Tuanku Klai : Pembesar Melayu-Islam Yang Dijadikan Objek Sembahan Bukan Islam di Ligor

Sumber Gambar: https://scontent.fkno3-1.fna.fbcdn.net


Tuanku Klai : Pembesar Melayu-Islam Yang Dijadikan Objek Sembahan Bukan Islam di Ligor:

1. Baca dahulu catatan terdahulu mengenai Phraya Ram Decho (Tuanku Wan), Melayu-Islam berketurunan Raja Kedah (Saiburi) yang memerintah Ligor berdasarkan catatan rasmi di Klai, Tha Sala District :
2. Berdasarkan catatan rasmi di Klai, sewaktu tentera Ayutthaya mengepung Ligor, tiga (3) orang anak-anak Phraya Ram Decho iaitu Tuanku Had, seorang anak perempuannya dan Tuanku Klai telah berundur ke hutan untuk menyelamatkan diri menuju ke Ban Wang Lao buat sementara waktu dan kemudian meneruskan perjalanan bagi mencari sungai besar iaitu Khlong Chum Khan.

3. Apabila keadaan telah aman, mereka menuju ke Ban Chan Por dan membina kota. Memandangkan kawasan berkenaan kekurangan air bagi tujuan pertanian dan ternakan, mereka terpaksa menggunakan air di Khlong Pak Ram, bertentangan Ban Tap Sai.


4. Terdapat seorang orang penting yang merupakan ketua dan orang kaya di sana dan dia kemudian mengadu kepada Gabenor Ligor yang baru dengan menuduh bahawa Tuanku 3 bersaudara disyaki merancang untuk memberontak dengan mengumpulkan ramai orang untuk mengambil alih kota dan meminta supaya dibanteras lebih awal.

5. Tentera Ligor kemudian datang menyerang. Bilangan pengikut Tuanku 3 bersaudara adalah sedikit tetapi mereka melawan dengan gigih. Tuanku Had walaubagaimanapun meninggal dunia dalam pertempuran berkenaan.

6. Tuanku Klai bersama saudara perempuannya kemudian memimpin kumpulan mereka untuk berundur ke Chaiyaphum dan selanjutnya ke Sa Kaeo. Sewaktu Tuanku Klai berada di Sa Kaeo, beliau mempunyai 2 orang isteri yang bernama Montha dan Yaa.

7. Tuanku Klai juga mempunyai ramai rakan-rakan dan pengikut yang Muslim dan menggunakan nama awalan ‘Tuan’ yang popular pada masa tersebut.

8. Kemampuan Tuanku Klai dari segi pengetahuan dan ilmu kebatinan adalah tinggi menyebabkan penduduk setempat menghormatinya dan pengikutnya kemudian semakin bertambah.

9. Berita ini didengari Gabenor Ligor yang kemudiannya menghantar sekali lagi tentera untuk menundukkan Tuanku Klai. Apabila angkatan tentera tiba, pertempuran tercetus. Tuanku Klai meneruskan pertempuran hingga ke malam sebelum dapat melepaskan diri dan hilang selama seminggu. Jenazahnya kemudian dijumpai oleh seorang muslim bernama Hwa Lee terapung di muara tetapi ajaibnya keadaan jenazahnya masih elok tanpa mereput.

10. Beliau kemudian dikebumikan di dalam sebuah kanal berhampiran muara. Tanah perkuburannya dikatakan telah terhakis oleh arus air lebih 50 tahun yang lalu.

11. Manakala saudara perempuannya pula ditangkap dan dibawa kepada Gabenor Ligor. Gabenor Ligor kemudiannya menjadikannya sebagai isteri. Saudara perempuannya ini kemudiannya meninggal dunia ketika hendak melahirkan anaknya yang juga turut meninggal dunia di dalam perut. Beliau dikebumikan berhampiran kubur abangnya, Tuanku Had.

12. Disebabkan ketokohan dan kisah keajaiban Tuanku Klai, terdapat masyarakat bukan Islam yang mula memujanya biarpun Tuanku Klai diketahui merupakan seorang muslim. Namun begitu, patung Tuanku Klai yang ada sekarang tidak menggambarkan wajah sebenar beliau kerana beliau telah lama meninggal dunia dan tiada siapa tahu bagaimanakah wajah sebenarnya. Patung yang dibina sekarang adalah berdasarkan wajah Chuen Ngeon Siam yang telah menyeru semangat Tuanku Klai sebelum ini.

13. Nama Klai sub-distict yang wujud di daerah Tha Sala sekarang juga dikatakan diambil bersempena dengan nama Tuanku Klai.

__________________________________

Disalin dari kiriman facebook Ibnu Rusydi
pada 21 februari 2020 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar