicara dua bersaudara demikian itu, maka pada ketika yang baik keluarlah ia dari dalam negeri itu mengikut jalan ke matahari mati daripada suatu perhentian datang kepada suatu perhentian. Maka dengan takdir Allah Taa’ala sampailah ia kepada suatu negeri yang bernama Baruan maka duduklah ia di sana seorang sebelah sungai dalam negeri itu kedua bersaudara.
Meurah Silu & Meurah Hasum
Al kisah peri mengatakan ceritera Merah Silu dan Merah Hasum di ceriterakan oleh orang yang empunya ceritera tatkala ia diam di dalam negeri Baruan itu. Hataya beberapa lamanya pada suatu hari Merah Silu pergi bermain ke sungai di lihatnya ikan terlalu banyak dalam sungai itu. Maka tatkala pulang ia ke rumahnya di suruhnya orangnya berbuat bubu.
Setelah sudah bubu itu di perbuat orang maka pergilah Merah Silu itu ke hulu sungai itu menahan bubunya. Maka di lihatnya penuh dalam bubu itu gelang-gelang, maka di buangnya gelang-gelang dari dalam bubunya itu maka di tahannya pula. Pada esok harinya ia pergi pula demikian juga penuh dengan gelang-gelang maka di buangkannya juga maka di tahannya pula bubu itu. Maka esok harinya pergi pula ia melihat penuh juga dengan gelang-gelang.
Maka Merah Silu pun fikir dalam hatinya “Bahawa gelang-gelang ini kurnia Allah Taa’ala akan daku rupanya” maka gelang-gelang itu pun di bawanya pulang ke rumahnya, di bubuhnya dalam kawah. Maka di suruhnya rebus semuanya gelang-gelang itu, maka dengan takdir Allah Taa’ala, gelang-gelang itu pun menjadi emas dan bubunya menjadi perak maka menjadi kayalah Merah Silu itu.
Di ceritakan oranglah kepada saudaranya Merah Hasum peri hal dari kurnia Allah Taa’ala akan Merah Silu itu demikian katanya “Bahawa kekanda Merah Silu kami lihat di bawanya gelang-gelang itu ke rumahnya masuk dalam bubunya. Maka pada hati kami di makannya juga gelang-gelang itu”. Setelah sudah ia mendengar khabar saudaranya itu maka Merah Hasum pun diamlah.
Maka kata Merah Silu pada segala laskarnya “Marilah kita muslihatkan kerbau jalang yang tiada berguna pada tuan-tuan sekelian itu hamba hendak perkenakan dia”. Maka di upahnya oleh Merah Silu akan mereka itu dengan emas dan perak maka di suruhnya perbuat andarak yakni kelaburan sekadar lulus kerbau dua tiga ratus. Setelah sudah andarak itu maka di suruhnya gemparkan pada segala laskarnya kerbau jalang itu yang di sisi liang itu.
Maka kerbau itu pun terkejut lalu masuk ke dalam liang itu maka tersangkutlah tanduknya pada pintu liang itu, tiadalah dapat masuk dan keluar dan di suruhnya sebukan pintu liang itu dengan tanah seorang segumpal. Hataya maka tersebulah pintu itu maka lalu matilah kerbau kampung itu maka di suruh Merah Silu buka kerbau banyak itu ke dalam andarak itu lalu ia jinak maka di suruh oleh Merah Silu cucuk hidungnya kerbau itu.
Meurah Silu meninggalkan Baruan
Maka kedengaranlah wartanya kepada saudaranya Merah Hasum akan Merah Silu kerana bermain akan binatang yang tiada berguna kepada orang yang banyak itu maka di namainya tempat itu dengan nama Kerbau Kampang. Maka Merah Hasum pun marah akan saudaranya Merah Silu itu maka di panggilnya sahayanya seorang “Pergi engkau katakan kataku ini kepada saudaraku Merah Silu. Kenapa gunanya bermain binatang yang tiada berguna kepada orang banyak itu maka ia memberi aku malu jua. Tiada di dengarnya kataku ini nyahlah ia dari negeri ini janganlah ia duduk bersama-sama dengan aku”.
Setelah Merah Silu mendengar kata saudaranya demikian itu maka ia pun fikir dalam hatinya “Baiklah jikalau Merah Hasum berkata demikian kepada aku pun hendak mencari tempat diam”. Maka datanglah kepada hari yang baik maka Merah Silu pun berjalanlah di bawanya segala hartanya dan segala kerbaunya dan orang membawa senawatnya sekira-kira tujuh orang yang membawa senawatnya itu. Maka pada tempat Merah Silu berjalan itu maka putus bukit sebuah bekas kerbaunya berjalan itu.
Hataya maka berapa lamanya berjalan Merah Silu itu maka sampailah ke hulu sungai Pasangan maka datanglah ia ke simpang di hulu Karang maka Merah Silu itu pun diamlah pada negeri itu. Maka berapa lamanya ia duduk dalam negeri itu maka kerbau itu pun habis memakan padi orang dan menerkap pisang orang sekelian. Maka segala orang dalam negeri itu pun di ngerunlah akan Merah Silu itu maka kata segala orang dalam negeri itu “Binatang apa di bawa ke negeri ini habislah tanam tanaman kami binasa di makannya oleh binatang ini. Jikalau demikian janganlah tuan-tuan duduk bersama dengan kami”.
Megat Sekandar (Iskandar) di Buluh Talang
Setelah Merah Silu mendengar kata mereka itu, sekelian maka kata Merah Silu “Hai segala tuan-tuan dalam negeri ini, sabarlah tuan-tuan dahulu sementara hamba mencari tempat duduk”. Kemudian maka Merah Silu pergilah mencari tempat duduk lalu ia berjalan mudik ke hulu, semenda maka sampailah kepada suatu negeri bernama Buluh Talang. Maka di sanalah ia bertemu dengan Megat Sekandar maka di sungguhkannya oleh Megat Sekandar, Merah Silu itu di perjamunya makan minum.
Setelah sudah di perjamunya maka ujar Megat Sekandar kepada Merah Silu “Apa kehendak tuan hamba kepada hamba ini”
Maka ujar Merah Silu “Adapun hamba datang kepada tuan hamba ini hamba hendak minta tempat duduk kerana hamba tiada bertempat”.
Maka kata Megat Sekandar “Jikalau demikian baiklah anakda duduk di sini serta dengan hamba. Jikalau perhumaan pun luas dan jikalau kerbau pun baik banyak tempatnya makan”.
Maka ujar Merah Silu “Jikalau ada kasih tuan apatah salahnya tuanlah akan bapa hamba” maka Merah Silu pun bermohonlah kepada Megat Sekandar lalu ia pergilah mengambil segala hartanya dan segala laskarnya dan segala kerbaunya maka di bawanyalah sekelian ke Buluh Talang itu maka di sana Merah Silu itu diam.
Meurah Silu Dinobat Menjadi Raja
Hataya kelakian maka beberapa lamanya Merah Silu itu duduk di sana sehari-hari kerjanya bermain ayam menyabung. Maka datanglah segala juara bermain ayam menyabung kepada Merah Silu itu dan jikalau Merah Silu itu kalah di bayarnya taruhnya, dan jikalau orang itu kalah tiada di mintanya taruhnya orang itu. Maka terdengarlah kepada segala orang besar-besar dan segala orang tua-tua yang dalam negeri itu maka segala mereka itu pun datanglah bermain-main menyabung kepada Merah Silu itu.
Maka apabila mereka itu kembali maka di berinya mereka itu seorang seekor kerbau maka sukacitalah segala orang yang datang itu yang bermain dengan Merah Silu itu. Sebermula segala yang datang melihat dia sekeliannya di berinya kerbau seekor seorang demikianlah halnya Merah Silu itu. Sebermula Megat Sekandar dan Megat Kedah itu keduanya kekanda kepada Sultan Malik Al Nasar di Rimba Jaran dan segala rakyat pun kasihlah akan Merah Silu itu.
Syahdan maka di suruh oleh Megat Sekandar pada segala rakyat membawa beras seorang segumpal dan seorang seekor kerbau akan membawa pekerjaan itu. Maka datang kepada suatu hari muafakatlah Megat Sekandar dengan segala orang besar-besar dan segala orang tua-tua dan segala rakyat dalam negeri itu maka ujar Megat Sekandar “Hai segala tuan-tuan apa bicara kita akan Merah Silu ini maka pada bicara hamba baiklah kita rajakan, kerana ia pun sedia raja lagi ia hartawan dapat kita bersuasa kepadanya”.
Maka pada antara mereka itu sekelian ada seorang bernama Tun Haria Banung tiada mahu ia merajakan Merah Silu itu, maka ujar Megat Kedah “Jikalau ia kita rajakan nescaya anak cucu kita di perintahnya”. Maka muafakatlah Megat Sekandar dengan segala orang banyak serta dengan dia hendak merajakan Merah Silu itu. Setelah sudah ia jadi raja maka di datangilah sultan Malik Al Nasar ke Rimba Jaran maka galabahlah ia dengan sultan Al Nasar.
Hataya maka galabahlah perang Merah Silu maka pecahlah perang sultan Malik Al Nasar maka surutlah ia pada suatu negeri Banua namanya, di sanalah ia bertahan dengan berbuat istana. Maka berapa lamanya ia duduk dalam negeri itu maka pada suatu hari di datanginya pula oleh Merah Silu akan sultan Malik Al Nasar dengan di peranginya, itu pun surut juga ia ke rimba raya maka di namai Merah Silu rimba itu Pertama Terjun di sebut orang datang sekarang.
Adapun akan sultan Malik Al Nasar maka sampailah ia kepada suatu negeri maka ia duduk dalam negeri itu berbuat istana. Hataya maka berapa lamanya duduk dalam negeri itu maka di wartakan orang kepada Merah Silu akan sultan Malik Al Nasar berhenti kepada suatu tempat dengan segala hulubalangnya dan segala rakyatnya sekeliannya. Maka kemudian di datanginya pula oleh Merah Silu akan sultan Malik Al Nasar itu maka peranglah ia terlalu ramai maka banyaklah orang yang mati dan luka.
Maka sultan Malik Al Nasar itu pun pecahlah perangnya lalu ia berlepas dirinya ke belakang Gunung Talawas. Maka di kubu kubunya oleh Merah Silu akan sultan itu lepas juga ia daripada kubunya itu maka di namai oleh Merah Silu tempat itu Kubu di sebut orang datang sekarang. Maka sultan itu pun berlepas dirinya kepada suatu negeri maka sampailah ia kepada suatu jurang yang picak lagi dalam maka terkersang seorang hulubalangnya sultan itu maka di namai jurang dan negeri itu Pakersang.
Maka sultan Malik Al Nasar pun lalu dari sana sampai ke Kumat maka berapa lamanya ia duduk di Kumat itu dengan segala hulubalangnya serta segala rakyatnya maka muafakatlah sekelian mereka itu berbuat kota. Setelah sudah ia berbuat kota maka terdengarlah kepada Megat Sekandar maka di datanginya oleh Megat Sekandar itu ke Kumat. Akan sultan itu pun peranglah maka berapa lamanya perang sekelian mereka itu maka banyaklah segala hulubalang itu mati.
Maka sultan pecahlah perangnya dan segala rakyat laskarnya pun cerai berailah tiada berketahuan perginya. Maka dalam antara itu ada seorang hulubalangnya bernama Tun Haria Banung lalu ia membawa dirinya ke negeri Barus. Maka apakala datang ia ke Barus maka di ambil oleh raja Barus Tun Haria Banung itu akan menangkapnya. Maka dari kerana sebab itulah raja Barus itu jikalau tua sekalipun berkirim sembah juga ia kepada raja Pasai dan jikalau muda sekali pun raja Pasai berkirim salam juga ia kepada raja Barus. Hataya maka Merah Silu itu pun di rajakan oleh Megat Sekandar di Rimba Jaran itu.
------------------------
Hikayat raja-raja Pasai di Leiden University Libraries.
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya
==============
Disalin FBG Sejarah Melayu | Terakhir diakses 1 November 2023 | Pukul 14.50 WIB
Bahasa Melayu disunting dan diselaraskan oleh admin Agam Van Minangkabau
==============
Catatan kaki oleh admin:
[1] Merah atau Marah atau Meurah. Mengingat kami tak mendapat naskah asli berupa tulisan Arab Melayu dan beberapa kekeliruan dalam latinisasi terkait beberapa nama Arab, seperti kata Allah ditulis Allaha Ta'alaya.kita perlu menyelidiki lebih lanjut. Di Aceh sendiri lazim digunakan 'Meurah' sedangkan di Minangkabau digunakan 'Marah' yang merujuk kepada kata Meurah dalam Bahasa Aceh. Gelar 'Marah' lazim digunakan oleh penduduk di pesisir (Seperti Padang dan Pariaman) dan diturunkan dari ayah ke anak.
[2]Bambu
[3] Bocah, sebutan Bahasa Indo Jakarta/Jawa
[4] Didukung; Digendong (Bahasa Indo Jakarta/Jawa) di punggung, Dipangku; digendong di depan