Gambar: apa arti dari |
Laporan sumber lokal ttg Sumatra dibaca lagi baik-baik .
Parihal Pulau Perca
FB Babai Racdmal - Adapun duduknya Pulau Perca itu tengah2 dengan Khatulistiwa atau Equitor maka yang setengahnya sebelah utara itu sampai lima (5) degree jatuhnya bersamaan dengan Pulau Pinang dan separuh sebelah selatan Pulau Perca itu lima (5) degree juga jatuhnya bersamaan dengan Bantam. Maka panjangnya 925 mil dan lebarnya lebih kurang 90 mil maka sebelah baratnya adalah lautan besar yang di namai laut India dan sebelah timur iaitulah Selat Melaka.
Maka rupanya Pulau Perca itu seakan tanah besar Melayu tetapi berlainannya itu iaitu oleh sebab tengah2 Pulau Perca itu adalah kebanyakan tanahnya tinggi tiga (3) kali terlebih tinggi daripada gunung2 yang berbanjar di tanah Melayu. Jikalau ada banyak jadi gunung2 berapi dalam negeri Perak dan Terengganu dan Patani maka rupanya sama juga seperti keadaan Pulau Perca.
Maka gunung tinggi yang berbanjar di sebelah barat sekali itulah tempat air hujan berhimpun maka air yang mengalir ke selat Melaka adalah terlebih banyak daripada mengalir ke laut India. Adapun nama sungai2 yang besar sebelah timur iaitu Siak, Indera Giri, Jambi dan Palembang dan sungai2 yang di sebelah barat iaitu Indera Pura, Tabuyug dan Sangkit inilah nama2 sungai yang kecil2 belaka.
Maka darihal nama Pulau Perca ini di sebutkan oleh orang putih Sumatera سماترا. Maka adalah seorang yang berilmu di dalam segala bahasa timur itu mengatakan adapun pulau itu dapat namanya daripada suatu tanah yang tinggi bernama Semadera سمادرا sebab di sangkanya adapun erti perkataan di dalam bahasa pulau itu semut besar akan tetapi tiada suatu tempat tinggi yang bernama demikian itu.
Hataya maka pada sangka orang alim itu adalah perkataan Sumatera boleh dapat di dalam sebarang kitab kamus orang Sepanyol atau Portugis ertinya angin ribut atau taufan dan hujan. Barangkali anak2 perahu bangsa itu telah biasa terkena ribut dan budang selalu apabila mereka itu dekat dengan pulau ini lalu di beri nama itu. Kemudian maka telah nyatalah tertukar nama itu dan perkataan itu telah dapat dari nama tanahnya pada tempat itu adanya.
Maka ada pula di dalam suatu hikayat orang Parsi yang tertulis pada tahun masihi 1611 adalah nama Shamatera شاماترا itu di dapatinya suatu tempat yang orang Portugis itu duduk dan lagi adalah di dalam surat orang Melayu yang baharu2 ini adapun perkataan Samantera سمنتارا itu di pakainya menyatakan pulau ini jua. Maka barang kali perkataan itu sudah di dapati oleh orang Parsi dan Melayu daripada orang Inggeris tetapi sebarang orang yang mengerti bahasa Hindustan itu boleh senang ia mengetahui akan nama ini iaitu serupa dengan perkataan dalam bahasa Sanskrit.
Maka tiadalah hairan pada kita kerana di percayai oleh kita sekarang ini maka adalah banyak perkataan dalam bahasa Melayu itu asalnya datang daripada Sanskrit jua dan lagi nama2 tempat dalam negeri Semendera سمندرا ini dan dalam negeri yang dekat2 di situ iaitu seperti Indera Pura, Indera Giri di dalam Sumatera dan Sukapara serta gunung Maha Meru Malakut di Jawa.
Maka tiada syak lagi sekelian ini tertentulah asalnya dari Hindu belaka maka bercampur juga bahagian itu dengan perkataan Su سو ertinya baik dan Matera ماترا ertinya ukur istimewa pula perkataan Sumantera سمنتارا itu ertinya pertengahan atau di antara boleh di fikirkan sedikit adalah kedudukan pulau Semendera سمندرا itu di antara dua laut dan dua selat adanya.
Maka telah kusebut dahulu segala isi negeri Sumatera itu orangnya bebal tetapi bukan sekeliannya kerana tiada di ketahuinya tanah itu pulau dan tiada jua di ketahuinya nama pulau itu Sumatera. Maka yang hendak kutunjuk di sini seperti kuketahui hanya orang2 isi negeri yang duduk di sebelah barat daya sahaja. Maka lain2 itu ada benar sedikit lakunya serta dengan sedikit ada ingat akan perniagaan dan biasa berjinak2 dengan lain2 negeri.
Tetapi pun aku percaya lain2 tempat itu ada lebih mahsyur sebab orang2 yang isi pulau itu pada sangka mereka itu negerinya itu tanah besar istimewa pula kerana banyak pulau yang kecil2 itu mengelilingi dia. Maka masing2 bangsa ada nama desanya dan nama daerahnya atau bangsanya itu maka demikian ini kitalah yang bertemu nama sejati pulau itu yang di beri oleh orang2 dagang. Maka di antara itu telah di beri nama atau di panggil Al Rami الرامي atau Ramiri راميري oleh orang Arab dan Sumatera سوماترا atau Samantera سمنتارا oleh Hindu adanya.
Bahawa adalah seorang bernama Marco Polo yang termahsyur di dalam pelayaran daripada negeri Venice dekat negeri Rom tahun masihi lebih kurang 1260. Maka ialah orang Eropah yang pertama telah bercakap darihal pulau ini tetapi di namakannya Jawamani جاوامني kerana rupanya ada sedikit sama dengan tanah Jawa. Akan namanya yang betul itu entah ia lupa, entah tiada ia mendengar daripada isi negeri itu adanya. Maka kitab pelayarannya itu sudah beberapa lama tiada orang mahu percaya di sangkakan itu hanyalah sesuatu cerita sahaja.
Maka pada sekarang ini sudah terpakai pula dan meski pun 600 tahun lalu boleh di percayai juga adanya maka Marco Polo kembali ke negeri Venice pada tahun 1295. Maka tentulah lebih kurang lima tahun lamanya daripada ia meninggalkan Semendera itu kemudian ia berlayar pula melihat2 negeri Silan Karantik, Malbari, Guzarati dan Parsi lalu ke negeri Itali. Maka namanya terlalulah mahsyur maka ialah seorang putih pada zaman itu yang telah sampai ke negeri Cina dan negeri2 sebelah sini.
Syahdan maka perniagaan Pulau Perca itu terlalulah besarnya pada zaman dahulu kala dan pada masa ini telah menjadi sangatlah kurangnya dan dahulu orang2 Hindu dan Arab biasa membawa dagangan dari sebelah negeri di bawah angin ini. Lagi pun kuasa raja2nya pada zaman ini sudah menjadi lemah tetapi pada zaman dahulu negeri Aceh itulah tempat yang bermula2 kali orang Portugis telah di kalahkan oleh orang Aceh seperti yang telah tersurat di dalam fasal yang kedua itu. Maka sekarang ini kuhendak menceriterakan padamu dengan ringkas darihal tanah Sumatera yang pada zaman ini sahaja adanya.
Darihal berjenis2 bangsa di Pulau Perca
Bermula adapun orang isi tanah Pulau Perca itu asalnya orang Melayu yang sudah bercampur dengan bangsa lain2. Maka adalah mereka itu sekelian datangnya dari negeri2 yang dekat2 akan tetapi pada masa ini adalah mereka itu terbahagi antara beberapa bangsa kerana pada zaman dahulu kalanya. Adapun asal2nya orang isi pulau itu dari sebab zalim dan aniaya raja2nya maka mereka itu telah larilah serta tinggal di gunung2 dan bercerai berai sehingga bahasanya dan adatnya pun telah berubahlah.
Maka adapun bangsa yang diam di sebelah utara Pulau Perca itu di gelar orang Lubu لوبو dan di sebelah selatannya orang Kubu كوبوmaka bangsa Melayu itu mengdiami di tengah2 Pulau Perca dari Rokan sampai ke Palembang dan Air Bangis sampai ke Katun atau pun hampir2 setengah bahagian tanah Pulau Perca itu di duduki oleh bangsa Melayu.
Maka kebanyakan tanah2nya yang rata dan rendah telah jadi di sana oleh sebab tanah2 gunung itu lama kelamaannya telah di bawa lari oleh air sehingga menjadi padang yang luas lagi rendah seperti antara Siak dan Palembang. Maka tanah itu terlebih kaya dan makmur yang di duduki oleh orang Melayu sebab itu mereka itu ada lebih berakal dan berkuasa daripada orang2 yang duduk pada tempat hulu yang kurang baik tempatnya itu.
Maka adalah bangsa Melayu di Pulau Perca itu di bahagikan antara Melayu yang diam di gunung2 dengan Melayu yang diam di sebelah pantai di tanah padang yang rendah. Maka orang yang duduk di gunung ia itulah orang Minangkabau dan orang Kurinci dan orang Rawa dan sebagainya dan orang yang duduk di sebelah tanah padang yang rendah iaitu orang Siak dan orang Lampung dan orang Palembang dan orang Rejang.
Maka kuhendak menceriterakan padamu lebih lanjut sedikit darihal orang Minangkabau sebab asalnya bangsa Melayu ini terbitnya daripada mereka itu. Maka darihal daerah yang lain2 di Pulau Perca itu kebanyakan orang dalam negeri Singapura ini telah biasalah pergi berlayar ke Palembang dan ke Siak dan sebagainya.
Sungguh pun jajahan Minangkabau itu terkecil daripada lain2 daerah dalam tanah Pulau Perca akan tetapi ada banyak gunung yang tinggi lagi lembahnya subur dan bagus dan orang isi negerinya pun ramai. Maka adalah di sebelah utaranya iaitu gunung berapi dan sepalang maka tingginya adalah kira2 tiga belas ribu (13,000) kaki maka kedua2 gunung ini berapi dan gunung Kesamba atau gunung Sagu yang tiada berapi adanya.
Adapun negeri Minangkabau itu dari tempat Pagar Uyung telah di lihat oleh tuan Raffles demikian ini katanya “Seberapa jauh sayup mata memandang. Bahawa tempat2 itu penuhlah dengan tumbuh2an dan banyaklah kampung2 dusun2 orang. Maka sekeliannya itu penuh dengan pohon kelapa dan pohon buah2an maka tempat itu telah kudapati lebih bagus dari tanah Jawa dan orang isi negerinya terlalu ramai dan tumbuh2an terlalulah subur2 belaka. Sungguh pun satu daerah yang kecil panjangnya 50 mil dan lebarnya 50 mil (seperti sangka tuan Raffles) adalah orangnya berisi satu juta (1,000,000) iaitu lima (5) kali lebih banyak daripada orang isi negeri Singapura.
Maka adalah pada zaman dahulu kala adapun daerah Seruas سرواس di sebutkan orang seperti kepala negeri Minangkabau akan tetapi pada masa ini Seruas itu seperti daerah yang lain2 juga seperti Pagar Uyung dan Sungai Terap. Maka sebelum bangsa orang putih datang ke tanah Pulau Perca maka raja Minangkabau itu mula2 bergelar Yang Di Pertuan oleh sebab katanya bahawa ialah raja yang besar daripada lain2 raja seperti raja Aceh dan raja Pedir dan raja Pasai lagi pula kuasanya itu luas sampai di Bangkahulu dan negeri Siak dan Palembang.
Akan tetapi semenjak bangsa orang putih telah kesana maka kuasa raja Minangkabau itu telah menjadi lemahlah seperti Aceh, Pasai dan Palembang asalnya jua tiap2 negeri itu di perintahkan oleh rajanya sendiri.
Syahdan maka pada tahun 1613 maka kuasa Yang Di Pertuan Minangkabau itu sampai ke negeri Padang sahaja dan pada tahun 1680 maka sultan Alif pun mangkatlah. Maka panglima bagi tiga2 buah daerah seperti Seruas, Pagar Uyung dan sungai Terap itu telah belotlah sehingga tiga2 daerah itu pun menjadilah terbahagi kerajaannya.
Maka sampai pada masa ini pun bolehlah kita dengar bahawa orang2 Melayu ini mengaku juga adapun kedatangannya itu dari tanah Minangkabau asalnya dan lagi ia mengaku pula iaitu keturunan raja2nya itu daripada bangsa yang lebih tinggi sekali.
Maka darihal raja2 orang Rembau yang telah menjadi raja pada tahun 1750 sudahlah kusebutkan kisahnya dalam fasal yang ketiga kerana inilah yang akhir sekali berguna kuasa orang Minangkabau tatkala membuka negeri di Rembau. Maka kuasanya pada zaman dahulu terlalu luas sampai ke negeri yang lain2 sehingga sejauh pulau Sulu dan Berunai dan barang di mana tempat yang di duduki oleh orang Melayu di sanalah ada kuasanya.
Darihal orang Batak di Aceh
Maka adapun fasal lain2 negeri yang di duduki oleh bangsa Melayu dalam tanah Pulau Perca itu tiadalah kuhendak menceriterakan dengan lanjutnya kerana halnya itu sama juga seperti tanah besar Melayu dan kamu boleh ketahui juga. Adapun sekelian daerah yang kaya dan subur tanahnya dan segala tepi2 darat itu di pegang oleh bangsa Melayu tetapi seperti orang Kubu dan Batak seakan2 juga halnya seperti bangsa Jakun adanya. Maka kedudukannya itu di hulu2 negeri akan tetapi orang Batak itu terlebih ramai lagi jinak perangainya serta berakal daripada bangsa Jakun.
Maka bangsa Batak itulah yang mula2 memegang perintah negeri sebelah utara dari sungai Berungun maka adalah dahulu Pulau Perca itu di bahagikan tiga bahagian. Maka sungai Barungun itu menjadi perhinggan bahagian sebelah utara maka pada masa ini orang Batak itu diam di dalam daerah yang kecil yang mengelilingi tasuk besar bernama Air Tawar. Maka orang Aceh memegang kuasa sekelian tempat yang di sebelah utara maka kebanyakan orang Batak itu belum masuk Asalaama اسلام dan adat lembaganya berlainan dengan orang Melayu.
Maka adalah bagi mereka itu tulisannya sendiri maka menjadi takjublah bagi sekelian orang melihatkan sungguh pun orang Batak itu pandai tulis menulis akan tetapi tabiatnya suka memakan daging manusia. Maka pada masa ini jaranglah orang Batak itu berbuat demikian maka adalah pada tahun 1871 orang Batak yang diam di negeri Deli itu pun tertakluk kepada Holanda.
Maka ketahuilah olehmu adapun kuda2 kecil yang biasa datang kesebelah sini di pakai kerana menarik kereta dan bugi sekeliannya itu dari negeri Batak. Maka banyaklah dagangan yang keluar dari negeri itu sepeerti lilin, getah, rotan dan sebagainya maka seperti lada hitam itu di dapati orang di sebelah utara Pulau Perca sahaja iaitu di dalam negeri Aceh.
Darihal orang Aceh
Maka adalah sifat warna kulit orang Aceh itu lebih hitam dan lebih tinggi badannya daripada orang Melayu kerana oleh sebab yang demikian itu telah di fikirkan oleh orang2 pandai sebab orang Aceh itu telah biasa bercampur2 dengan orang2 perniagaan dari negeri Keling dan lain2 negeri sebelah utara. Maka orang Aceh itu daripada dahulu kalanya sampai sekarang ini pun suatu bangsa yang terlalu berani berperang sehingga ia mengalahkan negeri Pedir dan negeri Perak seperti yang tersebut dalam fasal yang kedua dan yang ketiga itu.
Maka adapun darihal peperangan antara orang Aceh dan orang Holanda yang telah di mulai daripada bulan April 1873 itu belumlah lagi boleh kami menyatakan di sini dengan terangnya kerana adapun akan peperangan itu belumlah lagi selesai. Hanyalah kedua pihaknya pada masa ini sedang berperang dengan gembiranya. Maka akan bangsa Inggeris dan Melayu serta Cina sekeliannya itu pun menjadi kesusahanlah akan hal perniagaannya di bandar itu.
Darihal tempat kedudukan orang Eropah di Pulau Perca
Bermula maka adalah bangsa Eropah yang mula2 membuka negeri di Pulau Perca itu iaitu orang Portugis maka pada mula2nya di buatnya kota di Pasai. Kemudian daripada itu maka datanglah orang Inggeris duduk di Bangkahulu kerana pada masa itu kota Bantam telah di ambil oleh seorang raja Melayu dengan bantuan dan pertolongan orang Holanda pada tahun 1682.
Syahdan pada masa itu gabernor jeneral Benggala telah mengirimkan seorang putih yang bernama tuan Harold ke negeri Aceh sebab kehendaknya hendak membuat perniagaan lada hitam yang banyak jadi dalam negeri Aceh. Tetapi raja Pariaman telah meminta tuan itu duduk dalam negerinya supaya boleh menolong akan dia melawan orang Holanda maka raja Pariaman sedang melengkapkan perahunya hendak memukul orang Holanda.
Maka datanglah pula raja Bangkahulu meminta bantuan juga kepada orang Inggeris maka adalah pada hati tuan Harold itu ia lebih suka duduk dalam negeri Bangkahulu. Maka adalah pada tahun 1680 datanglah pula bangsa Cina ke tanah Pulau Perca sebelah baratnya. Maka tahun 1781 telah berbangkitlah perang antara orang Inggeris dengan orang Holanda maka pada masa itu negeri Padang telah di ambil Inggeris.
Akan tetapi oleh sebab menurut perjanjian yang telah di perbuat pada tahun 1824 maka sekelian negeri2 yang di Pulau Perca itu telah di kembalikan ke tangan Holanda semula. Maka adalah sekarang orang Jerman dan Inggeris telah membukakan negeri Deli sehingga telah jadi ramailah orang membuat kebun akan bertanam pokok tembakau. Maka orang Jerman yang tinggal di negeri Deli itu takluk di bawah perintah bendera Holanda maka pada tahun 1752 orang Holanda telah membuka labuhan Natal dan Tapanuli.
Darihal adat dan agama orang2 Pulau Perca
Adapun sekelian bangsa Melayu di tanah Pulau Perca itu iaitu seperti Aceh, Rejang dan Lampung pada sekarang telah sudahlah masuk agama Asalaama dan sekelian hukum dan istiadatnya menurut hukum Asalaama. Maka tulisannya itu memakai huruf Arab hanya orang Batak sahaja yang belum lagi hendak memakai huruf yang demikian dalam tulisannya kerana mereka itu sampai sekarang memakai bahasanya dan hurufnya sendiri.
Maka seperti orang Lampung dan Kurinci pada dahulu kalanya adalah memakai hurufnya sendiri jua tetapi berlain2an dan sampai pada masa ini pun seperti orang tua2nya daripada bangsa2 itu adalah juga lagi teringat hurufnya yang dahulu kalanya. Maka huruf Kurinci itu kebanyakan di pakai oleh orang2 Melayu yang belum lagi masuk Asalaama.
Adapun bahagian jajahan dalam tanah Pulau Perca itu adalah terbahagi demikian ini.
Sebelah Timur – Aceh (Teluk Samui, Pedir, Pasai), Rayah, Langkat, Batu Cina, Deli, Serdang, Batu Bara, Asahan, Siak (Bukit Batu, Bengkalis, Padangi, Pancar, Rantau, Inderagiri, Kuantan, Kampar), Jambi
Sebelah Barat - Bangkahulu, Padang, Natal, Sangkil, Analabu, Tapanuli, Muku2, Bangkahulu, Lampung, Rejang
Sebelah Selatan - Palembang
Maka adapun negeri Siak itulah yang terlebih besar dan telah beberapa lamanya tiadalah ia hendak menurut perintah dan hukum Holanda. Maka residen Holanda itu sekarang ini diam di Bengkalis memegang perintah pada negeri2 sebelah timur dan gabernor Holanda tinggal di Padang memerintahkan negeri2 sebelah Barat dan orang isi negeri itu banyaknya 1,755,000. Maka dalam negeri Jambi iaitu rotanlah yang termahsyur keluar dari sana dan seperti kain2 iaitu di Palembang orang isi negeri itu banyaknya 500,000.
Maka bangsa2 yang diam di Pulau Perca itu adalah di bahagikan dengan berjenis2 bangsa maka jumlah orang isi negeri2 itu demikianlah adanya.
Orang Melayu 2,000,000
Orang Rejang 600,000
Orang Aceh 600,000
Orang Lampung 150,000
Orang Batak 120,000
Orang di pulau Nias 294,000
Orang Liar 6,000
Jumlah 3,770,000
Syahdan maka adalah segala tempat2 yang di tepi2 tanah Pulau Perca itu pada sedikit tahun dahulu sekeliannya di duduki dan di jagai oleh Holanda hingga membawa sebelah tenggaranya. Maka pada masa ini hanyalah negeri Aceh dekat kota raja daerah Oleh Layah sahaja yang di dudukinya. Maka adalah kereta api di sana sampai ke pelabuhan jalannya pada sekeliling bandar yang dekat di situ. Maka ketika ini sekelian tempat dalam Pulau Perca lain daripada Oleh Layah itu belumlah orang boleh pergi masuk keluar berniaga.
Bermula maka adalah ke sebelah selatan negeri Aceh itu adalah tempat2 yang pada awal tiada di bawah takluk siapa2 iaitu Langkat, Deli dan Serdang. Maka di dalam tempat2 ini daripada tahun 1873 penuhlah dengan beberapa ramai orang2 bertanam tembakau.
Maka di antara2 tempat yang tersebut ini yang terutama sekali Deli maka banyaklah kapal api yang pergi datang ke situ dari Pulau Pinang dan dari Singapura membawa berjenis2 dagangan dan sebagainya. Maka adalah kuli2 yang bekerja tembakau di sana sekeliannya datang dari Pulau Pinang dan Singapura adanya.
Hikayat Tanah2 Besar Melayu di Leiden University Libraries
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya محمد المهدي