Foto: Wikimedia |
Disalin dari kiriman FB Seri Cendikiawan
ASAL USUL NAMA “INDERA KAYANGAN”
Perlis Indera Kayangan - satu nama yang kita biasa dengar semasa belajar subjek Kajian Tempatan mahupun Geografi semasa dibangku sekolah dahulu namun tahukah anda sejak bilakah nama Indera Kayangan itu wujud?. “Indera Kayangan” sebenarnya telah wujud jauh sebelum wujudnya negeri Perlis yang "merdeka".
Perlis merupakan negeri yang berada di bawah pemerintahan Kerajaan Kedah Tua dan juga Kesultanan Kedah sehinggalah Kedah terpaksa melepaskan Perlis secara “paksa” selepas Perang Kedah-Siam 1821 yang turut dikenali juga sebagai Perang Musuh Bisik.
Selepas tewas dalam perang ini, Siam telah membahagikan wilayah Kedah kepada 4 wilayah pentadbiran iaitu Setul, Perlis, Kubang Pasu dan Kedah. Semasa dibawah pengaruh Siam ini, Perlis telah ditadbir oleh Raja Long Krok atau Seri Paduka Maharaja Lela kemudian diganti oleh Husin Jamaluilail yang kemudiannya akan menjadi Raja Perlis yang pertama.
Berbalik kepada nama Indera Kayangan, nama tersebut sebenarnya berasal daripada nama sebuah kota yang dibina di hilir sungai Perlis oleh Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah I ( 1661-1687 ). Baginda merupakan Sultan Kedah kelima belas yang turut dikenali sebagai Marhum Kayang I tetapi di Kedah baginda lebih dikenali sebagai Marhum Di Hilir atau Marhum Di Balai.
Selepas 2 tahun memerintah Kedah, Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah I telah bermesyuarat dengan segala menteri dan telah mengambil ketetapan untuk memindahkan pusat pemerintahan baginda ke kawasan Kuala Perlis. Oleh itu, dalam bulan Februari 1663, kerja-kerja pembinaan pusat pentadbiran baharu itu pun telah dimulakan.
Setelah sekitar 2 tahun pembinaannya, akhirnya kota tersebut telah siap dibina dan diberi nama sebagai Kota Indera Kayangan. Selepas siap semuanya, baginda anak bini serta segala menteri dan pengawal baginda akhirnya telah bertolak ke Kota Indera Kayangan dan kota tersebut telah menjadi pusat pentadbiran Kedah yang baharu. Pusat pemerintahan lama itu Kota Sena telah diserahkan untuk dijaga kepada Dato Biram Pahlawan dan Dato Jugar Alam.
Tidak lama kemudian, baginda memerintahkan pula Dato Seri Maharaja Putra Dewa untuk membangunkan sebuah kota di Bukit Pinang siap dengan istana dan balai penghadapan dengan tujuan supaya kawasan Kota Pinang tersebut akan menjadi kawasan tumpuan rakyat.
Dato Seri Maharaja Putra Dewa menjunjung duli dan mengumpulkan segala rakyat Kedah untuk membina Kota Pinang. Tidak lama kemudian, siaplah kota tersebut dan ramailah penduduk Kedah yang datang membina penempatan di kawasan kota tersebut.
Bagi menggalakkan perkembangan industri makanan, baginda telah mengarahkan rakyatnya untuk mengorek sungai dari Sungai Kayang ke Sungai di Kampung Che Madi. Apabila siap sahaja penggalian sungai tersebut, maka ramailah rakyat Kedah yang membuka tanah untuk membuat bendang padi di sana.
Semasa pemerintahan baginda, negeri Kedah menjadi sangat makmur dan penduduk Kedah rata-rata mendapat makanan yang cukup. Baginda merupakan pemerintah yang mempunyai visi yang jelas untuk memajukan Kedah.