Ilustrasi Gambar: Wikwand |
Tetapi kita sering mengaitkan mereka sebagai orang yang sama. Ini berkemungkinan kerana nama yang hampir sama dan juga mempunyai sifat sebagai seorang pemimpin tentera. Alexander The Great sendiri memang terkenal sebagai seorang penakluk yang berjaya.
Dikisahkan pada waktu dahulu, Sultan Iskandar Zulkarnain bersama dengan tenteranya telah bergerak meluaskan kuasanya hingga ke benua India. Di benua India itu, Raja Iskandar Zulkarnain telah berperang dengan Raja Kinda Hindi yang mempunyai wilayah yang luas.
Walaupun tewas, namun Raja Kinda Hindi masih diberi peluang untuk menjalankan pemerintahan seperti biasa. Ini kerana, tujuan serangan Sultan Iskandar Zulkarnain itu bukanlah untuk menjajah tetapi hanya untuk menundukkan sebuah kerajaan serta menyebarkan dakwah Islam sahaja.
Ini dibuktikan apabila baginda masih memanggil Perdana Menteri untuk menasihati baginda dalam beberapa hal termasuklah cadangan baginda untuk mengahwinkan Puteri Syahrul Bariyah dengan Sultan Iskandar. Puteri Syahrul Bariyah pada waktu itu merupakan wanita yang paling cantik di benua India.
Dipendekkan cerita, akhirnya mereka berdua telah dikahwinkan oleh Nabi Khaidir. Bahkan menurut riwayat ini juga, Nabi Khidirlah orang yang bertanggungjawab menjadi telangkai kepada Puteri Syahrul Bariyah.
Bagindalah yang berjumpa dengan Sultan Iskandar dan menerangkan hasrat Raja Kinda Hindi untuk mengahwinkan puteri baginda itu dengan Sultan Iskandar. Nabi Khidir telah mengahwinkan mereka berdua berdasarkan syariat Nabi Ibrahim A.S.
Mas kahwin yang diberikan oleh Sultan Iskandar untuk mengahwini Puteri Syahrul Bariyah pula ialah sebanyak 300,000 dinar emas. Namun kebahagian perkahwinan mereka berdua ini tidak bertahan lama apabila Sultan Iskandar telah menyerahkan kembali Puteri Syahrul Bariyah kepada Raja Kinda Hindi kerana baginda ingin meneruskan misi menakluk wilayah yang belum tunduk kepada kekuasaannya.
Semasa Sultan Iskandar Zulkarnain meninggalkan isterinya itu, Puteri Syahrul Bariyah pada waktu itu berada dalam keadaan hamil namun tidak diketahui oleh baginda sendiri.
Tidak lama kemudian, Puteri Syahrul Bariyah telah melahirkan seorang anak yang diberi nama Aristun Syah waladul-malikul-mukarram. Baginda merupakan nenek moyang kepada Raja Suran yang suatu hari nanti akan menyerang Negeri-Negeri Melayu.
Raja Suran pula mempunyai 3 orang anak yang dijaga oleh Raja Aktabul Ard iaitu Nila Pahlawan , Krisna Pandita dan Nila Utama. Pada suatu hari, mereka bertiga telah meminta izin daripada Raja Aktabul Ard untuk “turun” ke dunia. Walaupun berat hati namun baginda telah memperkenankan permintaan ketiga-tiga anak Raja Suran itu dan telah memberikan seekor lembu putih kepada mereka sebagai kenderaan.
Ketiga-tiga orang putera itu telah turun ke Bukit Siguntang pada malam hari. Pada keesokan harinya, dua orang petani iaitu Wan Malini dan Wan Empuk telah pergi ke sawahnya dan mereka berdua terkejut apabila melihat biji padi yang ditanam oleh mereka sebelum ini telah bertukar menjadi emas, manakala daun padi tersebut telah bertukar menjadi perak dan batangnya pula bertukar menjadi suasa. Tanah di Bukit Siguntang pula menjadi kuning seakan-akan emas.
Ketiga-tiga orang putera raja ini kemudiannya telah diangkat menjadi raja dimana Krisna Pandita telah dirajakan di Tanjung Pura, Nila Pahlawan dirajakan di Minangkabau dan Nila Utama berkerajaan di Palembang. Tidak lama kemudian, Nila Utama ataupun Seri Tri Buana telah berkerajaan pula di Bintan dan kemudiannya pergi ke Temasik untuk mengasaskan Kerajaan Singapura Tua. Parameswara yang kita kenali itu merupakan cucu cicit kepada Nila Utama.
Mereka bertiga ini terutamanya Nila Utama telah dianggap sebagai pengasas atau nenek moyang kepada Raja-Raja Melayu yang wujud pada hari ini. Ini kerana, kebanyakkan Raja-Raja Kerajaan Melayu yang wujud di kawasan nusantara ini seperti Temasik, Johor, Perak, Melaka, Siak, Terengganu dan sebagainya sebenarnya mempunyai pertalian darah dengan baginda.
( Ini hanyalah kisah turun-temurun sahaja.. Segala sesuatu yang dikaitkan dengan ParaNabi hendaklah jangan dijadikan akidah ).