FB Mahamada al Mahadaya - Maka di ceriterakan oleh orang yang empunya ceritera ini sekali persetuanya Sultan Iskandar Zulqarnain bermuafakat dengan segala raja-raja yang di bawah perintahnya. Bermula menterinya yang besar memakai mahkota yang berkeemasan seribu dua ratus (1,200). Maka di dalam seorang menterinya adalah hulubalangnya tujuh ribu tujuh ratus (7,700).
Maka di dalam seorang hulubalangnya adalah laskarnya yang berkuda dan memakai pedang dan hanjar dan jarata sembilan ribu keti dan yang bergajah sembilan laksa delapan keti tujuh ribu sembilan ratus (987,900) dan rakyat yang berjalan di tanah tiada dihisabkan daripada kebanyakannya memakai tombak dan perisai tembaga. Arakian adalah raja yang takluk kepadanya empat ratus (400). Maka dalam raja yang itu adalah raja yang takluk lagi kepadanya empat ribu (4,000) lebih kurang sedikit jualah dari kerana hendak pergi menyerang raja jin yang di Maghrib bernama Betara Tanggala.
Maka paduka Sultan Iskandar menitahkan seorang pengawalnya di suruhnya panggil Wazirnya Nabi Allah Khidir menghadap Duli Paduka Yang Maha Mulia. Maka Raja Iskandar turun ke tanah memberi hormat dan khidmat kepada wazirnya itu. Maka lalu naik berpegang tangan duduklah di atas kerusi yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam dan gemala zamrud pualam permata. Maka di adaplah oleh segala raja-raja dan orang besar-besar dan panglima dan hulubalang.
Maka Paduka Raja Iskandar lalu berkata demikian katanya “Hai Wazirnya Nabi Allah sebab maka suruh tuanku persilakan kemari oleh hamba, kerana maksud hamba hendaklah kita menyerang segala raja jin, akan tetapi dahulukan raja jin yang di Maghrib. Maka hendaklah tuanku memberi titah kepada segala raja-raja dan mengirimkan surat kepada segala raja-raja yang di bawah perintah oleh kita”. Maka Nabi Allah kabullah seperti maksud dirimu itu.
Maka di dalam bercerita itu maka hidangan dan piala minuman pun di angkat oranglah setelah sudah santap maka mohon undur pulang kembali Nabi Allah itu dengan segala raja-raja dan menteri hulubalang. Setelah keesokan maka di suruhlah utusan membawa surat kepada segala raja-raja. Maka masing-masing lah berjalan menteri utusan menuju jalan sampai kepada tiap-tiap negaranya raja-raja itu.
Arakian maka adalah jauhnya antara negaranya itu adalah yang dua (2) bulan, adalah yang tiga (3) bulan, adalah yang empat (4) bulan, adalah yang lima (5) bulan, adalah yang enam (6) tujuh (7) bulan. Hataya maka apabila telah sampai surat itu kepada raja-raja itu, maka lalu dijunjung diatas kepalanya seraya dibuka daripada likatan menterinya lalu di bacanya. Setelah sudah membaca dan mengertikan bunyi kalam al hasanat yang kalam al ahasan dalamnya. Maka lalu menyuruh berhimpun segala rakyat dan laskar kepada segala wazir dan menterinya.
Arakian setelah sudah berhimpun maka di hadirkan segala perkakas yang lengkap dengan alat senjatanya lalu berjalan menuju jalan ke negaranya Iskandar di Makayanalah. Perbuatan raja-raja itu tujuh (7) tahun khabarnya berhimpun segala raja-raja itu. Setelah sudah berkumpul itu lalu berjalan menuju kepada negerinya raja Betara Tanggala di Maghrib itu. Maka iapun sampailah di luar kota negerinya itu.
Maka diwartakan oranglah kepada raja Betara Tanggala itu sakawala tujuh (7) tahun lamanya perjalanan manusia akan perjalanan jin sebentar saja jalan yang jauh itu. Maka kata raja jin kepada menterinya Betara Lawakahaya “Menteriku pergilah engkau kepada Raja Iskandar itu tanyakan apa kehendaknya datang dan apa khabar yang di bawanya atau apa di carinya maka sampai ke mari disini”.
Arakian maka Betara Lawaka pun bermohonlah lalu berjalan dengan hulubalang tujuh ribu (7,000) dan laskarnya tujuh ribu keti (70,000) yang pergi menghadap Seri Paduka Raja Iskandar itu. Hataya setelah sampai lalu masuk menghadap ke hadirat raja itu maka sembahnya “Ya Tuanku Raja Yang Maha Mulia, hamba datang menghadap ke bawah duli paduka tuanku di suruh menanya apa tuanku datang dan apa khabar tuanku dan apa maksud di cari maka sampai kemari tuanku”.
Maka di jawab oleh paduka Iskandar itu “Bahawa kami sekelian datang sekarang ini menghadap meminta redha dan rahim junjung wawalaya seraya Paduka Raja Betara Tanggala akan mudah mudahan boleh bermuafakat atas kedua pihak engkau jin dan kami manusia daripada hendaklah raja kamu mengikut dan membawa iman kepada Allah dan Rasul Allah kerana jin dan manusia sama juga tiada lainnya kerana firman Allah di dalam kitab Allah yang di turunkan kepada nabi Allah Idris.
Dan tiadalah di jadikan Allah Taa’ala jin dan manusia itu melainkan menyembah Allah jualah dan jikalau kiranya raja kamu tiada mau menerima dan muafakat dengan baik hendaklah bersediakan dan berlengkap alat senjatanya sekelian supaya kami menyeranglah kota raja kamu biarlah menjadi rata semuanya”. Setelah habis Raja Iskandar memberi titah kepada menteri Jana itu maka menterinya Janapun tunduk menyembah seraya bermohon pulang ke negaranya.
Maka utusan lalu berjalan siang malam tiada berhenti. Setelah sampai kepada rajanya menyembah di persembahkan segala perkataan Raja Iskandar itu. Arakian setelah Raja Betara Tanggala itu mendengar kata Raja Iskandar yang di Makayana itu maka terlalu marah merah padam muram mukanya dan lakunya seperti ulat berbelit-belit.
Maka katanya “Bagaimana rupanya manusia dan berapa banyak laskar dan hulubalang dan berapa raja dan menteri yang besar hati yang boleh datang menyerang negeriku ini dan melanggar kota istanaku ini kalau-kalau seperti semua yang masuk berenang dalam air madu juga akhirnya manusia itu sayang segala-segala. Maka hendaklah menteriku segera kembali lagi beritahukan raja manusia itu yang berkehendak bermuafakat dan suruh mengikut barang katanya itu tiada sekali-sekali aku mau menurut barang katanya dan mengikut perintahnya.
Adakah patut aku jin yang dahulu di jadikan Allah Sabahana Wa Taa’ala daripada cahaya api dan manusia itu di jadikan Allah Sabahana Wa Taa’ala kemudian dari aku daripada tanah yang rendah lagi gelap dan jikalau sangka ia raja laki-laki yang gagah perkasa berani. Maka hendaklah empat puluh (40) hari lagi kita bermain-main senjata di luar tengah medan”.
Kemudian maka menteripun lalu berjalan keluar menuju khemah Raja Iskandar itu, maka menteripun sampailah kepada khemah Raja Iskandar itu. Maka lalu masuk menghadap serta tunduk menyembah menceritakan segala perkataan rajanya itu. Setelah itu maka mohonlah pulang ke dalam kota negerinya dan rajanya.
Setelah sampai kepada Raja Betara Tanggala itu maka lalu tunduk menyembah rajanya serta menyampaikan perkataan Raja Iskandar itu mengatakan “Syukur Al Hamad Lalah Raba Al A’lamayana bahawa tiada sekali-kali salah satu daripada pihak jin dan manusia menanti perintah Allah. Maka jikalau tiada Raja Betara Tanggala menangkap dan mengalahkan aku, Ana Syaa Allah [Insya Allah] nescaya akulah menangkap dan mengalahkan dia”.
Setelah sampai daripada hari perjanjian, pagi-pagi hari belum terbit matahari maka dipalu genderang perangnya atas kedua pihak laskar jin dan manusia. Maka iapun masing-masing masuk bersaf-saf di tengah medan serta didirikan oranglah tanggal panji-panji bertulisan kembang dengan air emas daripada kedua pihak laskar.
Maka masuklah kemudian raja pari bernama Maharaja Shah Pari dengan menterinya tujuh ratus (700) dan pada seorang-seorang menteri itu hulubalang tujuh ribu (7,000) maka dalam seorang hulubalang itu tujuh ribu keti (70,000) adalah yang berkuda setengahnya dan adalah yang memegang jarata dan adalah yang memegang pedang dan adalah yang memegang hanjar dan yang memegang cokmar dan adalah yang memegang tombak. Maka katanya "Jin manusia mana yang mau mati marilah masuk di tengah medan jikalau sungguh anak laki-laki".
Maka raja manusia pun masuklah ketengah medan bernama Raja Iskandar dengan menterinya seribu dua ratus (1,200) maka pada seorang-seorang menterinya adalah hulubalangnya tujuh ribu tujuh ratus (7,700). Maka dalam seorang-seorang hulubalang itu adalah laskarnya sembilan ribu keti (90,000) memegang hanjar dan pedang dan perisai menunggang kuda dan yang bergajah sembilan laksa delapan keti tujuh ribu sembilan ratus (987,900) laskar memegang jarata dan cokmar dan tombak dan pata.
Maka masing-masinglah palu memalu dan tombak menombak dan tikam menikam dan tetak menetak dan patah mematah bertangkis tangkisan segala laskar jana dan manusia. Maka lalu azmat gagak gempita bunyi senjata dan riuh rendah segala orang yang bertempik dan sorak cuaca menjadi kelam kabut habukpun naik ke udara daripada sebab kebanyakan kaki manusia dan jana terkilat kilatan api senjata jualah yang kelihatan seperti bintang di langit.
Maka banyaklah darah yang tumpah mengalir ke tanah habukpun berhentilah gagak gempita pun teranglah. Maka kelihatanlah kepala jin dan manusia seperti anak keti dan bangkai pun seperti pulau datang ke laut maka darah pun seperti air laut berwarna batu dan seperti banjir yang hilir kepada sungai maka dibawa larilah oleh banjir darah itu. Kuda dan gajah saujana mata jauhnya.
Arakian maka banyaklah laskar manusia yang mati kerana kesaktian dan hikmat Maharaja Shah Pari. Siang dan malam tiada berhenti berperang berganti. Maka datanglah kepada dua belas bulan lamanya perang mengalahkan kota selapis itu. Maka di ceriterakan orang yang empunya ceritera ini tujuh belas (17) tahun khabarnya berperang itu kerana selapis kota setahun lamanya berperang.
Maka di dalam perang mengalahkan kota lima (5) lapis itu tiadalah banyak jin yang mati melainkan manusialah yang banyak mati tiada terkira banyaknya. Maka meminta doa Raja Iskandar dan Nabi Allah demikian “Ya Allah Ya Rabaya Ya Mawalaya Ya Raba Al A’lamayana, tolonglah apa kiranya hambamu ini supaya boleh hambamu mengalahkan raja jin itu”. Maka Allah Sabahana Wa Taa’ala dikabulkan permintaanya Raja Iskandar itu.
Maka datanglah kepada kota yang keenam lapis sampai ke sepuluh lapis berperang itu maka banyaklah jin yang mati dan manusia pun sedikit jua yang mati. Maka dipalu oranglah genderang kembali, maka kedua pihak laskar jin dan manusia kembali berhenti kerana pekerjaan adat perang itu apabila telah sudah mengalahkan kepada yang selapis-lapis kota maka di palulah orang genderang kembali lalu ia berhenti segala menteri dan hulubalang dan laskarnya yang berperang itu. Apabila sampai kepada kota yang ke sepuluh (10) lapis maka terlalu besar berperang itu seawal-awal dunia akan kiamat layaknya daripada perang yang dahulu-dahulu itu Al Qashasha.
Maka ceritera akan oleh orang yang empunya ceritera ini adapun raja-raja dibawah oleh Raja Iskandar itu menyerang kota yang selapis-selapis itu seratus raja-raja besar dan dalam seorang raja itu menterinya itu tujuh ribu (7,000) maka dalam seorang menteri itu adalah hulubalangnya tujuh ribu ratus. Maka dalam seorang-seorang hulubalang maka adalah rakyat dan laskarnya sembilan ribu keti sekelian raja-raja dengan menteri hulubalang laskarnya yang perang berganti-ganti akan mengalahkan kota yang pertama lalu sampai kepada kota yang kedua belas (12) lepas itu seperti Raja Khaibar dan Raja Lahada dan Raja Kabara dan Raja Akbar dan Raja Jasaha dan Raja Jasaya dan Raja Baghdad dan Raja Mesir dan Raja Cina dan Raja Peringgi dan Raja Rom dan Raja Hindi dan Raja Hindustan dan beberapa lagi yang lain daripada itu.
Arakian setelah sampai kepada kota yang kedua belas lepas maka masuk berperanglah Nabi Allah Khidir datang kepada empat belas lapis kota itu habislah di ratakan. Maka diwartakan oleh seorang daripada jin itu akan rajanya Betara Tanggala daripada hal ehwal perang habislah rata sekelian kota yang enam belas lapis itu. Maka raja jin telah mendengar hal ehwal yang di Makayata maka iapun hairan serta berdiam dirinya dan lemah lembut rasanya anggotanya dan gentarlah urat dan tulangnya lalu ia berkata kepada segala wazir al menterinya ajaib segala rasa hatiku habislah ikhtiar budiku daripada hal ehwal perang kita dengan raja Iskandar itu.
Maka di dalam pikirku baiklah kita sembah kepadanya dan menurut barang katanya di kerana akhirnya pekerjaan ini terlalu sukar di tangkapnya aku dengan hidupku dan diperceraikan kepalaku dengan tubuhku bukan itupun memberi kecil-kecilan dan kemaluan yang amat besar kepada segala raja-raja kerana aku pun seorang raja besar juga".
Arakian setelah putus mesyuarat maka lalu ia diturunkannya tanggal panji-panji merah di gantikan dengan panji-panji putih alamat minta ampun dan sembah. Setelah kelihatanlah panji-panji putih itu kepada Raja Iskandar maka disuruh orang memalu sekelian bunyi-bunyian tanda kesukaan dan keredhaan. Maka raja Betara Tanggala pun keluarlah memperhambakan dirinya serta ampun dan rahayama kepada Raja Iskandar.
Setelah ia kelihatan terpandang raja jin itu oleh Raja Iskandar, maka segeralah ia turun daripada kerusinya lalu berjabat tangan. Maka raja Betara Tanggala pun sujudlah kepada kaki Raja Iskandar itu serta sembahnya “Ya tuanku ampunlah apalah kiranya kepada hamba dan barang katanya dan perintah tuanku Shah Alam hamba junjung di atas batu kepala hamba dengan tanah Maghrib di dalam hukum Shah Alam juga maka sekarang ini jikalau duli Shah Alam adalah rahmat yang limpah baiklah berangkat masuk ke dalam kota dan istananya”.
Maka dijawab oleh Shah Alam Raja Iskandar "Janganlah tuanku berkata yang demikian kerana jin dan manusia sama hamba Allah juga tiada lainnya seperti tuanku menjadi raja dahulunya demikianlah sekarang ini tetapi tuanku hendaklah mengatakan “Ashahada Ana Laa Alah Alaa Allah Wa Ashahada Ana Nawaha Nabaya Allah”.
Maka ikutnya oleh raja jin itu dengan segala menterinya dan hulubalang sampai sekelian rakyatnya masuk agama Nabi Allaha Nuh A’layaha Al Salam dan membawa imanlah kepada Allah dan rasulnya. Arakian maka raja jin dan wazir al menterinya dengan Raja Iskandar serta wazirnya berangkatlah berjalan masuk ke dalam kota Maghrib.
Setelah ia sampai lalu naik di atas istana dan duduklah di atas kerusi yang keemasan bertatahkan ratna mutu manikam berumbai-umbaikan mutiara manikam dan permata nilam dan puadi. Maka dalam bercerita itu maka piala minuman dan hidangan persantapan pun diangkat oranglah kehadapan raja-raja atas kedua pihak itu jana dan manusia itu sampai kepada sekelian rakyat dan laskar jana dan manusia itupun masing-masing lah makan dan bersuka-suka an hati segala raja-raja kedua pihak itu.
Maka tersebutlah jin yang perempuan anak dara dan yang muda-muda yang menunggunya raja yang kedua itu santap dan membawa piala minuman dan hidangan nasi dan pawana cairan emas merah yang sepuluh mata bertatahkan jauhari gemala dan permata zamrud bersilang-silang marjan dan yaakut yang diletakkan kehadapan raja yang kedua itu sampai kepada raja yang lain-lain itu. Maka perawan muda-muda sederhana sedang itu memakai kain sutera bertenun songketkan emas yang kuning dan memakai baju rawah yang nipis lagi halus.
Maka kelihatanlah susu banataranya laksana permata manikam diikut dengan emas dan memakai susuk yang keemasan dengan azimat lengan yang keemasan. Hataya maka perawan yang menunggu hidangan persantapan raja kedua itu tujuh kali tujuh dan raja yang lain-lain itu dua kali tujuh dan menteri-menteri itu segala tujuh. Setelah sudah santap maka diangkat oranglah hidangan itu Wa Allah Aa’lama Al Qashasha.
Maka tersebutlah ceritera raja Betara Tanggala yang berkata kepada Raja Iskandar “Ya Shah Alam Paduka Maulana Raja Iskandar bahawa adalah qasad dan hajat patik jikalau adalah kasihan serta rahim paduka maulana kepada hambamu kerana adalah hamba menaruh seorang anak perempuan yang tiada sepertinya penuhlah dengan aibnya akan kepersembahkan ke bawah duli paduka maulana akan menjadi budak-budak tuanku”.
Maka Raja Iskandar pun tersenyum seraya katanya “Al Hamada Lalaha Roba Al A’lamayana, syukurlah dengan beribu syukur hamba kepada Allah Sabahana Wa Taa’ala sebab adalah redha serta kasihan paduka tuan hamba yang limpah rahim kepada hamba”. Setelah sudah mustaib perkataan itu maka iapun lalulah di kahwinkannya Raja Iskandar itu dengan anaknya puteri Jalawasa Al Ashiqin.
Maka dimulailah berjaga-jaga dan ramai-ramainya tiada terkata lagi dan segala yang berbunyi semuanya ditiup dan dipalukan dan segala permainan jana di mainkan jana samanya jana dan manusia samanya manusia dan pari samanya pari dan mambang samanya mambang dan cendera samanya cendera. Maka alam pun seolah-olah kiamat rasanya empat puluh hari empat puluh (40) malam lamanya ramai dan jaga-jaga itu baharu undur pulang sekelian orang masing-masing kenegerinya.
Maka tinggallah paduka Raja Iskandar dan tuan puteri Jalawasa Al Ashiqin dengan segala inang pengasuhnya yang tujuh puluh (70) orang dan yang muda-muda tujuh puluh (70) orang daripada anak menteri-menteri dan budaknya yang perempuan muda tujuh ratus (700). Maka iapun beranaklah tiga orang laki-laki dan yang tua menjadi Raja Istanbul ialah Negerinya Rom dan kedua orang akan jadi raja di Japawanga itulah negerinya Cina dan ketiga orang akan menjadi Raja Andalas ialah negerinya Minangkabau sampai sekarang ini Wa Allaha Aa’lama Al Qashasha.
Kitab Bima