llustrasi ini bertajuk "Een Malyer Krygs Ovest" atau Angkatan Perang Melayu yang dilukis sekitar tahun 1655 (Gambar 1). Pelukis asal tidak diketahui tetapi ianya telah dilakar semula oleh Philip Baldaeus (1632-1672) iaitu seorang mubaligh Kristian yang pernah bertugas di pulau Jawa pada tahun 1655 dan di India sekitar 1660-an. Cetakan litografi yang dihasilkan Baldaeus menjadi hiasan dalam buku Johan Nieuhof (1618-1672) berkenaan pelayaran Nieuhof, iaitu seorang pengembara Belanda, di kepulauan Nusantara sekitar tahun 1660-an. Dalam versi Inggeris, cetakan ini diberi tajuk "A MelayĆ” Captain" (Gambar 2).
Dalam catatannya, Nieuhof secara ringkas memberi deskripsi tentang kesatria Melayu yang bertugas melindungi perdagang Melayu di pulau Jawa sekitar 1660-an. Pedagang Melayu dikatakan pedagang kedua terpenting di Jawa selepas pedagang dari Cina. Ketua mereka akan menetap di kota untuk urusan perniagaan. Kesatria dan juga pengikut ketua tersebut dikatakan lebih berminat dalam bidang pertahanan dan pelayaran. Mereka secara amnya dikatakan gagah, tangkas dan menggerunkan. Kapal-kapal Melayu dikatakan serupa bentuk dengan kapal-kapal yang ditemui di Lautan Hindi. Dengan menggunakan layar yang dipasang tinggi ianya bergerak pantas dan lancar dalam keadaan cuaca baik.
Dari segi pakaian, baju orang Melayu dibuat dari sutera atau kain kapas yang ringan dan tipis. Kesatria yang dijumpai berambut panjang dan mengikat kain di kepala. Panglimanya pula memakai topi seakan morion Portugis yang dihiasi taring dan juga bulu burung kasawari (Gambar 3). Dari lakaran yang dibuat, infantri Melayu tersebut digambarkan seperti pahlawan Hoplite era Yunani Klasikal yang lengkap dengan pedang, tombak dan perisai bulat (Gambar 4).
Melalui catatan Nieuhof, wanita bangsawan Melayu pula mengenakan pakaian dari sutera yang bercorak bergaris-garis yang dipakai dengan gaya yang amat menawan. Rambut mereka dikatakan sangat hitam dan diikat bersanggul tinggi.
Penempatan yang didirikan orang Melayu di Jawa ditanam dengan pelbagai tanaman termasuk pokok kelapa. Melayu secara amnya dikatakan gemar mengunyah tembakau dan memakan daun sirih.
Dalam buku yang sama Nieuhof juga memberi gambaran tentang penduduk dan pedagang lain di pulau Jawa iaitu orang Bugis (Gambar 5), Jawa (Gambar 6 & 7), Ambon (Gambar
, Makassar (Gambar 9 & 10), Eropah (Gambar 11), Pedagang Muslim (Moors) (Gambar 12), India, Cina dan Arab.
Kredit : Yusrin Faidz Yusoff
Rujukan:
1. Johan Nieuhof, Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Johan_Nieuhof
2. Phillipus Baldaeus, Wikipedia. Diekstrak dari https://en.m.wikipedia.org/wiki/Philippus_Baldaeus
3. Internet Archive Digital Library, San Francisco.
Disalin dari kiriman FB Mohd. Hakimi