Disalin dari kiriman FB Ibnu Kamal Aliff
Peperangan tercetus di Tanah Melayu pada 7 Disember 1941 apabila tentera Jepun mendaratkan tenteranya di Kelantan, disusuli dengan serangan ke atas Pearl Harbour. Dalam tempoh 70 hari Singapura telah dikuasai oleh Jepun. British terpaksa mengaku kalah. Bermula pada bulan Februari 1942, P'sekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat telah diletak di bawah pentadbiran tentera Jepun dengan Singapura atau Syonan nama barunya, sebagai pusat pentadbirannya.
Setelah perang tamat, para pejuang Melayu khususnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) berusaha untuk mencantumkan semula Singapura dengan Tanah Melayu, tetapi dihalang oleh British. Di bawah perlembagaan Malayan Union atau Kesatuan Tanah Melayu, Pulau Pinang dan Melaka telah menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu, tetapi Singapura kekal sebagai koloni British. Semenjak itu Semenanjung dan Singapura berkembang secara berasingan dalam bidang politik, perlembagaan dan ekonomi.
Keengganan British untuk memberi hak pemerintahan sendiri kepada Persekutuan Tanah Melayu telah mencetuskan bantahan di Tanah Melayu. Parti Komunis Malaya dan parti kiri Melayu seperti PKMM, PETA dan Hisbul Muslimin telah mempelopori gerakan kemerdekaan. Pihak British telah bertindak balas dengan mengisytiharkan darurat, mengharamkan parti kiri dan menahan para pimpinan dan ahlinya. Di Singapura pihak British juga telah menangkap ahli serta penyokong PKM dan parti kiri Melayu, Antara tahun 1948 dan 1953, seramai 1,200 orang telah ditahan oleh pihak berkuasa British, termasuklah C.V. Nair dan James Puthucheary.
Pada tahun 1950-an, pihak British telah melonggarkan sedikit kekangan terhadap kegiatan politik sebagai persiapan ke arah pemerintahan sendiri. Pada tahun 1953, Pejabat Tanah Jajahan telah melantik Suruhanjaya Perlembagaan yang dipengerusi kan oleh Sir George Rendell untuk menggubal perlembagaan Singapura. Dalam laporannya yang dikeluarkan pada awal tahun 1954, Suruhanjaya Rendell mencadangkan supaya Singapura diberi status pemerintahan sendiri yang terhad. Sebuah Dewan Legislatif yang mengandungi seramai 32 orang anggota telah ditubuhkan. Daripada jumlah itu seramai 25 orang akan dipilih menganggotainya melalui proses pilihan raya. Sebuah Majlis Menteri yang mengandungi 9 orang Menteri akan dibentuk. Majlis Menteri ini bertanggungjawab terhadap semua urusan pentadbiran melainkan hal ehwal keselamatan, undang-undang dan kewangan dan urusan luar negara yang masih menjadi tanggungjawab kerajaan British.
Apabila laporan Suruhanjaya Rendell diluluskan oleh Parlimen British, pilihan raya umum pertama telah dijadualkan pada April 1955. Justeru itu, beberapa parti politik telah ditubuhkan, seperti Parti Buruh Bersatu (Labour Front), People's Action Party (PAP), UMNO Singapura, Parti Buruh Singapura dan Parti Progresif. Antara parti politik yang paling berpengaruh ketika itu ialah Parti Buruh Bersatu dan PAP.
Parti Buruh Bersatu telah ditubuhkan oleh Lim Yew Hock dan David Marshall, seorang peguam. Lim Yew Hock adalah seorang aktivis Kesatuan dan ahli Majlis Legislatif manakala David Marshall pula adalah seorang peguam keturunan Yahudi yang terkenal serta berjiwa anti-penjajah. Dasar perjuangan Parti Buruh Bersatu ialah untuk membebaskan Singapura daripada penjajahan dan bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu.
PAP, saingan utama Parti Buruh Bersatu, telah ditubuhkan pada bulan November 1954 oleh siswazah lulusan universiti di United Kingdom. Sama seperti Parti Buruh Bersatu, matlamat perjuangan Parti PAP ialah untuk membebaskan Persekutuan Tanah Melayu, termasuk Singapura, daripada belenggu penjajahan British. Antara tokoh PAP yang terkenal ialah Lee Kuan Yew, Goh Keng Swee, Toh Chin Chye dan S. Rajaratnam. Untuk mencapai matlamat perjuangannya, PAP merapatkan hubungan dengan golongan pendidik Cina dan pimpinan Kesatuan Sekerja yang dikuasai oleh Komunis. Oleh sebab itu PAP tidak bersikap anti-komunis.Dalam satu kenyataan akhbar pada Mei 1955, Setiausaha PAP, Lee Kuan Yew, pernah mengatakan bahwa 'any man in Singapore who want to carry the Chinese-speaking people with him cannot afford to be anti communist PAP mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah parti yang bukan komunis. Walaupun PAP dianggap sebagai sebuah parti reactionary, tetapi justeru imejnya sebagai sebuah parti pro-kemerdekaan dan anti-barat, PKM memilih untuk menyokongnya.
"Although they are essentially reactionary, yet in the present phase of the anti-colonial struggle for the attainment of the rights of national self determination, we shall support all PAP policies and measures that are beneficial to us and oppose those that are not. Every comrade must take this principle as a guide for his own utterances and activities."
Pilihan raya umum pertama diadakan di Singapura pada 2 April 1955. Parti Buruh Bersatu memenangi pilihan raya itu dengan 10 kerusi manakala PAP memenangi 4 buah kerusi. UMNO-MCA hanya memenangi 3 kerusi sahaja. Keputusan itu membolehkan Parti Buruh Bersatu membentuk kerajaan dengan David Marshall sebagai Ketua Menteri Singapura yang pertama.
Kemenangan Parti Buruh Bersatu mengecewakan pihak British yang mengharapkan Parti Progresif yang pro-British mengambil-alih teraju pemerintahan. Sikap David Marshall yang anti-kolonial dan keengganannya untuk bertindak terhadap puak kiri dan komunis menyebabkan beliau tidak begitu popular dengan pihak kolonial British di Singapura. Pada awal bulan Jun 1956, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Menteri apabila kerajaan British enggan memberi hak pemerintahan sendiri sepenuhnya kepada Singapura. Ketua Menteri tidak mempunyai saluran kepada laporan sulit Cawangan Khas. Oleh sebab sumber kewangan dikawal oleh pihak British, maka ketua Menteri mempunyai masalah untuk melaksanakan rancangan pembangunan dalam aspek perumahan dan pendidikan.
Pada 8 Jun 1956, pemangkunya Lim Yew Hock telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri. Pada 11 Disember 1957, Sir William Goode telah dilantik sebagai Gabenor Singapura. Menyedari bahawa kerajaan British tidak akan memberikan kemerdekaan kepada Singapura sehingga Komunis tidak lagi menjadi ancaman, maka Lim Yew Hock memilih untuk bekerjasama dengan Gabenor dan Ketua Polis dalam menangani masalah komunis walaupun beliau dianggap oleh musuh politiknya sebagai 'boneka penjajah'. Beliau adalah Cina Peranakan yang berjiwa anti-komunis. Oleh sebab itu juga beliau dapat berhubung rapat dengan Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri bagi Tanah Melayu, seorang tokoh yang juga anti-komunis. Kerajaan Persekutuan agak bim bang dengan kegiatan komunis di Singapura. Walaupun PKM telah diharamkan, tetapi komunis masih berpengaruh di kalangan Kesatuan Sekerja dan sekolah Cina.
Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Menteri, Lim Yew Hock, dengan kerjasama Gabenor Goode dan Ketua Polis, telah mengambil tindakan terhadap komunis. Pada 23 Ogos 1956, Lim Yew Hock mengeluarkan Kertas Putih tentang kegiatan dan matlamat Komunis di Singapura serta penyelusupan anasir itu dalam PAP. Pada bulan September, Kesatuan Sekerja seperti Singapore Factory and Shop Workers telah ditutup. Bermula 1 Oktober 1956, satu operasi besar besaran telah dijalankan di Singapura untuk memberkas anggota komunis serta para penyokongnya.
Akibat tindakan keras Lim Yew Hock, gerakan komunis di Singapura hampir lumpuh. Operasi itu dikenali sebagai Operation Photo. Berikutan dengan berlakunya rusuhan di Chinese High School pada 26 Oktober 1956, Lim Yew Hock telah bertindak dengan menahan pemimpin kiri dan komunis dalam PAP dan Kesatuan Sekerja. Antara yang ditahan di bawah Akta Preservation of Public Security ialah Lim Chin Siong, S. Woodhull dan James Puthucheary. Pada tahun 1957, lima orang ahli Jawatan
kuasa Tertinggi PAP turut ditahan. Dari satu segi, penahanan beberapa orang pucuk pimpinan tertinggi Jawatankuasa Pusat PAP yang pro-Komunis telah membolehkan Lee Kuan Yew, seorang tokoh moderat dan bekas Setiausaha Agung PAP, menguasai semula PAP. Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan, telah memuji Lim Yew Hock kerana berjaya membunuh 'the communist snake'. Satu daripada senjata sulit pihak British dalam menangani masalah komunis ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau pun Preservation of Public Security Act. Akta ini memberi kuasa sepenuhnya untuk menahan mana-mana individu ataupun menutup mana-mana persatuan atau kesatuan yang dipercayai mengancam keselamatan negara tanpa memerlukan perintah mahkamah Justeru itu akta tersebut telah ditentang oleh komunis dan menjadi isu utama dalam perjuangan politik di Singapura.
PERLEMBAGAAN BARU
Pada bulan April 1958 Lim Yew Hock telah mengetuai rombongan ke London. Turut mengiringi rombongan itu ialah Lee Kuan Yew. Pada 11 April 1957 perjanjian telah dimeterai antara kerajaan Lim Yew Hock dengan kerajaan British mengenai perlembagaan baru bagi Singapura. Perlembagaan baru itu membolehkan penubuhan sebuah Dewan Legislatif dengan 51 orang wakil yang dipilih. Seorang Perdana Menteri dan beberapa orang Menteri akan dipilih daripadanya. Dewan ini mempunyai kuasa dalam semua hal kecuali urusan pertahanan dan luar negara. Berkaitan soal keselamatan dalam negeri, sebuah majlis yang dikenali sebagai Majlis Keselamatan Negara akan dibentuk. Majlis ini akan dianggotai oleh tiga orang wakil British, tiga orang wakil dari Singapura dan seorang wakil dari Tanah Melayu. Singapura akan diketuai oleh seorang Yang di-Pertuan Negara dan bukan lagi Gabenor. Kerajaan British masih mempunyai kuasa untuk menggantung perlembagaan sekiranya keselamatan dalam negeri Singapura tergugat ataupun kerajaan Singapura menjalankan dasar yang bertentangan dengan Perlembagaan.
TUNTUTAN MELAYU
Secara umumnya perlembagaan baru itu telah diterima oleh rakyat Singapura. Ini kerana perlembagaan itu telah mengubah status Singapura daripada sebuah koloni kepada Negara (State). Sempena dengan itu. Yusof Ishak telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Negara Singapura yang pertama. Sungguhpun begitu terdapat sekumpulan orang Melayu mempertikaikan perlembagaan itu atas alasan bahawa perlembagaan itu tidak menjamin kedudukan orang Melayu sebagai bumiputera di negeri itu malahan kedudukan orang Melayu akan semakin tenggelam. perlembagaan baru itu telah melonggarkan syarat-syarat kerakyatan Kerakyatan Singapura telah dibuka seluas-luasnya kepada semua kaum. Syarat kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli telah diperkenalkan. Bagi rakyat United Kingdom dan Tanah Jajahan, mereka layak untuk memohon kerakyatan selepas dua tahun bermastautin di Singapura manakala bagi rakyat asing pula ialah selepas bermastautin selama 8 tahun.
Apabila syarat-syarat kerakyatan ini dikuatkuasakan, seramai 325,000 orang asing telah diterima sebagai rakyat Singapura. Jelas bahawa peraturan kerakyatan baru itu meninggalkan kesan buruk kepada bangsa Melayu di pulau itu. Daripada 1,466,000 juta orang penduduk di Singapura, bilangan orang Melayu hanyalah dalam anggaran 228,000 orang sahaja. Tambah membimbangkan orang Melayu lagi ialah apabila perlembagaan itu tidak memberi jaminan terhadap kedudukan istimewa orang Melayu sebagai kaum minoriti akan dihormati, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Bimbang dengan masa depan mereka, pada 12 Mac 1959, satu pertubuhan yang dikenali sebagai Gerakan Kebangsaan Melayu Singapura atau GEMALA telah ditubuhkan di Singapura. Peranan utama GEMALA ialah untuk mempertahankan hak dan kepentingan bangsa Melayu di Singapura. GEMALA dipengerusikan oleh Hashim bin Salim manakala Setiausahanya ialah Othman Abdullah. Penaung GEMALA ialah Tengku Muda, cicit kepada Sultan Hussain.
Pada 19 April 1959, GEMALA menganjurkan satu persidangan di istana Kampung Gelam untuk membincangkan nasib dan masa depan orang Melayu di Singapura. Persidangan itu dihadiri oleh seramai 250 orang peserta. Antara keputusan penting yang dibuat oleh persidangan itu ialah desakan GEMALA supaya kerajaan British memulihkan taraf orang Melayu Singapura seperti pada zaman sebelum penjajahan dahulu. Kedua, mendirikan semula kerajaan bersultan. Ketiga, menuntut supaya Perlembagaan baru Singapura dibatalkan dan dengan itu mendesak supaya pilihan raya umum ditangguhkan.
Keputusan persidangan GEMALA untuk memulihkan semula kesultanan Melayu telah ditegur oleh PAS dan Parti Rakyat. Abdullah Zawawi, Yang dipertua PAS Singapura, menganggap cadangan itu sebagai tidak praktikal. Tegas beliau:"Kesultanan Singapura tidak akan tercapai. Hanya bila Singapura bercantum dengan Persekutuan maka tanah jajahan ini dapat kembali kepada bangsa Melayu."
Berita Harian pula menganggap kepentingan utama perjuangan rakyat Singapura pada amnya dan orang Melayu khasnya adalah untuk 'memperjuangkan kemerdekaan rakyat yang terjajah' dan bukan memulihkan kesultanan Melayu.
Kritikan dan teguran itu bagaimanapun tidak menghalang GEMALA daripada mengirimkan memorandum kepada baginda Queen Elizabeth II pada 25 April 1959. Seperti yang diputuskan dalam Persidangan itu, GEMALA mendesak kerajaan British melindungi hak dan kepentingan orang Melayu di Singapura, seperti yang termaktub dalam perjanjian antara Sultan Hussain Muhammad Syah dengan Raffles pada 30 Januari 1819 dan 6 Februari 1819. Salinan memorandum itu telah dikirim juga kepada Perdana Menteri British Harold MacMillan.
"No doubt Your Majesty's Government must be fully aware of the provisions of both the Treaties, the principal burden of which was that in return for the right of the British to maintain its administrative machinery on the island, they were also responsible not only to safe-guard, but also to foster and actively encourage Malay rights, special privileges and advancement in the field of education, economic, political and social development."
GEMALA bimbang bahawa jika langkah tertentu tidak diambil untuk menangani kebimbangan kaum Melayu ditakuti orang Melayu akan menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamatnya.
"One apparent result which will adversely affect the Malay people if the new constitution of Singapore came into being, is the certain deprivation of their rightful claim to ownership of this island of 'equality" with the other immigrant races and we maintain that to be so placed would be to endanger our very position and would jeopardise our immediate future on this island. It would mean a compromise with death. We cannot at this juncture compete, with them on such a basis, because, presumably, through the accidents of history and the years of British neglect of our welfare, we are weak people, small in number and politically and economically insignificant'."
GEMALA mempertikaikan keputusan kerajaan British membuka hak kerakyatan kepada orang asing berjumlah 200,000 orang yang kesetiaan mereka masih diragui. Keputusan itu dibuat tanpa merujuk kepada orang Melayu. GEMALA bimbang bahawa jika pada masa hadapan tindakan seumpama itu juga akan diambil, masa depan orang Melayu di Singapura adalah gelap. GEMALA merayu agar hak dan kedudukan orang Melayu diberi perlindungan yang sewajarnya bagi mengelakkan orang Melayu daripada terpupus di pulau itu.
"Your Majesty's Government has a moral responsibility in safeguarding Malay interests, rights and privileges, notwithstanding the claims of the non-Malays on this island. How great then was their consternation and how helpless they felt, when they realised that though their rights and privileges are embodied in the Proposed Constitution, and rather loosely at that, there appeared to be no constitutional guarantees that those rights and privileges would be observed and carried out by the Government in power. In simple language the party that forms the next government is not legally bound to observe, much less to carry out its obligations to the Malays."
GEMALA mencadangkan supaya kerajaan British memulihkan semula kesultanan Melayu di Singapura serta memperkasakan kedudukan orang Melayu di pulau itu. Di samping itu tuntutan juga dibuat agar Kerajaan British membatalkan hasrat untuk mengadakan pilihan raya umum seperti yang dicadangkan.
Tuntutan GEMALA itu bagaimanapun tidak dilayan oleh pihak Istana Buckingham. Perlembagaan Baru telah dikuatkuasakan di Singapura seperti yang dijadualkan.
ΝΟΤΑ
1. Devan Nair dan James Puthucheary telah dianggap oleh pihak Keselamatan British sebagai 'open front leaders' Parti Komunis Malaya. Lihat. Richard Clutterbuck, Conflict and Violence in Singapore & Malaysia, 1945-1983, Graham Brash (Pte) Ltd., Singapore, 1984. hal. 66. 2. Ibid. hal. 105.
3. Lim Chin Siong juga dikategorikan sebagai 'open front leader' untuk PKM tetapi tidak pernah membuat pengakuan terbuka bahawa beliau adalah seorang komunis. Lihat, Richard Clutterburk, op. cit., hal. 99.
4. Rancangan Penubuhan Malaysia', ucapan Tunku Abdul Rahman di Perhimpunan Agung Khas UMNO pada 4 November 1961. hal. 394-401. Lihat, Wan Mohd. Mahyiddin & Haji Nik Mustaffa Yusoff (peny.), Amanat Presiden: Landasan bagi Pembinaan Bangsa dan Negara, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Shah Alam, 1997.
5. Richard Clutterbuck, op. cit. hal. 112.
6. Berita Harian, 21 April 1959.
7. Ibid. 24 April 1959. 8. Ibid. 21 April 1959.
9. Memorandum Gerakan Kebangsaan Melayu Singapura, 25 April 1959 dim.Buckingham Palace - CO, 3 Nov 1959, CO 1030/447.