Pict: tengku puteh |
FB Mohd Hakimi - Benarlah kata Usman Awang "Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga." Satu benda yang paling ditakuti Belanda ketika berperang menentang Aceh (1873 - 1913) ialah Hikayat Perang Sabil. Belanda bukannya tidak takut dengan meriam-meriam besar Aceh buatan Turki Uthmaniyah, tetapi mereka lebih takut dengan Hikayat Perang Sabil.
Hikayat Perang Sabil yang dikarang oleh seorang ulama, pujangga dan panglima perang iaitu Syeikh Muhammad atau Teungku Chik Pante Kulu meninggalkan kesan yang sangat luar biasa pada masyarakat Aceh.
Hikayat Perang Sabil mampu merangsang semangat jihad orang-orang Aceh. Siapa yang membaca atau mendengar hikayat ini, semangat jihadnya menjadi berkobar-kobar. Menurut riwayat, ada seorang wanita tua yang sedang menjual kuih, apabila membaca hikayat ini, beliau serta merta meninggalkan jualannya dan bersiap untuk turun berjihad.
Ali Hasymi pernah menulis bahawa terdapat seorang penduduk kampung bernama Leem Abah. Pada satu malam beliau hanya mendengar seseorang membaca Hikayat Perang Sabil. Keesokan paginya selepas shalat Subuh, tanpa diketahui oleh sesiapa, beliau terus ke Kota Raja (Banda Aceh) lalu menikam seorang Belanda dengan rencong yang disembunyikan dalam lipatan kainnya. Beliau kemudiannya ditangkap dan dibunuh oleh Belanda.
Begitu hebatnya kesan Hikayat Perang Sabil sehingga para pemuda Aceh menjadikan bacaannya sebagai hiburan di Meunasah (madrasah-madrasah). Dengan itu, hikayat ini sangat ditakuti Belanda. Pihak Belanda telah membuat undang-undang bahawa barangsiapa yang menyimpan hikayat ini, maka dia akan dikenakan hukuman berat. Belanda juga giat membuat pemeriksaan di rumah-rumah penduduk Aceh untuk mencari dan merampas hikayat ini.
Sebab itulah wujudnya syair yang masyhur di Aceh tentang Hikayat Perang Sabil seperti berikut:-
Kendati beracun rencong dan pedang,Hikayat Perang Sabil lebih berbisa,Belanda takut lutut bergoyang,Kisah dilarang menyimpan membaca.Di zaman Belanda hikayat dilarangSiapa menyimpan hukuman berganda,Kerana kandungan meransang perang,Mengobar semangat melawan Belanda.
Hari ini, saya mengimpikan dan menantikan satu karya di negara ini yang mampu meransang semangat umat Islam untuk membangunkan ekonomi seperti mana karya Hikayat Perang Sabil meransang semangat jihad rakyat Aceh.
Kredit : Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam (ALAMI)