FB Megat Hisemudin Megat Kasim - Kita tahu Srivijaya[1] adalah empayar kerajaan Melayu yang gah dari abad ke 7 - 14. Melalui batu bersurat atau prasasti Kedukan Bukit yang dijumpai di tepi Sungai Tatang yang mengalir ke Sungai Musi, Sumatera Selatan pada tahun 1920 mengesahkan kewujudan Srivijaya pada abad ke 7 lagi. Sebenarnya telah wujud sebuah kerajaan Melayu yang lebih awal daripada Srivijaya iaitu Champa.[2] Mengikut catatan China, Champa telah wujud pada abad ke 2 lagi iaitu di tahun 137. Sebuah prasasti yang tidak bertulis tarikh tetapi dikatakan wujud pada abad ke 4 ditemui pada tahun 1936 di Đông Yen Châu yang terletak di sebelah barat Trà Kiệu, Vietnam sekarang tidak jauh dari Indrapura,[3] ibukota kerajaan Champa. Ia ditulis dalam bahasa Cam dengan menggunakan tulisan Brahmin Selatan Kuno. Batu bersurat ini ditulis dalam bentuk prosa dengan kandungan yang merupai mantera untuk menghormati "Naga Raja Yang Suci".
Siddham! Ni yang nāga punya putauv. Ya urāng sepuy di ko, kurun ko jemā labuh nari svarggah.Ya urāng paribhū di ko, kurun saribu thun davam di naraka, dengan tijuh kulo ko.
Terjemahan ke bahasa Melayu:
Sejahtera! Inilah naga suci kepunyaan Raja. Orang yang menghormatinya, turun kepadanya permata dari syurga. Orang yang menghinanya, akan seribu tahun diam di neraka, dengan tujuh keturunan keluarganya.
Mengikut pakar sejarah dan linguistik bahawa lingkaran Malayu - Polinesia yang termasuk dalam sub-kategori bahasa rumpun Austronesia meliputi selatan Thailand, selatan Kemboja, Champa, pulau Hainan di China dan Taiwan.
Dalam catatan China memang banyak dicatatkan perkataan 昆仑 kun lun namun ia disesuaikan dalam konteks yang berbeza mengikut zaman. Manakala dalam catatan 东晋 Dinasti Jin Timur dan 南梁 Dinasti Liang Selatan, kun lun diertikan sebagai penduduk minoriti di bahagian barat daya China yang mempunyai warna kulit yang lebih gelap. Dipercayai bangsa kun lun pada masa itu merujuk kepada bangsa Cham.
Sebelum terdirinya kerajaan Champa, wilayah ini merupakan sebahagian daripada negara China semasa 东汉 Dinasti Han Timur (25 - 220) yang bernama 日南 Rinan. Berdasarkan peta awal China menunjukkan kedudukan paling selatan Rinan ialah di sekitar Tuy Hoa, Vietnam sekarang yakni ke selatan daripada Vijaya yang pernah menjadi ibukota Champa.
Di tahun 137 區连 Qu Lian atau Ou Lian dalam sebutan bahasa Mandarin atau dalam bahasa Vietnam dibunyikan Khu Lien telah mengetuai satu pemberontakan terhadap China dengan membunuh ketua daerah 象林 Xianglin dan menawan keseluruhan Rinan.
Qu Lian lalu mendirikan dinasti yang pertama dan menamakan negara baru itu sebagai 林邑 Lin-yi. Orang-orang Vietnam menyebutnya sebagai Lam Ap. Seperti negara Funan di sebelah baratnya, Lin-yi adalah sebuah negara Hindu - Buddha.
Mengikut catatan 东晋 Dinasti Jin Timur di tahun 269, Lin-yi telah berpakat dengan Funan untuk bersama menakluki lebih banyak negara-negara kecil di sekitarnya seperti 大岐界 Daqijie, 小岐界 Xiaoqijie, 式仆 Ship, 徐狼 Xulang, 屈都 Qudu, 干鲁 Ganlu dan 扶单 Fudan.
Raja pertama yang tercatat namanya pada prasati yang dijumpai di Champa ialah 拔陀罗拔摩一世 Bhadravarman I yang memerintah di antara tahun 380 - 413. Ibu negara dibina di 僧伽补罗Simhapura yang bermakna kota singa.
Mengikut rekod Dinasti Tang dalam sekitar tahun 757, Lin-yi dicatatkan sebagai 环王 Huanwang. Sehinggalah abad ke 9 barulah dalam catatan China menyebut Lin-yi atau Huanwang diubah kepada 占城 Zhan Cheng atau 占婆补罗 Campapura atau kependekannya sebagai Champa. Namun mengikut satu prasasti yang dijumpai di selatan Vietnam mengatakan nama Campa telah digunakan seawal tahun 658 lagi.
Abad ke 7 - 10 adalah zaman kecermerlangan Champa yang menjadi laluan penting perdagangan China, India, Srivijaya dan Arab. Dicatatkan antara barangan utama yang didagangkan di Champa ialah besi. Dipercayai Champa dan Sungai Batu, Kedah adalah dua tempat pengeluaran besi utama di Asia Tenggara ketika itu.
Ibukota Champa telah dipindahkan dari utara ke selatan iaitu 毘罗补罗 Vijaya (757 - 875) yakni Qui Nhon, Vietnam sekarang.
Dalam tahun 802 - 803 Champa pernah melancarkan serangan ketenteraan terhadap Dinasti Tang dan berjaya menguasai 2 buah negeri 驩 Huan dan 爱 Ai. Namun dalam percubaannya kali kedua di tahun 809 telah dapat dipatahkan oleh China.
Dalam tahun 875 semasa dibawah pemerintahan Indravarman II yang membina dinasti yang ke 6 di Champa iaitu Dinasti Indrapura telah memindahkan kembali pusat pemerintahan ke utara iaitu 因陀罗 Indrapura (875 - 982) yakni Danang, Vietnam sekarang.
Di awal abad ke 10 大越 Dai Viet atau Great Viet yang selalu disebut dalam catatan China sebagai 安南 An Nam telah berjaya membebaskan diri daripada China. Dai Viet inilah yang kemudiannya disebut sebagai Vietnam. Sebenarnya Dai Viet dahulunya adalah sebuah kerajaan besar tetapi dalam abad ke 2 dikalahkan oleh China dan menjadi sebahagian daripada China.
Dalam tahun 979 raja dinasti ke 7 Champa telah mengetuai serangan ke atas Dai Viet melalui Sungai Mekong namun disebabkan keadaan cuaca lalu berundur.
Dai Viet tidak terlalu gopoh-gapah untuk membuat serangan balas sebaliknya menunggu sehingga di tahun 985 untuk menyerang Champa sehingga membunuh rajanya. Dikatakan tentera Dai Viet telah melakukan pembunuhan yang kejam sehinggalah di tahun 986 terdapat beribu-ribu pelarian Champa yang melarikan diri ke perairan China yang ketika itu China telah diperintah oleh Dinasti Sung.
Di tahun 990 dinasti yang ke 9 ditubuhkan lalu Champa menghantar seorang utusan berbangsa Cina menghadap maharaja Dinasti Sung dengan menghadiahkan seekor badak sumbu. Utusan Champa asyik menyebut yang Dai Viet masih menguasai bumi Champa yang akhirnya China meminta kedua-dua negara kembali ke sempadan masing-masing.
Dai Viet melakukan serangan yang lebih dahsyat ke atas Champa di tahun 1044 dengan membunuh rajanya dan menawan lebih 5,000 askar Champa. Dalam catatan China menyebut 血涂兵刃,尸塞遍野 .... 有妄杀占城人者,杀无赦. Pedang tentera berlumuran darah, mayat-mayat bergelimpangan di mana-mana........ lakukan pembunuhan sehabis-habisnya terhadap orang Champa tanpa belas kasihan. Selepas kejadian ini Champa menghantar ufti kepada Dai Viet dengan menghadiahkan badak sumbu.
Champa seperti tidak mahu mengaku kalah sebaliknya di tahun 1068 mempersiapkan bala tentera untuk menyerang Dai Viet bagi mengambil kembali wilayah yang dirampas. Belumpun mula menyerang, Dai Viet di tahun 1070 telah terlebih dahulu menghantar 50,000 bala tentera lalu menawan ibu kota Champa yang memaksa Champa untuk menyerahkan 3 buah wilayah di utara iaitu 麻令 Ma Linh, 地理 Dia Ly dan 布政 Bo Chinh.
Bersambung ke siri yang ke 2.
Ditulis oleh:
Megat Hisemudin Megat Kasim
=========================
Catatan Kaki oleh Admin:
[1] Macam-macam penulisan dan penyebutannya; Sriwijaya, Srivijaya, Sribijoyo, Sibijoyo
[2] Bahasa Minang; Campo, salah satu kawasan Luhak di Minangkabau menggunakan Harimau Campa sebagai lambang kebesarannya.
[3] Indra Pura, banyak negeri atau kota yang menggunakan nama ini. Sebut sahaja di Sumatera terdapat dua kerajaan yang menggunakan nama ini yakni di Kerajaan Indra Pura di Pantai barat Sumatera dan Kerajaan Siak Sri Indra Pura di bagian timur Pulau Sumatera. Setidaknya, nama ini khas dipertahankan di negeri-negeri Melayu sebagai sisa dari pengaruh kebudayaan dan agama masa Pra Islam. Indra sendiri merupakan nama Pemimpin Para Dewa dalam Legenda Hindu dan Pura berarti Kota. Sangat mengherankan nama dewa Hindu dipakai oleh orang-orang yang menganut Budha.