Phraya Ram Decho : Raja Melayu-Islam Yang Memerintah Ligor

Sumber Gambar: https://www.facebook.com

Phraya Ram Decho : Raja Melayu-Islam Yang Memerintah Ligor
1. Baca catatan lama berkenaan dengan Raja Ligor sebelum ini di:

2. Amat sukar untuk menemui maklumat berkenaan dengan kisah satu-satunya Raja Melayu-Islam yang pernah memerintah Ligor (Nagara Sri Dharmaraja) satu ketika dahulu iaitu Phraya Ram Decho di dalam buku-buku sejarah.

3. Namun penulis akhirnya berjaya juga menemui maklumat bertulis mengenai perkara tersebut menerusi sumber rasmi dari Klai, Tha Sala District.

4. Berdasarkan maklumat tersebut, nama sebenar Phraya Ram Decho adalah Tuanku Wan, dan beliau dinyatakan sebagai keturunan Phraya Saiburi (Kedah).


5. Mengapa beliau dinyatakan sebagai keturunan Raja Kedah sedangkan warisnya pada hari ini menegaskan bahawa Phraya Ram Decho sebenarnya adalah salah seorang anak Sultan Sulaiman Shah, Raja Singgora? Perkara ini memerlukan kajian lanjut. Tetapi wilayah kekuasaan Singgora pada zaman kemuncaknya dikatakan pernah meliputi hingga ke utara sempadan Kedah.

6. Pada zaman mudanya, beliau dinyatakan telah dihantar untuk berkhidmat kepada Putera Narai, anak Prasat Thong, Raja Ayutthaya.

7. Beliau turut berkhidmat dalam ketenteraan dan terlibat dalam beberapa siri pertempuran. Atas jasa dan pencapaiannya, beliau kemudian telah diberikan gelaran Phraya Ram Decho.

8. Merujuk maklumat tulisan Nicolas Gervaise, Phya Decho dinyatakan sebagai ‘a rank of military officer’.

9. Apabila Putera Narai menaiki takhta Ayutthaya, baginda kemudian telah melantik Phraya Ram Decho sebagai pemerintah Ligor bagi menggantikan Sripraj Mahatlek.

10. Selepas kemangkatan Raja Narai, takhta Ayutthaya telah dirampas oleh Phetracha. Justeru itu, Phraya Ram Decho bersama-sama dengan Phraya Yommarat, pemerintah Khorat (Nakhon Ratchasima), yang kedua-duanya dilantik oleh Raja Narai, telah bangkit menentang kenaikan Phetracha sebagai Raja Ayutthaya.

11. Ayutthaya kemudian telah menghantar tentera dan mengepung Ligor selama 3 tahun lalu memaksa Phraya Ram Decho merayu kepada Phraya Rajabangsan, Laksamana tentera Ayutthaya yang juga merupakan seorang Melayu-Islam supaya membantu beliau melepaskan diri untuk berundur ke selatan.

12. Untuk mengelirukan tentera Ayutthaya, tiga (3) orang anak-anak Phraya Ram Decho iaitu Tuanku Had, anak perempuannya serta anak lelaki bongsunya yang bernama Tuanku Klai bersama keluarga masing-masing melarikan diri ke arah barat menuju ke hutan. Manakala Phraya Ram Decho bersama 50 panglimanya ke arah timur menuju ke laut bagi mendapatkan kapal yang telah disediakan oleh Phraya Rajabangsan untuk berundur ke selatan.

Akan Datang – Tuanku Klai : Pembesar Melayu-Islam Yang Dijadikan Objek Sembahan Penganut Bukan Islam di Ligor 👇


_______________________________

Disalin dari kiriman facebook Ibnu Rusydi
Pada 19 Februari 2020

 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar