Disalin dari kiriman FB Megat Hasimudin Megat Kasim
SRI VIJAYA DARI CATATAN CINA
Sebelum ini saya ada menulis artikel Langkasuka dari catatan Cina, maka artikel yang ini pula adalah kesinambungan kepada artikel tersebut. Ini adalah kerana banyak sumber yang berkenaan dengan sejarah awal Asia Tenggara khususnya Langkasuka dan Sri Vijaya banyak diperolehi daripada catatan Cina.
Disebabkan kebanyakan pengkaji sejarah tempatan hanya bersandarkan versi terjemahan yang dibuat oleh pakar-pakar Barat tanpa merujuk kepada sumber asal dalam Bahasa Cina maka saya mengambil inisiatif untuk menterjemahkan seberapa banyak rujukan dari sumber Cina.
Semasa 梁武帝 Maharaja Liang Wu iaitu di era 南北朝 Dinasti Utara Selatan (420 – 589) terdapat raja negeri 干陀利 Kantoli telah mengadap maharaja Cina.
Namun demikian catatan terawal yang dikenali ramai ialah melalui sami[Pendeta] Buddha, Yi Jing (I Tsing) yang telah melawat Sri Vijaya di tahun 671 semasa dalam perjalanannya ke India untuk mempelajari Bahasa Sanskrits dan ugama Buddha. Yi Jing tinggal selama 6 bulan di Sri Vijaya. Ketika itu Sri Vijaya baru “mengambil alih” Kantoli dan direkodkan di tahun 650.
Yi Jing dalam catatannya menyebut 末罗遊 Mo lo yu atau Melayu setelah beliau berada di Sri Vijaya seperti berikut:
見從大唐天子處來倍加欽上。後乘王舶經十五日達末羅瑜洲。又十五日到羯荼國。至冬末轉舶西行。
Raja menerima kedatangannya dengan penuh hormat sebagai tetamu dari kerajaan besar Tang. Kemudiannya menaiki kapal raja selama 15 hari sampailah ke negeri Mo lo yu. Lagi 15 hari sampai ke negara Ka Cha. Sehingga sampai musim sejuk barulah bertukar kapal untuk perjalanan ke barat.
Mengikut kajian ahli sejarah Mo lo yu ialah Jambi sekarang. Manakala Ka Cha / Chieh Cha ialah Kedah Tua. Dalam catatan China, ibukota kerajaan Sri Vijaya ialah 勃林邦 Bo lim bang iaitu Palembang. Kemudiannya Sri Vijaya menawan Mo la yu (Jambi) dan ibu kota Sri Vijaya berpindah ke Jambi.
Catatan silang arkeologi bersumberkan Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 605 tahun saka (683 Masehi) yang dijumpai di tebing Sungai Musi, Sumatera selatan dalam tahun 1920 menunjukkan yang kerajaan Sri Vijaya didirikan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Batu bersurat ini ditulis dalam Bahasa Melayu kuno menggunakan huruf Pallava.
Dalam catatan China, Sri Vijaya ditulis sebagai 室利佛逝 Shih li fo shi atau dipendekkan menjadi 佛逝 fo shi. Sri Vijaya banyak kali menghantar utusan ke China di tahun 695, 702,716,724,728 dan 742. Bagaimanapun selepas Dinasti Tang iaitu semasa Dinasti Sung semua rujukan mengenai Sri Vijaya ditulis sebagai 三佛齐 San fo qi.
Selain Yi Jing yang pernah sampai ke Sri Vijaya terdapat 9 orang lagi sami Buddha yang telah sampai ke Sri Vijaya yang ketika itu merupakan pusat pengembangan ugama Buddha terbesar di luar India.
Berdasarkan Batu Bersurat Kota Kapur bertarikh 608 tahun saka (686 Masehi) yang dijumpai di Pulau Bangka, Indonesia dalam tahun 1892 menceritakan yang raja Sri Vijaya bersumpah sebelum menawan bahagian barat Pulau Jawa yang berjaya dilakukan di penghujung abad ke 7.
Dalam 新唐书 Xin tang shu (New Book of Tang) menyebut jajahan Sri Vijaya seperti berikut:
室利佛逝,—曰尸利佛誓。過軍徒山二千里,地東西千里,南北四千里而远,有十四城, 以二國分總。西曰郎婆露斯。
Sri Vijaya menakluki Kundrang (selatan Sungai Mekong, Vietnam) sejauh 2 ribu li (batu atau mungkin batu nautika), tanah jajahan dari timur ke barat ribuan li. Dari utara ke selatan ialah 4 ribu li. Ada 14 kota semuanya. Negara terdapat dua bahagian pemerintahan. Bahagian barat ialah Langpolusi (kepulauan Malabar sekarang yang terletak di utara Sumatera dan barat Laut Andaman).
Ahli sejarah Thai berpendapat bahawa daerah Chaiya di Wilayah Surat Thani, Thailand pernah menjadi pusat pemerintahan Sri Vijaya. Ini bertepatan dengan fakta dalam Xin tang shu yang menyebut pemerintahan Sri Vijaya terbahagi kepada dua bahagian.
Dalam catatan China tidak menyebut yang Sri Vijaya menakluki negeri-negeri yang berada di Semenanjung Tanah Melayu melainkan menggunakan perkataan 属国 shu guo yang bermakna negeri atau negara naungan. Antaranya ialah seperti 蓬丰 (Pahang)、登牙侬 (Terengganu)、凌牙斯加 (Langkasuka)、吉兰丹 (Kelantan)、佛罗安 (Fo lo an) dan单马令 (Tan ma ling) atau Tambralinga.
Ramai ahli-ahli sejarah berpendapat bahawa sebelum kebangkitan Sri Vijaya, negeri-negeri di utara Semenanjung Tanah Melayu dari abad 1 – 6 Masehi yang meliputi negeri-negeri Kedah, Kelantan, Songkla, Pattani dan sebagainya adalah di bawah kekuasaan Langkasuka.
Selepas abad ke 7 banyak negeri bawah naungan Langkasuka telah perlahan-lahan keluar dan membentuk negara / negeri yang lebih berdikari tetapi masih tertakluk juga kepada Langkasuka iaitu seperti Kedah.
Ini bemakna secara tidak langsung apabila Sri Vijaya meluaskan pengaruhnya ke utara Semenanjung Tanah Melayu, maka Kedah terus berada di bawah naungan Sri Vijaya. Mungkin sebab itulah dalam catatan China tidak menyertakan Kedah sebagai negeri naugan Sri Vijaya kerana ketika itu Kedah masih lagi di bawah Langkasuka.
Dalam bahasa yang ringkas, Kedah adalah naungan langkasuka manakala Langkasuka adalah naungan Sri Vijaya. Namun dalam banyak keadaan dilihat Kedah adalah naungan terus dari Sri Vijaya.
Mengikut catatan China negeri-negeri naungan Sri Vijaya akan membayar ufti kepada kerajaan Sri Vijaya yang menjadikannya kuat dan kaya dengan segala hasil mahsul.
Kekuatan dan kekayaan Sri Vijaya ditulis oleh seorang penulis Arab sebagai raja di laut dan raja di darat. Sri Vijaya menguasai Selat Melaka dan Selat Sunda yang menjadi laluan utama bagi perdagangan antara China, India dan Arab. Semua kapal yang melaluinya dipaksa untuk membayar cukai.
Di akhir pemerintahan Dinasti Tang, laluan perdagangan di 南海 Nanhai atau Laut Selatan menjadi tidak selamat bagi perdagangan kerana kekacauan dan kegiatan lanun. Jadi tumpuan perdagangan lebih kepada pelabuhan-pelabuhan yang dikuasai oleh Sri Vijaya. Namun demikian kekayaan Sri Vijaya juga semakin merosot
Setelah negara China bertukar kepada Dinasti Sung di akhir abad ke 10 maka keamanan di Nanhai kembali tenang dan membuka kembali perdagangan dengan China. Namun demikian kekuatan Sri Vijaya di Selat Melaka yang memonopoli perdagangan di rantau ini telah menyekat banyak kapal-kapal India.
Dalam masa yang sama persaingan perdagangan dengan China juga terjadi antara Sri Vijaya dengan kerajaan Medang di Jawa Timur. Akhirnya dalam tahun 1006 Sri Vijaya menyerang dan menghancurkan kerajaan Medang.
Dalam tahun 1017 Rajendra Chola I, Virirajendra dari India selatan telah memulakan peperangan ke timur. Pada awalnya telah menawan negara naungan Sri Vijaya, Kataha-nagara iaitu Kadaram dalam bahasa Tamil (Kedah) lalu mendirikan sebuah kerajaan boneka Kataha. Kemudiannya meneruskan serangan sehingga menawan kota-kota Sri Vijaya di Sumatera seperti Mo la yu dan Pannai di tahun 1025.
Tidak banyak catatan tentang pemerintahan Chola di Kataha kerana tujuan asalnya ialah untuk menguasai jalan perdagangan Selat Melaka yang dikuasai oleh Sri Vijaya sebelum ini sahaja dan bukan untuk mentadbir tanah jajahannya.
Walaupun Sri Vijaya menerima kekalahan yang teruk tetapi dapat menghidupkan kembali angkatan tenteranya yang berpusat di Sumatera. Pada tahun 1067 kerajaan boneka Kataha digulingkan dan sekali lagi Virirajendra menghantar tentera untuk mengembalikan kerajaan bonekanya.
Dalam tahun 1247 Sri Vijaya cuba untuk menawan Ceylon (Sri Lanka) tetapi dapat dikalahkan. Seterusnya di tahun 1270 Sri Vijaya sekali lagi melancarkan serangan namun dikalahkan juga oleh raja Ceylon, Virabahu
Dalam tahun 1369 iaitu di tahun ke 2 pemerintahan Maharaja Hongwu (明太祖洪武二年) iaitu permulaan era Dinasti Ming, China telah menghantar satu utusan ke Sri Vijaya (San fo qi). Sekembalinya utusan itu ia diikuti pula oleh seorang utusan dari San fo qi.
Mengapa pula China yang mula menghantar utusan di awal pembentukan Dinasti Ming? Ini berkemunginan daripada perkhabaran yang tidak pernah disahkan dalam catatan sejarah bahawa adik kepada Maharaja Hongwu telah melarikan diri ke negara di Asia Tenggara. Malah salah satu daripada tujuan ekpedisi Laksamana Cheng Ho ada kaitan dengan pencarian ini.
Di tahun 1371 dan 1377 adalah kali yang terakhir San fo qi menghantar utusan ke China.
Semasa pemerintahan Maharaja Hongwu ke 30 tahun yakni di tahun 1397 kerajaan Majapahit memusnahkan San fo qi. Dalam sejarah China mencatatkan sebagai Sri Vijaya (lama) atau San Fo qi (lama).
Ketika itu negara dalam keadaan huruhara. Dicatatkan di San fo qi terdapat sekitar seribu orang-orang Cina dari Guangdong yang mengangkat 梁道明 Liang Dao Ming sebagai Maharaja San fo qi (baru). Terdapat puluhan ribu rakyat yang menjadi tentera dari Guangdong bagi mempertahankan San fo qi (baru) dari serangan Majapahit selama 10 tahun. Di tahun 1470 San fo qi (baru) dimusnahkan oleh kerajaan Majapahit.
Dikatakan keturunan terakhir Sri Vijaya, Sang Nila Utama telah melarikan diri ke Temasik yang akhirnya ke Melaka. Beliau ialah Parameswara yang membuka Melaka.