FB Mahamada al Mahadaya - Al kisah, cetera yang keempat peri mengatakan tatkala cetera Nusirwan dan peri mengatakan tatkala Khawaja menjadikan nama Nusirwan di hadapan Raja Qibal Syah dan peri mengatakan tatkala Raja Baza Mahar Hakim pergi ke Makah.
Adapun Raja Qibal Syah duduk di atas singgahsana, maka makan dan minum dengan segala hulubalang dan bentaranya, sida biduanda sekelian dan Khawajapun ada duduk di atas singgahsana kerusi perdana menteri. Maka tatkala itu datang sida2 keluar dari dalam istana raja, maka ia berdatang sembah “Ya tuanku syah alam, adapun yang dipertuan terlalulah sekali berdaulat dan berbahagia. Bahawa yang dipertuan kedatangan anak laki2” tatkala itu rajapun baharulah memegang piala minuman hendak minum. Tatkala itu rajapun mendengar anak laki2, jadi maka hatinya rajapun terlalu sukacita sekali serta tertawa2.
Maka Khawaja pun berdatang sembah “Adapun pada ketika raja memegang piala minuman akan santap, tatkala itu anak yang di pertuan jadi. Pada bicara patik, paduka anakanda itu baik Nusirwan kerana anakanda itulah akan memegang segala alam sekelian lagi menjadi dia raja besar dan lagi bangsawan dan hartawan dan dermawan pada segala fakir miskin dan darwis.
Dan dua ratus (200) menteri paduka anakanda itu dan raja yang memegang mahkota yang keemasan duduk khidmat di bawah titahnya. Dan tujuh ratus (700) bentaranya sekelian duduk di atas kerusi dan delapan puluh ribu (80,000) sahaya tebusan yang berdiri di hadapan paduka anakanda itu dengan takutnya dan takzimnya akan paduka anakanda itu. Adapun tatkala paduka anakanda berjalan tujuh ratus (700) gajah di kanan dan tujuh ratus di kiri” dan berapa puluh puji2an akan paduka anakanda Nusirwan oleh Baza Mahar Hakim.
Setelah di dengar oleh Raja Qibal Syah kata Khawaja yang demikian itu maka raja pun terlalu sukacitanya dan mukanya pun berseri2lah seperti bunga raya dan delima kembang lakunya. Maka rajapun menyuruh membukakan perbendaharaan maka di keluarkannya berapa ratus bahar emas dan perak di sedekahkan dan di dermakannya dan hamburkannya pada sehari2 itu di dalam negeri Madayan. Maka sekelian rakyatnya kecil besar di dalam negeri Madayan itupun jadi kayalah tiada lagi miskin.
Hataya pada ketika itu maka isteri Al Qasa menteri yang ditinggal oleh suaminya. Tatkala ia di bunuh itu isterinya bunting, maka pada hari itu isteri Al Qasa menteripun beranak seorang laki2. Setelah sudah beranak, tatkala itu juga dibawa orang kepada Khawaja dan rajapun bertitah kepada Khawaja “Akan anak haram zadah ini, apa baik kita namakan dia itu”.
Maka sembahnya Khawaja “Adapun ia ini seorang2 juga di dalam negeri Madayan ini terlalulah mahsyurnya namanya pada segala negeri. Ialah pada akhirnya menjadi menteri yang besar pada paduka anakanda itu Raja Nusirwan dan banyak hikmat lagi teguh setianya dengan anakanda itu tetapi ia ini terlalu sekali jenaka lagi dengan makarnya. Sekelian alam ini di balik2 daripada banyak tahu pada muslihat. Adapun ia ini baiklah di namakan Bakhatak” maka raja pun lalu sukacita mendengar kata Khawaja itu. Arakian Nusirwan dan Bakhatak pun di suruh raja serahkan kepada inang pengasuh di suruh peliharakan dengan sepertinya.
Ramalan Khawaja
Hataya dengan berapa lamanya dari sehari kepada sehari besarlah anak raja dan anak menteri itu. Setelah demikian datanglah umurnya kepada dua puluh (20) tahun maka pada suatu hari raja Nusirwan pun datanglah mengadap ayahnya. Maka di pandang oleh Raja Qibal Syah anakanda baginda itu maka iapun bersabda kepada Khawaja “Sesungguhnya seperti kata Khawaja akan anak hamba ini. tiadalah bersalahan lagi sahaja ialah menjadi raja besar pada alam dunia ini lakunya” dan lagi sabda raja “Hai Khawaja, adakah seteru anak hamba ini atau tiadakah pada alam ini”.
Maka sembah Khawaja “Ya syah alam, terlalulah mahsyur dan adil dan lagi bijaksana serta dengan budiman. Tiap2 pohon kayu yang harum bunganya tak dapat tiada buahnya itu ada duri ertinya barang di mana ada raja itu nescaya ada dengan seterunya”.
Maka sabda raja “Hai Khaowaja, daripada pihak mana datang musuh anakanda itu” maka sembah Khowaja “Adapun seteru pada paduka anakanda itu daripada pihak tanah Arab datangnya. Sekarang ini seteru paduka anakanda itu lagi di dalam perut ibunya”.
Demi raja mendengar kata Khawaja demikian itu maka titah raja kepada Khawaja “Jika demikian, baiklah Khawaja sendiri segera pergi pada pihak negeri Makah kerana itupun di bawa titahku juga. Maka segala orang bunting di dalam negeri semuanya belah perut keluarkan anaknya dari dalam perut ibunya hempaskan sekali ke bumi sehingga mati”. Maka sembah Khawaja “Mana titah syah alam patik junjung kerana patik ini hamba ke bawah duli syah alam”.
Khawaja ke Tanah Arab
Hataya maka Khawaja pun dengan seketika itu juga bermohon pada raja lalu pulang ke rumahnya berlengkap makanan serta membawa emas dan perak serta dengan pakaian saf sakhalat ain Al banat lorong pati dewangga kimakhof dan lain daripada itu dengan segala perkakasan kuda unta dan membawa emas empat puluh (40) ekor unta. Setelah sudah lengkap maka Khawaja Baza Mahar Hakim pun berjalanlah daripada negeri Madayan menuju ke negeri Makah dan Arab daripada suatu perhentian kepada suatu perhentian siang malam berjalan.
Arakian maka Khawaja pun sampai ke tanah Arab maka wartanya pun mahsyurlah ke negeri Makah mengatakan Khawaja Baza Mahar Hakim datang dengan titah Raja Qibal Syah suruh membelah perut segala orang yang bunting. Wa Al Laha Aa’lama Ba Al Shawaaba.
Cerita yang kelima demikian bunyinya peri mengatakan tatkala Khawaja bana Mahar Hakim datang ke Makah dan peri mengatakan jadi Amir Al Mukminin Hamzah radhaya Allaha a’naha dan bapa Umar Amayara (Umar Amir) Maharaya di dalam negeri Makah dan peri mengatakan tatkala kanak2 kedua ini di bawa ke hadapan Khawaja Baza Mahar Hakim.
Al kisah di ceterakan oleh orang yang empunya cetera ini demikian bunyinya. Di dalam negeri Makah itu ada seorang laki2 daripada cucu Nabi Allaha Ismail A’layaha Al Salam. Namanya Saidi itu Khawaja A’bada Al Mathalaba (Abada Al Muthalib) di sebut orang. Adapun Saidi itu sebelas (11) orang anaknya laki2 tetapi pekerjaannya sediakala memeliharakan Kaa’bata Allah juga.
Adapun tatkala itu Khawaja A’bada Al Muthalib pun meminta doa kepada Allaha Sabahaanaha Wa Taa’ala pohonkan anak laki2 seorang yang pahlawan lagi dengan gagah perkasanya akan membunuh segala kafir yang seteru agama itu supaya terdirilah agama Asalaam. Dengan demikian niatnya dua belas (12) tahun lamanya Khawaja A’bada Al Muthalib menyapu Kaa’bata Allaha Taa’ala dengan janggutnya. Kemudian di anugerahkan Allaha Taa’ala isteri Khawaja A’bada Al Muthalib pun hamillah maha Khawaja A’bada Al Muthalib pun sukacitalah mendengar isteri hamil itu maka Khawaja A’bada Al Muthalib pun meniatkan anaknya itu jadi.
Hataya wartanya Khawaja Baza Mahar Hakim datang itupun sampailah ke Makah mengatakan seorang menteri Raja Qabil Syah yang besar daripada menteri yang banyak. Ia datang sekarang ke Negeri Arab ini kerajaan di titahkan raja Qabil Syah akan membelah perut segala orang bunting keluarkan anaknya di dalam perut ibunya di suruh hempaskan ke bumi. Maka dengar warta itu segala orang Makah pun takut tiada menderita lagi maka Khawaja A’bada Al Muthalib dengan segala isi negeri Makah pun keluarlah pergi mengalukan Khawaja Baza Mahar Hakim sehingga berapa persangga bumi jauhnya.
Maka Khawaja A’bada Al Mathalaba pun berhadapanlah dengan Khawaja Baza Mahar Hakim maka di lihatnya oleh Khawaja Baza Mahar Hakim, Khawaja A’bada Al Muthalib datang itu. Maka Khawaja Baza Mahar Hakim pun turun dari atas kudanya maka kedua mereka itupun bertemulah lalu berpeluk bercium sambil berpeluk itu. Maka Khawaja Baza Mahar Hakim pun berbisik ke telinga Khawaja A’bada Al Muthalib peri mengatakan “Bahawa hamba tiada mahu membinasakan tuan hamba sekelian dan hamba tiada mahu jahat pada tuan hamba sekelian. Janganlah takut akan hamba daripada segala kaum sekelian”.
Setelah sudah berkata2 maka Khawaja A’bada Al Muthalib pun membawa Khawaja Baza Mahar Hakim masuk ke dalam negeri Makah. Apabila Khawaja Baza Mahar Hakim masuk ke Makah maka segala orang isi Makah pun semuanya di anugerahkan emas dan perak dan kain masing2 atas kadarnya itu maka segala orang isi Makah pun semuanya sukacitanya. Hataya maka isteri Khawaja A’bada Al Muthalib pun beranaklah seorang laki2 maka Khawaja A’bada Al Muthalib pun menyuruh bawa kepada Khawaja Baza Hakim Mahar anaknya itu.
Setelah Khawaja Baza Mahar Hakim melihat rupa budak itu maka iapun segera bangkit lalu berdiri muliakan kanak2 itu. Lalu di ambil oleh Khawaja Baza Mahar Hakim budak itu di ribanya serta di lihatnya pada antara keningnya kedua ada suatu tahi lalat hijau. Maka tahi lalat itupun di ciumnya oleh Khawaja Baza Mahar Hakim serta katanya “Adapun tanda ini daripada tanda anak cucu nabi Allaha Ibrahim Khalayala Allah”. Sudah itu lalu budak itupun di namai oleh Khawaja Baza Mahar Hakim, Amir Al Mukminin Hamzah.
Maka kata Khawaja Mahar Hakim “Hai Khawaja A’bada Al Muthalib, budak inilah yang membukakan agama nabi Mahamada Rasawala Allaha Shalaya Allaha A’layaha Wa Salama dan ialah yang empunya tujuh (7) Qaraana daripada Qaraana dan ialah yang menghukumkan tujuh (7) penjuru dunia ini dan ialah yang mengalahkan negeri yang besar2 semuanya negeri ini di dalam hukumnya dan takluknya semua memberi ufti akan dia. Demi ialah yang menggantungkan anting2 pada telinga segala hulubalang dan pahlawan yang gagah sekelian semuanya menjadi hambanya dan ialah seperti harimau di hadapan seterunya” lain daripada itu berapa puji2an Khawaja Baza Mahar Hakim akan Amir Al Mukminin Hamzah.
Maka segala Arab yang isi Makah itupun semuanya hairanlah mendengar warta demikian itu. Setelah sudah maka Khawaja Baza Mahar Hakim pun memberi empat puluh (40) ekor unta bermuat emas dan perak akan Khawaja A’bada Al Muthalib. Maka kata Khawaja A’bada Al Muthalib “Hai Khawaja Baza Mahar Hakim, apa gunanya emas dan perak ini” maka ujar Khawaja Baza Mahar Hakim “Hai Khawaja A’bada Al Muthalib, adapun Hamzah ini aku ambil akan anakku. Maka anakku Hamzah ini engkau peliharakan baik2”. Setelah sudah Khawaja Baza Mahar Hakim berkata maka di lihat seorang laki2 berdiri jauh ada kepadanya seorang kanak2 di dukungkan.
Maka Khawaja Baza Mahar Hakim pun bertanya katanya “Hai Khawaja A’bada Al Muthalib, Laki2 mana yang terdiri mengelekkan anak itu”. Maka kata Khawaja A’bada Al Muthalib “Iaitulah penyuruh hamba kesana kemari Amir Bana Maharaya namanya” serta demikian katanya maka Khawaja Baza Mahar Hakim pun memanggil Amir bana Maharaya maka iapun segera datang lalu menyembah. Setelah ia datang hampir maka kata Khawaja Mahar Hakim “Hai Amir bana Maharaya, apa yang engkau kelek itu”.
Maka ujar Amir bana Maharaya “Ya tuanku orang mulia, adapun pada malam tadi isteri hambamu beranak anak laki2. Itulah dia budak”. Maka Khawaja Baza Mahar Hakim pun memandang muka budak itu rata2 seraya tertawa katanya “Budak inilah kelak akhirnya jadi besar pekerjaannya di bawah Amir Al Mukminin Hamzah akan mengambil ufti daripada segala negeri dan beribu2 raja2 di turunkan daripada istananya dan budak inilah yang memegahkan agama nabi Allaha Ibrahim Kholayala Allaha”.
Sudah itu maka Khawaja Baza Mahar pun memberi emas seekor unta pada bapanya serta di namakan budak itu Umar Amir. Maka bapanya pun terlalulah sukacita hatinya sebab beroleh harta banyak itu. Maka anaknya itupun di cium lalu di junjung ke atas kepalanya seraya katanya “Daripada sebab bahagia anakku ini maka aku beroleh emas banyak. Jika tiada sebab anakku ini aku mimpi pun tiada pernah seumur hidupku tiada ku lihat harta demikian ini. Sekarang seharuslah aku muliakan anakku ini” lalu ia bawa pulang ke rumahnya dengan sukacita.
Arakian maka Amir Al Mukminin Hamzah dan Umar Amir pun di peliharakan Allaha Taa’alaya kedua kanak2 itu daripada sehari kepada sehari makin besarlah budak itu. Maka segala saudara Hamzah pun semuanya sukacita melihat laku saudaranya lagi bahagia serta dengan daulatnya pun tiada berkurang. Wa Al Laha Aa’lama Ba Al Shawaaba.
Hikayat Amir Hamzah di Dewan Bahasa & Pustaka
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya