FB Mahamada al Mahadaya - Ini surat salinan aturan setia Bugis dengan Melayu zaman Sultan Sulaiman dengan Kelana Perabu Jaya bermula bergelar Yang Di Pertuan Muda Sultan Ali Al Din Syah abana Upu Anatahaya.
Fasal ini pada menyatakan daripada jalan akan memberi ingatan dan fikiran mudahan-mudahan mengambil faham di dalam hati supaya mudah memikirkan tabiat orang yang salah dan orang yang benar serta mengintai diri sendiri supaya jangan termasuk kepada yang khianat. Sudah habis ingatan serta ikhtiar yang di beri Allaha Taa’ala maka terkena juga apa lagi akal melainkan baharulah kita memulangkan kepada janji dengan takdir Allaha Taa’ala.
Adalah kita ini seumpama orang yang berjalan apabila sesat di ujung jalan maka hendaklah kembali ke pangkal jalan. Jika tiada dapat ke pangkal hingga pertengahan jalan hendaklah juga di cari jalannya yang betul supaya jangan jauh amat sesatnya. Mudah-mudahan berdapat juga kepada fikiran yang telah faham di dalam hati daripada memikirkan tapak orang yang benar dan tapak orang yang salah kepada rajanya dan kepada antara bersaudara bersaudara itu.
Sebab pun maka berkata demikian itu kerana mengenangkan Tengku Besar berdua bersaudara itu adalah akan halnya untung tuahnya serta daulat duli baginda berdua saudara itu baik juga lagi serta dengan nagerah Allah Sabahaanahu Wa Taa’ala serta dengan syafaat rasul Shama di atas duli baginda segera Allah Taa’ala pertemukan dengan segeranya dengan marhum mangkat di Bukit Sungai Baru serta dengan niat orang yang benar di kurniakan Allah Taa’ala selamat juga duli baginda di dalam di haru orang sebegitu itulah sebabnya.
Maka jadi masuk masygul serta bercinta akan diri sendiri kepada malam dan siangnya difikirkan dari pada antara Bugis dengan Melayu ini sebab ada berdapat pendengaran sedikit sebanyak yang amat pastinya daripada hal ehwalnya perjalanan Melayu dengan Minangkabau dan jalan Melayu dengan Bugis itu. Tatkala masa di Dungun bertemu dengan Tengku Busu adiknya marhum iaitu ayahandanya Tengku Upu Di Dungun itu.
Maka berkhabarlah Tengku Busu itu akan asal Yang Di Pertuan Terengganu Sultan Mansur menerima Yang Di Pertuan Raja Ismail Siak sudah lepas berperang di selat alah maka lalu lari masuk ke Terengganu. Maka lalu di buatnya menantu sekali dan Yang Di Pertuan Muda di Terengganu itu dudukannya dengan Encik Puan Besar dan namanya Encik Jinab dari sebab kerana itulah Tengku Busu itu murkakan Yang Di Pertuan Terengganu itu lalu ia berpindah ke Dungun kerana Raja Ismail itu cucu Raja Kecik.
Fasal Encik Puan Besar itu anak cucu Datuk Bendahara Tun Husin kerana Datuk Bendahara itu sudah di sumpahi oleh marhum ninda di akunya saudara dunia akhirat di keluarkan daripada waris sekali-sekali. Adalah akan fasalnya Datuk Bendahara Tun Husin itu iaitu saudara seayah dan sebonda dengan marhum yang mangkat di Kuala Pahang itu akan tetapinya adalah Datuk Bendahara itu anak lagi di dalam jadi Bendahara belum menjadi raja.
Fasal marhum mangkat di Kuala Pahang itu putera sudah naik raja tatkala sudah mangkat marhum besar ayahandanya marhum mangkat di Kuala Pahang itu maka marhumlah naik raja dan Tun Husin itu di jadikan Bendahara. Maka dengan takdir Allaha Taa’ala masuklah khuatir was was serta syaklah di dalam hati Datuk Bendahara itu dia yang tua di suruh menyembah kepada yang muda. Maka datanglah dengki hati Datuk Bendahara itu akan marhum maka tiadalah baik hatinya Datuk Bendahara itu selama-lamanya di dalam baik tiada baik.
Begitulah selama-lamanya dari setahun ke setahun hingga tiadalah lain pekerjaannya melainkan di dalam baik itu juga ia mencari tipunya hendak menjalankan khianatnya kepada marhum. Demikianlah halnya di dalam antara itu dengan takdir Allah Taa’ala maka datanglah Raja Kecik itu ke Johor hendak meminang Tengku Bungsu puteranya [puteri] marhum itu. Maka dengan muafakat Datuk Bendahara rapat maka di terimalah oleh marhum maka duduklah Raja Kecik itu dengan Tengku Bungsu.
Di dalam sudah duduk Raja Kecik itu dengan Bungsu maka di situlah datang hasutannya Datuk Bendahara semua mengatakan Raja Kecil itu bukannya anak Raja Minangkabau. Sekadarkan anak raja kebanyakan sahaja dan setengah mengatakan putera marhum mangkat di julang[1] dengan Encik Puang kerana Encik Puang itu di pakai oleh marhum sudah bunting. Maka marhum itu pun mangkat maka Encik Puang itu pun larilah di dalam orang bergaduh akan marhum itu sudah mangkat.
Maka didapat oleh orang Minangkabau, Panglima Bibas namanya, maka di peliharakan oleh Panglima Bibas itu. Maka iaitu beranakkan Raja Kecik, menjadi datang pula khuatir kepada hati Tengku Tengah semua yang sebelah marhum daripada mendengar khabar yang berjenis-jenis itu menjadi tiadalah di endahkan amat lagi Raja Kecil itu daripada hal makan minumnya tiadalah di perdulikan amat oleh Tengku Bungsu. Kemudian lalu dicari pula Tengku Bungsu itu oleh Tengku Tengah di bawa masuk ke dalam istana marhum menjadi kecik hatinya Raja Kecik akan marhum di dalam hal fitnah itu.
Maka memakanlah fitnah Datuk Bendahara itu kepada Raja Keciknya, kemudian dari itu maka lalulah keluar Raja Kecik itu dari Johor. Di antara berapa lamanya Raja Kecik itu keluar maka berkirim surat Datuk Bendahara kepada Raja Kecik menyuruhkan Raja Kecik itu melanggar Johor itu, melainkan Datuk Bendahara belot di dalam Johor itu. Kemudian masuklah Raja Kecik itu melanggar Johor tatkala waktu Raja Kecik masuk ke Johor itu akan Yang Di Pertuan Marhum Mudanya masih duduk bermain catur.
Di sembahkan orang “Tuanku musuh sudah datang” tiada juga di perdulikan oleh marhum muda sampai berperang sudah orang tiada juga di perdulikan oleh marhum muda. Kemudian dari itu maka marhum muda pun membawa segala anak isterinya dan anak gundiknya ke tengah padang. Maka marhum muda pun mengamuk segala anak isterinya dan anak gundiknya. Titah marhum muda “Daripada akan dipegundik oleh segala Minangkabau anak biniku, baik aku bunuh sekali kesemuanya”.
Maka lalu di kumpulkannya segala anak isterinya dan anak gundiknya lalu di amuknya oleh marhum muda. Maka yang lepas putera marhum muda itu pertama Tengku Raja Sanit dan kedua Tengku Raja Aminah, ketiga Tengku Raja Muhamad, keempat Encik Puan Darat itulah yang lepas anak isterinya Tengku Sanit seorang lain itu anak gundik belaka. Maka lepas itu sebab ia merebahkan dirinya di dalam mayat yang banyak itu menyamarkan dirinya kepada sangka marhum muda itu sudah habis mati kesemuanya kerana marhum itu sudah mabuk melihat darah. Kemudian baharulah marhum menyerbukan dirinya di dalam Minangkabau yang banyak itu maka marhum pun sudahlah mangkat di dalam Minangkabau itu.
Syahdan itulah kata Raja Kecik sayangnya isteri Yang Di Pertuan Muda itu di bunuhnya jika tiada di bunuhnya aku ambil kubuat bini kerana terlalulah mahsyur isteri marhum muda itu baik rupanya tiadalah bandingnya di dalam tanah Johor itu lagi tukang. Daripada kasihnya marhum muda itu akan isterinya habiskan segala pekakas tenunnya itu emas belaka semuanya”. Itulah jadi mahsyur khabarnya dan segala tengku-tengku puteranya marhum muda yang lagi hidup itu serta sudah marhum muda pergi mengamuk itu ke dalam Minangkabau. Maka ia pun Tengku Sanit semuanya pun bangun lari lalu bertemu dengan Pengan maka pengenalah yang melarikan ke dalam hutan maka lepaslah dia di beri Allah Taa’ala.
Titah Tengku Tua ayahandanya Tengku Awak di Dungun itu kemudian maka Johor pun alahlah habislah Shofan Shofa isi negeri Johor itu menjadi padang tekukur. Kemudian daripada itu maka marhum besar pun undur ke Pahang dan Tengku Bungsu, isteri Raja Kecik pun adalah bersama-sama di bawa oleh marhum besar ke Pahang. Kemudian daripada itu maka di ikutnya pula oleh Raja Kecik itu ke Pahang maka di serbunya sahaja naik segala Minangkabau itu ke kenaikan.
Maka tatkala itu marhum besar baru sudah lepas sembahyang subuh di atas beranda lagi tengah mengaji belum lagi bergerak dari atas tikar sembahyang lagi mengaji juga. Maka segala Minangkabau itu pun naik mengamuk lalulah di tetaknya marhum itu dengan pedang. Maka kenalah hulunya marhum itu maka marhum besar pun mangkatlah di atas tikar sembahyang itu juga dan ada lagi mushala tempat sujud marhum itu yang kena darahnya itu masih ada dengan bekas darah itu kepada Tengku Mendak adindanya Tengku Awak.
Syahdan tatkala waktu marhum sudah mangkat itu maka keluarlah Tengku Tengah dengan berseluar panjang berbaju sehelai dengan sendarik bercabut keluar dari dalam kurung. Maka mengamuklah ia dengan takdir Allah Taa’ala maka beterjunanlah segala Minangkabau itu dari dalam kenaikan titah Tengku Tua itu dan aku berdua beradik dengan abang engkau itu mengatakan marhum yang mangkat di batangan itu lagi bergelang kepada masa itu tetapi sudah juga besar.
Titah Tengku itu apalah kuasanya Abang Angah seorang mengamuk lagi ia dengan perempuannya. Lepas daripada itu maka di balikkan pula oleh Minangkabau itu tatkala sudah memaafkan marhum itu maka akan aku dua beradik di tangkaplah oleh Minangkabau itu lalu di ikatnya tangan aku kebelakang dua beradik dan gelang aku semuanya di ambilnya oleh Minangkabau itu dan lalulah aku di bubuhkannya aku dua beradik di celah meriam. Titah Tengku Tua dan tiadalah aku lupakan tanganku di ikat oleh Minangkabau itu.
Kemudian maka beroleh naik Raja Kecik itu kenaikan lalu bertemu dengan abangku mengatakan Tengku Bungsu. Kemudian ia keluar lalu aku semua di lepaskannya lalulah aku semua di buatnya penjawat dan aku di suruhnya membawa keris panjang dan abangku di suruhnya membawa tepak dan segala abang-abangku yang perempuan dan adik2ku yang perempuan itu semuanyalah di buatnya penjawat oleh Raja Kecik itu. Kemudian daripada itu maka muafakatlah baik-baik Datuk Bendahara semua itu dengan Raja Kecik itu lalulah ia ke Riau. Maka Raja Keciklah kerajaan di Riau itu lalulah ia membuat istana bunga lawang kena emas itu serta bertaubatlah ia.[2]
Aturan setia Bugis dan Melayu di Leiden University Libraries.
Transliterasi Jawi ke Rumi oleh Mahamada Al Mahadaya Ł ŲŁ ŲÆ Ų§ŁŁ ŁŲÆŁ
==================
Catatan kaki oleh Admin:
[1] Silahkan baca Sejarah Johor Riau atau klik DISINI
[2] Silahkan baca Lahirnya Kesultanan Siak Sri Indrapura atau klik DISINI