FB Sarah Zakaria | Hari ini (20/01/24) 150 tahun yang lalu, termeterainya Perjanjian Pangkor yang menjadi pembuka jalan kepada penjajahan British di semenanjung Tanah Melayu.
Sejak sekian lama, Perak dikenali sebagai ‘lubuk’ terbesar bijih timah di Alam Melayu. Namun di kurun ke-19, perniagaan bijih timahnya terjejas dek pertelingkahan kumpulan kongsi Cina, Ghee Hin & Haisan hingga tercetus Perang Larut bermula 1861.
Ketidak stabilan dirumitkan lagi dengan kemelut perebutan kuasa. Apabila Sultan Ali mangkat pada 1871, Raja Muda Abdullah yang sepatutnya naik takhta tidak hadir ke upacara pengkebumian Sultan Perak ke-24 itu.
Pada 30 Disember 1873, Raja Abdullah telah menghantar sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke meminta Inggeris menyiasat hal ehwal Perak & membantu menyelesaikannya.
Pertemuan kedua-duanya pada 20 Januari 1874 di atas kapal stim HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding tanpa kehadiran Sultan Ismail & Raja Yusof menghasilkan perjanjian 14 perkara yang dipersetujui 'atas nasihat’ British.
Raja Abdullah ditabal sebagai Sultan Perak yang sah, sementara Raja Ismail boleh memakai gelaran Sultan Muda, tapi Sultan harus menuruti segala kata Residen British, yang mahu diberi istana di Perak & dibayar elaunnya oleh kerajaan negeri.
Residen berkuasa penuh ke atas pungutan & kawalan segala hasil negeri kecuali berkaitan hal agama & adat orang Melayu. Maka dilantik J. W. W. Birch sebagai Residen British Perak yang pertama.
Kebiadaban British tidak sampai setahun pendudukan mereka membangkitkan kemarahan pembesar Melayu, termasuk Raja Abdullah yang kemudian bersama Datuk Maharajalela merancang komplot penentangan.
Birch mati dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875, mencetuskan Perang Perak di mana British mematahkan penentangan tempatan sekali gus mengukuhkan kuasanya.
*Gambar salinan dokumen Perjanjian Pangkor dalam tulisan Jawi.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, Orang Perak
#kredit:AstroAwani
Halim Hassan