Disalin dari kiriman FB Alam Melayu Merindu
Tahukah anda, pada zaman negara jiran Indonesia berjuang mempertahankan kemerdekaan daripada penjajah Belanda dalam Revolusi Indonesia yang telah berlangsung pada tahun 1946-1949 dahulu, seorang anak tani yang berasal daripada Kampung Bukit Pak Silap, Temerloh, Pahang Darul Makmur juga telah berhijrah ke Indonesia dan mengangkat senjata bagi mempertahanan kemerdekaan pertiwi untuk jiran serumpun di Indonesia.
Pemuda yang penuh semangat patriotisme demi nusa dan bangsa ini bernama Encik Hassan Bin Sidek akhirnya telah berjaya menjawat jawatan Kapten Udara Republik Indonesia sepanjang perjuangan beliau disana. Pada tahun 1968, beliau telah pulang selama 14 hari ke kampung asalnya di Kampung Bukit Pak Silap, Temerloh untuk melawat sanak saudara dan rakan sepermainan di kampung halaman sebelum beliau menjadi seorang patriot melawan penjajah di negara jiran serantau.
Kepulangan beliau selama 14 hari di Temerloh telah diambil peluang oleh wartawan Berita Harian untuk mencatat serba sedikit mengenai kisah beliau. Dalam halaman 6, kawat Berita Harian bertarikh 21 Mac 1968.
Pemuda Pahang menjadi Kapten Udara Indonesia
Berita Harian, 21 Mac 1968.
Pemuda Pahang menjadi Kapten udara Indonesia
KEMBALI MENEMUI KELUARGA SA-TELAH 21 TAHUN
Oleh
BUMIPUTERA
SA-ORANG pemuda dari Kampong Bukit Pak Si-lap, Temerloh, Pahang yang meninggalkan negeri ini dalam tahun 1947 dulu telah pulang berchuti sa-lama empat balas hari pada hujong bulan Februari lalu.
Pemuda tersebut, Enche Hassan Bin Sidek meninggalkan kampong halaman dan tanah ayer sabagai pemuda biasa tetapi pulang berchuti sabagai Kapten Udara Repablik Indonesia. Beliau pulang saorang diri 'sabagai merintis jalan' katanya.
Samenjak tiga tahun lalu Kapten Hassan bertugas dengan AURI [Angkatan Udara Republik Indonesia] di Medan, Sumatra. Sejak mula lagi beliau berkhidmat di bahagian jentera kapal terbang (Aero-Engineer-ing)
Walaupun tidak berubah sa-telah meninggalkan kampong salama lebeh 20 tahun (umornya meningkat 45 tahun sekarang), Kapten Hassan sama sekali tidak dapat bertutur dalam loghat Melayu. Dia bertutor dalam loghat Indonesia tulen.
Pengalaman
Ketika di-tanya bagaimana pengalaman-nya salama 21 tahun di-negara tetang-ga, dengan tenang Kapten Hassan menjawab 'Wah,
hebat
sekali."Sabaik sahaja beliau mendarat di tanah besar Indonesia pada tahun 1947 itu, dia terus dihantar ka Padang dimana dia turut mendaftarkan diri untok berjuang menentang penjajahan Belanda. Soalan pertama yang diachukan kapadanya ketika hendak mendaftar nama itu ialah 'Saudara bisa mati atau tidak? Kalau takut mati, saudara tidak boleh dudok di Indonesia.
Oleh kerana beliau menjawab: Saya tidak takut mati,' lantas dia diterima dan terus ditemuduga untok bertugas dibahagian Aeromekanik.
Dan kerana dizaman pemerentahan Jepun dahulu Kapten Hassan pernah belajar disekolah jentera kapal terbang di Singapura, maka dengan senang sahaja permohonannya diluluskan, Kapten Hassan meneruskan perbualannya dengan saya dianjong rumah ibunya pada hari kedua tibanya di Kampong Bukit Paksilap.
Saya turut berjuang didalam revolusi Indonesia itu dan kembalinya bertemu keluarga disini adalah sabagai satu tuah dari Tuhan. Sabenarnya saya ini boleh dianggap sabagai 'sisa maut', katanya.
Bertempor
Dengan senyum beliau menambah, 'Saya sudah mengalami beberapa pertemporan yang saya sendiri tidak menyangka dapat keluar daripadanya dan hidup hingga sekarang,'
Peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ialah ketika menjalankan tugas bagi membebaskan Pekan Paya Kumboh dengan satu pasokan saramai hanya 30 orang. 'Sedang askar Belanda yang mengawal pekan itu berjumlah ribuan. Tetapi tugas kami ialah menyerang untok memusnahkan musoh. Kami tidak dibenarkan pulang salagi musoh belum dimusnahkan,' tegas Kapten Hassan.
"Kerana perjuangan ini, Kapten Hassan melanjutkan cheritanya' Saya telah diberikan oleh pemerentah satu bintang kehormatan tertinggi yang dengannya saya diberikan prioriti (keutamaan) dalam menjalani hidup selanjutnya.'
Beliau juga diberikan tempat bersemadi di Makam Pahlawan apabila sampai masanya kelak. 'Mengingat segala2nya ini,' tegas Kapten Hassan lagi, 'Saya bershukorlah menjadi ra'ayat Indonesia, kerana saya meninggalkannya, saolah2 saya meninggalkan pokok yang saya tanam dengan susah payah dan sekarang sedang mengeluarkan buah'.
Kapten Hassan telah berumahtangga disana dan mempunyai enam orang anak, kesemuanya sedang bersekolah. Apabila saya tanyakan tentang isterinya, Kapten Hassan menjawab 'Isteri saya kasar.' Saya terchengang mendengar jawapannya ini. Melihat demikian, beliau menerangkan bahawa isteri-nya kasar kerana dia juga tutur mengambil latehan tentera. Tetapi ini tidak berarti dia saorang isteri yang kurang chekap dalam urusan rumah tangga,' jelas nya.
Belajar
Kapten Hassan sekarang maseh belajar disalah sabuah Akademi Pengajian bahasa2 asing di Medan. Dia belajar bahasa Jepun, Belanda, Peranchis, dan Jarman. Bahasa Inggeris sudah dikuasainya lebeh dahulu.
'Ya, inilah satu2nya kemudahan diIndonesia. Siapapun bisa belajar tanpa mengira umor," katanya.
Bayaran sekolah chuma lebeh kurang $20 sa-tahun (wang Malaysia) dan pelajaran mudah sahaja diikuti kerana masa bekerja diIndonesia ialah antara jam 7 pagi hingga 2 petang tiap2 hari.
Mengenai konsep pelajaran di Indonesia, Kapten Hassan menerangkan bahawa diIndonesia orang tidak mendapatkan ilmu untok menchapai hidup yang lumayan. Orang Indonesia belajar samata2 untok mendapatkan ilmu kerana meninggikan ilmu itu sendiri bagi ra'ayat dan negara. Sebab ilmu itu adalah dipandang sabagai satu2nya yang dapat membangunkan sabuah negara ka arah kemajuan. Tegasnya ilmu itu sabagai asset kapada negara'.
Salama berada d-kampong, Kapten Hassan tidak putus2 dikunjongi oleh saudara maranya. Beberapa orang diantaranya hanya bertutor dengan lelehan ayer mata. Barangkali gembira.
Sahabatnya juga telah mengadakan satu majlis keraian kechil di-dewan UMNO Temerloh. Beliau telah berlepas semula ka Medan melalui lapangan terbang Subang pada 5 Mach lalu.
Kredit : The Interesting Historical Facts of Malaysia