KISAH NURUDDIN AL-RANIRI DI NEGERI ACEH
Haziq Ismail
Inilah kisah panjang yang dipendekkan, berlaku di abad ke-17 Masihi. Datang seorang pemidato agama bernama Nuruddin Al-Raniri daripada Gujerat, Hindustan. Dekat saja dengan Mumbai tempat asal Dr Zakir Naik dilahirkan.
Nuruddin Al-Raniri ini banyak menulis kitab dan rajin berceramah serta berdakwah di sana sini semenjak di kampungnya lagi. Cuma Nuruddin ini keras kepala dan rasa dirinya sahaja yang betul setiap masa. Suatu hari dia sampai ke Aceh dan dipendekkan cerita berjaya pula memancing hati Sultan Iskandar Thani dengan kitab-kitabnya (zaman itu belum ada Youtube) dan kepetahannya berhujah dengan segala dalil dan nas syariat.
Sultan Iskandar Thani pun terpancinglah dengan benaknya melihat betapa alim si Nuruddin Al-Raniri ini berbahas segala hukum hakam syariat. Halal, haram, makrukh, sunat, harus, islam, kafir, murtad, bida'ah, semua di hujung lidahnya. Akhirnya Nuruddin Al-Raniri ulama india yang mengaku ada darah nabi ini pun diangkat menjadi 'penasihat agama islam negeri Aceh'. Sebelum itu jawatan tersebut dipegang oleh para ulamak Melayu Aceh bernama Syeikh Jamaluddin dan juga Samsudin Pasai, iaitu murid-murid kepada Hamzah Al-Fansuri.
Sejurus menaiki jawatan sebagai 'penasihat agama islam negeri Aceh', Nuruddin Al-Raniri pun mula melibas dan menerajang keluar semua pegawai lama dalam jabatan agama islam Aceh. Nuruddin mendakwa islam yang ada di Aceh sebelum kehadirannya adalah sesat lagi menyesatkan, bida'ah dan menyeleweng.
Maka dengan kuasanya sebagai penasihat agama islam negeri Aceh, Nuruddin Al-Raniri pun mengeluarkan fatwa mengharamkan semua ajaran islam oleh Hamzah Al-Fansuri, Syeikh Jamaluddin, Samsudin Pasai dan semua yang sealiran mereka. Nuruddin memfatwakan sesat belajar Sifat 20, sesat belajar tentang Awaluddin Makrifatullah, dan masuk neraka jika berbicara ilmu tasauf dan ilmu hakikat.
Wahdatul wujud itu dihukum olehnya sebagai pemikiran kafir. Maka semua para pengikut Hamzah Al-Fansuri, Syeikh Jamaluddin, Samsudin Pasai dihukum sebagai kafir. Nuruddin Al-Raniri berpegang jikalau orang islam tidak berpegang dengan tafsiran islam versi Ibn Taimiyah, maka kesesatan akan membelenggu umat islam hingga menjadi kafir.
Setelah itu, Nuruddin Al-Raniri memujuk pula Sultan Iskandar Thani yang memegang kuasa politik negeri, untuk mengeluarkan perintah menangkap dan menjatuhkan hukum pancung kepada semua para santri murid-murid pengajian tasauf yang bersama dengan kumpulan pemikiran Hamzah Al-Fansuri. Semua kitab-kitab jawi berkaitan ilmu tauhid, ilmu tasauf, ilmu Sifat 20, ilmu hakikat, ilmu makrifat, dan segala ilmu agama islam yang dikarang oleh Hamzah Al-Fansuri, Syeikh Jamaluddin, Samsudin Pasai dan para pengikutnya dibakar, berbaki sedikit yang masih ada sehingga hari ini.
Akibatnya pada hari yang sedih lagi menyedihkan itu, matilah Syeikh Jamaluddin @ Syeikh Maidin bersama ratusan murid-muridnya dipancung kepala oleh kerajaan negeri Aceh di bawah kepimpinan Sultan Iskandar Tsani yang merupakan keturunan Sultan Pahang dari Dinasti Melaka terakhir. Nama sebenarnya ialah Raja Hussein dan diculik oleh Sultan Iskandar Muda sewaktu perang Aceh menakluk Pahang dan Perak.
Berpuluh guru-guru agama yang mengajarkan tasauf, ilmu hakikat dan makrifat juga dibunuh di seluruh Aceh. Mana yang sempat lari, melarikan diri. Mana yang ada, diam-diam sahaja. Dalam masa yang sama, kitab-kitab syariat daripada India dibawa masuk ke Aceh supaya rakyat Aceh belajar hukum hakam islam berlandaskan kaedah Ibn Taimiyah di samping kitab-kitab Nuruddin sendiri.
Banyak kitab-kitab Hamzah Al-Fansuri, Syeikh Jamaluddin, Samsudin Pasai, malah kitab-kitab Syeikh Abdul Kadir Jailani pun diharamkan. Mana yang dirampas, semua dibakar. Jikalau ketahuan masih mengajar kitab-kitab tersebut, maka diperintahkan tangkap dan pancung. Malangnya ada rakyat yang jahil melihat peristiwa ini sebagai pesta dan mereka bersorak sorai setiap kali Nuruddin Al-Raniri memberikan pidatonya.
Negeri Aceh pun habis kacau bilau, berantakan sesama sendiri akibat kedatangan ulama India seorang ini. Habis satu negeri terjerumus dalam kancah kafir mengkafir, melabel bida'ah, melabel sesat, dan bunuh membunuh atas nama agama islam. Orang Melayu dari Aceh dan Sumatra Utara habis bertempiaran lari ke negeri-negeri Melayu lain mencari perlindungan. Ada yang ke Semenanjung Tanah Melayu, ada juga yang lari ke Tanah Minangkabau dan Palembang.
Setelah berjaya melakukan pembasmian aliran tasauf, ilmu Sifat 20, ilmu wahdatul wujud, ilmu hakikat, ilmu makrifat, dan ilmu-ilmu kesusateraan Melayu di Aceh, dan membangunkan islam syariat berdasarkan tafsiran Ibn Taimiyah di Aceh, Nuruddin Al-Raniri pun diangkat sebagai mufti besar Aceh sepanjang pemerintahan Sultan Iskandar Thani. Rakyat marhaen yang tak tahu biji butir pun men-dewa-dewakan Nuruddin Al-Raniri ini sebagai pemidato islam terkemuka di zaman mereka.
Satu keluarga Nuruddin Al-Raniri diusung ke sana sini oleh orang-orang Melayu yang buta ilmu di zaman tersebut. Bagi mereka, asalkan sultan suka, mereka pun suka sahajalah. Memang bangsa Melayu sangat 'simple minded' dari dahulu sampai sekarang. Kafir meng-kafir tidak mengapa, bunuh membunuh kerana ilmu agama pun tidak mengapa bagi mereka. Asalkan sultan suka, mereka pun suka sahaja. Waktu itu, Perlis belum wujud pun lagi. Perlis masih berada dalam negeri Kedah.
Tidak lama selepas itu (masih dalam abad ke-17), Sultan Iskandar Thani pun mati. Maka permaisuri baginda pun mengambil alih pemerintahan negeri Aceh dengan gelaran Sultanah Tajul Alam Safiah. Baginda ialah puteri kepada almarhum ayahandanya iaitu Sultan Iskandar Muda. Apabila Sultanah Tajul Alam Safiah naik takhta negeri Aceh, baginda memerintahkan diadakan satu pertandingan debat aqidah di antara Nuruddin Al-Raniri ulama India ini dengan seorang ulama anak murid Hamzah Al-Fansuri bernama Saiful Rijal Al-Minangkabawi.
Dipendekkan cerita akhirnya kalahlah Nuruddin Al-Raniri ulama asal Gujerat di utara Mumbai itu dalam debat aqidah tersebut. Maka dihalau keluarlah dia daripada negeri Aceh setelah berpuluh tahun menindas golongan ulama Melayu yang berpegang dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersambung dengan dua pendirinya iaitu Al-Maturidi dan As-Shai'rah.
Demikianlah hal yang terjadi di negeri Aceh suatu masa lalu. Sehingga pupus segala ilmu hakiki dan rujukan besar alam Melayu di tangan ulama India yang petah lidah bercakap berdegar-degar, mengaku dirinya sahaja yang paling betul. Orang lain semuanya sesat, bida'ah, dan kafir. Tumpah air mata dan darah merah para ulama Melayu di bumi Aceh akibat sultan dan segelintir rakyatnya yang fanatik membabi buta mengikut ajaran Nuruddin Al-Raniri ini sehingga sanggup kafir-mengkafir sesama islam. Inilah namanya 'tetamu tak diundang'.
Janganlah terjadi lagi di bumi Malaysia yang tercinta ini. Mula-mula memang nampak baik. Bila mula naik lemak, sikit-sikit akan tumbuh taringnya. Gambar: Syair Perahu karangan ulama agung Melayu, Hamzah Fansuri dalam tulisan aksara Rencong.
"Wallahua'lam bissawab" kata orang.
Disalin dari kiriman FB: Adi Fa