Kesulthanan Chaiya

Sumber Gambar: https://www.facebook.com
Kesultanan Chaiya : Negeri Melayu Paling Utara di Semenanjung.

1. Ramai yang menyangka negeri Melayu paling utara di semenanjung Tanah Melayu adalah Perlis

2. Tetapi pada penulis, negeri Melayu paling utara di Tanah Melayu sebenarnya adalah Chaiya (Jaiya), yang kini termasuk dalam wilayah Surat Thani, Thailand.

3. Ini kerana Chaiya memiliki warisan sejarah Melayu pada kedua-dua era, iaitu era sebelum dan sesudah kedatangan Islam ke Alam Melayu.


4. Chaiya pada suatu ketika pernah menjadi pusat bagi kerajaan Srivijaya iaitu sebuah empayar bangsa Melayu yang masyhur pada era pra-Islam. Buktinya, sehingga kini masih wujud puing-puing binaan tiga (3) buah chedi era Srivijaya di Chaiya iaitu Wat Hua Wiang, Wat Long dan Wat Kaeo .

5. Dan yang tidak diketahui umum, Kesultanan Melayu-Islam juga sebenarnya pernah wujud di Chaiya. Penulis tetap menggunakan istilah 'Kesultanan' kerana di makam Raja-rajanya tercatat gelaran 'Sultan'.

6. Kesultanan Melayu mulai wujud di Chaiya setelah Phraya Ram Decho (Mahmud), Raja Ligor yang telah menyerang dan menewaskan Kerajaan Melayu Singgora bagi pihak Ayutthaya memohon kepada Narai, Raja Ayutthaya, supaya kerabat Singgora tidak dibunuh sebaliknya diringankan hukuman untuk diasingkan ke tempat lain.

7. Permohonan tersebut telah diperkenankan lalu Sultan Mustafa, Raja Singgora bersama-sama dengan kerabat dan penduduknya yang telah berusia lanjut kemudian telah diasingkan ke Chaiya, manakala kerabat yang masih muda seperti adik beradik Sultan Mustafa yang bernama Hassan dan Hussein dibawa ke Ayutthaya. 

8. Disebabkan pengaruh Sultan Mustafa yang masih kuat, baginda kemudian telah diangkat pula sebagai Raja Chaiya tetapi dibawah naungan Siam dengan gelaran Phraya Pichit Phakdi Siphichai Songkram (Ada penulisan yang menterjemah Siphichai sebagai Srivijaya). Manakala adinda baginda iaitu Hussein menjadi Wan Muda (Raja Muda). Hussein ini kemudiannya telah diangkat sebagai Raja di negeri Phattalung menggantikan Sultan Farisi yang telah wafat.

9. Sultan Mustafa kemudian telah membina sebuah pemukiman baru di Chaiya yang diberi nama Ban Songkhla, iaitu untuk mengangkat kembali nama tempat asal baginda iaitu Singgora. Baginda terus memerintah Chaiya sebelum wafat pada tahun 1696 di usia 78 tahun.

10. Takhta Kesultanan Chaiya kemudian diwarisi oleh putera baginda dengan gelaran Sultan Taufik. Baginda juga dikenali dengan nama Marhum Tafai iaitu mengikut sebutan Siam yang bermaksud 'Bermata Api'.

11. Sultan Taufik mempunyai dua anakanda iaitu Farouk dari isteri yang beragama Islam dan Wan Bongsu (Boonchu) dari isteri yang beragama Buddha. Bagi mengelakkan pertelingkahan, Boonchu kemudian telah dihantar untuk berkhidmat di istana Ayutthaya.

12. Selepas kemangkatan Sultan Taufik pada tahun 1705, takhta Kesultanan Chaiya kemudian diwarisi pula oleh Sultan Farouk. Namun Sultan Farouk akhirnya tewas akibat serangan tentera Burma.

13. Boonchu kemudian datang dari Ayutthaya untuk memerintah semula Chaiya. Tetapi baginda akhirnya dinyatakan mangkat dalam penjara di Bangkok kerana menjadi mangsa perebutan kuasa antara Raja-raja Siam. Tiada lagi waris Dinasti Singgora yang memerintah Chaiya selepasnya. 

14. Justeru itu, Kesultanan Melayu dapat berdaulat di Chaiya lebih kurang 113 tahun menerusi empat orang Rajanya yang beragama Islam iaitu bermula dari tahun 1669 hingga tahun 1782.
_________________________

Disalin dari kiriman facebook Ibnu Rusydi



 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar