Disalin dari FB Kisah Sejarah Melayu
Ho lo tan atau Kelantan merupakan antara lokasi yang dicadangkan sebagai Ibu Kota Sriwijaya. Ini kerana wujud persamaan nama antara Sriwijaya dengan nama Kerajaan Kelantan Tua iaitu Sriwijaya Mala.
Pendapat ini telah dikemukakan oleh Hermann Schlegel kerana menurutnya Kelantan dikenali sebagai “Sri Vijaya” sekitar tahun 667 masihi. Menurut J.L. Moens dalam tulisannya yang bertajuk Srivijaya, Java En Kataha menyatakan bahawa dari sudut geografi dan astronomi, Ibu Kota Sriwijaya mungkin bukan hanya berada di satu tempat sahaja tetapi berpindah- pindah dari ssatu tempat ke tempat yang lain.
Moens turut menjelaskan bahawa Kelantan merupakan lokasi sebenar Sriwijaya berdasarkan beberapa alasan berikut:
a. Dari sudut ilmu falak, semasa membaca bayang matahari menggunakan alat welacakra yang berukuran 8 kaki panjang - bayang di Sriwijaya pada jam 12 tengahari pada musim panas jatuh ke sebelah selatan sepanjang 2 kaki 5 inci. Jadi kemungkinan besar kedudukan Sriwijaya ialah pada garis lintang 5° 50". Itu bermakna lokasinya berkemungkinan di Kelantan.
b. Masa pelayaran. Perjalanan antara Sriwijaya ke Malayu mengambil masa selama 15 hari menyusuri Pantai Timur Semenanjung dan 15 hari lagi diperlukan untuk pelayaran dari Malayu ke Kedah. Jadi kesimpulan yang boleh dibuat ialah, Kelantan yang merupakan pusat pentadbiran Sriwijaya itu berada di garisan lintang 6° Utara.
c. Darisudut geografi pula, lokasi Kelantan Tua terletak jauh ke pedalaman menyamai data astronomi iaitu berada di garis lintang 5° 50"arah utara.
d. Menurut Nuraidil Zakaria, pada abad ke-5, Kelantan masih dirujuk sebagai Ho Lo Tan dan nama itu kemudiannya telah ditukar kepada Shih li fo shih sekitar abad ke 7.
e. I Tsing telah berlayar pulang dari India pada tahun 685 masihi dan mendapati bahawa Malayu telah berada di bawah pengaruh Sriwijaya. Menurut Moens lagi, Malayu disini bukanlah merujuk kepada Jambi tetapi merujuk kepada Palembang itu sendiri. Antara tahun 683-684 iaitu sebelum kedatangan I Tsing, Sriwijaya dikatakan telah memindahkan pusat pemerintahannya ke Muara Takus di Sungai Kampar. Ini kerana menurutnya lagi, penggunaan welacakra oleh I Tsing sudah tidak menampakkan bayang tanpa mengira musim panas atau musim sejuk. Ini menunjukkan bahawa, Ibu Kota Kerajaan Sriwijaya pada waktu itu sudah berada hampir dengan garisan khatulistiwa.
Selain Moens, Nilakanta Sastri juga berpendapat bahawa lokasi asal Sriwijaya mungkin di Pantai Timur Semenanjung Malaysia berdasarkan kepada data astronomi dan geografi. Menurutnya lagi, Prasasti Kedukan Bukit sebenarnya hanyalah ingin mengingati kemenangan daripada satu ekpedisi menumpaskan Malayu dan membina sebuah negara baharu iaitu Sriwijaya.
Nilakanta bertindak lebih berani dengan kenyataannya bahawa pada tahun 671, I Tsing sebenarnya telah singgah di Sriwijaya di Pantai Timur Semenanjung bukannya di Palembang. Dan semasa pulang dari India pada tahun 685, I Tsing sekali lagi singgah di Sriwijaya tetapi Sriwijaya pada waktu ini merujuk kepada Malayu atau Palembang.
Ini kerana menurut Nilakanta lagi, pada tahun tersebut Sriwijaya telah bertindak menyerang Malayu dan menjadikan Malayu dan kawasan sekitarnya sebagai jajahan Sriwijaya. Selain itu, Sriwijaya juga telah bertindak memindahkan pusat pemerintahannya dari Pantai Timur Semenanjung ke kawasan kepulauan. Kerajaan Malayu yang telah ditumpaskan itu, telah diturun taraf sebagai sebuah negeri dalam Kerajaan Sriwijaya.
Sebelum kewujudan Sriwijaya, Kerajaan Malayu sebenarnya telah menguasai bukan hanya kawasan sekitar Jambi bahkan sehingga ke kawasan Palembang. Kerajaan Malayu juga merupakan kerajaan yang cukup kaya dan popular dengan aktiviti perdagangan antarabangsa. Keadaan ini sudah tentu menarik perhatian Dapunta Hyang Sri Jayanasa untuk menguasai Kerajaan Malayu.
Tambahan pula menurut W.S. Morgan, aktiviti perdagangan yang dahulu berpusat di kawasan Segenting Kra telah beralih kepada kawasan Selat Melaka. Sriwijaya yang berpusat di Pantai Timur pula mempunyai lebihan barangan untuk diperdagangkan. Tetapi disebabkan oleh masalah perdagangan di Segenting Kra makin merosot maka banyak barang- barang dari Sriwijaya itu tidak dapat diperdagangan.
Maka satu konklusi mudah telah dilakukan oleh Raja Sriwijaya ialah dengan bertindak menyerang Kerajaan Malayu yang merupakan kerajaan yang kaya dengan industri perdagangan di kawasan Selat Melaka. Untuk memudahkan kawalan ke atas Selat Melaka dan seterusnya Selat Sunda, maka Raja Sriwijaya telah bertindak memindahkan pusat pemerintahannya dari Pantai Timur Semenanjung ke Palembang atau kawasan kepulauan nusantara.
Kredit : Seri Cendekiawan