Pict: Amazon UK |
حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ الإِيمَانِ
"HAABU AL WATANI MINAL IMAN.."
Maksudnya: “Cintakan negara (tanah air) sebahagian daripada tanda keimanan.”
FB Ibnu Kamal - PERKATAAN cinta atau kasih-sayang dalam bahasa Arab mempunyai beberapa kalimah seperti yang sering ditemui dalam al-Quran atau hadis, iaitu hub, mahabbah, wudd (atau mawaddah) dan rahmah. Kalimah ini walaupun jika diterjemahkan membawa makna hampir sama, ia digunakan dalam konteks berbeza dan mempunyai martabat tertentu atau merujuk kekuatan cinta berbeza-beza.
Menariknya dalam al-Quran, kita tidak akan temui ungkapan digunakan untuk menunjukkan berlawanan dengan kalimah cinta, iaitu secara khususnya kalimah benci. Contohnya, seperti ungkapan ‘Aku (Allah) membenci’ atau ‘Kami (Allah) membenci sesuatu atau seseorang. ’Walaupun pada hakikatnya Allah SWT tidak menyukai dan membenci sesuatu tindakan atau perilaku seseorang, ungkapan benci tidak digunakan, sebaliknya Allah SWT mengguna ungkapan ‘tidak menyukai’ seperti banyak ditemui ayat berbunyi ‘inna Allaha la yuhibbu’ bermaksud ‘sesungguhnya Allah tidak menyukai atau mencintai.’
Begitulah indah dan tinggi kasih sayang Allah SWT kepada makhluk-Nya, hingga kalimah ‘benci’ langsung tidak digunakan untuk merujuk sifat-Nya dalam al-Quran, walaupun terhadap manusia yang tidak taat serta melakukan maksiat dan penderhakaan.
Kalimah ‘rahmah’ atau sering disebut sebagai rahmat biasanya merujuk kepada cinta dan kasih sayang paling umum, yang biasanya melata kepada semua makhluk sama ada manusia mahupun binatang.
Penulis tidak bermaksud membahaskan satu persatu perkataan bahasa Arab yang bermakna cinta, cuma menunjukkan beberapa kalimah membawa maksud itu dalam perbendaharaan kata bahasa Arab, sekaligus melambangkan betapa Allah SWT amat menyayangi makhluk Nya dan Islam ialah agama kasih sayang.
Inilah sifat fitrah tabii manusia, iaitu mempunyai perasaan cinta. Seorang lelaki mempunyai perasaan cinta kepada wanita, begitu juga sebaliknya. Ibu bapa pula mencintai anak yang turut mempunyai perasaan sama.
Adapun kecintaan paling tinggi dan agung sekali dalam Islam sudah pasti kepada Allah SWT. Namun, kecintaan kepada Allah SWT perlu melalui mengikuti perintah Rasul-Nya seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud;
“Katakanlah (Wahai Muhamad): “Jika benar kamu cintakan Allah maka ikutilah aku nescaya Allah akan mencintai kamu serta akan segera mengampunkan dosa kamu. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun,Lagi Maha Pengasih." (Ali Imraan:31)
Seterusnya perintah agar mencintai Baginda s.a.w. seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Anas Ibnu Malik r.a.: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anak, bapa dan sekalian manusia keseluruhannya.”
Allah s.w.t. juga menjadikan sifat fitrah manusia untuk saling berkasih sayang seperti firman-Nya; “Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir.." (Al-Rum: 21)
Dalam pelbagai rupa bentuk cinta itu, ada satu lagi cinta, iaitu cinta kepada tanah air atau disebut Hubbul Watan. Segelintir ulama menganggap kecintaan kepada negara itu hanya sifat tabiat insani semata-mata, seperti kecintaan kepada hal lain yang bersifat duniawi sekaligus bukan sebahagian tuntutan agama.
Bagaimanapun, majoriti ulama sama ada silam mahupun kontemporari menganggap sebaliknya, iaitu ia anjuran ajaran Islam yang sesuai berdasarkan pengalaman Nabi s.a.w dan para sahabat Radiyallahu anhu walaupun tiada dalil khusus menuntut agar seseorang mencintai tanah air.
Dalam masyarakat Arab, ada kata-kata yang masyhur ‘hubbul wathan minal iman’ atau mencintai tanah air sebahagian daripada iman, hingga ada mendakwa ia daripada Rasulullah SAW. Namun, selepas diselidiki dan diperhalusi secara teliti, ramai ulama hadis berpandangan sebaliknya.
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, ulama yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari dengan kitabnya, Fathul Bari menyebut, walaupun kata-kata itu tidak ditemukan sumbernya daripada hadis Nabi s.a.w ia sahih daripada segi maknanya kerana diamalkan Baginda ketika hayat.
Imam al-Sakhawi dan al-Ajluni juga turut berpandangan sama kerana walaupun belum ditemukan sumber hadisnya, mencintai tanah air sudah diamalkan Rasulullah s.a.w. dan sahabat Baginda.
Rasulullah SAW juga pernah berdoa:
“Ya Allah, jadikan kami mencintai Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau melebihi cinta kami pada Makkah.." (HR Bukhari)[1]
Diriwayatkan juga apabila Nabi s.a.w. pulang ke Madinah daripada musafir, Baginda akan cuba mempercepat perjalanannya menuju Madinah, kerana kecintaan dan kerinduan terhadap tanah airnya dan ingin sampai cepat ke kota itu.[2]
Banyak juga dalil lain menunjukkan mencintai tanah air digalakkan dalam Islam. Ini dapat dilihat daripada hadis ketika Nabi s.a.w. diperintahkan berhijrah ke Madinah dan meninggalkan Makah, Baginda menoleh ke Makah seraya bersabda: “Demi Allah engkau (yakni Makkah) adalah sebaik-baik tanah dan tanah paling dicintai Allah SWT. Seandainya aku tidak diusir keluar dari engkau, nescaya aku tidak akan keluar.”[3]
Walaupun ada sesetengah minoriti ulama melihat hadis ini hanya merujuk kelebihan bumi Makkah (fadl al-Makkah) dan Madinah semata-mata serta bukan daripada aspek tuntutan kecintaan kepada tanah air, majoriti ulama masih berpandangan ia masih boleh diqiyaskan kepada tempat lain yang menjadi tanah air seseorang.[4]
Ini berdasarkan amalan Nabi Muhammad s.a.w. dan Sahabat r.a. yang jelas menunjukkan mencintai negara ialah sifat semula jadi yang ada dalam diri manusia dan sangat dianjurkan dalam Islam.
DR NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD..
:(Felo Kanan, Pusat Kajian Shariah,Undang-
Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM):
SUMBER:BH Online
===============
Catatan kaki oleh admin:
[1] Ini menggambarkan kerinduan dan kecintaan nabi kepada kampung halaman dan bandar tempat ia membangun kehidupan. Setiap perantau pasti merasakan hal serupa, ada kalanya cinta kepada kampung halaman lebih besar dan ada kala pula cintanya kepada kota tempat ia membangun kehidupan dan menghabiskan sisa umur lebih besar. Adapun tanah air dalam pemaknaan masyarakat sekarang merujuk kepada negara dan dalam Islam memang tidak dikenal hal semacam itu. Karena dimanapun Pemerintahan Islam berdiri, maka disanalah negeri Islam dan patut dan wajib untuk dibela. Cinta Tanah Air atau 'Nasionalism' merupakan produk Barat yang mereka pergunakan untuk mengkotak-kotakkan bangsa berdasarkan darah, asal usul, dan kelahiran yang merupakan akar dari budaya mereka. Dan ramai orang-orang di Timur dan Dunia Islam juga menerima dan mengamalkannya sehingga Dunia Islam pada masa sekarang ini sedang tercerai-berai.
[2] Kami yakin belum ada istilah 'tanah air 'pada masa itu, kalaupun ada tentulah pemaknaannya tidak sama dengan sekarang. Seperti orang-orang dari Minangkabau pada masa dahulu sebelum kemerdekaan menyebut bahwa Tanah Air mereka ialah Sumatera.
[3] Hadis ini menggambarkan kecintaan nabi kepada Mekah yang telah dirahmati Allah Ta'ala sekaligus tanah kelahiran/ kampung asal beliau.
[4] Pengqiyasan bersifat subjektif, menyesuaikan dengan kebutuhan zaman, dan dalam kasus ini tuntutan penguasa.