Ilustrasi Gambar: bungfei |
Disalin dari FB Mahamada Al Mahadaya
Basama Allaha Al Rahamana Al Rahayama
Wa Baha Nasataa’yana Ba Allaha A’laya. Ini hikayat Hang Tuah yang amat setiawan pada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.
Sekali sepertua ada seorang raja keinderaan raja itu terlalu besar kerajaannya pada segala raja2 indera seorangpun tiada menyamai dia sekelian menurut titahnya. Adapun baginda itu lagi teruna bujang. Syahdan apabila baginda keluar diadap oleh segala raja dan menteri hulubalang maka berapa pedang yang sudah terhunus kepada kiri kanan baginda itu dan beberapa puluh bentara yang memangku pedang yang berikatkan emas bertatahkan ratna mutu manikam.
Maka apabila baginda bertitah pada segala raja-raja dan menteri maka baginda pun memandang ke kanan dan maka segala raja-raja dan menteri yang di kananlah menyampaikan titah raja itu. Maka apabila baginda itu memandang ke kiri maka segala raja-raja dan segala menteri yang di kiri semuanya menyembah maka bentara kirilah menyampaikan titah raja itu. Adapun nama baginda itu Sang Perta Dewa adapun Sang Perta Dewa itu tahu akan dirinya akan beroleh anak maka anaknya itu akan menjadi raja kepada Bukit Seguntang maka daripada anak cucu baginda itu akan menjadi raja besar pada akhir zaman.
Maka tersebutlah perkataan seorang raja terlalu besar kerajaannya maka isteri baginda itupun hamil. Setelah genap bulannya maka permaisuri pun beranaklah seorang perempuan terlalu amat elok rupanya dan kelakuannya pada masa zaman itu seorang pun tiada menyamai dia rupanya anak raja itu. Maka di namai oleh ayahanda baginda tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam maka dipelihara akan oleh paduka ayahanda bonda baginda dengan sepertinya. Syahdan maka paduka ayahanda bonda pun terlalu amat kasih akan anakanda baginda itu. Hataya beberapa raja-raja hendak meminang tuan puteri itu tiada juga di berinya oleh paduka bonda baginda kerana segala raja-raja yang hendak meminang itu tiada sama dengan bangsa baginda itu kerana bondanya itu raja keinderaan.
Maka baginda pun bertitah kepada perdana menterinya memanggil segala ahli al nujum dan segala seteruan itupun datang menyembah baginda. Maka titah baginda kepada segala ahli al nujum dan seteruan “Lihat apalah nujummu sekelian betapakah untung bahagianya anakku ini”. Maka segala ahli al nujum dan seteruan itupun melihatlah di dalam nujumnya. Setelah sudah di lihatnya maka segala ahli al nujum itupun masing-masing menggerakkan kepalanya maka titah baginda “Apa sebab maka kamu sekelian menggerakkan kepalamu sekelian”.
Maka sembah segala ahli al nujum dan seteruan itu “Ya tuanku syah alam patik memohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke bawah duli syah alam. Adapun paduka anakanda itu terlalu amat bahagia beroleh suami anak raja besar dan daripada anak cucu paduka inilah jadi raja datang pada akhir zaman akan menjadi raja besar. Maka duli tuanku hendak segera memberi paduka anakanda bersuami hendaklah paduka anakanda ini di taruh pada suatu pulau yang bernama Birama Dewa itu dengan suatu mahligai dan dayang. Di sanalah paduka anakanda bersuami akan raja besar itu”.
Maka baginda mendengar sembah segala ahli al nujum dan seteruan itu demikian maka baginda pun masuk mendapatkan permaisuri. Maka segala menteri hulubalang pun menyembah lalu keluar. Maka raja pun masuk ke dalam istana maka titah baginda kepada permaisuri “Ya adinda akan sekarang apa bicara kita akan anakanda ini”. Maka sembah segala ahli al nujum itu sekeliannya di ceriterakannya kepada permaisuri. Maka sembah permaisuri “Ya tuanku patik mohonkan ampun dan kurnia adapun patik ini hamba mana titah patik junjung”.
Maka pada ketika itu juga maka baginda pun melengkapi anakanda baginda dengan inang pengasuhnya dan dayang dengan sepertinya maka tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam pun di peluk di cium dan di tangisnya oleh ayahanda bonda baginda “Hai anakku dan buah hatiku adapun ayahanda bonda membuangkan tuan ke pulau itu bukan kerana ayahanda bonda benci akan tuan dan jangan kecil hati kerana ayahanda bonda menaruhkan kalau-kalau sungguh seperti kata ahli al nujum itu tuan beroleh kebesaran dan kemuliannya sampai adalah nama ayahanda dan bonda di sebut orang pada akhir zaman”.
Maka tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam pun menyembah ayahanda bonda baginda maka tuan puteri pun di turunkan daripada kenderaan di bawa ke pulau Birama Dewa serta di perbuatkan suatu mahligai terlalu indah berumbaikan mutiara. Setelah sudah maka segala orang yang menghantar itupun kembalilah berdatang sembah kepada baginda serta menyampaikan sembah anakanda baginda itu. Maka tuan puteri pun duduklah pada mahligai di pulau Birama Dewa itu di peliharakan oleh segala inang pengasuhya dan segala dayang-dayang.
Syahdan maka Sang Perta Dewa sekali persetua maka baginda bertitah pada segala menteri hulubalang “Hai tuan sekelian berlengkaplah keluar esok hari kita hendak berburu”. Maka sembah mangkubumi “Baiklah tuanku”. Maka mangkubumi pun bermohonlah keluar berlengkap gajah dan kuda dan rakyat sekelian setelah lengkap maka mangkubumi pun masuk mengadap berdatang sembah maka sembah mangkubumi “Ya tuanku syah alam patik di titahkan berlengkap itu maka sekarang ini sudahlah patik kerahkan segala rakyat dan gajah kuda”. Maka titah baginda “Baiklah esok harilah kita pergi”. Maka baginda pun berangkatlah masuk ke istana maka segala menteri hulubalang sekelian pun pulanglah ke rumahnya masing-masing.
Setelah keesokan harinya maka raja pun berangkatlah dengan menteri hulubalang dan rakyat sekelian lalu turun ke pulau itu berburu. Hataya maka dengan takdir Allaha Taa’alaya maka Sang Perta Dewa pun melihat sebuah mahligai pada pulau itu maka titah baginda pada segala menteri hulubalang sekelian “Tinggallah tuan-tuan sini kita hendak pergi pada mahligai itu”. Maka baginda pun pergilah ke mahligai itu. Setelah sampai maka baginda pun naiklah ke atas mahligai itu.
Maka di lihatnya ada seorang puteri di adap oleh segala dayang-dayang dan inang pengasuhnya dan biti perwara sekelian duduk mengadap ia terlalu elok rupanya seperti empat belas hari bulan. Maka baginda pun segera menghampiri tuan puteri itu. Maka segala dayang sekelian pun terkejut dan hairan melihat rupa Sang Perta Dewa itu maka sembah segala inang pengasuh “Ya tuanku siapa tuanku ini”.
Maka titah Sang Perta Dewa “Aku ini seorang dewa turun dari kenderaan datang hendak berburu dengan segala rakyatku pada pulau ini”. Maka titah baginda “Engkau ini siapa dan bagaimana datang kemari ini dan apa sebabnya maka duduknya di tengah laut pada pulau ini”. Maka sembah segala inang pengasuh tuan puteri pada Sang Perta Dewa sekeliannya habis di persembahkan dan kelakuan dan gemala hikmat itupun di persembahkannya pada Sang Perta Dewa. Maka Sang Perta Dewa pun mendengar sembah segala inang pengasuh tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam demikian itu maka baginda pun terlalu sukacita hati baginda.
Maka segala rakyat perwara yang tersembunyi itupun di suruh keluar dan reta terbang kenaikan Sang Perta Dewa pun di bawa oranglah pergi kepada pulau itu dengan segala bunyi bunyian. Apabila tuan puteri dan segala isi istana mendengar bunyi bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun itu terlalu banyak datang dengan pakaian terlalu indah-indah reta terbang itupun dengan perhiasan yang keemasan datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu semuanya bertatahkan ratna mutu manikam maka tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anak raja besar turun dari keinderaan maka tuan puteri dan segala isi mahligai itu pun sukacitalah di dalam hatinya. Maka Sang Perta Dewa dan tuan puteri pun berkata-kata dengan Sang Perta Dewa itu.
Setelah sudah maka tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam pun dihiasi oranglah dengan segala pakaian yang indah dari keinderaan. Setelah sudah berhias maka Sang Perta Dewa pun di kahwinkan oranglah dengan tuan puteri seperti adat raja2 besar2 berkahwin. Setelah sudah maka Sang Perta Dewa pun berkasihan2 laki isteri dan barang sesaat pun tiada boleh bercerai jika mandi pun bersama2 jika tidur pun bersama2 dan barang maksud tuan puteri itupun tiada di lalui oleh raja dan barang maksud raja pun tiadalah di lalui oleh tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam.
Di dalam itupun dapat oleh Sang Perta Dewa “Jikalau ada kasih adinda akan kekanda pinta gemala hikmat itu akan kekanda”. Maka sembah tuan puteri “Pada bicara patik jangankan gemala hikmat itu jika tubuh patik sudah terserah jadi hamba kekanda”. Maka gemala hikmat itu pun di ambil oleh Sang Perta Dewa lalu di cuba serta di permainnya oleh Sang Perta Dewa maka barang di citanya sekelian keluar dari dalam hikmat itu. Maka Sang Perta Dewa pun terlalu sukacita hatinya maka Sang Perta Dewa pun duduklah di pulau itu bersuka2an dengan isterinya dan segala perwaranya.
Hataya berapa lamanya Sang perta Dewa duduk dengan tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam itu maka tuan puteri pun hamillah. Maka Sang Perta Dewa pun terlalu sukacita hatinya. Maka bulannya pun genaplah maka datanglah pada dewasa akan berputera maka tuan puteri Gemala Ratna Pelanggam pun berputeralah seorang laki2 terlalu elok rupanya seperti empat belas hari bulan berseri2 serta keluar itu dengan makotanya. Maka anakanda baginda itupun di sambut oleh ayahanda baginda di namai Sang Perba.
Shahdan maka Sang Perta Dewa pun bertitah kepada isterinya “Ayuhai adinda jikalau ada kasih adinda akan kekanda kerana kekanda pun sudah berputera dengan adinda mahukah adinda mengikut kembali keinderaan ke negeri kekanda”. Maka kata tuan puteri “Jangankan kembali ke inderaan tiada patik turut jikalau ke laut api sekalipun patik ikut juga”. Setelah mendengar kata tuan puteri demikian itu maka baginda Sang Perta Dewa pun berlengkaplah akan kembali keinderaan. Maka segala rakyat dari keinderaan pun terlalu gempita bunyinya maka pulau itupun bergoncang seperti akan karam lakunya.
Maka Sang Perta Dewa pun naik ke atas retanya terbang itu maka segala perwara itu pun naiklah masing2 pada masing2 kenaikannya. Maka gemala hikmat itupun diambil oleh Sang Perta Dewa lalu di gendongnya maka mahligai itupun ghaiblah. Maka Sang Perta Dewa pun sampailah ke negerinya lalu masuk ke dalam negeri lalu naik ke istananya. Maka baginda pun duduklah berkasih kasihan laki isteri memeliharakan anakanda baginda itu.
Hataya berapa lamanya maka Sang Perba pun besar maka titah baginda pada isterinya “Ya adinda akan sekarang anak kita pun sudah besarlah patutlah ia menjadi raja pada zaman mudanya ayuh kita rajakan kerana ialah akan jadi raja dalam dunia akan menentukan asal raja2 bahawa di turunkan Allaha Taa’alaya akan menjadi raja datang kepada akhir zaman”. Maka kata tuan puteri “Mana bicara kekandalah”. Maka baginda pun menyuruh memanggil segala rakyat. Setelah sudah berhimpun maka baginda pun berangkat ke Bukit Seguntang.
Setelah sampai di lihat oleh baginda bukit itu terlalu baik dan kayu kayuannya pun semuanya berbuah bermasakkan maka bukit itupun di namainya Bukit Seguntang Maha Biru. Setelah sudah maka Sang Perta Dewa pun menyuruh orang berbuat istananya dan balairong lengkap dengan pengadapan. Setelah sudah maka baginda pun naiklah ke istananya itu duduk. Maka Sang Perta Dewa pun menyuruh menempa segala pakaian kerajaan maka titah baginda pada puteri Gemala Ratna Pelanggam “Berlengkaplah adinda kerana kekanda hendak merajakan anak kita pada Bukit Seguntang ini”.
Setelah tuan puteri mendengar kata baginda demikian itu maka tuan puteri pun berlengkaplah dengan sukacita kerana mendengar pesan bondanya “Hai anakku bahawa engkau beroleh suami anak raja keinderaan itu anak raja itulah terlebih besar kerajaannya. Syahdan engkau kelak beroleh anak dengan raja keinderaan dan anakmu itupun akan menjadi raja di dalam dunia itu”. Maka Sang Perba pun di angkat oleh bondanya dengan selengkapnya serta inang pengasuhnya dan segala perwaranya maka Sang Seperba pun di rajakan oleh baginda di Bukit Seguntang Maha Biru itu seperti adat raja2 yang besar. Setelah sudah baginda merajakan anakanda baginda berapa bulan lamanya maka di lihatkan anakanda baginda kerajaannya terlalu baik budi afa’alnya murah hatinya.
Syahdan sangat ia memeliharakan segala rakyatnya maka baginda pun bermohonlah kepada anakanda baginda lalu kembali keinderaan laki isteri. Maka Sang Seperba pun kerajaan terlalu adil dan perkasanya akan segala rakyatnya. Hataya maka terdengarlah pada segala orang besar2 dan orang kaya2 di tanah Palembang bahawa di Bukit Seguntang itu sekarang ada raja di turunkan Allaha Taa’alaya dari keinderaan. Kelakian maka segala orang itupun datanglah berhimpun di Bukit Seguntang masing2 dengan persembahannya dan sukacitanya hendak melihat rupa raja2 itu.
Maka mereka itu sekeliannya di anugerahi Sang Seperba masing2 atas kadarnya dan dengan tegur sapanya serta dengan manis mukanya seorangpun tiada terlindung lagi. Maka segala tuan2 itupun terlalu sukacita hatinya kerana melihat budi pekerti raja itu dengan demikian terdengarlah pada segala negeri bahawa Bukit Seguntang sekarang di turunkan Allaha Taa’alaya dari keinderaan raja baik budinya dan tegur sapanya dan sangat ia mengasih pada segala dagang santeri sekelian.
Kelakian terdengarlah pada segala negeri itu orang dari sana sini pun datang ke Bukit Seguntang dari laut dan darat itupun datang mengadap raja itu masing2 dengan persembahannya maka jadilah mahsyur nama raja itu pada segala negeri yang hampir tanah Palembang itu. Maka Bukit Seguntang itu jadi bandar besarlah terlalu ramai jadi besar dengan menterinya dan hulubalang dan pertuanan dan rakyat.
Hataya sekali persetua maka Sang Seperba pun hendak pergi berburu bermain2 pada sisi Bukit Seguntang itu hendak melihat termasa dengan segala orang besar2. Maka Sang Saperba pun berangkatlah di iringkan dengan segala bunyi2an dengan hulubalang rakyat sekelian. Maka baginda pun berjalanlah bermain2 pada tengah padang itu maka di lihat oleh baginda sebuah kolam terlalu indah2 perbuatannya diikut dengan permata pancuran berkeliling kolam itu bagai2 bunga yang indah2 dengan jambangannya. Maka Sang Saperba pun berkeliling pada tepi kolam itu melihatkan kekayaan Allaha Sabahaanaha Wa Taa’alaya.
Maka Sang Saperba pun berasa panas hendak mandi maka baginda berdiri pada tepi kolam itu menanggalkan segala pakaiannya. Maka di sambut oleh bentara di pangkunya maka baginda pun turun mandi dengan segala pegawai ke dalam kolam itu terlalu ramai bersembur2an. Maka Sang Saperba pun menyelam dengan takdir Allaha di dengar oleh Sang Saperba guruh di langit. Maka turun dewa dari keinderaan merupakan dirinya seekor lembu putih seperti perak sudah tersepuh tanduknya seperti duri. Maka Sang Saperba pun bangkit daripada menyelam itu di lihat seekor lembu terdiri di tepi kolam itu terlalu indah rupanya. Maka Sang Saperba pun naik bersalin kain maka dilihatnya lembu itu muntah.
Sudah Sang Saperba bersalin kain maka dilihatnya oleh Sang Seperba lembu itu pun ghaiblah maka Sang Saperba pun segera pergi. Maka di lihat oleh Sang Saperba muntah lembu itu menjadi budak perempuan seorang terlalu elok rupanya dan warna tubuhnya seperti emas sepuluh mutu mukanya seperti bulan purnama empat belas hari bulan. Maka Sang Saperba pun mengambil kain putih lalu di selimutnya sudah itu maka tuan puteri pun naik ke atas usungan bersama2 baginda lalu di bawa kembali ke negeri lalu ke istana. Maka Sang Saperba pun memilih dayang2 empat puluh inang pengasuh perwara empat puluh. Sudah itu maka tuan puteri itupun diberinya memakai kain kerajaan.
Maka Sang Saperba pun menitahkan seorang bentaranya naik keinderaan persembahkan pada paduka ayahanda baginda. Maka bentara pun menyembah masuk mengadap Sang Perta Dewa. Maka titah baginda “Hai bentara hendak kemana engkau. Apa pekerjaan anakku sekarang”. Maka sembah bentara “Ya tuanku patik dititahkan oleh paduka anakanda beroleh seorang puteri terlalu elok rupanya”. Maka oleh bentara segala halnya ehwalnya semuanya di persembahkan oleh bentara maka Sang Perta Dewa pun terlalu sukacita mendengar warta anakanda baginda beroleh isteri itu maka Sang Perta Dewa pun berlengkaplah.
Setelah sudah maka Sang Perta Dewa laki isteri pun turunlah dari keinderaan lalu ke Bukit Seguntang di iringkan oleh segala bala tenteranya maka turunlah dari keinderaan terlalu gempita suaranya daripada kebanyakan rakyat dari keinderaan mengiringkan Sang Perta Dewa. Maka Sang Perta Dewa pun sampailah ke Bukit Seguntang itu maka terdengarlah kepada Sang Saperba maka Sang Saperba pun segera keluar dari istana mengalu2kan ayahanda bonda maka Sang Saperba pun sujud di kaki ayahanda.
Maka oleh Sang Perta Dewa dan permaisuri di peluk dan di cium akan anakanda baginda itu maka Sang Saperba pun membawa ayahanda baginda masuk ke dalam istana di dudukkan di atas Sang Kesana yang bertatahkan ratna mutu manikam dan berumbai2kan mutiara. Setelah sudah duduk maka tuan puteri pun di suruh oleh Sang Saperba menyembah ayah bondanya. Maka di peluk dan di cium akan menantunya itu maka Sang Perta Dewa pun berlengkap akan pekerjaan anakanda baginda Sang Saperba hendak di kahwinkan dengan tuan puteri itu maka Sang Perta Dewa memulai berjaga2 tujuh hari tujuh malam.
Maka Sang Saperba dan tuan puteri pun di hiasi oranglah dengan pakaian kerajaan yang indah2. Setelah sudah berhias maka Sang Saperba pun diarak oranglah berkeliling negeri dengan segala bunyian2. Setelah genap tujuh kali berkeliling lalu berarak kembali ke istana. Setelah sudah maka Sang Perta Dewa pun hendak kembali keinderaan. Maka Sang Saperba laki isteri pun menyembah ayahanda bonda baginda kedua laki isteri di peluk dan di cium baginda akan menantunya. Maka baginda pun kembalilah keinderaan dengan sukacita.
Hataya berapa lamanya maka tuan puteri pun hamillah maka Sang Perba pun terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu. Setelah genaplah bulannya maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki2 terlalu elok parasnya dan sikapnya. Maka Sang Perba pun terlalu sukacita hatinya kerana melihat anakanda baginda itu maka di namai Sang Maniaka maka di peliharanya dengan sepertinya. Syahdan maka baginda pun menghiasi anakanda dengan sepertinya dan di pungut segala budak2 akan inang pengasuh anakanda baginda bermain.
Hataya berapa lamanya antara maka tuan puteri pun hamillah pula telah genap bulan akan berputera maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki2 amat elok rupanya di namai oleh baginda Sang Jaya Nantaka. Maka di peliharakan oleh ayahanda baginda dan di pungutnya inang pengasuh akan teman anakanda baginda bermain di tahunya akan anakanda itu akan menjadi raja besar. Hataya berapa lamanya maka tuan puteri pun hamillah pula telah genap bulannya akan berputera maka tuan puteri pun berputeralah pula seorang laki2 terlalu elok rupanya. Maka di pelihara oleh baginda seperti memeliharakan anakanda kedua yang dahulu itu maka di namai oleh baginda Sang Manika.
Hataya berapa lamanya tuan puteri pun hamil pula setelah genaplah bulannya maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki2 terlalu elok rupanya dan baik parasnya maka di namai oleh baginda Sang Setiaka. Maka Sang Perba pun naik keinderaaan mengadap ayahanda bonda baginda itu. Maka Sang Matiaka pun telah melihat cucunda baginda itu maka di peluk di cium baginda itu dan di anugerahi akan cucunda baginda berapa pakaian dari keinderaan emas yang bertatahkan ratna mutu manikam dan beberapa pakaian yang indah2. Telah berapa hari lamanya baginda duduk mengadap ayahanda baginda maka iapun bermohon kembali ke Bukit Seguntang duduk memelihara akan anakanda baginda.
Maka mahsyurlah pada segala negeri bahawa raja di Bukit Seguntang itu sudah berputera empat orang laki2. Maka orang segala negeri itupun pergilah mengadap masing2 dengan persembahannya. Maka di anugerahi oleh baginda akan segala mereka itu semuanya pun terlalu sukacita. Maka anakanda baginda pun besarlah maka ayahanda bonda baginda terlalulah kasih akan anakanda baginda itu. Maka Sang Perba pun tahu akan anakanda baginda keempatnya menjadi raja besar datang pada akhir zaman anak cucunya di atas tahta kerajaan. Maka anak raja keempat itupun terlalu berkasih kasihan keempat bersaudaranya seketika pun tiada bercerai makan tidur pun bersama2 juga. Maka Bukit Seguntang itupun menjadi perbandaharaan besarlah.
Maka mahsyurlah negeri yang tiada beraja masing2 hendak memohonkan anakanda baginda hendak menantikan anak itu juga dapatkan memerintah kerajaan. Maka masing2 mereka itu datang mengadap ayahanda baginda ke Bukit Seguntang maka barang siapa datang pada baginda masing2 pada layaknya duduknya maka sentiasa mereka itu masuk mengadap baginda. Hataya berapa lamanya maka segala mereka itupun bermohonlah kepada Sang Perba kembali ke tempatnya demikianlah hal mereka itu.
Maka anak raja keempat itupun besarlah bermain2 keempat bersaudara ke padang memakai baju kerajaan yang bertatahkan ratna mutu manikam. Apabila hari hampir akan petang maka iapun kembalilah. Demikianlah pekerjaan anaknya keempat bersaudara itu. Adapun Sang Saperba apabila ia rindu akan ayahanda bonda baginda itu maka ia naik keinderaan mengadap ayah bondanya pun demikian apabila hendak bermain2 ke dunia maka baginda turun ke Bukit Seguntang mendapatkan anakanda cucunda keempat itu maka bagindapun terlalu suka hatinya.
Syahdan berapa pakaian dari keinderaan di anugerahkan cucunda baginda itu yang keempat maka titah Sang Perta Dewa “Adapun cucuku keempat ini akan jadi raja besar di dalam dunia ini datang kepada anak cucunya. Syahdan timbullah asal raja turun di Bukit Seguntang”. Maka di peluk dan di cium akan cucunda baginda keempat maka baginda pun kembali keinderaan maka Sang Saperba mengantarlah ayahanda baginda. Berapa hari duduk di keinderaan maka baginda pun bermohon kembali ke Bukit Seguntang Maha Biru memelihara akan anakanda baginda keempat itu. Apabila tiada kelihatannya maka di suruh baginda cari demikianlah pekerjaan baginda itu.
Sebermula ada seorang nakhoda ia berahi hendak melihat rupa anak raja itu maka nakhoda itupun berlengkap dengan persembahan maka keluar nakhoda ia pun bermuat ke perahu berapa selangnya maka nakhoda itupun turun ke perahu lalu berlayar menuju Palembang. Hataya berapa lamanya berlayar itu maka nakhoda itupun hampir sampailah ke Palembang. Sebermula maka anak raja keempat itupun berbicara keempatnya hendak bermain2 ke pulau itu. Setelah sudah maka anak raja keempat pun memakai baju anta kesuma lalu pergilah bermain2 kepada pulau itu mengambil buah buahan terlalu suka.
Syahdan maka perahu nakhoda itupun menyusur pulau itu setelah sampailah ke pulau itu maka nakhoda itupun turun mandi dan mengambil kayu air dengan segala perahunya maka nakhoda itupun berjalan2. Bermula anak raja keempat itupun bermain pada tepi perigi itu tiada dilihat orang datang itu maka nakhoda itupun pergi pada perigi itu maka dilihatnya budak2 empat orang terlalu baik rupanya maka fikir nakhoda itu bukan gerangan anak manusia budak2 ini kalau anak dewa2 gerang maka segera di usirnya. Maka di lihatnya oleh anak raja keempat itu orang datang maka ia hendak berlari tiada sempat maka kata Sang Maniaka “Mari kita bersembunyi di balik batu hampar telaga ini”. Sahut Sang Maniaka “Marilah” maka keempatnya pun bersembunyilah.
Maka nakhoda itupun datang pada telaga itu maka di lihatnya budak keempat itupun tiadalah maka di cari oleh segala orang perahunya itupun tiada bertemu. Maka kata nakhoda itu “Cari juga budak ini tiada akan kemana perginya sekarang juga kita lihat” maka di cari tiada juga bertemu maka nakhoda itupun hairan akan dirinya. Maka kata nakhoda itu berkata “Pada bicara aku anak dewa gerang maka dengan seketika ini juga lenyap pada mata kita sekelian”. Maka kata seorang “Hamba sekelian pun hairanlah” maka nakhoda itupun mandilah dan segala orang perahu itupun mandilah dan mengambil air dan kayu. Setelah sudah maka masing2 pun turunlah ke sampan lalu di kayuhnya kencang. Maka anak raja keempat itupun keluarlah lalu kembali ke Bukit Seguntang.
Maka baginda pun bertanya kepada anakanda baginda itu “Kemana pergi tuan empat bersaudara maka tiada ayahanda lihat” maka Sang Maniaka pun berceritalah tatkala ia pergi pada pulau itu bertemu dengan sebuah perahu hendak mengambil air maka tiada sempat lari bersembunyi pada suatu tempat. Setelah nakhoda kembali patik keempat bersaudara pun keluarlah. Maka berdebar2 hati baginda “Hai anakku buah hatiku lain kalinya jangan engkau demikian. Tiadakah tuan ada hamba jika tuan hendak pergi bermain beritahu ayahanda2 kerahkan segala rakyat mengiringkan tuan”.
Maka anak raja itupun diamlah maka baginda pun masuklah ke istananya membawa anakanda baginda kepada permaisuri maka hal ehwal anakanda baginda keempat itu semuanya di ceriterakan kepada permaisuri maka kata permaisuri dengan air matanya “Aduh anakku mengapa maka demikian pekerti tuan. Tiadakah berhamba jikalau tuan hendak pergi bermain pun beritahu akan ayahanda bonda supaya lengkap tuan”. Maka sembah Maniaka “Sekali lagi tiadalah patik berbuat pekerti demikian itu” maka oleh permaisuri di mandikan anakanda baginda keempat itu dan diberinya memakai pakaian maka kata permaisuri “Aduh tuan bonda melihat tuan ini seketika tiada dapat bercerai di adap orang pun sama”. Demikianlah baginda memelihara akan anakanda baginda itu maka segala orang sana sini pun senantiasa datang mengadap baginda.
Sebermula nakhoda itupun sampailah ke Palembang maka ia pun memilih orang lalu di suruhnya berlengkap persembahan setelah sudah maka lalu ia berjalan ke Bukit Seguntang. Berapa antaranya maka sampailah lalu ia datang kepada syahbandar maka kata nakhoda itu “Ya syahbandar hamba sekelian ini hendak mengadap syah alam”. Maka kata syahbandar “Baiklah marilah” maka pada ketika itu baginda itupun sedang ramai di adaplah segala menteri dan hulubalang. Setelah di lihat syahbandar membawa seorang nakhoda segera di tegur oleh baginda “Marilah nakhoda duduk” maka nakhoda itupun sujud lalu duduk maka titah baginda “Hai nakhoda apa pekerjaan ke negeri kita ini kerana bukan bandar besar”.
Maka sembah nakhoda itu “Daulat tuanku patik memohon ampun dan kurnia patik hendak berniaga kerana patik hendak mengadap duli tuanku juga kerana barangsiapa melihat rupa raja itu bahawasanya serasa ia bertemu dengan Allaha Taa’alaya demikianlah”. Maka bagindapun tersenyum maka nakhoda itupun tiadalah lain di pandangnya anak raja keempat itu juga di pandangnya. Maka baginda pun tahu akan pandang nakhoda itu maka titah baginda “Hai nakhoda apa sebab maka nakhoda melihat anak hamba itu dan apa penglihatan nakhoda itu” “Daulat tuanku adapun tatkala patik tiada beroleh angin maka patik keputusan air dan kayu. Maka patik bertemu dengan sebuah pulau antara Palembang ini. Maka patik naik ke pulau itu hendak mengambil air dan kayu.
Maka patik lihat budak2 empat orang terlalu baik parasnya dan pakaiannya keempatnya maka oleh segala teman patik dikatakan budak lari. Maka budak keempat itupun lari hampir telaga batu lalu ghaib keempatnya tiadalah bertemu dengan patik sekelian. Maka patik lihat rupa budak keempat orang itu seperti akan rupa paduka anakanda inilah besarnya dan pakaiannya pun tiada bersalahan sebab itulah maka patik sekelian memandang paduka anakanda ini. Pada bicara patik budak empat orang yang bertemu dengan patik itu entah pun anak dewa2 indera2 juga rupanya maka sekonyong2 ghaib daripada mata patik sekelian ini”.
Apabila baginda mendengar sembah nakhoda itu maka baginda pun tersenyum seraya bertitah “Hai nakhoda jika ada budak keempat itu adakah nakhoda sekelian kenal”. Maka sembah nakhoda dan kawannya sekelian “Daulat tuanku syah alam patik kenal tuanku keempatnya kerana patik sekelian lihat hampir juga tiada juga jauh”. Demi raja mendengar sembah nakhoda itu maka Sang Perba pun tersenyum lalu bertitah “Hai nakhoda pada bicara kita jikalau nakhoda lihat pun tiada di kenal oleh kerana budak keempat itu sungguhpun manusia seperti anak dewa dan indera”.
Telah nakhoda itu mendengar titah baginda demikian itu maka iapun tahulah akan erti titah baginda itu bahawa yang di katakan itu anakanda bagindalah maka nakhoda itupun di persalinnya. Setelah sudah baginda memberi persalin akan nakhoda itu maka iapun bermohonlah lalu berjalan kembali ke Palembang.
Sumber: Hikayat Hang Tuah
Manuskrip British Library