Gambar: kominfosandi |
Disalin dari kiriman FB Mohd Hakimi
Setelah Sultan Abdullah Kampar mendapat tahu bahawa Melaka sudah berjaya ditawan oleh Portugis, maka baginda cuba berbaik-baik dengan Portugis dengan harapan Portugis akan menyerahkan Melaka kepadanya.
Ini kerana, Sultan Abdullah merasakan dirinya layak untuk menuntut takhta Melaka kerana baginda merupakan anak saudara kepada Sultan Mahmud Syah Melaka. Ini bermakna, baginda juga mempunyai susur galur pemerintah Melaka daripada bekas Sultan Melaka iaitu Sultan Alaudin Riayat Syah.
Apabila ada kapal Portugis datang ke Selat Ungaran, baginda telah memerintahkan pengikutnya supaya menghampiri fusta (kapal) Portugis untuk menjalinkan hubungan persahabatan.
Apabila “lampu hijau” telah diberikan oleh Portugis untuk hubungan persahabatan tersebut, maka Sultan Abdullah telah mudik dengan perahu ke fusta Portugis tersebut.
Baginda telah disambut dengan oleh kapitan Portugis tersebut untuk naik ke kapal mereka bersama dengan 2 orang pembawa sireh santap baginda. Selepas sahaja, baginda naik ke atas fusta Portugis itu, dengan tidak semena-mena Portugis telah melarikan baginda.
Pengikut baginda cuba bertindak namun hentaman meriam dan senjata api daripada fusta Portugis itu telah menyebabkan pengikut baginda terpaksa berundur untuk mendapatkan bantuan.
Raja Abdullah akhirnya dibawa ke Melaka dan seterusnya dibawa ke Goa, India dan kemudiannya ke Portugal. Sejak itu, tidak didengari lagi khabar mengenai Sultan Abdullah.
Kredit : The Patriots 2.0