Foto: Mahir Al Hujjah |
Disalin dari kiriman FB Eddy Ezwan
PERTEMBUNGAN IDEOLOGI ANTARA KAUM MUDA DAN KAUM TUA Di MALAYSIA
March 8, 2018
Oleh : Ibrahim Majdi
PENDAHULUAN
Pertembungan Kaum Muda dan Kaum Tua adalah satu aspek yang penting dalam sejarah kebangkitan masyarakat Melayu Muslim di Tanah Melayu. Malah, William Roff telah memfokuskan satu bab khas mengenai konflik antara Kaum Muda dan Kaum Tua. Penulis merasakan perlu satu perbincangan mengenai asas dan ideologi kepada kedua-dua kumpulan ini. Aliran Tradisional dipanggil juga sebagai konservatif. Manakala aliran Islah pula juga dipanggil sebagai pembaharu, reformis dan Tajdid. Dua bentuk pemikiran inilah yang membentuk aliran pemikiran utama di kalangan masyarakat Melayu di Tanah Melayu pada era akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20. Satu perbincangan mengenai latar belakang perlu dikupas bagi lebih memahami dua bentuk aliran pemikiran agama Islam ini.
SEJARAH
Bagi membincangkan mengenai sejarah kumpulan pembaharu atau reformis agama, penulis ingin merujuk kepada penulisan oleh Abdul Rahman Abdullah yang banyak menulis tentang sejarah aliran pemikiran dan intelektual Islam. Abdul Rahman Abdullah (2010) telah membahagikan perkembangan reformis atau disebut sebagai Tajdid atau Islah ini kepada dua iaitu Zaman Klasik dan Zaman Moden. Asas Tajdid Zaman Klasik bermula sejak zaman Khulafa al-Rasyidin dalam menentang semangat Jahiliah dan Zsabiyyah pada ketika itu. Kemudian, berkembang di zaman pemerintahan Umar Abdul Aziz sebagai tokoh awal Tajdid di dalam politik. Tajdid atau pembaharuan ini diteruskan dengan Imam Ahmad bin Hanbal, Imam al-Asya’ari, Imam Ghazali, dan Ibn Tamiyyah. Pembaharuan ini kemudianya berkembang di zaman moden dengan tokoh-tokoh tajdid moden seperti Syeikh Ahmad Sirhindi, Syed Waliullah al-Dihlawi, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, Sayyid Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh. Reformis atau sifat pembaharuan adalah berbeza dengan sifat modenisme.
KAUM MUDA dan KAUM TUA
Walau bagaimanapun, masih terdapat kekeliruan di antara terma reformis dan modernis kerana keduanya bukanlah suatu terma yang berasal dari Bahasa Arab. Menurut Kamarudin Salleh (2007:48), kumpulan reformis Islam adalah kesedaran awal masyarakat Muslim terhadap keruntuhan sosio budaya manakala modernis pula berhubung kait langsung dengan Barat. Oleh yang demikian, kumpulan pembaharuan ini lebih gemar menggunakan terma Arab seperti Islah, Tajdid, Sahwah Islamiyyah dan Ihya’ Islam. Oleh yang demikian penggunaan terma membawa maksud yang berbeza meskipun dilihat ada persamaan di dalam beberapa aspek-aspek yang tertentu.
Bagi kumpulan pembaharuan ini, mereka tidak menentang pendidikan Barat, tetapi pendidikan harus disesuaikan bersama ilmu agama.
Sebelum munculnya gerakan agama reformis atau lebih dikenali sebagai Kaum Muda di Tanah Melayu, telah muncul satu aliran tradisional yang bertaqlid kepada tokoh-tokoh ulama Shafi’iyah dalam Aqidah, Tasawuf, dan Syariat menurut Abdul Rahman. Kumpulan tradisional ini disebut dalam buku William Roff sebagai Kaum Tua adalah kumpulan aliran pemikiran Islam Tradisional atau Konservatif.
Apabila membincangkan mengenai kumpulan aliran tradisional ini, pusat untuk aliran tradisional ini berkembang di pusat-pusat pondok yang menekankan pendidikan Islam dan menjadikan peranan Ulama’ sangat penting. Tokoh-tokoh Ulama’ pada waktu itu datang dari Pattani dan Jawa (Mohamad Kamil 1996:33). Tambah Mohamad Kamil lagi, kebanyakan Ulama’ Alam Melayu pada waktu itu tidak dapat lari dari pengaruh tasawwuf. Tambahan lagi, intelektual dan pemikiran Ulama’ Melayu Nusantara pada waktu itu hanya memfokuskan kepada bidang agama dan menganggap bahawa ilmu dunia dan moden sebagai tidak penting.
Pemikiran sebegini menyebabkan urusan kehidupan dunia banyak diabaikan. Pendapat ini juga dipersetujui oleh Jaffary Awang dan Kamarudin Salleh (2007:42). Menurut mereka, kumpulan aliran tradisional ini menganggap bahawa kuasa Barat ini bukanlah suatu ancaman bagi masyarakat Islam. Hal ini disebabkan masyarakat tradisionalis ini percaya kepada ketinggian status orang Islam berbanding masyarakat bukan Islam. Dari perbincangan ini, dapatlah difahami sebahagian asas yang membentuk dua kumpulan yang dibincangkan oleh William Roff iaitu gerakan Kaum Muda dan Kaum Tua. Kaum Tua juga dipanggil dengan gelaran aliran tradisionalis.
Terma ini menyebabkan salah faham apabila dibuat perbandingan Kaum Tua dan Kaum Muda sebagai “tradisionalis vs modernis”. Perbandingan sebegini adalah kurang tepat menurut sebahagian penyelidik dan ahli akademik.
Hal ini berikutan terma modernis sering dikaitkan dengan masyarakat barat. Kumpulan Kaum Muda ini juga digelar sebagai kelompok pembaharu dan juga reformis. Pemilihan terma boleh menyebabkan pandangan dan tafsiran yang berbeza oleh pelbagai golongan masyarakat. Malah, disebabkan gerakan ini bermula dari Negara Arab, gerakan agama ini lebih suka menggunakan terma Arab seperti Islah dan Tajdid. Oleh yang demikian, dalam penulisan ini, suka untuk penulis merujuk gerakan Kaum Muda ini dengan terma Islah, Tajdid atau Reformis. Penulis merasakan terma ini lebih sesuai digunakan dalam penulisan artikel ini bagi mengelakkan salah faham terhadap terma yang digunakan bagi merujuk ideologi Kaum Muda.
Dalam aspek Persatuan sukarela dan kemajuan politik, usaha ini mula timbul apabila meluasnya masyarakat kota dan berlakunya perubahan sosial di kalangan masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Pada ketika ini, orang-orang melayu ingin kepada satu penyatuan. Kaum Muda ketika itu giat memperjuangkan kesepaduan [kesetaraan] sosial di kalangan masyarakat Melayu terutamanya dengan seruan mereka di dalam Akhbar [Surat Kabar/Koran] Neraca. Walau bagaimanapun, seruan kumpulan pembaharuan agama ini menurut Roff tidak mendapat sambutan golongan tani terutamanya kerana kumpulan ini menyerang golongan atasan. Perkara ini telah mengusarkan golongan masyarakat tani kerana mereka menganggap Sultan sebagai penyelamat mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak menyokong penuh kumpulan pembaharu agama.
AKHBAR DAN MAJALAH
Akhbar awal yang muncul di kalangan masyarakat Melayu adalah Akhbar Al-Islam dan Neraca. Akhbar-akhbar awal yang muncul ditulis oleh golongan nasionalis kaum muda yang berasaskan reformis Islam. Oleh yang demikian, akhbar-akhbar awal banyak menceritakan mengenai hal-hal Islam yang berlaku di Mesir dan Turki pada waktu itu.
Pada sekitar tahun 1920 an, Kaum Muda tidak ketinggalan dalam menerbitkan akhbar mereka sendiri. Antara akhbar kaum muda adalah akhbar Idaran Zaman (1925-1930) dan Al-Ikhwan (1926-1931) yang banyak persamaan dengan majalah Al-Imam. William Roff berpandangan bahawa Syed Syeikh Al Hadi hanya memperjuangkan masa lampau dan cita-cita lama seperti pada awal kemunculan Kaum Muda. Roff menyatakan bahawa istilah Kaum Muda telah berubah mengikut edaran zaman apabila Kaum Muda pada tahun 1920an itu ada perbezaan dengan Kaum Muda yang sebelumnya. Menurut Roff, Kaum Muda sudah bertukar kepada golongan Melayu Muslim yang mementingkan kemajuan politik, ekonomi, dan sosial berbanding dengan kaum muda yang banyak membincangkan mengenai pertelingkahan agama.
Malah, Syed Syeikh Al Hadi sendiri setelah menerbitkan Akhbar Al-Ikhwan, beliau juga telah menerbitkan Akhbar ‘Saudara’. Akhbar Saudara berbeza dengan akhbar yang diterbitkan oleh Syed Syekh Al Hadi sebelum ini di mana Akhbar Saudara mempunyai lebih banyak berita mengenai ulasan umum berbanding fokus kepada agama sahaja. Hal ini telah menjadikan Akhbar Saudara sebagai salah satu akhbar yang paling berpengaruh di Tanah Melayu.
Akhbar Saudara juga menjadi pengkritik hidup orang-orang Melayu yang tidak bertolak ansur. Pada tahun 1930an juga telah menyaksikan perkembangan persatuan dan akhbar-akhbar Melayu. Perkembangannya bukan sahaja dari sudut akhbar, tetapi juga majalah dan buku. Buku-buku ini termasuk untuk para pemuda. Wanita dan kanak-kanak (Roff 1967:163-166). Perkembangan ini menjadikan bidang kewartanan ini mula dijadikan sebagai lapangan sepenuh dan separa masa. Pada tahun 1930an, semakin banyak akhbar harian muncul di Tanah Melayu.
Tokoh kewartawanan yang popular pada ketika itu adalah Abdul Rahim Kajai. Beliau pernah menulis rencana untuk pelbagai akhbar tempatan antaranya Akhbar Utusan Melayu, Lembaga Melayu dan juga penulis khas bagi akhbar kaum muda iaitu akhbar Idaran Zaman dan akhbar Saudara (Roff 1967:168-170).
Pada awal tempoh kewartawanan beliau, Rahim Kajai menunjukkan simpati beliau kepada Kaum Muda. Beliau juga banyak memfokuskan kepada unsur ilmu dan perbalahan agama. Apabila beliau masuk ke akhbar Majlis, Rahim Kajai mula berminat dan bersungguh-sungguh dalam menaikkan semangat orang Melayu.
KONFLIK antara Kaum MUDA dan Kaum TUA
Kaum Muda dilihat banyak membawa idea-idea baru sehingga menggusarkan kumpulan Kaum Tua yang majoritinya terdiri dari orang-orang elit dan juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sultan. Malah, sudah ada cubaan oleh Kaum Muda untuk masuk di dalam hieraki pentadbiran apabila Syeikh Tahir cuba menjadi Mufti Johor tetapi gagal kerana mendapat tentangan.
Menurut William R Roff, dari wawancaranya bersama Haji Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Za’ba yang juga merupakan sahabat baik Syeikh Tahir dalam (Roff 1967:75);
Sheikh Tahir said "who continued to be widely respected as a scholar even within the strongholds of the Kaum Tua, endeavored to obtain the post of Mufti in Johore, but was found unacceptable to the Menteri Besar, allegedly because of the modernist trend of his idea."
Meskipun gagal untuk menjadi mufti di Johor, Syeikh Tahir masih dilantik sebagai sebagai Nazir sekolah-sekolah agama di Johor.
Meskipun ideologi Kaum Muda telah masuk lebih awal di kalangan Masyarakat Tanah Melayu, mereka ini tidak menonjolkan diri mereka dalam gerakan politik secara jelas. Menurut Roff,
"The politicization of the image of Kaum Muda began to make itself evident only in mid-1920s, notwith standing the political implications inherent in reformist idea prior to this time."
Meskipun Kaum Muda telah muncul lebih awal, penjelmaan Kaum Muda di dalam politik hanya mula pada pertengahan tahun 1920an. Meskipun begitu, gerakan Kaum Muda telah mula membawa idea-idea mereka lebih awal dan cenderung kepada politik meskipun tidak secara jelas
Mengenai konflik hebat yang berlaku antara Kaum Muda dan Kaum Tua, William Roff (1967:77) dalam kajianya dalam buku The Origins of Malay Nationalism berpandangan bahawa;
"The roots of the conflict between Kaum Muda and the Kaum Tua alliance of religious conservatism and traditional elite, thought expressed in doctrinal and ritual controversies of varying substance, may be seen in the threat offered by the former to the very basis of customary authority."
William Roff menjelaskan di dalam kajianya mengenai asas permasalahan yang wujud adalah kerana timbul rasa tidak puas hati terhadap golongan elit agama yang menjadi adat dan warisan dalam sistem sosial masyarakat Melayu di Malaya pada era tersebut. Kaum Muda merasakan masyarakat Melayu pada era tersebut hanya menurut kumpulan agama tanpa sebarang bantahan. Inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati kepada kumpulan reformis. Rasa tidak puas hati terhadap pentadbir tidak pernah terhenti sejak era Kaum Muda dan Kaum Tua tidak pernah terhenti sehingga ke hari ini.
Aspirasi ini dibawa oleh kumpulan Kaum Muda seperti yang pandangan William R Roff (1967:78) dalam kajianya;
"…..the perfection and purification of Islam was for Kaum Muda not simply an end in itself but a means for the acceleration and direction of social and economic change for the betterment of Malay society….."
Suatu yang menarik untuk dibincangkan, dalam karya The Origins of Malay Nationalism, Roff berpandangan bahawa kelompok aliran tradisional hanya fokus kepada pengajaran ilmu agama sahaja yang menyebabkan timbul rasa tidak puasa hati oleh kumpulan Kaum Muda pada ketika itu.
Pada masa itu, telah timbul segelintir mereka yang mula membawa ideology yang lebih liberal pada masa itu. Kumpulan yang beraliran liberal ini pada awalnya juga digelar bersama kumpulan Islah sebagai Kaum Muda seperti yang dinyatakan oleh William Roff (1967:90);
"The term “Kaum Muda”, thought it never wholly lost its connotation of challenge to traditional religious authority, came more and more to take on purely secular meaning."
Ada kenyataan yang mendakwa bahawa kumpulan Kaum Muda adalah satu kumpulan yang disamakan dengan satu kumpulan yang sekular atau liberal yang cintakan dunia telah memberi imej yang buruk kepada gerakan kaum muda. Walaubagaimanapun, menurut William Roff (1967:90), perkara ini telah dikonsepkan kembali oleh Sultan Perak pada sekitar tahun 1940;
"A decade later in 1940, it was possible for the Sultan of Perak to speak of Malay society as divided inti three distinct groups, Kaum Tua, Kaum Muda, and Orang Muda2: “Those who come under the first category devote their time mostly to the spiritual side of life, those under the second category to the material side of life, while the third may be said to waver between the two."
Ini adalah usaha dari Sultan Perak pada masa itu untuk membezakan di antara kumpulan masyarakat yang beraliran reformis atau Islah dengan kumpulan masyarakat Melayu yang beraliran sekular atau liberal.
Walau bagaimanapun, masih terdapat masyarakat Melayu yang tidak membezakan antara kumpulan aliran Islah dan liberal. Hal ini kerana terdapat persamaan antara kumpulan Islah dan liberal di dalam beberapa aspek. Perbezaan utama hanyalah kumpulan reformis menggunakan hujah dengan kemmbali kepada Quran dan Sunnah manakala kumpulan liberal banyak menggunakan hujah akal dan logik. Perkembangan ini telah memberi kesan yang besar terhadap pertembungan tiga aliran masyarakat Melayu Muslim pada masa kini.
KESIMPULAN
Kaum Muda adalah gerakan agama yang banyak dipengaruhi oleh banyak gerakan agama yang sedang berlaku di negara lain terutamanya di Mesir. Gerakan ini dilihat sebagai sebuah gerakan agama yang bukan hanya mementingkan hal ehwal agama sahaja, tetapi juga mementingkan aspek dunia yang lain seperti aspek sosial, pentadbiran, politik dan juga ekonomi. Oleh kerana sifat gerakan agama Kaum Muda yang dilihat sebagai suatu gerakan reformis, iaitu cuba mengubah pemikiran dan intelektual masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu pada waktu itu. Hal ini menyebabkan Kaum Tua iaitu kumpulan tradisionalis dan elit agama di Tanah Melayu pada ketika itu memberi tentangan kepada gerakan Kaum Muda kerana menganggap Kaum Muda cuba untuk mempengaruhi sifat dan pemikiran kebiasaan masyarakat Melayu di Tanah Melayu pada waktu itu. Tambahan lagi, kedua-dua kumpulan ini mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ehwal agama yang menyebabkan masyarakat Melayu di sebahagian kampung berpecah kepada dua kumpulan.
SUMBER: LESTARI HIKMAH
* kata dalam tanda [] ditambahkan admin