FB Habidah Nordin - Hasil sastera Melayu tradisional bertulis tangan dalam tulisan Arab Melayu.[1] Perkataan manuskrip berasal daripada perkataan Latin iaitu 'manus' yang bermaksud tangan dan scriptus bermakna tulisan. Penghasilan manuskrip merujuk pada hasil yang bertulis tangan sebelum sesuatu masyarakat mempunyai alat percetakan. Bagi masyarakat Melayu, penghasilan manuskrip bermula dengan pesatnya selepas kedatangan Islam, iaitu selepas masyarakat Melayu menerima tulisan Arab Melayu sebagai tulisannya. Dengan demikian, zaman perkembangan manuskrip Melayu ialah selepas kedatangan Islam hingga ke akhir abad ke-19.
Namun demikian, terbukti bahawa masyarakat Melayu sebelum menggunakan tulisan Arab Melayu telah mempunyai tulisan tempatan seperti tulisan Lampong, tulisan Rencong dan Ka-ga-nga. Semenjak sebelum abad ke-4, mereka telah mengadaptasi tulisan Pallava dan Kavya dari Benua Kalinga (India Selatan) untuk dipahat pada batu bertulis dan piagam. Tulisan ini tidak digunakan secara meluas kecuali tulisan Pallava dan Kavya yang digunakan oleh para sami[2] untuk menyalin kitab suci agama Hindu pada abad ke-7 di Palembang. Tulisan Rencong, Lampong dan Ka-ga-nga digunakan dengan cara yang terhad iaitu ditulis pada buluh, kulit kayu dan daun lontar.
Tulisan Arab Melayu, sungguhpun tulisan Arab Melayu dibawa oleh pengaruh agama Islam ke rantau Alam Melayu, tulisan itu tidak digunakan dengan serta-merta. Tulisan Arab Melayu ialah bentuk tulisan Melayu yang diadaptasi daripada tulisan Arab. Batu Bersurat Minye Tudjuh, Aceh, yang dikesan tarikh tertulisnya pada abad ke-12masihi, menggunakan tiga bahasa untuk menyampaikan pengisytiharaannya. Bahasa tersebut ialah bahasa Melayu kuno, bahasa Sanskrit dan bahasa Arab. Batu bersurat Minye Tudjuh ini adalah batu bersurat tertua selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu. Manakala batu bersurat terawal setelah kedatangan Islam yang menggunakan tulisan Arab Melayu sepenuhnya ialah Batu Bersurat Terengganu. Tarikh yang dipahat pada batu bersurat ini ialah tahun 702 Hijriah, bersamaan tahun 1303masihi.
Jumlah Manuskrip Melayu, dalam takrif yang luas iaitu merangkumi manuskrip berbudaya Melayu seperti Cam, Jawa, Kerinci dan sebagainya amat besar sekali dan dipercayai belum pernah dihitung jumlahnya. Koleksi manuskrip Melayu berbahasa Melayu dan bahasa yang rapat hubungan dengannya adalah seperti berikut:
- *Malaysia ada 6000buah koleksi manuskrip.
- *Indonesia ada 2500buah koleksi manuskrip.
- *Belanda ada 1683buah koleksi manuskrip.
- *Britain ada 653buah koleksi manuskrip.
- *Brunei ada 300buah koleksi manuskrip.
- *Perancis ada 209buah koleksi manuskrip.
- *Jerman ada 209buah koleksi manuskrip.
- *Amerika Syarikat ada 63buah koleksi manuskrip
- *Singapura ada 33buah koleksi manuskrip.
Mengikut anggaran terbaharu oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), terdapat sebanyak 12 000 naskhah manuskrip Melayu (bertulis dalam bahasa Melayu), di seluruh dunia, 6000 naskhah tersimpan di Malaysia dan 6000 naskhah lagi di luar negara.
Manuskrip Melayu telah dibawa ke Eropah dan Amerika Syarikat semenjak mula-mula orang Barat tiba di Alam Melayu, dari abad ke-16 hingga awal abad ke-20. Menurut senarai-senarai data katalog manuskrip Melayu sebelum tahun 1980an, lebih banyak manuskrip Melayu tersimpan di Eropah berbanding dengan di Alam Melayu sendiri. Di luar Dunia Melayu, negara Belanda mempunyai pusat pengumpulan manuskrip Melayu yang terbesar seperti di Perpustakaan Universiti Leiden, Perpustakaan Koninklijk Instituut voor Taal-en Volkenkunde, Leiden.
Di Perancis, manuskrip Melayu tersimpan di Bibliotheque Nationale, Paris, Bibliotheque Municipale, Tournes, dan Bibliotheque Municipale, Marseille. Di United Kingdom, manuskrip Melayu tersimpan di British Museum Library, London, Perpustakaan S.O.A.S., dan Universiti London, London, Bodleian Library, Universiti Oxford, Oxford, dan Perpustakaan Universiti Cambridge, Cambridge. Perpustakaan nasional di Jerman iaitu Staatsbibliothek zu Berlin, di berlin, Staatsbibliothek zu Munich, di Munich dan Staatsbibliothek zu Hamburg, di Hamburg juga menyimpan koleksi manuskrip Melayu.
Di Rusia, manuskrip Melayu tersimpan di Perpustakaan Nasional di Moscow dan Perpustakaan Nasional di Saint. Petersburg. Terdapat juga satu koleksi manuskrip Melayu di Perpustakaan Nasional Brussel, Belgium. Di Amerika Syarikat, terdapat satu koleksi manuskrip Melayu yang kebanyakannya disalin oleh Munsyi Abdullah, di Library of Congress, Washington D.C. Koleksi ini ialah hasil pengumpulan Alfred North dan beberapa orang yang berasal dari Amerika.
*Ilutrasi Gambar Hiasan
Sumber:"The Origins of the Malay Manuscripts Tradition",dalam Verhandelingen,115,1986:121-143
=====================
Catatan kaki oleh admin:
[1] Hampir sebagian besar puak Melayu menamainya dengan Tulisan Jawi, di Minangkabau dinamai dengan Tulisan Arab Melayu.
[2] Pendeta/ Biksu