Ilustrasi Gambar: Kompas |
FB Mahamada al Mahadaya - Hataya maka berhimpunlah sertanya daripada kaum tiga puluh ribu (30,000) hulubalang yang pilihan maka berkata Sultan Iskandar “Ya Nabi Allah, katakan pada raja Al Akhsam adakah seterunya hendak mendatangi negeri”.
Maka sembah raja Al Akhsam “Ada sebuah negeri, kaum itu bernama Lalana mereka itulah seteru kami kerana banyak tenteranya tiada terhisabkan. Maka antara negeri kami dengan mereka itu dua (2) bulan perjalanan jauhnya. Ada suatu padang amat luas sepuluh (10) hari perjalanan itu tiada berair kerana itulah maka mereka itu tiada dapat mendatangi kami kemari”.
Maka di katakan nabi pada Sultan Iskandar, maka sabda Sultan Iskandar kepada raja-raja dan orang besar-besar dan kepada tenteranya “Berhadirlah kamu sekelian, kita hendak mendatangi negeri kaum Lalana itu”. Maka berhadirlah segala tentera Sultan Iskandar, maka datanglah kepada empat hari (4) maka berangkatlah Sultan Iskandar dengan segala tenteranya. Maka Nabi Khidir dengan segala tenteranya segala orang Kasaka dan raja Al Akhsam bersama sama dengan dia tiga puluh ribu (30,000) hulubalang yang pilihan.
Dan raja Radhiah dengan segala tenteranya dan raja Barbar dan raja Bajah dan segala raja-raja yang tersebut itu sekeliannya akan penganjur Sultan Iskandar. Dan yang hampir dengan Sultan Iskandar itu daripada kaum Maqadunia empat puluh ribu (40,000) hulubalang yang berkuda pakaian mereka itu keemasan dan pelana kuda mereka itu emas bertatahkan ratna mutu manikam dan sekelian mereka itu berqalah emas bertatahkan manikam berumbaikan mutiara. Maka berjalanlah Sultan Iskandar dengan segala tenteranya mendatangi negeri Lalana itu.
Maka segala syaitan pada berhala itu pun gemparlah dan berkatalah ia “Bahawa Sultan Iskandar dengan segala kaumnya dan kaum Kasaka datang kemari”. Maka berhimpunlah kepada rajanya dengan segala tenteranya maka mesyuaratlah segala orang besar-besar daripada mereka itu akan perihal Sultan Iskandar datang itu.
Maka berkata segala hulubalangnya “Telah berkata tuan kami, jangan kamu tunduk pada lawan kamu yang datang”. Setelah antara berapa hari maka kedengaranlah pada mereka itu akan peri raja Kasaka telah masuk Islamlah dengan segala tenteranya dan mereka itulah yang membawa jalan akan Sultan Iskandar kemari maka dukacitalah mereka itu.
Maka berkata rajanya pada seorang penditanya “Betapa ehwal kita dengan Sultan Iskandar itu”
Maka pendita itu pun berkata “Aku masuk ke rumah berhala aku dahulu gagak”. Adapun gagak itu masa itu tiada lari daripada manusia kerana syaitan masuk kepada gagak itu.
Maka berkatalah gagak itu dengan mereka itu “Mengapa maka kamu takut akan raja yang datang itu, pada kamu kemari ini kerana raja itu dengan segala bala tenteranya dan segala yang sertanya akan jadi rampasan kamu sekelian. Jangan lagi alang-alang kamu melawan dia dan jangan lagi syak yang demikian itu. Kamulah kumenangkan daripada lawanmu itu tetapi tiadalah lagi aku berkata dengan kamu hingga menang kamu daripadanya. Maka hendaklah raja kamu segera keluar dengan kelengkapan mendatangi mereka itu sahaja kamu juga menang”.
Kata Shahibul Hikayat setelah di dengar oleh pendita itu kata berhalanya demikian itu, maka sujudlah ia menyembah dihadapan berhalanya gagak itu. Maka keluarlah ia segera membawa khabar pada rajanya seperti pesan gagak itu, maka berdatang sembahlah pendita itu pada raja Lalana daripada sangat sukanya. Maka bersabda raja kepada tenteranya “Suruh kampungkan segala rakyat daripada negeri kita, segera kita mendatangi seteru kita yang datang kemari itu”.
Maka berlengkaplah mereka itu maka pada hari yang keempat, maka berangkatlah raja Lalana dengan segala tenteranya qimat tiga ribu orang berkuda lain daripada orang yang berjalan dengan sungguhnya di harapnya akan kata berhalanya gagak yang demikian itu. Sebermula maka raja Lalana berjalan itu sepuluh (10) hari lamanya maka datanglah kepada pintu jalan yang sempit tiada lagi ada jalan yang lain maka di suruhnya segala tenteranya berkhemah menantikan Sultan Iskandar di sana.
Sebermula tatkala Sultan Iskandar berangkat daripada negeri Kasaka kadar qimat dua puluh (20) hari lamanya datang kepada dua puluh sehari (21). Maka sabda Sultan Iskandar “Suruh oleh kamu tentera kamu berkhemah” maka di kerjakan raja-raja itulah titah raja itu. Maka berkhemahlah sekelian mereka itu pada malam itu Nabi Khidir pun menyuruh memberitahu Sultan Iskandar akan peri tentera raja Lalana menantikan tentera Sultan Iskandar pada tempat yang sempit itu antara kita dengan tentera itu lima (5) hari perjalanan lagi.
Hataya maka oleh Nabi Allah maka di suruhnya palu genderang berangkat, maka berangkatlah Sultan Iskandar dengan segala tenteranya tiga hari tiga malam datang kepada keempat harinya maka Sultan Iskandar dengan segala tenteranya berkhemahlah. Sebermula tatkala raja Lalana berangkat maka di bawanya penditanya seekor gagak berhalanya bersama-sama dengan dia gagak yang di masuki syaitan itu. Maka berkatalah ia “Bahawa akan Sultan Iskandar telah hampirlah datang kepada kamu dan jangan kamu takut melawan mereka itu kerana kamu juga menang”.
Hataya maka sukacitalah hati raja dan kaum Lalana maka pada ketika itu juga pendita Lalana itu hendak menyuruh sulu. Maka pada fikir raja “Benarlah mengapa maka orang yang lain kusuruhkan. Baiklah aku sendiri pergi”. Hataya maka berjalanlah ia seperti kelakuan orang sulu hingga datanglah ia kepada tentera Sultan Iskandar.
Maka pada ketika itu turunlah wahyu dengan firman Allah Taa’ala pada Nabi Allaha Khidir “Di suruhnya bawa akan Sultan Iskandar dan raja Al Akhsam dan tiga kamu keluar dari dalam tentera yang banyak itu nescaya adalah kamu lihat sesuatu”.
Maka bangkitlah Nabi Khidir mendapatkan Sultan Iskandar dan raja Al Akhsam pun ada hadir pada Sultan Iskandar, maka di katakan Nabi Khidir seperti firman Allah padanya itu. Maka sahut Sultan Iskandar “Jikalau demikian marilah kita berjalan” maka berjalanlah ketiganya keluar daripada antara tenteranya yang banyak itu. Maka seketika berjalan maka di lihat Nabi Khidir kepada kaum seterunya ada seorang berkuda maka di berinya tahu Sultan Iskandar “Ya syah alam, ada hamba lihat seorang-seorang berkuda datang daripada pihak kanan jalan kita ini. Berkehendak hamba menangkap dia”.
Maka kata Sultan Iskandar “Benarlah seperti kata Nabi Allah itu” maka di suruh Nabi Khidir raja Al Akhsam menanti daripada pihak kanan Sultan Iskandar dari sebelah kiri Nabi Khidir sama tengah maka berjalanlah ketiganya perlahan-lahan. Kata Shahibul Hikayat maka sulu itu pun berjalan perlahan-lahan, maka tiada di ketahuinya akan orang itu menanti dia dijalan, dan yang sulu itulah raja Banarak mengawal tenteranya. Tatkala berhadapanlah dengan Nabi Khidir maka di lihatnya ehwal kenderaannya Nabi Khidir itu yang bernama zirafah maka hairanlah hatinya melihat dia.
Maka pada ketika itu jua di tangkap Nabi Allah akan raja Banarak di hempaskannya ke bumi dari atas kudanya maka ikatnya. Maka hairanlah raja Al Akhsam melihat gagah perkasa Nabi Allah itu. Maka bertanya Nabi Khidir “Dari mana kamu datang kemari ini. Apa kasadmu”
Maka kata raja Benarak “Ya tuanku, janganlah kiranya tuan hamba takjil dahulu. Akan diperhamba disuruh oleh raja Lalana yang bernama Banarak sulu”.
Maka sabda Nabi Khidir “Berapa ada banyak tentera kamu”
Maka sahutnya “Tiga ratus ribu (300,000) orang yang berkuda lain daripada orang yang berjalan. Barang diketahui tuanku bahawa hamba seorang orang yang dhaif daripada antara hulubalangnya. Upahnya hamba dengan emas sedikit disuruhnya akan hamba menjadi sulu kemari ini. Jikalau kiranya tuanku bunuh pun akan hamba, apa perolehan tuan hamba”.
Setelah di dengar Sultan Iskandar dan Nabi Khidir katanya demikian itu maka rahimlah hati Sultan Iskandar akan dia maka di suruh urai ikatnya itu. Maka sabda Sultan Iskandar “Bahawa haraplah engkau tiada kami akan membunuh dikau. Jikalau engkau raja Banarak sekalipun tiada kami mengapakan tetapi sekarang kembalilah engkau pada rajamu katakanlah pada rajamu sudahlah hamba bertemu dengan Sultan Iskandar dan berkata raja itu. Pada hamba tiada raja itu berkehendak kerajaan raja dan hartanya tetapi yang di kehendakinya pada segala raja-raja yang sudah ditaklukkannya itu melainkan masuk kepada agama yang sebenarnya dan jangan menyembah gagak binatang yang hina.
Itulah dikatakan tuhan maha suci tuhan yang esa tiada sekutu baginya dengan barang sesuatu jua pun. Jikalau mahu rajamu menurut kataku, nescaya kulebihkan daripada keadaannya yang lain itu dan kuberi akan dia negeri yang lain pula. Jangan tiada segera engkau beri tahu akan aku apa katanya tuanmu itu. jikalau mahu ia nescaya kupermulia akan dia kuambil jadi saudaraku. Jika tiada ia mahu menurut kataku ini engkau jangan bercampur dengan dia”.
Kata Shahibul Hikayat di dengarnya titah Sultan Iskandar demikian itu, maka ia pun kembalilah akan Sultan Iskandar tiada tahu akan dia raja Banarak. Tatkala sudah ia kembali maka berkata Nabi Khidir kepada Sultan Iskandar “Bahawa adakah diketahui Sultan akan sulu itu ialah yang bernama raja Banarak. Maka mengapa Sultan lepaskn ia?”.
Setelah di dengar Sultan Iskandar kata Nabi Allah demikian itu maka kata Sultan Iskandar “Ya Nabi Allah, jikalau ia raja berakal fikirlah ia akan perihal yang demikian itu dan jika tiada insaf akan dirinya ia jua merasai dia”.
Sebermula tatkala raja Banarak sudah sampai kepada tenteranya maka keluarlah ia diadap oleh segala tenteranya maka bersabda ia kepada mereka itu “Hai tuan-tuan, mari kita masuk kepada berhala kita gagak tanyakan ehwal musuh ini”. Arakian maka pergilah raja Banarak dengan segala orang besar-besarnya ke rumah gagak itu, bertanyalah maka suatupun tiadalah mahu di sahutinya oleh gagak itu tiadalah seperti adat dahulu kalanya. Maka kata raja Banarak “Hai kamu sekelian, bahawa tuan kita ini murkalah akan kita”.
Kata Shahibul Hikayat maka tatkala raja Banarak tertangkap oleh Nabi Khidir itu, maka syaitan itu pun larilah ia daripada burung gagak itu kerana bau tubuh Nabi Allah itu seperti narawastu lekat bau itu di tubuh raja Banarak. Segala orang besar-besarnya berdatang sembah “Ya tuanku, barang di ketahui raja dahulu tiadakah bersabda tuan kita bahawa kamulah menang daripada seteruku”.
Maka kata raja Banarak “Sungguhnya seperti katamu itu maka janganlah kamu banyak kata lagi. marilah kita perang dengan Sultan Iskandar itu. Kehendakku kesemuanya kita ini seperti satu jenis jua adanya kerana segala tentera kita ini berbagai-bagai jenis maka sekelian jadi suatu jenis jua maka tetaplah hatiku”. Maka kabullah mereka itu berperang dengan Sultan Iskandar, maka masing-masing kembalilah berhadir maka pada esok harinya di himpunkannyalah segala tenteranya maka berangkatlah raja Banarak dengan segala tenteranya kehendaknya akan mendatangi Sultan Iskandar.
Sebermula tatkala sudah raja Banarak di lepaskan Sultan Iskandar, kembalilah Sultan Iskandar dan Nabi Khidir dan raja Al Akhsam ke khemahnya. Maka Nabi Khidir pun berbuat ibadatlah di dalam khemahnya hingga dinihari maka turunlah wahyu kepadanya mengatakan pekerjaan raja Banarak. Maka Nabi Khidir pun daripada awal subuh datanglah kepada raja Iskandar maka di ceterakannyalah pada Sultan Iskandar maka Sultan Iskandar pun sujudlah ke hadrat Allah Taa’ala.
Maka kata nabi Khidir “Ya sultan, jikalau sudah kita perang dengan raja Lalana ini, baik di suruh syah alam seorang raja daripada antara raja yang banyak ini tinggal membawa tentera mendatangi raja Darinus. Siapa tahu kelak di turutnya kita”
Maka kata Sultan Iskandar “Mana bicara tuan hamba kerjakanlah”. Maka Nabi Khidir pun menyuruh memanggil Raja Radhiah dan raja Salam dan raja Al Akhsam dan raja Kharziah maka sekeliannya di suruh mendatangi kaum Lalana. “Betapa bicaranya tuan-tuan sekelian”
Maka sahut raja-raja itu “Yang mana sabda yang maha mulia itu atas kepala kamilah mengerjakan dia”.
Maka kata Nabi Khidir “Jikalau demikian kembalilah tuan hamba sekelian berhadir" maka kembalilah raja2 itu berlengkap. Syahdan akan raja Al Akhsam terlalu suka hatinya oleh di titahkan Sultan Iskandar ia berperang dengan kaum Lalana itu. Maka katanya pada kaumnya “Hai kamu sekelian, ketahui olehmu akan di titahkan Sultan Iskandar mendatangi kaum Lalana bersama sama dengan raja Radhiah dan raja Salam. Adapun akan kaum raja Radhiah kenderaannya zirafah dan ia pun amat gagah dan kamu pun dengan anugerah Allah Taa’ala jangan dua tiga cita kamu mendatangi kaum kafir itu”.
Sebermula tatkala Sultan Iskandar akan menitahkan segala raja-raja itu, maka dianugerahi baginda persalin yang mulia-mulia. Maka sabda Sultan Iskandar pada raja-raja itu “Bahawa kita serahkanlah tuan-tuan sekelian ke hadrat Allah Taa’ala, tuhan yang sebaik-baik tempat di serahkan” maka raja-raja itu pun bermohonlah keluar daripada hadapan Sultan Iskandar. Kata Shahibul Hikayat maka tatkala keluarlah ketiga raja-raja itu.
Maka dilihat tentera banyak datang maka raja Banarak pun menyuruh bentaranya memalu mongmong berkeliling tenteranya “Bahawa tentera Sultan Iskandar datanglah akan berperang dengan kamu, bahawa jangan kamu alang kepalang melawan tentera Sultan Iskandar itu”.
Arakian maka raja Banarak pun keluarlah daripada khemahnya kemudian maka di aturnyalah tenteranya maka pada ketika itu, maka Nabi Khidir pun mengatur tentera Sultan Iskandar. Hataya maka keluarlah daripada kaum Lalana seorang hulubalang ke medan maka berseru-serulah ia dengan nyaring suaranya katanya “Manatah lelaki yang hendak bermain bawa marilah ke medan”. Maka tampillah raja Mika dan raja Tawil dan raja Taris dan raja Kasaka dan raja Radhiah dan raja Asfahan. Maka kata hulubalang itu “Siapa kamu daripada antara kamu raja Kasaka maka keluarlah raja Akhsam”.
Maka katanya “Apa kehendak kamu. Akulah raja Al Akhsam”
Maka kata orang itu “Mana raja kamu iringkan itu”
Maka kata raja Al Akhsam “Siapa kamu menanyakan mahkota segala raja-raja di muka bumi ini”.
Maka sahutnya “Aku raja Banarak raja di negeri Lalana hendak melihat Sultan Iskandar”
Maka raja Al Akhsam pun kembalilah kepada Nabi Khidir “Katakan Ya Nabi Allah, yang memanggil orang itu ialah raja Banarak. Katanya hendak melihat Sultan Iskandar dan berkata2 ia dengan baginda” maka sabda nabi Khidir pada segala tenteranya “Jangan kamu dahulu hing-kata kembalilah aku”.
Maka pergilah Nabi Khidir kepada Sultan Iskandar maka dimaklumkannya seperti kehendak raja Banarak itu, maka berangkatlah Sultan Iskandar mendapatkan raja Banarak itu. Setelah berhadapanlah baginda dengan raja itu maka kata Banarak “Akulah raja negeri Lalana ini yang kau lepaskan kemari ini”.
Maka sahut Sultan Iskandar “Pada hatimu tiadalah aku tahu akan engkau raja Banarak. Maka sebab aku lepaskan pun supaya engkau insaf akan kebesaran agama Islam dan jangan hatimu dua tiga lagi pada mengikut agama yang sebenarnya”.
Maka kata raja Banarak “Adapun kehendakku sekarang supaya kedua kita bermain senjata. Akan hulubalang kita jangan binasa. Marilah kedua kita berperang. Jikalau alah siapa lagi melalui kataku”.
Maka sahut Sultan Iskandar “Alhamdulillah, kabullah hamba akan seperti kehendakmu itu”
Maka pada ketika itu ada di sisi raja Banarak seorang menterinya amat gagah lagi bijak pada ilmu berperang. Maka menteri itu berdatang sembah pada raja Banarak “Hai raja kami, demi tuhan kita gagak yang berkata-kata dengan sebenarnya jangan kiranya raja dahulu berperang. Biarlah hamba dahulu berperang akan tolak mara bahaya raja”
Maka kata raja Banarak “Amat benar katamu itu mana bicara engkaulah”.
Kata Shahibul Hikayat rahmat Allah atasnya, maka tampillah menteri itu ke tengah medan di bawanya senjata empat (4) bilah lembing, dua (2) bilah di bawah pehanya kiri, dua (2) bilah di bawah pehanya kanan dan sebilah kepada tangannya kiri dan sebilah pada tangan kanan. Maka dipacunya kuda mendapat Sultan Iskandar, maka kata Nabi Allah “Hai raja di benua Rum dan raja di benua Arab, bahawa seharusnya yang menteri itu semata menteri jua”.
Maka pada ketika itu Nabi Khidir pun memacu zirafahnya kehadapan Sultan Iskandar, berperang dengan menteri itu di hadapan raja kedua itu maka kedua pihak pun melihat dia. Maka oleh menteri itu di tikamnya lima kali berturut-turut pada enam kalinya maka di baca oleh Nabi Khidir asma Al Azhim. Maka dihembuskannya pada lembing itu maka dengan kuasa Allah tuhan Raba Al A’alamayana maka lembing itu pun kembali menikam dada menteri itu terus kebelakangnya. Maka gugurlah dari atas kudanya ke bumi maka hairanlah kedua pihak itu maka kaum Islam Ų§Ų³ŁŲ§Ł
pun mengucap takbir gemuruh bunyinya.
Maka tampillah raja Banarak dengan amarahnya mengajak Sultan Iskandar berperang, maka kata Sultan Iskandar “Hai kafir, tiadakah kau lihat akan kuasa Allah tuhanku”
Maka sahut raja Banarak “Akan menterimu itu orang habatan”. Maka Sultan Iskandar pun memberi salam pada kaumnya sekelian minta doa akan baginda, maka Sultan Iskandar pun memacu kudanya seraya mengucap shalawat akan nabi Allah Ibrahim. Maka raja Banarak pun bertampil mendapatkan kudanya maka berperanglah kedua raja-raja itu kadar sejam lamanya tiada beralahan.
Maka pada hati raja Banarak tiada dapat Sultan Iskandar ini melawan dia, maka tiada ia membalas memarang dia sekadar menangkiskan juga tetapi pada hati Sultan Iskandar, sebab tiada mahu memarang dia kalau mahu ia masuk agama Islam. Maka baginda berkata nasihat akan raja Banarak maka makin sangat sakit hatinya akan Sultan Iskandar maka di parangnya dengan pedangnya. Maka di tangkis Sultan Iskandar tetaknya itu dua tiga kali sambil menyuruh ia masuk agama yang sebenarnya dengan kata yang baik-baik, maka makin sangat juga marahnya akan Sultan Iskandar.
Hataya maka Sultan Iskandar pun menyebut nama Allah, maka diparangnya oleh baginda dengan pedangnya kena raja Banarak penggal dua maka jadi penggal empat dengan kudanya. Maka gemuruhlah sorak tentera mukmin dan mengucap takbir dan shalawat. Maka kata Sultan Iskandar “Hai saudaraku raja-raja, bunuhlah kafir itu” maka segala raja-raja itu pun menyuruh tenteranya berperang. Maka berperanglah kedua pihak tentera itu seketika maka pecahlah segala kaum Lalana.
Maka oleh segala tentera Sultan Iskandar diperikutnya segala kaum kafir itu daripada suatu padang kepada suatu padang, daripada suatu bukit kepada suatu bukit seperti harimau mengikut kawan kambing hingga masuklah kaum Lalana itu ke negerinya. Maka kembalilah tentera Sultan Iskandar banyak beroleh tawanan dan rampasan tiada lagi terhisabkan daripada emas dan perak dan kuda dan segala pakaian yang indah-indah.
Sebermula tatkala alah kaum Lalana itu maka duduklah Sultan Iskandar pada khemahnya dengan segala tenteranya hingga tiga hari. Maka fikirlah segala kaum Lalana sama sendirinya akan perihal prang dengan Sultan Iskandar. Maka kata setengah kaum itu “Adapun yang sudah kami dengar dan kami lihat bahawa yang dikehendaki Sultan Iskandar itu kepada segala isi alam ini bukan kerana harta dan negeri melainkan yang di kehendakinya segala manusia itu mengikut agama yang sebenarnya jua”. Maka kata mereka itu membawa agama yang sebenarnya maka ada seorang orang besarnya daripada antara menteri raja Lalana itu berkata pada segala kaumnya “Marilah kita pergi mengadap Sultan Iskandar”.
Setelah putus bicara maka berjalanlah sekeliannya pergi hendak mengadap Sultan Iskandar, maka telah sampai, maka berdatang sembah menteri itu kepada Nabi Khidir. Maka Nabi Allah pun pergilah pada Sultan Iskandar mengatakan ehwal mereka itu, maka sabda baginda kepada bentara menyuruh membawa mereka itu masuk. Maka bentara pun pergilah memanggil mereka itu di bawanya mengadap maka tatkala kaum itu masuk tujuh lapis khemah Sultan Iskandar.
Maka hairanlah hati mereka itu perihal kebesaran Sultan Iskandar itu dan kebanyakan hulubalangnya dan tenteranya sekelian memakai pakaian keemasan. Di lihatnya Sultan di adap segala raja-raja masing-masing pada tempatnya di atas kerusi emas dan perak segala hulubalang berdiri mengadap. Setelah dilihat oleh mereka itu akan Sultan Iskandar maka sujudlah sekelian mereka itu, dilarangkan Nabi Khidir sujud itu.
Maka mereka itu menyembah mereka itu “Mohonkan ampun pinta ajari kalimah syahadat” maka di suruh Sultan Iskandar Nabi Allah Khidir mengajarkan mereka itu kalimah syahadat. Setelah sudah mereka itu membawa iman sukacitalah hati Sultan Iskandar maka di persalin akan mereka itu dengan pakaian yang mulia-mulia.
Hikayat Iskandar Zulqarnain di Universiti Malaya
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya Ł
ŲŁ
ŲÆ Ų§ŁŁ
ŁŲÆŁ