FB Sarah Zakaria | Kisah Badang dikatakan berlaku semasa zaman pemerintahan Paduka Seri Rana Wira Kerma ( 1386M-1399M ). Badang merupakan seorang pemuda miskin dan kurus yang berasal dari Sayong Pinang Johor hari ini.
Apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia, Badang telah menjadi hamba kepada Orang Kaya Nira Sura di Salung atau Saluang di Acheh sekarang. Tugas Badang ialah membersihkan tanah baharu untuk bertani. Sebagai seorang hamba, kerja Badang hanya dibayar dengan beberapa genggam beras sahaja untuk sehari.
Itu tentu tidak mencukupi dengan kerja berat yang dilakukannya. Untuk mengalas perut, Badang memasang perangkap ikan di sungai pada setiap petang dan akan mengutip hasil pada keesokkan paginya.
Pada suatu hari, perangkapnya tidak mendapat sebarang hasil, yang ada hanya tulang ikan yang menunjukkan bahawa ada sesuatu yang memakan ikannya. Dengan perasaan marah, Badang telah bersembunyi di dalam semak berbekalkan kayu rotan untuk melihat pencuri ikannya.
Rupa-rupanya yang mengambil ikan Badang ialah Hantu Air. Hantu Air tersebut memiliki badan yang tinggi bahkan lebih tinggi daripada rumah Badang, manakala janggutnya pula sehingga paras dada. Hantu air itu juga, mempunyai sepasang tanduk di kepala, gading terkeluar dari rahang atas dan rambut kusut pada bahagian tangan dan kaki.
Dalam Hantu ait tersebut telah makan kesemua ikan dalam perangkap tersebut kemudian tertidur.
Melihat kejadian itu, Badang tidak merasa takut tetapi merasa marah. Badang telah merangkak sehingga sampai ke tempat hantu air tersebut tidur kemudian menggunakan jaring yang kosong untuk mengikat rambut hantu air tersebut ke batu.
Hantu air tersebut menjadi takut dan meminta belas kasihan daripada Badang. Hantu air tersebut berjanji akan memberikan apa-apa sahaja permintaan Badang jika dia dilepaskan. Badang terfikir ingin menjadi halimunan tetapi dia tahu yang dia mungkin akan diburu dan dibunuh.
Badang juga terfikir untuk meminta kekayaan tetapi dia tahu bahawa apa yang dia miliki tetap akan menjadi milik tuannya. Oleh itu, Badang telah meminta untuk menjadi kuat kerana kerja beliau sendiri sangat memenatkan.
Hantu air itu meminta Badang menelan apa sahaja yang dimuntahkannya. Hantu air itu telah memuntahkan semua ikan yang telah ditelan dan Badang telah memakan semua muntah terebut sedikit demi sedikit sehingga habis.
Dalam waktu itu juga ,Badang terus menjadi amat kuat. Sambil berjalan balik, Badang menguji kekuatannya kepada sebatang pokok.
Tuannya iaitu Orang Kaya Nira Sura bertanya bagaimana sebahagian besar hutan telah berjaya dibersihkan olehnya dengan pantas sekali. Badang menjelaskan segala-galanya yang telah berlaku. Orang Kaya Nira Sura berterima kasih atas kesetiaan Badang selama ini dan dia dibebaskan daripada menjadi hamba.
Selepas menjadi orang merdeka, Badang telah bekerja dengan beberapa orang lain sebelum menuju ke Kerajaan Singapura.
Di Singapura, Badang telah menyaksikan percubaan lima puluh orang dewasa yang cuba untuk menolak sebuah perahu yang berat ke dalam air. Badang terus menawarkan untuk membantu tetapi orang-orang enggan kerana melihat saiz tubuh Badang yang terlalu kecil. Raja Paduka Seri Rana Wikrama akhirnya menghantar 300 orang untuk membantu menolak kapal tersebut tetapi tetap tidak berhasil.
Akhirnya Badang telah menolak perahu tersebut seorang diri. Takjub dengan kejadian itu, Badang telah dipanggil ke Istana Raja Seri Rana Wikrama dan dilantik sebagai komander tentera. Raja Seri Rana Wikrama pernah meminta Badang untuk mengumpul daun kuras dari Kuala Sayong di Sumatera, jadi Badang bertolak dalam kapal seorang diri.
Apabila beliau memanjat pokok kuras tersebut, satu dahan pokok tersebut telah patah menyebabkan Badang terjatuh dan kepalanya terhentak batu. Badang tidak luka tetapi batu tersebut telah pecah dua. Hari ini batu tersebut dikenali sebagai Batu Belah.
Seorang raja dari India mahu menguji kekuatan Badang dengan pengikutnya yang bernama Nadi Bijaya. Pahlawan India itu belayar ke Kepulauan Melayu dan disambut raja tempatan dengan penuh peramah. Raja Seri Rana Wikrama telah menyahut cabaran itu dengan tangan terbuka.
Pertaruhannya ialah tujuh kapal dengan muatan . Badang bersaing dengan Nadi Bijaya dalam beberapa pertandingan kekuatan dan gusti tetapi hasilnya selalu seri. Akhirnya, Nadi Bijaya mencadangkan bahawa sesiapa yang boleh mengangkat batu besar di hadapan istana itu hendaklah diisytiharkan pemenang. Beliau kemudian mengangkat batu tersebut ke paras lutut dan segera menjatuhkannya manakala Badang telah mengangkat batu di atas kepalanya dan melemparkan ke dalam laut. Nadi Bijaya mengaku kalah dan pulang ke India.
Badang telah menghabiskan masanya di Singapura dengan mengalahkan kesemua pencabarnya dari seluruh dunia termasuk dari Jawa. Akhirnya beliau bosan dengan kehidupan tersebut dan telah membawa diri ke Sumatera.
Di Sumatera beliau hidup sebagai orang biasa. Semasa kematiannya, Nadi Bijaya telah menghantar batu nisan yang dibuat daripada marmar untuknya.
Seri Cendekiawan 2.0
=======
Foto: national geographic