Foto: wikipedia |
Disalin dari kiriman FB Seri Cendikiawan
BHADRAVARMAN - RAJA CHAMPA YANG ALIM
Bhadravarman I merupakan Raja Champa Agung yang dikenang dengan cukup baik dalam sejarah orang-orang Champa selain daripada Raja Sambuvarman dan Che Bong Nga. Baginda telah memerintah Champa dari tahun 380-413 setelah mendapat takhta daripada Fan Fo yang dipercayai ayah ataupun datuknya.
Setelah menaiki taktha pada tahun 380, baginda telah digelar sebagai Dharmamaharaja Seri Bhadravarman I. Baginda juga merupakan pemerintah Champa pertama yang memakai gelaran Varman yang merupakan gelaran yang cukup popular di istana Kemboja. Gelaran Varman ini dipercayai berasal daripada intitusi Raja-Raja Pallava.
Semasa pemerintahan baginda, ajaran Hindu semakin berkembang pesat di Champa. Baginda juga telah mengarahkan pembinaan komplek candi My Son dan Tra Kieu untuk memperkukuhkan pengaruh Hindu dalam masyarakat. Komplek candi tersebut masih boleh dilihat sehingga sekarang walaupun beberapa kali musnah dalam perang. Selepas kompleks candi tersebut telah siap dibina, baginda telah menjemput Brahmin-Brahmin dari India untuk tinggal di Champa bagi menjalankan upacara keagamaan.
Baginda bukan sahaja menitik beratkan pembangunan agama Hindu tetapi baginda sendiri merupakan pakar dalam agama Hindu dimana baginda menguasai kesemua empat kitab veda dan juga pernah menulis beberapa inskipsi dalam tulisan Sanskrit.
Dalam pada baginda fokus terhadap urusan agama namun itu tidak bermakna baginda mengabaikan urusan pentadbiran. Ini dibuktikan pada tahun 399, apabila baginda menjalankan kempen perluasan kuasa ke kawasan utara. Dalam kempen ini, baginda telah berhasil menawan 2 buah kota Dai Viet iaitu Jiuzhen dan Rinan.
Antara tahun 405-413, baginda menghadapi peperangan dengan China yang dipimpin oleh Do Tue. Dalam perang terakhir, Raja Bhadravarman I telah hilang dipercayai terbunuh bersama-sama dengan 2 orang anaknya iaitu Cheng Cheng dan Na Neng. Anaknya yang bernama Ti Kai telah melarikan diri bersama dengan ibunya dan seorang lagi anaknya yang bernama Ganggaraja telah menaiki takhta Champa namun tidak lama apabila baginda telah disingkirkan.
Baca juga: